Khamis, 24 November 2011

Laporan Penilaian ACM

LAPORAN PENILAIAN ANUGERAH CITRA MAJALAH SEKOLAH MENENGAH NEGERI JOHOR DAN MELAKA 2011

PENGENALAN
Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka 2011 (Kategori Esei)  anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Selantan (DBPCS) menerima sebanyak 70 esei. Bilangan penyertaan ini menandakan sambutan yang baik daripada pihak sekolah.

KEKUATAN
1.    Bilangan penyertaan sebanyak 70 buah esei daripada 33 buah sekolah dari Johor dan Melaka. Ada sekolah yang menghantar satu penyertaan, ada yang menghantar dua penyertaan dan ada yang menghantar tiga penyertaan. Hal ini menandakan bahawa program ini mendapat sambutan dan sokongan cemerlang daripada pihak sekolah.

2.    Berdasarkan nama-nama penulis didapati bahawa anugerah ini mendapat sambutan daripada pelbagai kaum yang ada. Penyertaan dari pelbagai kaum ini menandakan sambutan yang baik dari rakyat Malaysia, bukti sifat sama rata yang menjadi amalan masyarakat dan yang lebih membanggakan ialah bukti perpaduan kaum dan penglibatan bersama dari pelbagi kaum dalam menjaya misi dan visi kerajaan.

3.    Terdapat pelbagai tema dan pemasalahan digarapkan dalam esei, meliputi pemasalahan para remaja, masalah sosial masyarakat, sukan, pertanian, industri hinggalah kepada dasar-dasar kerajaan bagi memajukan masyarakat dan negara.

Ahad, 13 November 2011

Terjemahan "Facebook"

Saya telah m enghantar satu entri ke dalam facebook pada 9 November 2011 pukul 3.15 petang. Entri itu berbunyi, "Apakah terjemahan tepat untuk istilah facebook? Hasilnya, saya telah menerima beberapa pandangan yang barangkali boleh difikirkan kesesuaiannya.
  1. Abdul Mushawwir - buku wajah
  2. Usman Ibrahim - facebook - buku muka. Contoh: (1) Text book - Buku Teks; (2) Note book - Buku Nota; (3) Exercise Book - Buku Latihan; (4) Work Book - Buku Kerja.
  3. Noridah Ramli - Raut kalam;
  4. Mokhtar Sah Malik - Laman Muka;
  5. Mohd Hafiz Andrew Hafiz - Laman Wajah;
  6. Nor Azlina - Buku Berwajah;
  7. Wan Asyeah Wan Nawang - Kita bubuh la hok molek sikit - "Laman Kenalan";
  8. Nassury Ibrahim - ada lagu (menamakannya) "Muka Buku." 

Isnin, 7 November 2011

Selamat menunaikan ibadat haji

Hari ini ialah hari kedua aku menyambut hari aidiladha. Aku sambutnya bersama keluarga di Kelantan. Semalam, aku ke Hulu Kusial, rumah kakak ipar. Mereka akikah lembu untuk cucunya. Aku membantu menghiris daging dan membersihkan perut lembu.

Buat masa ini, ibuku, Habsah Yacob, dan adikku, Zarina Ibrahim, berada di Tanah Suci Mekah kerana menunaikan fardu haji. Mereka merupakan antara 28,000 umat Islam Malaysia yang mengerjakan ibadah haji. Ibu dan adikku dijangka pulang pada 15 November 2011 sekitar puku 5 pagi. Aku akan menjemputnya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Mengerjakan ibadat haji ini adalah kali kedua buat ibuku dan kali pertama buat adikku. Ibu pernah mengerjakan ibadat ini bersama-sama ayah, Ibrahim Mamat, pada tahun 1999.

Kadang-kadang aku berasa malu kepada mereka. Ibu dan ayah tiada pekerjaan tetap. Hanya sekadar menoreh dan menjaja kain, dapat mereka kumpul wang dan menunaikan fardu haji. Aku pula ada pekerjaan dan bergaji tetap, tidak mampu kumpul wang untuk menunaikan fardu haji.

Pada tahun ini, ibu mengajak aku menemaninya dan adik mengerjakan ibadat haji. Juga aku tidak mampu. Selain kewangan, aku tidak mampu meninggalkan keluarga. Anak bongsuku masih kecil dan dalam kategori OKU. Sebilangan wang dibelanjakan untuknya. Aku sendiri tiada persiapan mental untuk ke sana. Mulanya, ibu mendesak juga. Namun, akhirnya ibu memahami keadaan diriku. Syukurlah.

Kepada ibu dan adik, semoga Allah memberkati usahamu dan menerima ibadatmu. Amimmmmmmmmm. Juga kepada umat Islam yang lain.

Khamis, 3 November 2011

Seksualiti Merdeka, Bob Lokman dan Nallakarupan

Ada tiga isu dalam minggu ini (1 November 2011) yang sangat memalukan aku sebagai rakyat bermoral bersih.

Pertama, kempen Seksualiti Merdeka yang dianjurkan oleh beberapa NGO songsang dan disokong pulak oleh Majlis Peguam dan Suaram. Kempen ini sangat bertentangan dengan nilai dan normal masyarakat Malaysia. Malahan, aktiviti seksualiti merdeka (kebebasan seks / sek bebas / kemerdekaan seks) adalah bertentangan dengan agama. Ia bakal menjadi kubahan berlesen pembiakan gay, lesbian, biseksual, transgender, rogol, zina, pelacuran dan bohsial, sebagainya. Saya berasa hairan akan sebab program ini diberikan kebenaran (atau permit) oleh pihak polis, atau dipandang ringan oleh pihak yang sepatutnya menghalang. Lebih-lebih lagi, kempen ini turut direstui oleh NGO yang memperjuangkan Islam dan pemimpin serta orang Islam sendiri.

