Isnin, 28 September 2009

Matinya Seorang Calon Penyair

Sutung Umar RS bergambar kenangan dengan peserta bengkel penulisan

Sajak 'Keris Atau Seorang Raja Purba' saya hantar untuk bengkel Kursus Penulisan Puisi anjuran Pelita bertempat di Pejabat Pelita, Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu pada 1 – 3 Mei 1986. Kursus ini dibimbing oleh Sutung Umar RS. Dalam bengkel itu, Sutung Umar RS membedah setiap sajak, termasuk sajak saya itu. Beliau memuji sajak berkenaan dan seringkali menjadikannya contoh sepanjang bengkel tersebut.

Sajak itu kemudiannya diterbitkan dalam antologi Warna Kemesraan oleh Pelita pada tahun 1986 diselenggarakqan oleh Sharif Putera dan Moharani Tanusi. Sajak asal (sewaktu dibengkelkan) punya perulangan baris akhir, 'sepi dan terasing,' sebagaimana tercatat dalam antologi Di Luar Bingkai Diri di bawah nama Zeniri Erwan. Saya tidak tahu dan tidak pernah bertanya akan sebab pengulangan baris akhir, 'sepi dan terasing, digugurkan dalam antologi Warna Kemesraan.

Semasa menghadiri Perhimpunan Penyair Muda di Padang Merbok pada akhir tahun 1987, saya telah diberitahu oleh Sabariah Nor Salleh, salah seorang peserta bengkel, bahawa sajak saya itu diterbitkan dalam antologi Di Luar Bingkai Diri di bawah nama Zeniri Erwan. Hal ini diberitahu oleh rakan-rakan kepada Wanazuhar (salah seorang penyelenggara antologi berkenaan). Memang saya tidak perasan nama itu. Setelah dibelek pada bahagian biodata pengarang, rupa-rupanya beliau juga merupakan antara perserta bengkel berkenaan. Namun sajaknya tidak terpilih untuk antologi Warna Kemesraan.

Kebetulan pada hari kedua / ketiga perhimpunan tersebut, Pyanhabib dijemput mendeklamasi sajak di UKM. Saya pergi bersama Pyanhabib, Aziz Mohd Noor, Mustaffa Jusuh dan beberapa orang rakan menaiki kereta Wanazuhar. Semasa di UKM, saya telah dipanggil oleh Zeniri Erwan. Beliau memberi alasan lisan dan bertulis akan 'tragedi' itu. Saya akur dan mengingatkan agar dia terus menulis.
Saya tidak tahu, siapakah yang memberitahu Zeniri Erwan akan 'tragedi ciplakan' dan kehadiran saya ke UKM.

Apabila pulang ke Tanjong Malim, saya menulis surat memberitahu Sutung Umar RS bahawa sajak saya itu telah 'dicuri' dan diterbitkan dalam antologi berkenaan. Saya turut menghantar sajak berkenaan kepada Sutung Umar RS, untuk memudahkan beliau mengingatinya.
Tidak berapa lama, tersiar kritikan terhadap sajak berkenaan yang ditulis oleh Muhamad Yusoff. Walaupun saya tidak kenal, tidak cam akan Muhamad Yusuf, saya amat berterima kasih atas kesudian beliau cuba menjawab akan pengarang yang sebenar.

Sajak itu telah disiarkan oleh Sutung Umar RS dalam majalah Dewan Sastera bulan Mei 1989 Menurut Sutung Umar RS, ada pembaca menelefon memberitahu bahawa saya telah menciplak sajak itu dari antologi Di Luar Bingkai Diri. Sutung Umar RS memberitahu bahawa sayalah pengarang sebenar sajak itu.

Walaupun isu ini kecil dan bersifat peribadi, namun moralnya sangat besar untuk diambil iktibar, khusus kalangan calon penulis. Meski setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun lahir sajak, tindakan memplagiatkannya, walaupun dalam peratus plagiat yang kecil, tetap dapat dikesan.

Dan, walaupun saya tidak sedih dan tidak marah pada Zeniri Erwan, peristiwa itu (pada fikiran saya) menyebabkan beliau terus tidak menulis. Hal ini, pada fikiran saya, amat sedih kerana telah saya nasihat agar terus menulis. 'Kematiannya' amat merugikan.


PLAGIAT
(Kepada Calon Penyair)

Nikmatnya adalah derita
sepedih rasa di tanah diri
jangan kau biar
serigala nafsu
menerjah menerkam
merobek cinta murnimu.
28 September 2009

Lagu Motivasi untuk Diri

video

Apabila aku berada di blog sendiri, aku akan singgah mendengar lagu ni kerana teringatkan kedua ibu bapaku dan anakku Nur syahirah

video

Sabtu, 26 September 2009

'Keris atau Seorang Raja Purba' Seratus Peratus Plagiat?


Oleh Muhamad Yusoff
Masalah plagiat, menceduk atau menciplak di dalam bidang penulisan kreatif di kalangan penulis, terutama para penulis baru tidakn pernah selesai. Perbuatan yang memalukan itu sentiasa saja berlaku, walaupun orang-orang yang terlibat dalam kerjaya berkenaan rata-rata terdiri daripada akademis atau mereka yang mempunyai martabat ilmu yang tinggi.
Padal hal perbuatan yang tersebut, malah setaraf dengan dosa mencuri itu sebenarnya suatu perlakuan yang memalukan ramai orang dan banyak pihak, tetapi kenapa hal-hal yang serupa selalu saja terjadi, sama ada secara sedar atau sebaliknya.
Kes plagiat terbaru yang dapat dikesan di dalam perkembangan dunia penulisan kreatif setakat ini ialah ke atas sebuah sajak yang berjudul 'Keris Atau Seorang Raja Purba' oleh Zeniri Erwan, satu nama paling baru dan belum pernah dikenali. Sajak 'Keris Atau Seorang Raja Purba' terdapat di dalam kumpulan sajak Di Luar Bingkai Diri hasil usaha sama Nawawee Mohammad, Wanyuyee dan Wanrazuhar dan diterbitkan oleh Grupemuisi, Universiti Kebangsaan Malaysia, pada tahun 1987.
Kumpulan sajak ini juga dilancarkan oleh Drs. Sulaiman Mohammad di universiti itu pada 20 Disember tahun lalu.
Apa yang dikesalkan, seluruh isi sajak ini adalah sama dengan sajak yang berjudul sama karya Nassury Ibrahim yang terdapat dalam kumpulan sajak Warna Kemesraan (hal. 51) iaitu sebuah kumpulan sajak terbitan Pelita (1986) yang diselenggarakan oleh Sharif Putra dan Moharani Tanusi.
Perhatikan susunan sajak 'Keris Atau Seorang Raja Purba' Nassury Ibrahim di dalam Warna Kemesraan.
Di bilik kaca
sebuah rumah
akhirnya
kutemui kau
diam
tanpa istana tercinta
tanpa rakyat jelata
akhirnya
dalam bilik kaca
seorang raja purba
sepi dan terasing
Manakala sajak Zeniri Erwan pula (hal. 119).
Di bilik kaca
sebuah rumah
akhirnya
kutemui kau
diam
tanpa istana tercinta
tanpa rakyat jelata
akhirnya
dalam bilik kaca
seorang raja purba
sepi dan terasing
sepi dan terasing
Kedua-dua buah sajak itu mempunyai persamaan seratus-peratus dari semua bentuk dan juga struktur ayat, kecuali ciptaan Zeniri Erwan dengan mengulangi baris terakhir 'sepi dan terasing' menjadi dua belas baris semuanya.
Untuk kita mengakui kedua-dua penulis ini orang yang sama adalah mustahil apabila pada halaman 132 hingga 134 Di Luar Bingkai Diri menyenaraikan biodata penulis. Pada halaman ini Zeniri Erwan diperkenalkan sebagai nama samaran kepada Muhammad Ramli Haji Nuh, iaitu seorang mahasiswa tahun pertama UKM bagi sesi 1986/1987 dan beralamat tetap: 332, Kampung Wakaf Mesira, Tepuh, Kuala Terengganu.
Maka tidak syak lagi mereka berdua adalah penulis yang berlainan. Malah tidak syak lagi, Zeniri Erwanlah yang memplagiat sajak Nassury Ibrahim, lantaran dari segi tarikh penyiarannya, sajak Nassury setahun mendahului sajak karya Zeniri Erwan.
Oleh kerana kebenaran sudah ternyata, diharapkan orang-orang yang bertanggungjawab di dalam aktiviti penyusunan buku sedemikian haruslah lebih berhati-hati lagi supaya hal-hal yang tidak bertanggungjawab seumpama itu tidak berulang.
Untuk menghapuskan sekali gus mungkin suatu hal yang mustahil, kerana para pengkaji sastera juga seperti lain-lain golongan, mereka kadangkali mungkin terlupa mana-mana karya yang pernah dibaca sebelum usaha pengumpulan itu dilakukan.
Malah apa yang berlaku adalah di luar kesengajaan, tetapi para penulis sajalah harus ditanam dengan sikap bertanggungjawab dan konsep moral dalam pengkaryaan kreatif ini. Tanpa tanggungjawab para penulis, terutama golongan yang baru hendak mengenali sastera, mustahil hal-hal begini sukar dihapuskan.
Siaran: Mingguan Malaysia / Pancaindera, 22 Mei 1988.

