Oleh Djazlam Zainal
Najmi Yaccob, Sastera, Berita Harian. 14 julai 2011.
Sejak kedatangan penjajah barat ke dunia Melayu, kesusasteraan Melayu menjadi satu komuditi yang diperhatikan oleh golongan ini. Rantau Asia Tenggara dan gugusan Kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah dan kesusasteraan yang begitu menakjubkan sering menjadi intipan mereka. Perkembangan ini menjadi lebih ketara pada awal abad ke 19. Karya-karya kesusasteraan Melayu klasik, terutama hikayat, telah menarik para sarjana luar, terutama golongan orientalis. Namun, dalam keghairahan pengkajian terhadap sastera klasik itu, sebahagian besar daripada mereka memperlihatkan citarasa individual penyelidik melebihi kepentingan kesusasteraan sebagai satu disiplin ilmu. Sekalipun Barat mempunyai tradisi pengkajian yang kukuh, namun untuk tanah jajahan, mereka bertolak dan membuat tafsiran yang tidak menepati kehendakan tempatan. Sebagaimana C. Snouck Hurgronje yang mengkaji Kesusastraan Aceh dan R.O. Winstedt yang mengkaji kesusasteraan Melayu, jelas sekali mempunyai pandangan kebaratan. A History of Classical Malay Literature yang diguna pakai oleh mahasiswa pengajian Melayu pada awal kemerdekaan bukanlah suatu cerminan konkrit untuk sastera Melayu. Pendekatan yang terlalu condong dan terlalu cenderung serta bersifat komparatif dan historis kebaratan. Aceh di Mata Kolonialis ( Hurgronje ) seringkali menjadi rujukan utama hingga mendatangkan kekesalan di hati A. Hasjmy yang mengatakan bahawa orang Aceh sendiri lebih percaya kolonialis daripada anak tempatan. H.M.J. Maier, mencadangkan agar teks klasik harus dilihat melalui bidang konsep ' intertektualiti ' sepertimana kajian beliau terhadap Hikayat Merong Mahawangsa (HMM). Maier yakin kaedah itu lebih berkesan bukan sahaja ketika membaca HMM tetapi juga apabila membaca tulisan tentang hikayat tersebut.
Antara sebab ketara kelemahan mereka adalah kerana mereka bukan datang daripada golongan yang mempunyai pendidikan tersebut. Winstedt misalnya, merupakan pegawai tadbir yang ditugaskan oleh kerajaan Inggeris ke Tanah Melayu. Namun kajian seterusnya dalam memperkatakan tentang Kesusasteraan Melayu Klasik oleh E.U. Krutz, V.I. Braginsky, Virginia Matheson Hooker, Philip L. Thomas, H.M.J. Maier dan G.I. Koster menampakkan sedikit pencerahan kerana penerapan filologi Melayu serta rujukan daripada pemikir berbobot A. Teeuw, Robson dan Brakel. Dalam eseinya Penyuntingan Manuskrip dan Kritikan Teks Melayu, Krutz menimbulkan tentang masalah penyuntingan yang berjumlah lebih 5000 naskah Melayu semuanya. Manuskrip itu mula diusahakan penyuntingannya sejak abad ke-19. Sejumlah 11 teksnya telah diterbitkan sejak 1946. Hingga seabad kemudian, sebanyak 87 edisi diterbitkan. Krutz menyanggah tulisan Overback, bahawa Kesusasteraan Melayu Telah Mati kerana terperosoknya pandangan orientalis itu ke belakang. Walaupun Overbeck satu-satunya orientalis Jerman yang menerbitkan Hikayat Hang Tuah dalam bahasa Jerman, Krutz menegur agar Overback melihat kelongsong sastera Melayu dari sudut yang lebih luas.
Saya terpesona dengan sudut pengkajian Dr. Mohd Harun dalam Memahami Orang Aceh. Memahami Orang Aceh ( Citrapustaka Media Perintis, Bandung, 2009 ) adalah cakrawala baru mengenai dunia orang Aceh. Stigma yang selama ini dilekatkan pada diri mereka, seperti suka berperang dan menantang. Orang Aceh yang sejati bukanlah manusia yang suka berperang tetapi cinta damai. Ini tampak dari banyaknya hadih maja yang membicarakan cinta damai dalam aspek filosofis dan etis.
Dr. Mohd Harun melihat orang Aceh dari struktur sosial dan hajih maja sebagai sumber nilai. Konsep nilai dan filosofis dilihat dari prototipe watak orang Aceh, reaktif reponsif yang disandarkan pada militan, optimis, konsistan, loyal, sistem demokrasi, hukum dan perundangannya. Hukum perundangannya pula berdasarkan pada hukum yang tidak direkayasa, hukum yang benar, hukum yang adil, pihak yang berkaitan dengan hukuman, manajeman hidup, etos kerja dan peduli tentang waktu berusaha. Sejarah Aceh yang agung itu sendiri membentuk pribadi orang Aceh dalam kalangan rumpun Melayu di rantau ini. Hurgronje barangkali tidak melihat hal ini yang menyebabkan Belanda gagal menewaskan Aceh dalam setiap segi.
Clifford adalah pentadbir Inggeris seperti Winstedt. Mulanya beliau terasing ketika tinggal di Pahang tetapi derianya cepat menangkap. Clifford tekun memerhatikan dan menurunkan skets sungai, hutan, lembah dan kampung. Dunia tropikal Tanah Melayu cepat dihayati. Apabila beliau menghasilkan novelnya A Free Lance of Today, bukan saja Tanah Melayu, gambaran pesisirnya diperluaskan dari Selat Melaka hingga ke Aceh, malah Clifford turut menggambarkan alam Borneo. Clifford lebih baik dari Conrad yang lebih victoria dalam Lord Jim atau The Lagoon.
Profesor Emiritus Abdullah Hassan menggesakan agar kerajaan menggerakkan usaha untuk membuat salinan digital terhadap semua manuskrip dari alam Melayu khususnya yang berada di Univerisitas Leiden. Katanya, dulu universitas tersebut menawarkan ribuan manuskrip Melayu yang tersimpan di kepustakaannya dengan harga RM 52 million ( Rupiah 20 billion ) tetapi sekarang kita tidak perlu membelinya, memadai membuat salinan digital. Dengan itu, katanya, kita dapat membawa pulang khazanah karya cendikiawan Melayu yang sebenarnya bagi membuktikan bahawa keilmuan bukan sesuatu yang asing dalam minda Melayu di nusantara ini. Yang demikian kita tidak perlu gaduh asal Melayu yang sebenarnya.
Daftar Pustaka
Ahmad Kamal Abdullah, Shamsuddin Jaafar dan Ahmad Razali Haji Yusuf, 1994. Sempena: Himpunan Penelitian oleh Sarjana Kesusasteraan Melayu Antarabangsa. Kuala Lumpur : DBP
Dr. Mohd Harun, M.Pd, 2009. Memahami Orang Aceh. Bandung: Citapustaka Media perintis.
Muhammad Haji Salleh, 1999. Menyeberang Sejarah. Kuala Lumpur: DBP.
Najmi Yaccob, Sastera, Berita Harian. 14 julai 2011.
1 ulasan:
Quels sites Web sont uniquement pour les blogs? Comme l'écriture des journaux, mais on peut utiliser un nom différent?
Catat Ulasan