Selasa, 25 Oktober 2011

Laporan HSKU (cerpen 2010) - Penulis Remaja Meningkat

Majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan - ExxonMobil (HSKU) akan diadakan pada 31 Oktober ini di hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Acara ini diharap dapat menyemarakkan lagi dunia kesusasteraan tempatan. Berikut adalah petikan daripada laporan Panel Hakim HSKU 2010 kategori cerpen remaja.

Kesusasteraan sebagai alat pembina sahsiah bukan suatu tanggapan kosong bahkan telah diakui dalam sistem pendidikan apabila teks sastera dijadikan alat pengajaran dan pembelajaran. Pengukuran kefahaman golongan pelajar sering dikaitkan dengan nilai moral dan motivasi yang terkandung dalam karya, sekali gus menjadi manifestasi pengakuran pihak pengolah sukatan pelajaran terhadap kepentingan karya sastera.

Ahad, 9 Oktober 2011

Punca Penggangguran

Pembentangan Bajet Belanjawan Negara 2011 yang dianggap berani dan luar biasa oleh Barisan Nasional adalah bajet yang bakal menjerat leher kerajaan sendiri. Keluarbiasaannya itu di luar tabii. Walaupun DS Mohd Najib menafikan ketidakmampuan melaksanakannya.

Kalangan kakitangan awam sangat memahami dan sudah dua tahun dideritakan oleh kerajaan kerana terpaksa menanggung bebanan dengan kewangan sendiri bagi melaksanakan aktiviti rasmi kerajaan. Pelbagai aktiviti dengan hasrat setinggi langit menuntut pegawai kerajaan melaksanakan aktiviti tanpa diberikan belanjawan secukupnya.

Khamis, 6 Oktober 2011

Hamba yang seorang ini

Kalau boleh jumpa pemimpin UMNO atau MCA atau MIC atau DAP atau KITA atau, kendatipun ketua pemuda yang sanggup makan sebegini, sangatlah ambo hormati kerakyatan hatinya. Namun, amat sukar dapat ambo temui.
Alkisah diriwayatkan oleh yang empunya cerita, ada sekumpulan anak-anak muda yang menjadi wakil dari setiap kampung, dikatakan mencuri kayu jambatan yang diberikan oleh Sang Maharaja.

Dikatakan kayu yang dicuri itu dijual dan duitnya berpakat mereka membeli sebuah kereta bernama Mecedes hitam akan setiap seorangnya. Akibatnya, sampai sekarang jambatan lama itu belum berganti dan rakyatnya teramatlah susah perhubungan.
Jauh sangatlah ceritera yang diriwayatkan itu dengan hamba yang seorang ini. Dan, doa ambo, semoga hamba yang seorang ini terus diberkati, dilindungi, dirahmati oleh dia yang bernama ALLAH SWT. 

Khamis, 29 September 2011

Ada Pokok Di Atas Mejanya

Wah, ada pokok di atas mejanya. Pokok ini berbuah kad-kad huruf, dihasilkan oleh pelajar Literasi Bahasa sebagai kerja kursus. Ia sebahagian daripada pelbagai jenis pokok, kotak, dan bahan-bahan maujud yang dihantar oleh pelajar IPG. Bahan-bahan ini perlu disimpan sehingga lima tahun.

Bayangkanlah, sekiranya setiap tahun pensyarah menerima menima 10 hasil seumpama ini dan terpaksa disimpan sehingga lima tahun. Di manakah hasil tugasan ini hendak disimpan?

Di sebelah kanan pensyarah berkenaan ada dua lagi meja berhimpitan sekitar enam kaki persegi. Kedua-duanya bergred DG52. Namun, mereka dilayan seperti penjaga stor. Di sebelah kirinya pula ada satu meja individu bergred DG48.

Adakah gambar ini menggambarkan suasana budaya ilmu pengeraknya, sebagaimana diwar-warkan?

Khamis, 22 September 2011

Buah Dari Kebun IPG

Berkata yang empunya cerita, sebesar manapun rumah anda, secantik manapun garaj anda, sekukuh manapun binaan rumah anda, sehebat manapun laman anda; anda tidak berhak membina longkang di rumah jiran, atau menebas rumput di laman jiran, atau menyusun kasut selipar anak-anak jiran, apalagi mengkritik binaan, struktur atau warna rumah jiran.

Khamis, 15 September 2011

Status Tentera dan Polis Zaman Penjajah

Siapa Tok Janggut dan siapa membunuh Tok Janggut?
Tentera dan polis dan seumpama dengannya pada zaman penjajah adalah berkhidmat untuk keselamatan dan kemajuan penjajah. Mereka bukan berkhidmat kepada pemerintah asal negara itu, walaupun ada cubaan menafikannya. Mereka bertugas dan dibayar gaji serta elaun untuk menjaga kerajaan dan harta kerajaan penjajah.

Rabu, 31 Ogos 2011

Guru Bahasa Salah Bahasa

Pada hari Sabtu, 27 Ogos 2011, pukul 7.13 pagi, saya mengeposkan satu entri dalam facebook. Entri tersebut berbunyi, "Mengapakah banyak tulisan guru bahasa (maksudnya Bahasa Melayu / Malaysia, yang salah bahasanya?" Entri ini adalah bertujuan bagi meninjau pendapat dari rakan-rakan facebook.

Sehingga 30 Ogos 2011, saya menerima sebanyak 11 pandangan, dan dua pandan balas saya. Pandangan tersebut ialah;

Sabtu, 27 Ogos 2011

Nafi hak royalti penulis

Membaca surat rayuan terbuka oleh lima penulis teks Komsas (5PK), Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin, Hazama Harun, Mohd Izan Abd. Hazes, dan Erda Roslan Khairi, kepada Menteri Pelajaran Malaysia, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, ada dua perasaan menerjah diriku.