Dihormati Orang Tua di Kampung

Oleh sebab cuti raya yang panjang pada tahun ini, dapatlah aku berlama di kampung dan mengunjungi banyak rumah. Kampungku dibuka sekitar tahun 1962/1963. Ramai orang-orang asal di kampung sudah tiada, tinggal cuma para balu sahaja. Baki di Kampung Bahagia saja kini tinggal 6 orang. Yang berbaki pula tidak sihat semuanya. Ada yang sakit tua dan ada sakit kronik. Apabila saya kunjungi mereka, wah, macam ubat pula! mereka nampak bersemangat. Bercerita tentang itu dan ini. Berkali-kali mengucapkan terima kasih kerana aku datang mengunjunginya.

Salah seorangnya, aku panggil Che Din. Dia bercerita tentang sejarah kampung. "Sengaja nak beritahu cerita sebenar kepada Nasir sebab dia anak sulung yang berjaya di kampung ini," kata Che Din. Kata-kata Che Din itu seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Sebab, memang aku berhasrat mencari sejarah kampung dan mencipta blog untuknya. Allah makbul niat suci aku.

Rupa-rupanya kampung aku dibuka bukan atas permintaan kerajaan, tetap atas usaha rakyat membuka kampung kerana ingin tempat tinggal. Nasib yang menerima Hamid Tuah hampir menimpa orang asal di kampungku. Atas kebijaksanaan Che Din memberitahu bahawa semua peneroka itu adalah penyokong kerajaan, maka isu meneroka tanah haram tidak berlanjutan.

Memang kampungku pernah digelarkan sebagai 'anak emas Umno.' Semuanya menjadi ahli Umno. Seingat aku, gambar Menteri Besar, Wan Mokhtar Ahmad, telah melekat di dinding rumahku, bersebelahan gambar dacing, berhampiran pintu masuk.

Banyaklah yang diceritakan oleh Che Din hingga banyak aku ketahui. Langsung aku tidak sangka bahawa Che Din merupakan tulang belakang kewujudan Kampung Tok Kah. Banyak usaha-usaha yang dilakukannya diceritakan, hingga Kampung Tok Kah memperoleh itu dan ini, termasuk pembinaan sekolah.

Tahun 1971 aku mula bersekolah di Kampung Tok Kah. Ertinya, sekolah ini mula dibina pada tahun akhir 1960-an. Tidak pula aku ketahui, bilakah Sekolah Kebangsaan Kampung Tok Kah dibuka. Walau apapun, sangat cepat Kampung Tok Kah mendapat sekolah. Itu sumbangan Che Din yang tidak ternilai. Walaupun buta huruf, namun hati Che Din celik. Aku dan generasi baharu dapat bersekolah dan seterusnya berjaya mencapai cita-cita.

Sebagai pejuang sebenar, beliau tidak menunjukan jasanya. Malah, terpinggir dalam kejayaan kampung. Demikian adat manusia dan nasib pejuang, termasuk pejuang sebenar negara.

Mendengar cerita Che Din, aku teringat kata-kata seorang sarjana bahawa perunding kemerdekaan Malaysia itulah pejuang sebenar. Katanya, mereka yang bangun berkeris berlembing menentang penjajah itu bukan pejuang, apalagi PKM (Ops, jangan sebut PKM! Aku berterima kasih kepadanya kerana membunuh Henry Gurney. Kalau tidak, Malaysia akan jadi seperti negara Palestin!). Aku tidak setuju dan tidak akan bersetuju.

Pada aku, semua yang bangun menentang penjajah adalah pejuang kemerdekaan, tidak kiralah mereka berjuang dengan cara berunding atau dengan cara berpena berkeris. Malah, Jepun sendiri turut memberi sumbangan terhadap kemerdekaan Tanah Melayu. Kita patut menghargainya. Seperti kata Zainuddin Maidin, ramai pejuang asal menjadi wira yang tidak didendangkan. Antara wira itu, di kampungku, salah seorang ialah Che Din.

Sebelum ini aku sudah mencatatkan bahawa betapa penting kita menghargai jasa pemimpin. Dengan mengetahui sumbangan mereka, akan membangkitkan jiwa kita untuk turut sama berbudi dan menghargai budi orang.
Aku rasa terharu mendengar cerita Che Din itu. Pertama, ia memberi maklumat mudah yang aku mahu mencarinya. Kedua, aku merasai satu penghormatan yang diberikan oleh orang tua di kampungku.

Khamis, 17 September 2009

1 Malaysia + Hari Kebangsaan = ?

DS Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan program 1 Malaysia sebagai idealisme dan wawasan kepimpinannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Menurut beliau, matlamat 1 Malaysia ialah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian entiti Malaysia yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia. Diharapkan kekuatan ini akan terus kekal di Malaysia sebagai bekalan terbaik negara mencapai kejayaan pada masa akan datang. Rakyat Malaysia diajak bersama-sama berganding bahu membangun Malaysia.

Walaupun DS Najib tidak menyatakan secara jelas, siapakah orang yang diajak untuk berganding bahu memajukan Malaysia, namun kita dapat memahami melalui ungkapan 'mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian.'

Hal ini adalah wajar. Sebagai rakyat bagi satu negara, kita bertanggungjawab memajukan negara tanpa mengira ideologi diri dan sasaran diri.

Namun, apakah konsep 1 Malaysia ini dihayati oleh semua rakyat, lebih-lebih lagi, oleh para penggerak dan pengasasnya, DS Najib. Memang hasrat dan harapan meralisasikan 1 Malaysia jelas ditetapkan. Rakyat bawahan juga bersemangat mencapainya. Kesepakatan ini jelas melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan di setiap negeri, daerah dan kampung. Pihak media juga berusaha mendekatkan lagi hati masyarakat dengan hasrat 1 Malaysia.

Walau bagaimanapun, saya melihat, dalam acara-acara rasmi besar kerajaan persekutuan seakan terlupa melibatkan semua rakyat tanpa mengira ideologi, sebagaimana diamalkan oleh rakyat bawahan. Dalam program rasmi kerajaan persekutuan di negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Pembangkang tidak dijemput wakil kerajaan negeri bersama meraikannya. Contoh yang jelas ialah perayaan menyambut Hari Kebangsaan ke 52 di Dataran Parlimen, baru-baru ini.

Bagi rakyat Malaysia, Hari Kebangsaan merupakan lambang kemerdekaan, kejatidiran, kebebasan, kedaulatan, kemuliaan yang bergerak atas landasan cita rasa sebenar bangsa dalam sebuah negara. Ia menjadi lambang dan sepatutnya menjadi kesatuan, perpaduan, kerjasama rakyat dan pemimpin yang pelbagai lapisan dan ideologi. Sepatutnya, sambutan perayaan Hari Kebangsaan adalah pentas tempat tidak mengenal bangsa dan ideologi. Ia adalah hak milik bersama dan kebanggaan bersama tanpa ada sebarang perbezaan. Ia adalah pentas 1 Malaysia yang rakyatnya melupakan ideologi, tetapi merai kejayaan sebagai negara berdaulat dan bermartabat.

Namun, apa yang terjadi dalam perayaan sambutan ke 52 tahun kemerdekaan. Saya perhatikan tidak ada seorang pun wakil dari partai di luar Barisan Nasional berdiri di pentas bersama-sama Perdana Menteri dan menteri menyambut perayaan kemerdekaan tersebut. Adakah mereka tidak diajak untuk turut sama menyambut perayaan yang dibanggakan itu? Atau, mereka memang diajak tetapi tidak menghadirinya.

Daripada sambutan acara rasmi besar negara itu, memperlihatkan bahawa pihak pemimpin, baik dari pakatan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, masih rapuh ikatan perpaduan. Jiwa mereka masih tidak bersatu dan tidak mahu bersatu, sedangkan mulut mereka sering mengajak menyeru rakyat agar bersatu dan melupakan ideologi.

Kalau kesilapan ini tidak diperbaiki, maka konsep 1 Malaysia akan menjadi dan dianggap sebagai retorik pemimpin Barisan Nasional sahaja. Ia tidak perlu disambut dan dihayati oleh lapisan masyarakat dari pelbagai ideologi lain. Persepsi ini amat tidak bagus untuk Malaysia, apalagi dalam keadaan sekarang dan perlu diterbalikkan.

Seingat saya, dalam majlis sambutan Hari Kebangsaan, tidak pernah ada pemimpin pembangkang turut sama meraikannya. Dan, setahu saya, hanya sekali dua sahaja partai pembangkang turut mengadakan acara merai Hari Kebangsaan. Sambutan berasingan oleh dua pihak tersebut menggambarkan bahawa memang pemimpin politik tidak bersatu, dan negara ini ada dua nahkoda. Setiap nahkoda itu pula melakukan hal masing-masing.
Seharusnya
Seharusnya ia
1 kata 1 rasa
1 hasrat 1 dapat
1 nada 1 suara
1 warna 1 wajah
di mana-mana
di mana-mana
1 Malaysia 1 rakyat
17 September 2009

Ulasan Puisi "Mesej atau Moral di dalam Sajak" (Cuplikan)


oleh Rahman Shaari
Ssajak Nassury Ibrahim berjudul 'Cermin' memang baik dari segi penyampaian moralnya. Baris awal sudah menarik, walaupun maksudnya biasa sahaja:
cermin tidak pernah berkata bohong
Baris pertama itu diperkembangkan. Dari perkembangan itu kita menemui moralnya yang dipadu dalam bentuk yang agak harmonis. Cermin adalah suatu kata yang menimbulkan makna konotatif, tidak hanya makna denotatif.
Nassury Ibrahim membandingkan (secara kontras) di antara pengemis dengan pemerintah. Kedua-duanya akan dapat melihat diri melalui cermin. Pengemis boleh menatap 'wajah hidupnya.' Pemerintah boleh 'merawat gaya pemerintahannya.' saya amat senang dengan sajak pendek ini.
Siaran: Majalah Remaja, November 1984.

