Sabtu, 27 Ogos 2011

Nafi hak royalti penulis

Membaca surat rayuan terbuka oleh lima penulis teks Komsas (5PK), Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin, Hazama Harun, Mohd Izan Abd. Hazes, dan Erda Roslan Khairi, kepada Menteri Pelajaran Malaysia, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, ada dua perasaan menerjah diriku.

Pertama, aku rasa sangat bertuah kerana karya-karyaku tidak terpilih sebagai teks Komsas. Apa gunanya kalau karya aku terpilih, tetapi aku tidak memperoleh nikmat daripada karya berkenaan. Sedangkan, nikmatnya diratah hidup-hidup oleh kapitalis penerbitan. Benarlah kata pepatah yang diibaratan oleh 5PK - Menang sorak kampung tergadai, atau ibarat memberi lanun makan sedangkan anak sendiri mati kelaparan.

Kedua, aku rasa terharu dan sedih. Bukan senang menghasilkan karya. Namun, mereka dengan senang sahaja mengaut keuntungan. Jika mereka memberi royalti 10 % pun, mereka masih dapat mengaut untung berlipat ganda. 

Sebagai penulis, aku fikir penafian hak royalti oleh penerbit Mega Setia Emas, Nur-Ilmu, Associated Education Distributors, Hartamas, dan V-Nice perlu diajar. Oleh sebab ramai penulis berkhidmat sebagai guru, maka saya mencadangkan agar 5PK (dan guru-guru) menasihati pelajar masing-masing agar tidak membeli sebarang buku terbitan lima syarikat berkenaan.

Malah, boleh juga dihantar surat kepada rakan-rakan guru Bahasa Melayu di sekolah lain, mencadangkan agar mereka menyertai kempen berkenaan. Surat juga boleh dihantar kepada pihak kementerian dan mencadangkan agar menyenaraihitamkan penerbit berkenaan daripada sebarang projek penerbitan buku teks.   

1 ulasan:

NASSURY IBRAHIM berkata...

Menurut sumber yang boleh dipercayai, penerbit itu berjenis 'one off.' Kini tidak dpt dikesan, dan upah terbit th diperolehi. Saya fikir, wujudnya penerbit 'one off' ni mungkin ada konspirasi dgn org tertentu di kementeri yg mencadang atau meluluskan projek itu. Kalau nak tahu rahsia, elok pihak terlibat bawa kes ini ke mahkamah. itu pandangan saya.