Pertama, aku rasa sangat bertuah kerana karya-karyaku tidak terpilih sebagai teks Komsas. Apa gunanya kalau karya aku terpilih, tetapi aku tidak memperoleh nikmat daripada karya berkenaan. Sedangkan, nikmatnya diratah hidup-hidup oleh kapitalis penerbitan. Benarlah kata pepatah yang diibaratan oleh 5PK - Menang sorak kampung tergadai, atau ibarat memberi lanun makan sedangkan anak sendiri mati kelaparan.

Kedua, aku rasa terharu dan sedih. Bukan senang menghasilkan karya. Namun, mereka dengan senang sahaja mengaut keuntungan. Jika mereka memberi royalti 10 % pun, mereka masih dapat mengaut untung berlipat ganda. 

Sebagai penulis, aku fikir penafian hak royalti oleh penerbit Mega Setia Emas, Nur-Ilmu, Associated Education Distributors, Hartamas, dan V-Nice perlu diajar. Oleh sebab ramai penulis berkhidmat sebagai guru, maka saya mencadangkan agar 5PK (dan guru-guru) menasihati pelajar masing-masing agar tidak membeli sebarang buku terbitan lima syarikat berkenaan.

Malah, boleh juga dihantar surat kepada rakan-rakan guru Bahasa Melayu di sekolah lain, mencadangkan agar mereka menyertai kempen berkenaan. Surat juga boleh dihantar kepada pihak kementerian dan mencadangkan agar menyenaraihitamkan penerbit berkenaan daripada sebarang projek penerbitan buku teks.   

Selasa, 16 Ogos 2011

Diskusi Pengajian Melayu Siri 4

Diskusi Pengajian Melayu Siri 4 anjuran Kelab Bahasa Melayu (Kebayu) di bawah tanggungjawab Maniyamin Ibrahim telah menjemput Dr Ting Len Siong, seorang pensyarah pakar ilmu pendidikan dari Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, IPG Kampus Kota Bharu gred 54. Beliau memperkatakan tentang teks dan konteks dalam novel berjudul Rezeki Bumi Bertuah karya beliau sendiri.

 





 




Isnin, 15 Ogos 2011

Dilema Pelajar IPG dengan Pentadbir

Tahun 2006 Perdana Menteri Malaysia, DS Najib Tun Abdul Razak mengumumkan kenaikan taraf institut perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG). Sehubungan satu IPG telah ditubuhkan yang dinamakan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). IPGM mengantikan Bahagian Pendidikan Guru (BPG) yang kini khusus mengendalikan kursus-kursus dalam perkhidmatan kepada guru-guru. Manakala, IPG di negeri-negeri dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus ... (IPGK). Nama asal maktab/institut tidak berubah. Misalnya, Institut Perguruan Ipoh ditukar kepada nama Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh (IPGKI).

Khamis, 11 Ogos 2011

Menjadi Orang Kecil Merdeka

Orang besar tidak melihat atau nampak orang kecil. Itulah kesimpulan aku setelah bergaul dengan orang besar. Namun begitu, mulutnya sering memuji orang kecil di hadapan orang kecil itu. Menyatakan kekagumannya dan kebaikan orang kecil. Sesudah berjumpa, akan terus terlupa. Apabila bertemu kembali akan dinyatakan bahawa dia sudah perjuangkan permintaan orang kecil itu. Padahal, kata-katanya itu tiada susulan tindakannya.

Selasa, 9 Ogos 2011

Seminar Mini Pengajian Melayu Siri 2

Bertempat di Dewan Gerko pada 8 Ogos 2011 di IPG Kampus Kota Bharu telah berlangsung dengan jaya Seminar Mini Pengajian Melayu Siri 2 (SMPM2). SMPM2 merupakan siri aktiviti Kelab Bahasa Melayu (KEBAYU) yang saya tubuh pada tahun 2010. 
Nurul Nadia Mazuki
Antara pensyarah yang hadir










Antara pelajar yang hadir
Siti Norzahrah Othman










Kenyataan Awang Selamat dan Pandangan Rakan FB

Kata Awang Selamat (MM, 17.7.11), "Awang sedikitpun tidak teruja pada Perhimpunan Bersih. Lebih menarik rasanya melihat aksi perarakan gay di negara Barat walaupun menjijikkan."