Cermin

Cermin tidak pernah berkata bohong
meski ia terbalik atau pecah
pada yang menatapnya seorang pengemis
tua yang mahu melihat wajah hidupnya
atau seorang pemerintah yang mahu
merawat gaya pemerintahannya.

Siaran: Majalah Remaja, November 1984

Kumpulan Sajak 'Cermin', Gapri, 1987

Ulasan Puisi "Sajak Biasa dan Sajak Visual" (Cuplikan)

oleh Rahman Shaari
Sajak 'Aktivis' oleh Maniyamin Ibrahim juga ada tanda-tanda kemantangan. Judul dan isinya sepadan. Memang seseorang aktivis mungkin bangun menjerit mengajak hadirin atau orang ramai memberontak. Ia menyaran sikap 'kurang ajar' yang dulunya disebutkan oleh penyair Usman Awang dan diikuti oleh penulis-penulis lain seperti Inon Shaharudin (dalam Majalah Dewan Budaya), Salleh Joned (dalam akhbar Berita Minggu) dan lain-lain. Menurut Maniyamin, sikap 'kurang ajar' mungkin menyebabkan seseorang boleh kemenangan.

Siaran: Majalah Remaja, Ogos 1985

Rabu, 16 September 2009

Nassury Ibrahim Antara Masalah dan Penyelesaian

oleh Noraini Hasan
Nassury Ibrahim salah seorang penulis generasi baru yang berpotensi menjadi penulis terkenal. Kesungguhan dan sikapnya dalam berpuisi menunjukkan tanggungjawabnya sebagai penulis. Sikap dan kesungguhannya berpuisi dapat diperhatikan dalam kumpulan puisi Menimba Laut (1996) yang menunjukkan peningkatan kemantangannya berpuisi.

Nassury menulis tentang apa sahaja seperti rentetan peristiwa harian, sesuai dengan sikapnya menjadikan puisi sebagai catatan diari peribadi. Salah satu sikap menarik Nassury dalam Menimba Laut ialah pandangannya mengenai masalah. Masalah bukan sesuatu abstrak walaupun sebenarnya abstrak.

Masalah bukan hak individu, tetapi hak milik semua individu. Ringkasnya, masalah bersifat global dan dialami oleh semua makhluk, manusia dan bukan peristiwa. Kamus Dewan melihat masalah sebagai keadaan yang menimbulkan kesukaran dan perlu diselesaikan. Masalah tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana boleh menyulitkan lagi keadaan.

Masalah datang daripada manusia hidup dan ingin hidup. Masalah membuktikan bahawa manusia hidup dan waras kerana manusia mati dan gila sahaja yang tidak mempunyai masalah. Melalui puisi 'Masalahnya' Nassury menjelaskan punca bertapaknya fenomena itu.

Masalah kau ragu
menyatakan masalahmu
kerana katamu tidak mungkin
dapat diselesaikan

Sesuatu masalah akan menjadi rumit apabila individu tiada yakin menyelesaikannya. Keraguan adalah penghalang utama kepada usaha menyelesaikan masalah kerana tidak dapat dicari punca masalah. Tegas Nassury;

sedang keraguan itulah
sebenarnya masalahnya
kerana ia menutup
jalan penyelesaian

Kegawatan ekonomi adalah masalah kepada rakyat dan negara, tetapi dapat diambil langkah-langkah mengatasinya kerana diketahui punca timbulnya kegawatan. Demikian masalah air dan sebagainya.

Adakah masalah boleh diselesaikan dengan mudah setelah diketahui puncanya? Dalam puisinya, 'Bagaimana,' Nassury menegaskan bahawa masalah dapat diselesaikan melalui persefahaman antara dua pihak terlibat. Namun sekiranya satu pihak tidak memberi kerjasama, ia akan menjadi bertambah rumit.

Siang yang terang
makin kelam
kelam yang remang
makin hitamBlockquote
Apakah masih ada penyelesaian pada 'siang' yang menjadi 'semakin hitam?' Nassury melontarkan pertanyaan apabila melihat masalah menjadi semakin rumit dengan berkata, 'bagaimanakah harus kutamatkan sengketa ini?'

Lazimnya kita memandang remeh kepada masalah semasa pada peringkat awal. Misalnya, kemasukan pendatang tanpa izin tanpa pada awal 1990-an tidak dianggap sebagai masalah. Kini pendatang tanpa izin dianggap sebagai masalah terhadap budaya, keselamatan dan ekonomi negara.

Apabila bangunan runtuh kita pun menubuhkan pasukan penyelamat. Apabila kehabisan air kita pun menubuhkan Majlis Air Negara dan sebagainya. Melalui puisi 'Setelah Semua Berlalu (1)' Nassury menyindir sikap kita daqlam menangani masalah.

Sayangnya mereka sedar
setelah semua berlalu
dan penyelesaian jadi kusut

Nassury kesal dengan sikap tidak prihatin rakyat Malaysia dan mahu sesuatu masalah diselesaikan pada peringkat awal lagi. Sikapnya kepada masalah tidak seperti melontarkan batu sembunyi tangan. Nassury tidak memperkatakan masalah begitu sahaja, sebaliknya Nassury memberi cara penyelesaiannya.

Melalui puisi 'Menghadapi Gunung Masalah' Nassury menyatakan masalah yang dihadapi itu dikenal pasti puncanya dan dibuat pengelasan. Nassury menganalogikan masalah sebagai sebuah gunung. Gunung itu perlu dipecah-pecahkan menjadi bukit, pusu, batu, dan akhirnya pasir untuk diselesaikan satu demi satu secara berperingkat-peringkat. Apabila masalah menjadi kecil, maka senanglah kita menyelesaikannya. Kata Nassury;

dan pasir itu
jentiklah
satu persatu

Demikian masalah dan cara menyelesaikannya menurut Nassury, lewat puisi-puisi dalam Menimba Laut. Nassury nampaknya intim dengan masyarakat dan menjadi sebahagian pemikir masalah masyarakat dengan berpegang kepada konsep 'Seni untuk Masyarakat.'


Siaran: Utusan Malaysia, 18 April 1998

Selasa, 15 September 2009

Cerita Pembantu Rumah Indonesia

Ramai rakyat Malaysia ditipu oleh pembantu rumah Indonesia. Kontrak dua tahun berkhidmat hanya hiasan kata-kata sahaja. Mereka hanya guna alasan berkhidmat sebagai pembantu rumah untuk datang ke Malaysia, sebelum meneruskan agenda sebenar. Di sini saya paparkan tiga kisah benar tentang tempoh perkhidmatan mereka.
Cerita 1: Adik ipar (paling bongsu) telah menghabiskan duit lebih RM3,000 untuk mendapatkan seorang pembantu rumah, bernama Seri. Asalnya Jawa Barat. Janji perkhidmatan ialah dua tahun. Menurut Seri, dia mempunyai pacar yang tinggal di Kuala Lumpur. Seri selalu menelefon pacarnya. Habis tahun pertama berkhidmat, tiba-tiba Seri hilang dari rumah. Waktu itu, adik ipar saya ini berada di rumah jiran, tidak berapa jauh dari rumahnya. Menurut jiran, Seri keluar menaiki kereta Kancil yang dipandu oleh seorang pemuda. Anak-anak ditinggalkan begitu saja. Adik ipar melaporkan kehilangan Seri kepada polis dan imigresen. Pihak imigresen mengenakan denda dengan bayaran tertentu. Mujurnya, Seri tidak melarikan apa-apa barang berharga dan anak-anak.
Cerita 2: Adik ipar nombor 2 juga mengambil pembantu rumah Indonesia yang berasal dari Ambon. Saya memanggilnya Bibi saja. Bibi tidak mempunyai pacar, walaupun ada telefon bimbit. Apabila Seri melarikan diri, isteri saya cuba mengujinya.
"Kenapa Bibi tidak lari sama. Mungkin, lepas ni, Bibi pula yang kabur."
"Eh, tidak, Kak. Saya tidak seperti Seri. Saya mahu bekerja," jawab Bibi.
Selang dua bulan, saya mendapat tahu bahawa Bibi juga kabur dari rumah. Kaedahnya sama. Ada lelaki datang mengambilnya. Anak dan barang-barang tidak diusik. Laporan kepada polis dan imigresen dibuat, namun, mereka tidak dapat berbuat apa-apa.
Cerita 3: Jiran saya, seorang doktor. Beliau ambil seorang pembantu rumah yang agak berusia, berbanding dua orang pembantu di atas. Juga berasal dari Jawa. Menurut ceritanya, yang diceritakan kepada isteri saya, dia pernah jadi pembantu rumah di Arab Saudi. Gajinya lumayan. Dia juga pernah memberitahu kepada isteri saya, dia hanya mahu bekerja setahun sahaja dengan majikannya itu. Tepat sebagaimana dikatakan, dia meminta doktor menghantarnya ke airport untuk pulang. Dia tidak kabur. Dia cuma memberitahu doktor bahawa ayahnya sakit tenat di kampung, dan mahu pulang melawatnya. Sehingga kini, dia tidak datang menyambung khidmatnya. Sampai sekarang doktor tidak mempunyai pembantu rumah.
Daripada 3 kisah itu, saya percaya, memang ada kumpulan yang menguruskan pembantu rumah Indonesia untuk kabur dan berkhidmat setahun saja. Pembantu rumah ini akan diserahkan kepada keluarga lain dengan bayaran ditetapkan kerajaan. Setelah setahun berkhidmat, akan dipindahkan kepada keluarga lain pula. Dalam tempoh dua tahun perjanjian perkhidmatan, agen (kalau dilakukan oleh agen) dapat bayaran berganda. Malanglah kepada majikan yang terpaksa membayar beribu-ribu ringgit, sedang tempoh perkhidmatannya lebih singkat berbanding dijanjikan.
Mungkin anda juga mempunyai pengalaman tersendiri.