Top of Form   

o    Wan Asyeah Wan Nawang,Kota Putera Besut dan 2 yang lain menyukai ini Nazmi Yaakub Hah? Lebih menarik? Ini pengakuan serius!? (pada 18hb Julai pukul 6.29 ptg). Nassury Ibrahim barangkali dia ahli kelab kot (pada 18hb Julai pukul 6.35 ptg.). Kenapa Dibunuh Peminat gay boleh menghidu kenikmatannya walaupun ianya jauh dari syurga (pada 18hb Julai pukul 6.51 ptg). Imlan Adabi Awang Selamat tahuke apa yang dia cakap? (pada 18hb Julai pukul 7.05 ptg) Salleh Yaacob Yaacob begitulah UM mesti melaporkan kpd bosnya (pada 18hb Julai pukul 8.01 ptg). Ilhami Hisham dia bagi tau mentaliti dia yang hanyir dan meloyakan... kalau tak bagi tau pun, orang dah tau. Apa lagi dibagi tau berupa pengakuan; elok sangatlah tu. Nanti kamu akan tahu lubang mana kamu akan terperosok...(pada 18hb Julai pukul 8.01 ptg) Zaiton Zakaria Awang nak teruja macam mana.... dok sekat sini dok sekat sana. Atas kayangan pun takdok sekatan. kalu nak ikut depa dok berarak kita pun dok larat..tpi kadanga kala perlu jugak berarak untuk menghilangkan lengah di kaki dan serabut di kepala. (pada 18hb Julai pukul 10.33 ptg). Samsiah Alwadi ADA YG TERSIRAT D SEBALIK AYAT ITU... pada 19hb Julai pukul 2.26 pagi) Azli Lee Abdullah Awang Selamat mesti pastikan dia tetap selamat di Utusan Melayu! (pada 19hb Julai pukul 9.35 pagi) Azim Saleh Awang Selamat moga selamat le dunia akhirat... jangan tak selamat pulak (pada 19hb Julai pukul 10.50 pagi) Nassury Ibrahim Awang selamat tu masih Zainudin Maidin ke? (pada 19hb Julai pukul 6.30 ptg). Kota Putera Besut terlebih pemikiran barat.. (pada 19hb Julai pukul 8.58 ptg). Noridah Ramli sbb dia pun gay. (pada 19hb Julai pukul 9.27 ptg). Noridah Ramli dah tak BERSIH (pada 19hb Julai pukul 9.28 ptg). Kota Putera Besut may be la...ikut hak asasi (pada 19hb Julai pukul 9.29 ptg). Abdulhadi Muhamad Imlan sahabatku " Awang Selamat tahuke apa yang dia cakap?"... Celaka persis kaum Nabi Lut a.s dia....selagi AS tidak tarik balik, tulisan itu ikut mencelakakannya sampai bebila.....semoga tidak berulang AS menulis begitu :( ... pada 20hb Julai pukul 10.47 pagi). Nassury Ibrahim katakan, kalau nuar braim tulis macam tu, alamaknya ... (pada 20hb Julai pukul 6.06 ptg). Shukri Abdullah berita yg dah tak ada nilai berita di utusan meloya..dan wartawannya sanggup melakukan apa sahaja utk penuhi arahan penguasa waima menjatuhkan maruah dirinya..sama spt pelacur yg meperdagangkan tubuhnya! (pada 21hb Julai pukul 1.32 pagi). Nassury Ibrahim Jgn le kata gitu. kawan2 kita juga (pada 21hb Julai pukul 5.41 ptg). Shukri Abdullah sbb mereka yg pilih utk jd gitu...melampau tahap kronik! (pada 26hb Julai pukul 1.55 pagi).

Sabtu, 6 Ogos 2011

PPK dan Secebis Pandanganku

Persatuan penulis paling tua di Kelantan ialah Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Asalnya dari ASWANI. Sudah ramai ahli PPK yang berjaya, malah ada yang meraih Anugerah Sasterawan Negara. Pada tahun ini genap usia 45 tahun PPK. Pada 30 Julai 2011 berlangsung Mesyuarat Agung PPK Ke-41. Saya merupakan salah seorang daripada sekitar 32 orang ahli yang hadir. Mesyuarat kali ini berlaku pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) baru. Ada 11 ahli dicalonkan. Daripada senarai calon itu, empat orang tidak hadir (AJK lama). Maka, empat orang dicalonkan oleh ahli yang hadir. Salah seorang ialah aku. 

Pada pandangan aku, persatuan penulis dalam dekad awal abad ke-21 ini kurang berdaya. Lemah dari banyak aspek. Paling besar ialah aspek kewangan. Ahli-ahli hanya sekadar menjadi ahli tanpa membayar yuran tahunan. Malah, keahlian juga tidak kemas kini dan sering tidak menepati perlembagaan sendiri. Ahli-ahli juga agak kurang berminat lagi terhadap persatuan dan aktivitinya. Tiada daya upaya mencari dana sendiri. Justeru, segala aktiviti adalah bertongkatkan institusi tertentu. Lazimnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi penyalur dana aktiviti. Sekiranya DBP tiada makan akan lumpuhlah persatuan. Demikian juga aktiviti dijalankan adalah sama sahaja dengan aktiviti sebelumnya, iaitu bengkel penulis puisi terhadap calon penulis. Hanya berpuisi atau bercerpen yang diminati, tidak dalam aspek lain.  Rakaman hal-hal kebudayaan langsung tidak disentuh. Sedangkan, rakaman itu penting buat tatapan zaman. Hal ini bertentangan dengan imej penulis sebagai penjana pemikiran masyarakat. Dikatakan bahawa pemikiran penulis lebih ke depan daripada pemikiran masyarakat. Nampaknya, hipotesis ini kurang tepat buat masa ini. Hal ini tidak terkecuali pada PPK dan ahli PPK. Dan, berdasarkan pengalaman dalam mesyuarat berkenaan, agak sukar PPK untuk keluar daripada kepompong. Sebabnya, kerana sesetengah AJK yang sama (kurang berdaya) masih menerajui sesi yang baharu. Saya sangat berharap, melalui AJK PPK yang baru ini dapat keluar ke alam lebih global. Setidak-tidaknya, tidak berfokus pada satu aktiviti atau dilibati oleh muka yang sama sahaja. 

Jumaat, 29 Julai 2011

Musuh BN

Berkata Prof. Dato' Shamsul Amri Baharuddin, "Musuh Barisan Nasional (BN) bukan lagi komunis yang bergerak dari hutan, tetapi pergerakan madani yang mempunyai kesedaran politik yang meningkat." Namun saya tidak berpendapat sedemikian. Pada saya, musuh BN bukan Partai PAS, atau DAP, atau Keadilan Rakyat. Di sana di sini sekarang orang bercakap tentang kekejaman, keganasan dan ketidakadilan agensi kerajaan seperti apakah sebab wujud pergerakan Bersih dan Perhimpunan Aman Bersih 2.0, tindakan PDRM terhadap rakyat dalam Perhimpunan Aman Bersih 2.0, SPRM dengan kes kematian Teo Beng Hock dan Sarbini, dan sifat pilih kasih serta ketidakadilan JKKK di kampung-kampung.

Rabu, 27 Julai 2011

Minat Sarjana Barat Terhadap Kesusasteraan Melayu

Oleh Djazlam Zainal
Sejak kedatangan penjajah barat ke dunia Melayu, kesusasteraan Melayu menjadi satu komuditi yang diperhatikan oleh golongan ini. Rantau Asia Tenggara dan gugusan Kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah dan kesusasteraan yang begitu menakjubkan sering menjadi intipan mereka. Perkembangan ini menjadi lebih ketara pada awal abad ke 19. Karya-karya kesusasteraan Melayu klasik, terutama hikayat, telah menarik para sarjana luar, terutama golongan orientalis. Namun, dalam keghairahan pengkajian terhadap sastera klasik itu, sebahagian besar daripada mereka memperlihatkan citarasa individual penyelidik melebihi kepentingan kesusasteraan sebagai satu disiplin ilmu. Sekalipun Barat mempunyai tradisi pengkajian yang kukuh, namun untuk tanah jajahan, mereka bertolak dan membuat tafsiran yang tidak menepati kehendakan tempatan. Sebagaimana C. Snouck Hurgronje yang mengkaji Kesusastraan Aceh dan R.O. Winstedt yang mengkaji kesusasteraan Melayu, jelas sekali mempunyai pandangan kebaratan. A History of Classical Malay Literature yang diguna pakai oleh mahasiswa pengajian Melayu pada awal kemerdekaan bukanlah suatu cerminan konkrit untuk sastera Melayu. Pendekatan yang terlalu condong dan terlalu cenderung serta bersifat komparatif dan historis kebaratan. Aceh di Mata Kolonialis ( Hurgronje ) seringkali menjadi rujukan utama hingga mendatangkan kekesalan di hati A. Hasjmy yang mengatakan bahawa orang Aceh sendiri lebih percaya kolonialis daripada anak tempatan. H.M.J. Maier, mencadangkan agar teks klasik harus dilihat melalui bidang konsep ' intertektualiti ' sepertimana kajian beliau terhadap Hikayat Merong Mahawangsa (HMM). Maier yakin kaedah itu lebih berkesan bukan sahaja ketika membaca HMM tetapi juga apabila membaca tulisan tentang hikayat tersebut.

Menanti GELODAK RASA

Pulang dari Temerloh, saya menerima salinan fax dari Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) yang menerima surat itu dari Dewan Bahasa dan Pustaka pusat. Kandungannya berkenaan penerimaan manuskrip sajak berjudul Gelodak Rasa. Diyatakan penerimaan bersama-sama manuskrip saya itu ialah manuskrip sajak Antawacana karya Marzuki Ali, Kusemai Putih (Ramli Hashim) dan Diorama (Jamaludin Darus). Dikatakan bahawa manuskrip saya dan rakan-rakan di atas menunggu kelulusan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Penerbitan Ke-252 pada 23 Mei 2011. Keputusannya belum diketahui lagi.

Saya tentunya berasa seronok menerima khabar yang belum tentu menggembirakan ini. Manuskrip itu pertama kali dihantar pada tahun 2004 dan telah mengalami beberapa kali pengeditan. Judul asalnya Tukang Sajak Menulis Sajak. Atas permintaan penilai judul itu ditukar kepada Gelodak Rasa pada tahun 2007, dan sekali lagi ditukar kepada Di Luar Bingkai Diri pada tahun 2010. Namun, judul Gelodak Rasa yang diterima.

Dari tahun 2004 hingga tahun 2011 (dan belum tentu diterbitkan), tentulah saya dab kumpulan sajak itu mengalami pelbagai perasaan dan 'ketakutan.' Dipadankan dengan rasa pengarang dan imej sajak, maka benarlah bahawa sajak atau kumpulan sajak itu mengalami pelbagai rasa gelodak. Dan, saya juga yakin, setelah diterbitkan, akan mengalami beberapa citra gelodak rasa dari pembaca.

Walau apapun, saya serah nasib Gelodak Rasa itu kepada DBP, editor dan pembaca. Harapan yang amat sangat, biarlah sajak itu terbit tanpa ada kesilapan taipan, sebagaimana pernah dialami sebelum ini. Setidak-tidaknya, gelodak rasa saya kendur sedikit dengan keaslian isi dan bentuk sebagaimana saya manauskrip saya.

Ahad, 10 Julai 2011

Peludah Warna

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun berbisa
diragutnya baju T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

tapi kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas
memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

kerana nikmat amat lama berkuasa
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A. SAMAD SAID

Cerita Si Hitam dan Si Bersih

Kalau ibunya melihat gambar ini, barangkali beginilah katanya, "Nak, sudah  mak kata jangan pergi ke perhimpunan Bersih 2.0 itu. Tapi kau nak pergi juga. Pergi berjuang konon. Apa pendulikan negaramu. Sudah ada polis dan tentera menjaganya. nak hapuskan rasuah nak hapuskan jenayah nak hapuskan ketidakadilan? Itu kerja mereka. Mereka sudah dilatih menembak, memukul, menendang orang. Engkau apa tahu? Tengok, sekarang apa sudah jadi. Kepala engkau juga yang pecah. Berdarah. Nasib baik tak mati. Eik, masa zaman 14 hari komunis dulu, begini jugalah komunis buat terhadap orang kampung. Sudah, pergi mandi. Cuci badan tu biar bersih. Jangan jadi macam mereka. Pengotor. Pelawak lagi. Lepas tu, solat hajat, doa banyak-banyak pada Tuhan. Mohon ditimpa bala pada mereka yang zalim. Sudah! Pergi mandi!"