Ahad, 13 September 2009

Sweeping Indonesia from Malaysia

Hanya kerana tersilap masuk Tarian Pendet dalam iklan promosi pelancongan Malaysia, sebilangan rakyat Indonesia merdeka mengisytiharkan perang terhadap Malaysia. Walaupun rakyat Malaysia terkejut dengan semangat luar biasa itu, namun tidak tergesa-gesa menyahutnya.
Kami cuba memahami permasalahan sebenar, lebih-lebih lagi kami tidak pernah menganggap Tarian Pendet sebagai hak milik Malaysia, apalagi hak milik individu atau hak milik bersama masyarakat Melayu di Malaysia. Malah, tidak ada dan tidak pernah ada orang Melayu yang mempraktis tarian 'patah tangan terbeliak biji mata.' Kalau adapun tarian yang sedikit sama (dari segi mata) dimainkan oleh masyarakat India Malaysia dan India seluruh dunia, tetapi ia bukan Tarian Pendet. Mungkin bahagian-bahagian tertentu dalam Tarian Pendet itu dicuri dari kebudayaan India.
Keterkejutan itu juga disebabkan tidak pernah berlaku dalam sejarah masyarakat bertamadun menggunakan isu tarian sebagai alasan untuk berperang. Lazimnya, raja-raja zaman purba berperang kerana berebut wilayah, membalas dendam, berebut takhta atau berebut wanita. Demikian juga dalam zaman moden, peperangan berlaku disebabkan berebut wilayah dan hasil ekonominya. Rakyat negara Myamar misalnya, yang ketinggalan dalam tamadun moden, berdemotrasi kerana mahu membebaskan Aung San Suu Kyi yang dianggap tokoh demokrasi. Tidak ada seorang pun rakyat Myamar yang mengisytiharkan perang atau berdemotrasi kerana berebut makanan, apatah lagi atas alasan tarian.
Dalam hal ini, sebilangan masyarakat Indonesia di bawah koordinator Mochtar Bonaven yang menggelarkan diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) mencipta rekod dunia sepanjang zaman kerana mencipta musuh dan mengajak berperang atas alasan tarian.
Kita juga terpanggil untuk menganalisis ahli-ahli Bendera yang tiba-tiba mengisytiharkan diri mereka sebagai teroris dan mahu tunjuk handal dan menanam kebencian terhadap Malaysia. Mungkin mereka mempunyai kenangan pahit dengan Malaysia, lantas menggunakan alasan kebudayaan untuk membalas dendam. Malaysia tidak pernah berhasrat apalagi mengisytihar menganyang Indonesia. Yang Malaysia ganyang ialah teroris-teroris Indonesia di Malaysia. Mungkin, ahli Bendera merupakan bekas-bekas teroris yang dihukum di Malaysia atau ahli keluarga teroris. Saya berkata 'mungkin' sebab memang ramai rakyat Indonesia datang membuat kejahatan di Malaysia. Ada yang ditangkap dan dihukum, dan ada yang dapat melarikan diri, pulang ke tempat asal mereka.
Berdasarkan tinjauan terhadap rakyat Malaysia, daripada 100 orang yang ditanyai (baik etnik Melayu, Cina, India, Jawa, Banjar, Mandailing, Siam, Bugis), tiada seorang pun yang kenal, amal (praktis) dan meminati Tarian Pendet. Bagaimanakah hendak dikatakan Malaysia 'mencuri' Tarian Pendet sedangkan tiada seorang pun rakyat meminatinya. Malah, mereka baharu tahu bahawa wujud Tarian Pendet di dunia.
Bendera juga menuduh Malaysia sebagai maling (pencuri). Setahu saya, tiada seorang pun rakyat Malaysia yang pergi mencuri di Indonesia. Yang ada ialah rakyat Indonesia yang datang mencuri di Malaysia, termasuk mencuri para gadis Malaysia daripada hak milik keluarganya.
Apabila wujud usaha Bendera menggerakkan masyarakat Indonesia untuk mengganyang Malaysia, tunjuk perasaan di Kedutaan Malaysia, menyerang kediaman pelajar Malaysia, lebih 300 orang mengadakan sekatan jalan raya dan siap berbuluh runcing mencari dan mahu me'sweeping' rakyat Malaysia di Indonesia, saya meragui kewarasan dan nilai kemerdekaan yang diagung-agungkan mereka selama ini. Lebih menghairankan, usaha Bendera itu disambut oleh segelintir mahasiswa yang saya anggap kelompok masyarakat yang sudah maju berfikir. Lebih-lebih lagi kelompok mahasiswa ini dari Universiti Gajah Mada, antara universiti terkenal di Indonesia dengan kebijakan berfikir warganya.
Anehnya juga, demonstrasi, dan perbuatan sweeping rakyat Malaysia dilakukan oleh masyarakat Indonesia yang tinggal di Jakarta dan beragama Islam, bukannya dilakukan oleh masyarakat Bali di Kepulauan Bali dan beragama Hindu.
Walaupun Malaysia mengimport pembantu rumah dari Indonesia, namun Malaysia tidak pernah mengimport penyapu untuk digunakan oleh si pembantu rumah berkenaan. Penyapu tetap dicipta oleh rakyat Malaysia dan rakyatnya telah diajar menggunakan penyapu sejak di sekolah dasar lagi.
Mereka diajar menyapu pasir, rumput, kertas dan sebagainya yang bertaburan di lantai di bilik darjah. Semuanya itu, jika berada di bilik darjah, dianggap sampah yang merosakan pemandangan dan keceriaan, kerana semuanya itu sepatutnya berada di tempat asalnya, bukan di dalam bilik darjah. Secantik manapun daun, kalau berada di bilik darjah, daun itu tetap dianggap sampah kerana sepatutnya daun berada di atas pokok atau di bawah pokoknya.
Demikian keceriaan bilik darjah dan rasa harmonis, ada kalanya kami bergotong-royong membasuh lantai, mengecat dinding, dan membuang sesawang.
Kami menyapu sampah-sampah itu seikhlas hati demi melestarikan hidup. Tidak pernah ibu guru atau bapak guru atau kepala guru atau sesiapa sahaja menyuruh atau mengupah atau memberikan makanan, air atau duit kepada kami sebagai upah membersihkan lantai-lantai bilik darjah. Kalau diberikan pun kami tidak akan menerimanya, biarpun sebanyak RM100. Semua itu kami buat atas kesedaran peribadi.
Dan, semasa kecil dulu, saya dan kawan-kawan juga selalu menggunakan buluh buat menangkap ikan, bedil kertas / buah pengeras, meriam karbait buluh, juga menggunakan lidi (dawai) basikal untuk memanah ular / ikan. Malah landak dan babi hutan pun kami tangkap dengan mudah. Semuanya alatan itu tidak kami guna untuk mencederakan manusia atau binatang sewenang-wenangnya. Ia hanya permainan zaman kanak-kanak yang tidak kami ulangi setelah dewasa.
Di Malaysia terdapat 1.8 juta rakyat Indonesia mencari rezeki dan belajar di Malaysia, berbanding 5, 600 - 5, 900 orang rakyat Malaysia di Indonesia. Semuanya pergi kerana mencari ilmu dan tidak ada seorang pun pergi untuk menjadi maling atau melarikan anak gadis. Kami menerima kedatangan mereka atas alasan mereka ingin mencari rezeki dan mengubah kehidupan di kampung halaman.
Tidak semua 1.8 juta rakyat Indonesia itu datang ke Malaysia untuk mencari ilmu atau rezeki halal. Walaupun sebahagiannya datang semata-mata mahu melakukan pelbagai kegiatan jenayah seperti merompak, meragut, mencuri, pecah rumah, pecah kereta, samun, membunuh, merogol, mengganggu ketenteraman, mencuri anak dan bini orang, dan segala jenis kejahatan di dunia dilakukan oleh mereka di sini, namun kami tidak pernah menganggapnya musuh, apalagi sampah yang perlu disapu kerana perbuatan prapurba itu dilakukan oleh segelintir rakyat Indonesia yang memang sudah asalnya jahat.
Di kampung saya sahaja terdapat sekitar 10 orang rakyat Indonesia yang bekerja di ladang kelapa sawit. Kami tidak pernah menganggu mereka dan mereka tidak pernah bawa buluh runcing atau telor busuk mengganggu kami. Mereka bebas mengamalkan kebudayaan mereka, termasuk mahu berpendet sampai pagi. Mereka ini tidak berpelajaran dan berasal jauh di pedalaman pulau-pulau miskin di Indonesia, bukannya di Jalan Diponegoro, atau Jakarta yang terkenal sebagai pusat kemajuan di Indonesia. Malah kami sentiasa memberi bantuan kerana kampung saya jauh dari pekan dan mereka juga serumpun dengan kami.
Justeru, saya saran anda berfikirlah sebagai rakyat bermartabat di negara merdeka dan mahasiswa yang matang, sebagaimana dibanggakan, kerana apa yang anda lakukan, ia tetap memberi imej buruk kepada kami pada persepsi masyarakat dunia kerana anda juga dari rumpun Melayu. Dan, eloklah juga anda membaca artikel berjudul 'Fikir Rakyat Indonesia Di Sini' siaran akhbar Utusan Malaysia pada 11 September 2009 di URL: http://www.utusan.com.my/. Kepada Bapak Khairuddin, saya menyokong kata-kata anda, "Jika hubungan ini rosak dan kami di sini terpaksa menanggung kerugian kerana hilang mata pencarian, kami akan kirim pasukan dari sini pulang ke Indonesia dan mencari orang-orang yang merosakkan hubungan ini." dan "Jika tinggal di Indonesia, belum tentu anak-anak mampu menjejakkan kaki ke menara gading. Ini sangat jelas dan nyata." Mungkin, mereka akan bekerja mengambil upah berdemonstrasi!
Dan, kepada rakyat serta kerajaan Malaysia, saya cadangkan, marilah kita secara beransur-ansur menyapu segala imej dan bayang-bayang Indonesia di Malaysia dalam semua bidang, termasuk industri hiburan.