Khamis, 7 Julai 2011

Diskusi Karya Wilayah timur, 2011


Bertolak daripada hasrat memperkenalkan penulis tempat dan penulis dari luar kepada masyarakat setempat, khususnya yang berkaitan dengan perkembangan kebudayaan dan persuratan Melayu, maka Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dengan kerjsama Kelab Bahasa Melayu (Kebayu), Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) menganjurkan majlis Diskusi Karya Wilayah Timur pada 6 Mac 2011. Majlis yang berlangsung di Dewan Wawasan, IPGKKB, bagi mendekatkan hubungan penulis dengan pelajar sebagai pembaca karya, sekali gus memberi pendedahan terhadap teori kritikan yang dipelajari dalam bilik kuliah dan cara pelaksanaannya.

Selasa, 5 Julai 2011

Memusuhi Warna

Setahu saya, tidak pernah tercatat dalam sejarah negara-negara di dunia bahawa ada manusia marah atau memusuhi warna. Namun, negara Itali Timur telah mempeloporinya. Ada puak tertentu di negara Itali Timur yang sangat marah terhadap warna. Warna pertama yang menjadi mangsa ialah warna hijau. Puak ini menggunakan warna merah @ biru sebagai identiti mereka. Manakala lawannya menggunakan warna hijau sebagai identiti. Sifat dan sikap pelik (devian) ini terjadi pada akhir tahun 1990-an atau akhir abad 20, semasa pemerintahan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed sebagai perdana menteri.

Isnin, 4 Julai 2011

Melayu Pengacau

Sejak akhir-akhir ini terasa benar jiwa terganggu. Diganggu oleh anasir-anasir pengacau bergelar wira amanah. Melalui tv melalui akhbar, wira amanah berteriak hingga mengganggu ketenteraman jiwa. Tiada lagi terasa damai sebuah negara atau susila sebuah bangsa. Kata-kata William Marsden bahawa bahasa Melayu adalah bahasa Itali Timur terasa tidak benar kini. Pun kata-kata Victor A. Pogadaev bahawa bahasa Melayu terindah di dunia. Memang politikus Melayu tidak pernah mengiyakannya, dan tidak pernah mempertahankannya. Dalam banyak kes, kerosakan bangsa Melayu banyak dilaksanakan oleh politikus Melayu. Namun begitu, seperti lazimnya, mereka meletakkan kesalahan itu kepada orang lain atau lawannya. Tanah air juga hilang satu-satu. Singapura diberikan percuma kepada Lee Kuan Yu. Pulau Batu Putih dalam perairan Johor disentak songsang oleh Singapura hingga menjadi miliknya. Kini Tanjung Pagar pula jatuh ke Singapura. Semua itu berlaku semasa Tanah Melayu dalam genggaman nasionalis Melayu. Malangnya, mereka tidak pernah insaf. Dan, sangat marah apabila ada pihak 'mengocang' keteguhan kuasa. Lantas menuduh pengocang kuasa itu sebagai penderhaka. Itulah Melayu wira amanah rakyat sekarang ini.

Sabtu, 2 Julai 2011

RON95 Pembunuh di Jalanan!

Sepanjang perjalanan dari Kota Bharu ke Temerloh, aku bersua dengan tiga bangkai kereta terbakar. Satu di Aring. Kereta Waja terbakar sebahagian. Satu di jalan Gua Musang ke Lipis, dan sat lagi di jalan Kuala lipis ke Jerantut, sebuah kereta Gen2 habis terbakar (gambar).

Pemandangan kereta terbakar amat jarang ditemui sekitar tahun 1990-an, baik sepanjang laluan melalui Gua Musang, mahupun di laluan Kuala Lumpur - Kuantan - Kuala Terengganu - kota Bharu.
Ada yang menyabitkannya dengan 'minyak rakyat.' Dakwa mereka, 'minyak rakyat' yang dijenamakan sebagai RON95 mempunyai banyak kandungan bahan mudah terbakar.
Kalau dakwaan itu betul, bererti RON95 adalah musuh rakyat, atau RON95 merupakan salah satu pembunuh di jalanan, selain keadaan jalan yang bengkang-bengkok, berlubang-lubang, faktor kereta, dan kederasan pecutan sesetengah pemandu.
Apa pun, semoga pemanduan kita selamat.

Rabu, 29 Jun 2011

Sistem Biometrik Terdedah kepada Pengundi Hantu

Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan sistem biometrik dalam acara mengundi di Malaysia wajar disambut baik. Minda Pengarang akhbar Berita Harian pada 22 Jun 2011 menganggapnya sebagai, "... diyakini dapat menghapuskan keraguan dan mainan politik pihak tertentu, terutama pembangkang yang mendakwa wujud penipuan dalam proses pengundian."

Saya berpendapat, dakwaan 'penipuan' oleh pembangkang itu berkemungkinan wujud dan benar wujud memandangkan sehingga kini SPR tidak bertindak balas menafikannya melalui undang-undang.

Walau apapun, SPR wajar memperbaharui sistemnya pilihan raya di Malaysia kerana sistem itu di bawah kekuasaannya. Menafikan keraguan pelanggan sebelum menjalankan siasatan atau berbincang adalah tidak wajar. Dakwaan oleh pembangkang itu juga satu 'anugerah' kepada SPR menambahkan kebersihan dirinya. Jika SPR memberi perhatian positif dan bertindak membaiki kelemahannya banyak menguntungkan SPR sendiri.

Langkah SPR memperkenalkan sistem biometrik itu menandakan 'anugerah' dari pembangkang dan menguntungkan semua pihak.

Walau bagaimanapun, pada pandangan saya, belum tentu sistem biometrik itu dapat mengatasi masalah 'penipuan' yang didakwa berlaku dalam sistem SPR dan kepercayaan Minda Pengarang akhbar Berita Harian itu belum tentu boleh dipercayai.

Oleh sebab sistem biometrik itu mesin ciptaan manusia, maka berkemungkinan sistem mesin itu juga membawa masalah. Justeru, SPR juga mesti memikirkan kemungkinan masalah-masalah yang dibawa oleh sistem biometrik dan cara mengatasinya.