Khamis, 10 September 2009

Menimba Laut Pencatat Sejarah dan Jasa Kejayaan IPSI Dikenang

oleh Mohammad Fuad Marzuki
Antara beberapa penyair muda berbakat besar, Nassury Ibrahim berjaya mencipta puisi-puisi yang menyusur rentetan hidupnya umpama menulis diari daripada peristiwa-peristiwa yang dilaluinya.
Antologi puisi Menimba Laut (DBP, 1996) terkandung elemen-elemen yang menceritakan tentang tempat di mana beliau pernah berlindung demi meraih secangkir ilmu yang telah menentukan hala tuju hidupnya kini.
IPSI (Institut Perguruan Sultan Idris) gah pada nama dan rupa seolah-olah telah bersemadi dalam hati dan perasaan Nassury. Ini dapat dilihat daripada 61 puisi dalam Menimba Laut, empat daripadanya adalah berkisar tentang IPSI dan enam puisi lain tercipta di Tanjong Malim, tempat IPSI bermukim.
Rasa cinta dan megah terhadap instiut 'Ibu Kandung' itu jelas dilihat dalam 'Ini SITC' (halaman 24) apabila beliau cuba memperkenalkan SITC (IPSI) dari sudut fizikal dan nilai.
Ini SITC: bangunan suluh budiman
asrama panjang, surau dan
rumah British. Melayu hidup di sini.
di sini: Za'ba, Ibrahim, Masuri S.N. Berdiri
di sini British tergigit lidah sendiri.

Walaupun puisi ini pendek dan ringkas, tetapi intipatinya sudah cukup menggambarkan rupa wajah IPSI dan Nassury ternyata megah dengan peranan IPSI memperjuangkan kemerdekaan negara melalui bekas-bekas pelajar di samping mendaulatkan ilmu.

Sebagai seorang pendidik yang pernah menaungi bumbung IPSI, Nassury juga cuba meletakkan harapan yang tinggi terhadap institut tersebut supaya terus unggul kerana telah tercatat dalam lipatan sejarah akan jasa dan budi IPSI dalam menghasilkan insan berani.

'Poskad dari IPSI' (halaman 20) menceritakan segala-galanya.

Kukirim kepadamu duniaku yang tua
beberapa baris kata dan peristiwa dalam warna-warni
semoga ia akan menjadikanmu seorang lelaki berani
kerana yang aku rindu adalah
kehidupan tanpa kesal

Tiga frasa yang memberi roh kepada puisi ini ialah, 'duniaku yang tua, 'peristiwa dalam warna-warni,' dan 'menjadikanmu seorang lelaki berani.' Frasa 'duniaku yang tua' menggambarkan betapa penulis memiliki sebuah yang mantap dan unggul. Dunia yang dimaksudkan ialah IPSI.

Dalam dunia yang tua inilah penulis mengalami pahit manis pengalaman hidup melalui peristiwa yang berwarna-warni. Dan, pastinya segala yang diharungi dapat mendewasakan seseorang serta membina sifat berani dalam menghadapi apa jua rintangan hidup.

Ternyata, Nassury tidak lupa menyusuri kisah silam IPSI melalui 'Menyusur Alur Sejarah Sungai IPSI' (halaman 26).

Menyusur
alur sejarah
sungaqi IPSI
ada arus
menikam tebing
di dasar
dan permukaan
ada arus
menerjah
batu-batu
menuntut
tenang
dan lurus
perjalanan

IPSI digambarkan sebagai sebatang sungai yang mengalir ke kuala dan alirnya terpaksa meredah pelbagai dugaan dan cubaan.

Seterusnya, dinyatakan bahawa setiap warga IPSI adalah sebahagian daripada roh dan tubuh institusi tersebut dan Nassury turut sama merasakan dirinya sama-sama dalam perjuangan menuju ke puncak. Ini dinyatakan dalam rangkap terakhir puisi tersebut.

Menyusur
alur sejarah
sungai IPSI
aku tiba-tiba
berasa
tidak ingin
pulang
pun hidup
di tenang kuala

sebagai seorang anak kampung yang merantau jauh untuk menuntut ilmu di IPSI, kekadang suasana di kampus telah mengimbau ingatan Nassury ke kampung halaman seperti dalam 'IPSI, Seorang Aku dan Warna Tembaga' (halaman 28).

Warna tembaga
menghembus lembut
nafas angin
saat itu
aku jadi ingat
getaran suara
Bukit Besi
desis penyu
dan ringkikan
hutan Sekayu
aku jadi ingat
saat itu
sederet lembu
mencari
pintu kandang
dan pucuk kayu
yang kugetus
melengkap
hidangan malam

Suasana senja di IPSI dengan warna mentari semerah tembaga diiringi sepoi bayu dingin dikatakan sama seperti suasana tenang desanya di kaki Bukit Besi. Selain itu, penulis juga mengimbau ingatannya kepada kekalutan lembu-lembu pulang ke kandang pada waktu senja dan Nassury juga setiap hari mengutip daun-daun kayu dan rumput-rumput untuk diberikan kepada lembu-lembunya di kandang.

Nassury juga terkenal sebagai seorang yang peka terhadap keadaan sekeliling. Sepanjang beliau di Tanjong Malim, pemerhatiannya tidak sahaja tertumpu di sekitar IPSI sahaja, malah apa sahaja yang dilihat di luar kampus turut menjadi sumber idea.

Sajak 'Pak Harun Biola' (halaman 34) menceritakan bagaimana kehidupan harian seorang tua yang sering mengungsi pekan Tanjong Malim untuk menjual petai dan jering sambil menggesek biola sebagai daya penarik.

Pak Harun Biola

Pak Harun (khabarnya sudah meninggal dunia) sememangnya wujud dan segala gerak-lakunya diceritakan semula oleh Nassury.
G
urauannya berkumandang
ke dalam riuh lalulintas
tiba-tiba terdiam
menikmati mahirnya
seperti aku yang terpanggil
oleh alunan biolanya
datang membasuh
kuning jiwa

Walaupun gesekan biola Pak Harun hanyalah untuk menarik pelanggan, tetapi pada setiap melodi dan irama asli yang dimainkan benar-benar membuatkan pengunjung terpesona dengan kelunakan lagu-lagu tradisional Melayu seolah-olah menyedarkan sesiapa sahaja betapa kita anak Timur yang memiliki adat yang halus, lembut dan bersusila.

Sebagai seorang yang terdidik dengan ilmu-ilmu bahasa dan sastera Melayu, Nassury tidak lupa kepada tokoh pejuang bahasa. Puisi 'Za'ba' yang dihasilkan di IPSI menceritakan siapa Pendeta Za'ba (halaman 31).

Bak pelita
Za'ba menyala
menerangi kami
bak suara
Za'ba berkata
di lidah kami.

Za'ba dikatakan pelita yang menjadi pencetus kepada gerakan mendaulatkan bahasa Melayu. Segala tafsiran dan idea Za'ba telah menjadi asas kepada teori-teori bahasa zaman ini. Puisi ini sudah tentu mempunyai kaitan dengan kewujudan Pejabat Karang-Mengarang di kampus IPSI yang menjadi pusat perkembangan bahasa Melayu terulung pada zaman Za'ba.

Menyorot kembali puisi-puisi IPSI dalam antologi Menimba Laut, jelas menunjukkan bahawa Nassury Ibrahim benar-benar seorang 'anak kandung' kepada 'Ibu Kangung Suluh Budiman' dan jasa IPSI amat sukar dilupakannya kerana di kampus itulah Nassury mempertajamkan bakatnya berpuisi yang sememangnya sudah sedia bertapak dalam dirinya.
Siaran Mingguan Malaysia 16 Mac 1997.