Saya berpendapat, antara kemungkinan masalahnya ialah (a) kerosakan mesin; (b) terputus bekalan elektrik; (c) mesin tidak dapat mengesan pemilik cap jari; dan (d) mesin tersalah melaporkan pemilik sebenar cap jari. Tentunya, kemungkinan (c) dan (d) itu melucukan. Anda harus ingat bahawa alat itu ialah mesin. Lagikan manusia boleh terlupa, tersalah atau tertukar, inikan pula mesin. Justeru, bakal pengundi harus membuat persediaan.

Antara persediaan wajar ialah menjaga jari anda agar bebas daripada sebarang kerosakan. Walaupun kecil kerosakannya akan menyebabkan mesin biometrik tidak dapat membaca, atau tersalah membaca (melaporkan). Jika mesin tersalah melaporkan (terkeluar gambar atau maklumat orang lain) anda akan dianggap pengundi hantu. Lebih malang jika maklumat tersalah lapor itu ialah maklumat pengundi yang baharu sahaja membuang undi. Anda akan berputih mata!

Ahad, 19 Jun 2011

Kembara Pulau Delta 2010

Dibandingkan dengan Bachok atau Pasir Puteh, Tumpat merupakan daerah pesisir yang unik. Di sini terdapat masyarakat multietnik terbesar di Kelantan. Orang Melayu bersama orang Cina dan orang Siam  hidup berkongsi dialek, tatasusila dan permainan tradisional yang sama. Mereka berdikir pada waktu malam, bercucuk tanam pada waktu siang.

Satu lagi keunikan yang terdapat di daerah seluas 169.5 kilometer persegi ialah pulau-pulau delta. Pulau-pulau ini tidak terdapat di daerah lain di Kelantan, termasuk Daerah Bachok dan Daerah Pasir Puteh yang menghadap Laut China Selantan.

Jumaat, 17 Jun 2011

Perhimpunan Bersih 2.0

Akhbar Sinar Harian pada 16 Jun 2011 melaporkan bahawa Perhimpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya dan Adil (Bersih) pada 9 Julai 2011. Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan mahu membuat 8 tuntutan kepada kerajaan untuk menggembalikan demokrasi yang sudah tercemar, iaitu;

  1. membersihkan senarai undi
  2. mereformasikan undi pos
  3. penggunaan dakwat kekal
  4. akses media bebas dan adil
  5. tempoh minimun 21 hari  berkempen
  6. pengukuhan institusi awam
  7. usaha menghentikan rasuh
  8. usaha menghentikan politik kotor
Dalam perhimpunan itu, Bersih akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin secara demokrasi.

Sehingga kini terdapat 418 laporan polis oleh mereka / institusi yang menentang perhimpunan tersebut. Kumpulan paling bertindak balas dengan cadangan menganjurkan perhimpunan pada hari dan tempat sama ialah Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), diikuti Pemuda Umno.
Pihak PDRM pula sudah mengeluarkan kata putus bahawa pihaknya tidak akan mengeluarkan permit berhimpun walaupun penganjur memohonnya.
Alasan pihak penentang ialah perhimpunan aman itu akan mengganggu ketenteraman awam, mengganggu lalu lintas, merugikan perniaga, menggugat keselamatan dan membuat kekacauan dan sebagainya.

Pada pandangan saya, keinginan Bersih menganjurkan Perhimpunan Bersih 2.0 itu dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Bersih bukan pengacau. Yang jadi pengacau ialah Perkasa dan Pemuda Umno kerana mereka sengaja menganjurkan perhimpunan pada tarikh dan tempat yang sama dengan tujuan mencabar Bersih.

Bersih berhak menganjurkan perhimpunan tersebut atas alasan apa sahaja. Dalam sejarah, pertama kali perhimpunan Bersih ialah pada tahun 2007 dan pada 8 Mac 2008 diadakan Pilihan Raya 12. Hasilnya, pembangkang telah menakhluk 5 negeri. Berdasarkan operandi sama, Bersih (pembangkang) sekali lagi akan menganjurkan perhimpunan pada tahun 2011. Pilihan Raya 13 dijangka akhir tahun 2011 atau sekitar tahun 2012. Mungkinkah, pada hitungan Bersih (pembangkang), mereka akan dapat menawan 5 lagi negeri. Jika hal ini diperhitungkan, maka Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 wajar dilaksanakan kerana menguntungkan mereka.

Demikian juga saya berpendapat, adalah betul tindakan kerajaan BN menghalang Perhimpunan Bersih 2.0. Halangan itu bukan atas dasar mendatangkan bencana terhadap keselamatan rakyat, sebaliknya Perhimpunan Bersih 2.0 akan mendatangkan bencana terhadap kerajaan BN. Jika sejarah yang lepas, kerajaan BN hilang 5 negeri, tentulah kali ini kerajaan BN tidak mahu hilang 5 negeri lagi. Jika hilang juga, berkemungkinan besar kerajaan BN akan gulung tikar dan Malaysia bertukar kerajaan memerintah. Justeru, tindakan kerajaan BN menghalang Perhimpunan Bersih 2.0 itu wajar.

Saya juga berpendapat, jika Bersih pembangkang berjaya menganjurkan Perhimpunan Bersih 2.0, belum tentu rakyat menerima pembangkang dalam Pilihan Raya 13. Demikian juga, jika kerajaan BN berjaya menghalangnya, belum tentu juga rakyat akan menerima BN dalam Pilihan Raya 13. Yang pastinya, rakyat sedang memerhati 'lakonan' pembangkang dan kerajaan BN. Sesungguhnya, pelakon yang beraksi dengan baik dan berkesempatan menjadi hero, belum tentu penonton menerima keheroannya. Yang pastinya, dalam hal ini, hero yang ikhlas akan tetap diterima rakyat.