Selasa, 8 September 2009

Penulis dan Karya

Usaha melahirkan penulis, khususnya sajak, begitu rancak setelah penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka. Usaha ini disambut pula dengan keadaan pada masa itu - sajak menjadi madium membangkit semangat nasionalisme - yang berusaha memulihkan kemuliaan diri dan bangsa. Maka, ramai yang menyahut, khususnya daripada kalangan wartawan dan pendidik, menulis pelbagai genre kesusasteraan.
Dalam sistem pendidikan pula digerakkan ilmu kesusasteraan secara lebih mendalam dan sistematik. Universiti Malaya menjadi tonggak utama mengembang dan menggali khazanah kesusasteraan, selain DBP sendiri dan Utusan Melayu (M) Berhad. Kegiatan kesusasteraan menjadi antara bidang ilmu penting yang mempunyai permintaan ramai sehingga Universiti Nasional (Unas), Indonesia, datang membuka cawangan untuk rakyat Malaysia menyambung pelajaran dalam bidang berkenaan.
Pada masa itu, bidang kesusasteraan mempunyai khalayak paling ramai berbanding bidang ilmu lain. Hal ini menyebabkan ramai yang menceburkan diri dalam penulisan dan berhasrat menjadi penulis berjaya. Akhbar dan majalah memberi wadah yang baik menyediakan ruangan susastera, dari penyiaran karya kreatif hingga nonkreatif dan polemik. Aktiviti-aktiviti kesusasteraan juga mendapat sambutan yang memuaskan. Sudut Penulis di DBP sentiasa melimpah dengan kehadiran penulis, baik aktiviti itu dijalankan pada hari biasa, hari minggu mahupun sebelah malam.
Sudah menjadi syarat bahawa setiap penulis mesti mempunyai karya. Penulis yang berjaya pula bukan sekadar menghasilkan karya, malahan karyanya itu mesti mendapat siaran / penerbitan, memenangi hadiah / pengiktirafan dan terkumpul dalam bentuk buku persendirian.
Menyedari hal ini, maka ramai penulis yang berusaha memenuhinya, termasuk memiliki kumpulan karya persendirian. Impian ini direalisasikan oleh DBP, Utusan Melayu dan beberapa penerbit lain.
Bagi penulis yang berjaya dan mereka yang berkhidmat di DBP dan institusi pengajian tinggi, usaha memiliki buku karya sendiri tidak menghadapi masalah berbanding penulis di luar organisasi berkenaan. Bagi mengatasinya, mereka menerbitkan sendiri karya, sama ada secara bercetak mahupun stensilan.
Namun perkembangan masa telah menterbalikkan fungsi dan status yang dinikmati bidang kesusasteraan. Bidang kesusasteraan dan khalayaknya mulai mengecut akibat dasar kerajaan sendiri. Penerbitan karya kesusasteraan, khususnya kumpulan sajak, menjadi semakin kurang diminati.
Fenomena ini mulai terasa sekitar tahun 1990-an, sehingga timbul desakan agar DBP memberi perhatian menerbitkan karya, khususnya, karya-karya penulis muda. Desakan itu mendapat perhatian baik hingga DBP berjaya menerbitkan beberapa kumpulan sajak persendirian penulis muda.
Memang penulis tidak boleh berpuas hati setakat menghasilkan karya, menyiarkannya di akhbar atau majalah, dan memenangi hadiah sahaja.
Adalah diakui bahawa sepanjang tahun 1950-an hingga 1990-an, ramai penulis yang berjaya dilahirkan. Namun, ramai daripada kalangan mereka yang tidak memiliki naskah karya persendirian. Ketiadaan naskah persendirian ini menyebabkan mereka tidak dikenali oleh generasi dan karya-karya mereka terus terpendam dalam lipatan akhbar dan sejarah. Maka, dari sekian ramai penulis yang lahir pada tahun 1950-an hingga 1990-an, hanya segelintir sahaja yang dikenali dan dikaji.
Saya fikir sikap ini perlu diubah. Pada zaman teknologi maklumat ini, penulis bukan sahaja berkarya, menyiarkan karya, malahan perlu juga menerbitkan karya dalam bentuk buku-buku persendirian. Hal ini termasuk juga pada pengendali blog dan berkarya dalam blog. Mereka juga perlu mempunyai kumpulan karya bercetak. Memiliki karya pensendirian bercetak merupakan syarat pelengkap seseorang itu bergelar penulis berjaya.
Kita mempunyai nama-nama penulis penting seperti Wan A. Rafar, Willai Ah Jak, Mokhtar AK, Zainun Nasir, Rudi Mahmod, Ismail Ibrahim, Goh Teck, Thean Chye, Nur Desa, Rasanubari Asmaramah dan lain-lain, terus tenggelam daripada minda generasi baharu. Karya-karya mereka juga kurang mendapat perhatian pengkritik disebabkan kesukaran mendapatkan karya terkumpul.
Walau sepenting manapun penulis itu, dan sebesar manapun sumbangannya kepada kesusasteraan negara, jika karyanya tidak terkumpul, khususnya sajak, cerpen dan drama, maka penulis itu akan 'terlupa' generasi. Ini satu fenomena yang merugikan.
Justeru, penulis baharu harus menteladani hal ini agar diri memiliki karya persendirian bercetak dan beredar dalam masyarakat. Oleh itu, dalam abad 21 ini, penulis juga harus menjadi PRO dan penjual diri sendiri agar sumbangan dan budinya jadi lebih bermanfaat dan dimanfaatkan.
Penulis tanpa kumpulan karya persendirian bukan penulis yang berjaya. Ia hanya aksesori dalam perkembangan kesusasteraan. Hadirnya seperti embun, yang cantik untuk sebilangan waktu sahaja, hilang dan dilupakan pada waktu seterusnya. Bersamalah kita antitesis kenyataan ini.
Gurindam Ibarat
Profesor tanpa buku
ibarat ilmu tanpa guru
ilmu tanpa guru
ibarat pohon tanpa daun
pohon tanpa daun
ibarat lukisan tanpa warna
lukisan tanpa warna
ibarat usaha tanpa tujuan
usaha tanpa tujuan
ibarat orang kesesatan.

7 April 2003
Kumpulan Puisi Elipsis, DBP 2008

Isnin, 7 September 2009

Penyair Muda: Antara Gaya dan Kemantapan

Nassury Ibrahim, Zahari Hasib dan Marsli N.O dapat dikatakan sebagai muka baru dalam dunia sastera tanah air khususnya genre puisi. Lebih tepat sebagai generasi pelapis yang menyahut perkembangan bidang ini.

Tidak dinafikan mereka juga cenderung melibatkan diri dalam pelbagai genre lain seperti cerpen dan kritikan sastera, biarpun tidak semampan Suhaimi Muhammad, Prof. Madya Rahman Shaari, Prof. Muhammad Salleh dan lain-lain.

Namun, sebagai generasi pelapis yang berusaha mengisi ruang-ruang kosong dalam arus perkembangan sastera tempatan, mereka sebenarnya berjaya menemukan sasaran dan kedudukan tersendiri.

Dengan kata lain, mereka mempunyai reputasi tersendiri untuk mengisi kekosongan ini. Malah, karya-karya yang ditampilkan juga kaya dengan teknik yang lebih bersifat eksperimental.

Di sisi lain, mereka lebih peka untuk mengetengahkan pelbagai persoalan baru yang muncul di sekitar mereka. Bertitik tolak pada isu sosial, ekonomi, kemanusiaan dan sebagainya.

Seminar Karya Generasi Baru (Genre Puisi) yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, baru-baru ini menjadi salah satu program untuk mengupas setiap persoalan ini, termasuk isu-isu penulis muda.

Ia membariskan tiga ahli panel iaitu penyair Suhaimi Muhammad, Mohamad Shaidan dan Mohd Daud Mohamad. Ketiga-tiganya mengupas kedudukan dan citra antologi Hanya Kata karya Marsli N.O, Debu di Kaca karya Zahari Hasib, dan Menimba Laut karya Nassury Ibrahim.

Menurut Suhaimi, karya-karya Marsli dalam antologinya berjaya manfaatkan segala yang boleh membentuk kesenian secara naluriah, alamiah, rohaniah, dan akliah.

“Apa pun yang menjadi pokok persoalannya, politik, sosial, ekonomi, kebudayaan, agama dan lain-lain, bahawa ia tetap menjadi probe, yakni alat pertanyaan dan penyelidikan serta metamoforsis (penjelmaan daripada karya kesenian).

“Probe wujud dalam puisi Marsli. Dengan kata lain, pertanyaan itu wujud dan kemudian berubah bentuk kepada metamoforsis tertentu yang diciptakan oleh khalayaknya sendiri, bukan Marsli,” katanya.

Suhaimi juga melihat karya-karya Marsli banyak membawa pembaharuan puisi tanah air yang tergambar menerusi metamoforsis yang diciptakannya. Penulis berjaya mengundang khalayak untuk sama-sama menghayati dunia batin, imaginasi dan lain-lain.

“Puisi-puisi Marsli dengan sengaja telah merealisasi probe dan metamoforsis di dalam puisi-puisinya, telah menunjukkan lahirnya seorang seniman ke dalam kesusasteraan Melayu moden.

“Beliau telah membawa tanda-tanda awal gagasannya. Membawa formula-formulanya dan hayat keseniannya serta berjaya menunjukkan kewujudannya dengan penciptaan karya-karya jenis ini, karya abadi, karya yang hidup sepanjang zaman,” tambahnya.

Sementara itu Mohd Daud melihat karya Menimba Laut oleh Nassury merupakan karya-karya realisme yang mudah dicernakan, ditafsir dan diterjemahkan.

Baginya, apa yang ketara dalam karya-karya Nassury ialah terdapat pengaruh daripada buku-buku yang dibacanya, sehingga tanpa sedar atau tidak proses penciptaannya tetap dipengaruhi oleh teori perpuisian yang sudah memasuki alam kepenyairan negara ini.

Manakala Mohamad Shaidan dalam menyoroti perkembangan karya generasi baru, berusaha mengupas seluruh persoalan yang dikemukakan oleh Zahari Hasib dalam karyanya, Debu di Kaca.

Menerusi karya ini, beliau melihat Zahari membuka gaya dan perspektif baru dalam dunia perpuisian tanah air dengan gaya deskriptif dengan melahirkan puisi-puisi impresionistik.

“Zahari tidak mendiskriptifkan sahaja peristiwa yang dialami dan dilihatnya, tetapi turut menyertakan kesan fikiran, perasaan serta kesedaran daripada hal-hal tersebut.

“Kesan peribadi Zahari terhadap sesuatu peristiwa yang dihayati itu terserlah dalam bentuk sindiran yang kebanyakannya adalah sinisme, kadang-kadang ironis atau sarkasme,” jelasnya.