Dan, saya merupakan salah seorang penonton yang sedang mencari hero yang ikhlas itu.

Selasa, 14 Jun 2011

20 Renungan Karya

Merenung kembali perjalanan diri selamat 29 tahun dalam dunia kreatif, aku menggarisi 20 kesimpulan yang seharusnya ada dalam karya mahupun diri pengarang.

  1. Berkarya kerana Allah demi mensejahterakan makhluk-Nya dan mengesakan-Nya;
  2. Menghasilkan karya yang dapat membijaksanakan pembaca dan menolong pembaca menghayati atau mendekati kehidupan dengan lebih mendalam;
  3. Karya yang memancarkan rasa hati murni pengarang, norma dan nilai bangsa yang dapat dikongsi;
  4. Karya yang dapat memberi kesan spiritual dan membangunkan modal insan masyarakat;
  5. Karya yang dapat membentuk kefahaman jelas pembaca terhadap isu diperkatakan;
  6. Karya yang dapat memperluaskan persepsi baru masyarakat. Persepsi baru itu sama ada dari yang sedia ada mahupun membuat penerokaan;
  7. Nilai yang diperjuangkan dalam karya dapat membina peradaban manusia mikro mahupun makro, glokal mahupun global;
  8. Wawasan dalam karya menjadi panduan masyarakat membina hala tuju hidup mereka;
  9. Karya dapat menampilkan semangat zaman / mewakili sesuatu zaman;
  10. Dalam karya itu jelas falsafah hidup pengarang / identiti kepengarangannya;
  11. Karya itu dapat memperluaskan sempadan penggunaan bahasa dan ‘idola’ khalayak;
  12. Penggunaan bahasa yang murni dan harmonis, dan terasa keasliannya;
  13. Terdapat pelbagai gaya bahasa dan menarik dalam karya;
  14. Terdapatnya perkataan atau kalimat baru dan segar dan diterima oleh masyarakat;
  15. Karya yang memperlihatkan satu gaya baharu;
  16. Karya mempunyai stail penulisan tersendiri sebagai identiti pengarang;
  17. Karya yang memperlihatkan satu bentuk tersendiri, diyakini, dikembangkan sehingga menjadi ikutan masyarakat;
  18. Sumbangan pengarang dan karya dapat mengembangkan sastera dan membina modal insan masyarakat;
  19. Karya yang dapat mempengaruhi penulis lain dan generasi; dan
  20. Selain berkarya, pengarang harus turut sama terlibat membangun masyarakat, menjayakan organisasi, memberi sumbangan di luar bidang, mencetuskan idea dan sebagainya.

Ahad, 12 Jun 2011

Laporan PPSB Sesi 2, 2005


LAPORAN BERTULIS
PROGRAM PENGHAYATAN SASTERA DAN BUDAYA
PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA SESI 2 2005

 
Nama Kem dan Alamat:  Kem Bakau Resort Kertih, Lot 381, Seberang Penarik,
                                           Peti Surat 19, 24307 Kertih.

Nama Ketua Fasilitator: Maniyamin bin Haji Ibrahim
 
Nama Penyelaras Zon:

Nama Komandan Kem
Komandan Kem                                      : Lt. Hanafi bin Haji  Abdullah
Tim. Komandan Kem (Pengurusan)     : Lt. Mohd rukiman bin Ab. Manaf
Tim. Komandan Kem (Latihan              : Lt. Mohd rukiman bin Ab. Manaf



1.    PENDAHULUAN
Program Penghayatan Sasatera dan Budaya (PPSB) diluluskan oleh kabinet pada november 2004 di bawah Akta Latihan Khidmat Negara yang cadangan melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diluluskan oleh karbinet pada 28 Mei 2003. Persetujuan karbinet melaksanakan PPSB dinyatakan oleh Y.A.B. Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana 2002/2003 di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 24 Disember 2004.

Sabtu, 11 Jun 2011

Selamat Berkhidmat di Tempat Baru

Tuan Haji Muhammad Yusop Ishak dan Encik Azmi Ibrahim










































































































































Mahasistua Guru

Hari ini, 11 Jun 2011, sebilangan guru-guru datang mendaftar diri di IPGKKB (serentak seluruh negara) kerana mahu menyambung pelajaran hingga peringkat ijazah.Wajah mereka cerita, diiringi oleh suami atau isteri dan anak-anak. 

Mereka bukan pelajar sepenuh masa. Mereka akan datang semula ke IPG pada waktu cuti hujung minggu tertentu. Hari biasa, mereka berkhidmat di sekolah masing-masing. 

Sesungguhnya, kesanggupan belajar sambil berkerja memerlukan komitmen yang tinggi. Sebagai pensyarah, kami amat berharap, rasa ceria semasa mendaftar akan ceria juga semasa belajar, menyelesaikan tugasan dan hadir kuliah sepanjang masa. 

Sebagai pelajar matang, diharapkan hasilan tugasan juga matang, tidak 'cut anda paste' dari mana-mana sumber. Tentunya belajar sambil bekerja amat membebankan. Pada dirinya tersedia tanggungjawab terhadap isteri / suami, rumah tangga, ibu bapa diri dan isteri / suami, anak-anak, sekolah dan masyarakat.

Apabila anda rasa terbeban, anda harus memujuk diri bahawa bebanan itu adalah untuk memperkayakan ilmu dan menjadi orang bijaksana. Ingatlah bahawa bukan senang mahu jadi orang cerdik dan orang bijaksana. Dan, tiada jalan pintas untuk menjadi orang cerdik dan orang bijaksana, melainkan belajar dan belajar. Jangan anggap tugasan sebagai bebanan.

"SELAMAT MENJADI MAHASISTUA GURU"