Kupasan terhadap ketiga-tiga karya ini yang dianggap sebagai sebahagian daripada karya-karya penulis baru, membuktikan mereka mampu menjadi pelapis dan tunas dunia kepenyairan tanah air.

Siaran: Utusan Malaysia, 25 Julai 1998.

Antara Kedangkalan dan Deskriptif Karya

oleh Jamudin Idris
Antologi Menimba Laut karya Nassury Ibrahim ternyata belum ketemu kedalaman lautan yang dicarinya. Kerana puisi yang termuat dalam kumpulan itu masih berada di tingkat permukaan dan belum sepenuhnya masuk ke kedalaman itu sendiri.

Hampir sebahagian besar puisi Nassury menampilkan puisi penceritaan atau pengalaman lahiriah, tidak menuntut banyak perenungan untuk mencungkil makna yang bertautan dengan rasa dan karsa (dalaman dari rasa).

Drs Mohamad Daud Mohamad dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, puisi 'Seberang Takir Kampung Nelayan' dan 'Di Luar Kota A Farmosa' tidak ada sesuatu yang menuntut untuk mengolah daya berfikir, kerana pembaca dapat membayangkan makna tersurat.

Meskipun demikian, bukan bererti puisi yang ditampilkan Nassury adalah puisi mentah tetapi belum sepenuhnya matang.

Ketika membicarakan antologi (kumpulan – P) itu dalam Seminar Karya Generasi Baru di Sudut Penulis, Sabtu lalu, Mohamad Daud berkata, Nassury secara sedar atau tidak sedar memasuki dunia dadaisme yang dianuti penyair Sutardji Calzoum dan A Ghafar Ibrahim .

Puisi 'Dalam Aku,' 'Tidak Ada,' dan 'Menghadapi Gunung Masalah' adalah klon bentuk dan gaya dadaisme. Sebagai contoh puisi 'Dalam Aku.'

dalam jaya ada usaha
dalam usaha ada suara
dalam suara ada rasa
dalam rasa ada kata

Kata rasa / makna / gerak menandakan riak rasa dan karya yang memberangsangkan penyair memasuki kedalaman lautan pada dirinya sendiri. Dari kedalaman lautan itulah suara hatinya bergema menggerakkan rasa.

Daripada rasa yang merangsang saraf kreatifnya untuk meluahkan ke dalam bentuk kata-kata yang terpilih dan dipilihnya. Pilihan kata-kata yang tepat itulah memberi pelbagai penafsiran makna selapis atau berlapis-lapis.

Sementara itu, Mohamad Shaidan yang membicarakan Debu di Kaca karya Zahari Hasib berkata, puisi Zahari lebih deskriptif kerana mendeskriptifkan peristiwa yang dialami dan yang dilihat serta membawa kesan fikiran, perasaan dan kesedaran daripada peristiwa yang dialami dan dilihat.

Kesan peribadi Zahari terhadap sesuatu peristiwa yang dihayati terserlah dalam bentuk sindiran yang kebanyakan sindirannya adalah sinisme dan kadangkala ironis dan sarkasme.

Zahari akan tgerus memerhatikan kehidupan manusia kecil dalam kehidupan seharian dan mengolah kehidupan manusia kecil ini di dalam batinnya lalu menuangkan ke dalam puisi melalui bahasa yang mudah, bersekali dengan kesan peribadinya.

Mohamad Shaidan berkata, umumnya puisi Zahari bukannya sulit untuk difahami. Penulis kelahiran Perak ini “tidak memberatkan kata-kata” dan kata-kata yang dipilih dalam membentuk sesebuah puisi adalah kata-kata biasa.

Kata-kata biasa itu tidak pula memiliki kemungkinan makna yang lain daripada makna tersurat. Kata yang tersurat di dalam puisi itulah makna yang hendak disampaikan Zahari.

Zahari tidak mahu meletih dan memenatkan minda pembaca dengan makna kias dan makna lambang dan kerana itu kita tidak mungkin menafsir makna yang lain daripada makna yang tersurat.

Zahari mempunyai sikap dan pendiriannya terhadap puisi. Puisi menurut Zahari harus “Mengutamakan persembahan mesej lebih daripada nilai kepuitisannya sendiri. Puisi yang terlalu sarat dengan ungkapan dan permainan kata-kata sahaja tanpa penekanan mesej yang jelas tidak berupaya menelus masuk ke hati nurani pembaca.”

Sebagai penyair, Zahari berpuisi dengan gaya deskriptif dengan melahirkan puisi impresionistik. Gaya perpuisian inilah yang menjadi identiti puisi Zahari.

Siaran: Berita Harian, 22 Julai 1998.

Ahad, 6 September 2009

Kesedaran Jiwa Membawa Nassury Menjadi Penulis

oleh Ahmad Hazemi Ramli
Nassury Ibrahim atau Maniyamin Ibrahim salah seorang penulis muda yang berbakat besar. Kemunculannya menjadi kebanggaan kepada Gapri (Gabungan Penyair Remaja Intan) dan kepada PELITA Sudut Dungun itu sendiri khasnya.

Kini beliau tinggal di Pasir Puteh, Kelantan.

Bila ditanya siapakah yang mendorong beliau menulis, Nassury menjawab: “Saya menulis atas kesedaran jiwa dan pemikiran saya. Tuhan mengerakkan hati saya mendekati seni itu.”

Awang Abdullah seorang penyair yang sedang menempa nama kini (pembimbing Gapri) telah memberi tunjuk ajar kepada beliau disertakan pengalaman yang ditimba semasa menjadi AJK Gapri dalam tahun 1983.

Kemudian minat menulis Nassury melonta-lonta dalam dirinya. Puisi beliau yang pertama berjudul 'Satu' tersiar di Aktual. Dari situlah minat menulisnya tumbuh bagai pohon yang rendang.

Beliau menulis puisi, rencana akademik dan sastera, cerpen dan skrip drama. Karya-karya beliau tersiar di Aktual, Berita Harian / Minggu, Mastika, Al-pIslam, Remaja, Watan, Mingguan Perdana, Jelita, Dewan Pelajar, Salina, Family, Dewan Siswa, Mingguan Malaysia, Mingguan Watan, Media dan lain-lain.

Dalam bidang teater dan pementasan drama, Nassury juga tidak ketinggalan. Beliau pernah membuat pementasan teater di UKM (1984), Kuala Terengganu dan sekitar Kelantan. Pementasan drama itu di bawah seksi drama Puspa (Persatuan Penulis-Penulis Pasir Puteh).

Salah seorang pemenang hadiah utama iaitu Hadiah Sastera Utusan-Publik Bank baru-baru ini dengan sajak berjudul 'Dendam'. Syabas kita ucapkan padanya.

Akhir sekali, Nassury memberi pesan dengan dengan kata falsafahnya: “Kekayaan saudagar ialah pundi-pundi emasnya, tetapi kekayaan penulis dengan kertas-kertasnya dan pengungkapan imaginasinya yang indah dan asyik.”

Siaran: Majalah Salina Bil. 130, April, 1986.

Karya dan Kajian Terhadapnya

Pada 30 Ogos 2009, saya didatangi dua pelajar Universiti Malaya. Tujuannya ialah untuk membuat kajian terhadap karya-karya saya bagi memenuhi tugasan akademiknya di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Norhayati Abdul Rahman. Saya rasa bangga menjadi bahan kajian, walaupun kedatangan mahasiswa UM itu bukan yang pertama. Sebelum ini, karya saya telah menjadi subjek kajian pensyarah, pelajar Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Walau bagaimanapun, saya rasa terkilan juga sebab tidak mengingati beberapa maklumat, terutama berkaitan peristiwa dan tarikh-tarikh penting, seperti penganugerahan dan penyiaran karya. Oleh sebab itu, saya meminta mahasiswa berkenaan merujuk dalam internet, khususnya dari data yang dibekalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Memang ada sebilangan penulisan tentang karya saya, baik oleh rakan yang saya kenali mahupun oleh mereka yang tidak saya kenali. Ada yang memberi salinan kajiannya kepada saya. Dapatlah saya menyimpannya sebagai kenangan dan bahan kajian pelajar / mahasiswa seterusnya. Terima kasih banyak atas keperihatinan anda itu. Ada juga yang tidak memberinya. Barangkali terlupa.

Apabila saya gagal memberi maklumat dan data lengkap perihal karya, terasa sekali betapa penting jika saya mempunyai segala dokumen kajian tentang karya saya. Justeru, amat besar harapan jika satu salinan dapat diberikan / atau dimaklumkan, sama ada karya saya menjadi subjek utama kajian, atau sekadar sampingan sahaja. Tidak kiralah apa persepsi anda terhadap karya saya. Baik atau buruk ia tetap jadi bahan ilmu.

Oleh kegagalan memberi kerjasama baik itu, terfikir oleh saya, alangkah baiknya segala maklumat yang berkaitan diri saya diterbit dalam blog. Ini menjadi satu cara membantu mahasiswa, pengkaji, peminat dan perkembangan ilmu kesusasteraan.


Sajak Kepada Nassury (i)

Betapa mati langkah betapa senyap jiwa
air kata yang kau tinggalkan itu
mengalir biar membasahi kering wajah
betapa saat kau bersunyi diri
di bawah pohonan kemboja.

7 November 2008

Rabu, 2 September 2009

Cerita Tentang Orang Asli

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah dalam temuramah oleh Ku Seman Ku Hussain dan Hafizahril Abdul Hamid (Mingguan Malaysia, 23 Ogos 2009), mengatakan bahawa menurut perlembagaan Malaysia, bangsa Malaysia terdiri daripada lima kaum, iaitu pertama, orang asli; kedua, orang Melayu; ketiga, kaum bumiputera Sarawak; keempat, kaum bumiputera Sabah; dan kelima, kaum-kaum lain. Hal ini bermaksud kaum orang asli merupakan antara tuan di Malaysia.

Kalau kita perhatikan realiti kedudukan kaum orang asli di Malaysia, mereka merupakan golongan paling terbelakang, terbiar dan mundur. Hal ini terjadi disebabkan mereka sukar dan 'malu' menerima perubahan dan sentiasa menyisihkan diri. Keadaan ini terjadi, mungkin disebabkan kurang keupayaan untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain.

Dari segi bantuan kerajaan, saya fikir, orang asli lebih beruntung daripada orang Melayu kampung. Mereka sentiasa menerima bantuan dan kemudahan. Malah, ada badan khusus yang menjaga mereka. Walaupun begitu, hidup mereka masih ketinggalan. Keadaan ini, pada fikiran saya, adalah disebabkan sikap mereka yang 'tidak mahu menerima perubahan.' Mereka lebih minat menyanyi daripada bercucuk-tanam. Mereka melebihkan keperluan makan daripada menerima ilmu. Kalau ada pihak yang mahu khidmat mereka sebagai peserta, pihak itu hendaklah menyediakan hiburan dan makanan, atau bantuan percuma. Dari satu segi, boleh dikatakan, bahawa mereka merupakan 'pengamal rasuah yang hebat.'

Mereka mempunyai tanah yang luas, tetapi tidak diusahakan. Mereka hanya berharapkan pada hasil hutan. Sepanjang saya ke perkampungan orang asli, tidak ada tanaman sayuran atau kebun diusahakan.

Kaum orang asli / bumiputera bukan golongan yang lemah. Telah ada beberapa tokoh dari kalangan orang asli yang berjaya dalam bidang masing-masing. Namun puratanya mereka yang tinggal jauh di pedalaman lebih ketinggalan.

Sebenarnya, agak sukar mengatakan bahawa kerajaan membelakangkan orang asli. Sejak dahulu mereka sentiasa dibantu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. Pelbagai bantuan diberikan hingga melebihi bantuan untuk orang Melayu kampung. Namun perubahan yang diharapkan berlaku dalam skala yang sangat perlahan. Selain menjadi 'bahan makanan' korporat dan politikus rakus, nasib mereka sebenarnya dimangsai oleh sikap mereka sendiri.

Di sekolah, para guru berusaha mengubah sedikit demi sedikit nasib generasi orang asli, selain turut menyuarakan rintihan melalui lagu, sebagaimana oleh Guru Besar SK Tohoi, Cikgu Mohd Ariff bin Abdul Rahman. Di bawah ini diperturunkan lirik lagu sebagai menggambarkan rintihan mereka.

Ilmu Penyuluh Hidup

Telah lama kami hidup
masih lagi derita
apalah daya kami
kami anak asli

Tuhan beri petunjuk
terangi hidup kami
agar hidup bahagia
untuk hari esok

Mari sama-sama
kita terus belajar
ilmu kita cari
jadi penyuluh hidup

Sepanjang hayat (3 x)

Selasa, 1 September 2009

Sisipan Galeri 1

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 31 Ogos 2009 menerbitkan edisi khas sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-52, berjudul Galeri 1. Saya teruja menatap kandungannya kerana, bukan sahaja berwarna-warni, disiarkan sumbangan rakyat Malaysia, generasi baharu, dalam bidang masing-masing.
Sebelum ini telah saya tulis betapa perlu ada usaha mengenang jasa para pemimpin sebagai mengukuhkan rasa kecintaan rakyat terhadap negaranya. Penerbitan Galeri 1 itu merupakan salah satu usaha yang dapat dilakukan sebagai bukti menghargai jasa sumbangan ahli masyarakat kepada masyarakatnya.
Lebih teruja apabila melihat wajah kawan-kawan turut tersiar dengan halaman khusus yang menarik. Tahniah kepada Mohd Zizee Setapa dengan sajaknya berjudul 'Menyelusuri Album Wangsa', Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin (Amanat Negarawan Terbilang), Raja Rajeswari Seetha Raman (Ini Pohon Satu Malaysia) dan Ana Balqis (Bengkel Merdeka?) dalam ruangan Suara Puitis. Sajak-sajak mereka juga menarik dan memikat.
Menatapnya, saya rasa cemburu. Saya pasti, sesiapa sahaja turut rasa cemburu dan terangsang untuk berusaha agar mencapai kejayaan yang dicapai oleh tiga orang penulis ini.
Pada fikiran saya, usaha Utusan Melayu (M) Berhad menerbitkan Galeri 1 ini boleh diteladani oleh mana-mana penerbit media cetak lain dan diperluaskan dalam pelbagai bidang.

DAUN NAN SEHELAI: Menjadi Orang Bijaksana

Dalam buku ‘Citra Takmilah: Analisis Terhadap Kumpulan Puisi Islam’ (Karisma, 2005) saya mencatatkan bahawa penyair berkarya berdasarkan peristiwa. Daripada peristiwa itu penyair merakam kebesaran Tuhan dan teladan yang dapat dimanfaatkan oleh pembaca.
Hal ini demikian juga pada sajak-sajak Mazli Husma, dalam kumpulan Daun Nan Sehelai (DNS), yang bertolak daripada renungan diri dan peristiwa sekitar untuk mencari hikmah. Sebagai manusia hidup dan berfikir, hal ini wajar dan disarankan oleh Islam, kerana daripada dua sumber itu akan mendekatkan diri kita kepada Tuhan, sebagaimana saranan Teori Takmilah. Perhatikan, misalnya, dalam petikan sajak ‘Rahsia’ (hlm. 192) di bawah.
Tsunami
tidak akan terurai rahsianya
tanpa iman dan takwa
Ada perbezaan tanggapan manusia terhadap peristiwa tsunami. Di Malaysia, kita melihat tsunami terjadi kesan gerakan bumi di dasar laut, menyebabkan kita mudah lupa akan peristiwa itu, lebih-lebih lagi pada individu yang tidak mengalaminya. Sehingga kini sebilangan kecil sahaja buku yang merakam kejadian tsunami di Malaysia.
Lain pula terjadi dalam masyarakat Acheh. Kunjungan saya ke Acheh bersama rombongan Gapena (25 – 30 November 2005), mendapati begitu banyak buku tentang tsunami diterbitkan. Baik buku kreatif mahupun nonkreatif. Buku-buku prosa yang diterbitkan rata-rata melihat peristiwa tsunami dari sudut agama.
Pada satu pihak tsunami dianggap bala dan pada pihak lain dianggap sebagai tanda kekuasaan Allah. Ia memberikan iktibar bagi insan bertakwa. Sebagaimana kata Mazli Husma, mata iman akan dapat merungkai rahsia tsunami. Maka, mereka merakamnya untuk diteladani. Bagi mata duniawi, tsunami dilihat sebagai peristiwa pahit semata-mata, dan menakutkan. Dan, kata Mazli Husma lagi;
Musibah
tidak akan terhitung hikmahnya
tanpa ilmu dan amalan
Secara halus penyair menegaskan bahawa orang yang matang dan bijaksana ialah orang yang berilmu, dan orang yang berilmu mencari hikmah di sebalik sesuatu musibah. Hanya orang berilmu dapat mencari hikmah di sebalik sesuatu musibah. Hikmah yang diperoleh itu akan dapat mempertingkat ketakwaan diri. Tentulah kita tidak mahu dianggap sebagai orang tidak matang, tidak berilmu dan gagal mencari hikmah di sebalik peristiwa tsunami itu. Justeru, kesedaran itu membuktikan bahawa idealisme sajak ini mampu membina peribadi muslim yang bijak, yang berilmu dan bertakwa.
Dalam sajak ‘Hijab’ (hlm. 157) Mazli Husma merakamkan perihal orang tersasar, tengadah, tersasul dan tertusuk jiwa, dan kemudian menyeru mereka agar merenung sebab-musabab tersasar, tengadah, tersasul, dan tertusuk jiwanya itu. Katanya;
Singkaplah dengan jiwa hening-bening
telus menerus tanpa sesiapa selain DIA
Hanya orang berilmu dan bertakwa mempunyai kesedaran untuk bermuhasabah diri. Melalui muhasabah diri kita dapat mencari hikmah. Hikmah-Nya itu dapat kita teladani bagi membina hidup yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Dan, muhasabah diri itu hendaklah bebas daripada segala kepentingan dunia, sebagaimana disarankan oleh Mazli Husma di atas, barulah kita dapat menjadi orang yang bijaksana.
Sifat pendidik tidak terlepas dari jiwa Mazli Husma. Dalam sajak, ‘Musim Balik Kampung’ (hlm. 176) misalnya, Mazli Husma menasihatkan pengguna jalan raya. Katanya, ‘Musim raya / musim perlu berwaspada / dalam riangria menjamu selera / jangan pula ada yang menangis / di hujung keranda.’
Demikian, sekilas tanggapan saya terhadap kumpulan sajak ketiga bekas pendidik yang kini berkhidmat sebagai Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan, Mazli Husma. Beberapa buah sajak beliau yang diteliti ini mampu mengajak kita menjadi orang bijaksana. Dan, semoga kumpulan sajak ini, serta kumpulan sajaknya terdahulu, Puisi Diri (2001) dan Setelah Kau Pergi (2003), terus dinikmati dan diteladani hikmahnya. Sekian.