Persatuan penulis paling tua di Kelantan ialah Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Asalnya dari ASWANI. Sudah ramai ahli PPK yang berjaya, malah ada yang meraih Anugerah Sasterawan Negara. Pada tahun ini genap usia 45 tahun PPK. Pada 30 Julai 2011 berlangsung Mesyuarat Agung PPK Ke-41. Saya merupakan salah seorang daripada sekitar 32 orang ahli yang hadir. Mesyuarat kali ini berlaku pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) baru. Ada 11 ahli dicalonkan. Daripada senarai calon itu, empat orang tidak hadir (AJK lama). Maka, empat orang dicalonkan oleh ahli yang hadir. Salah seorang ialah aku.
Pada pandangan aku, persatuan penulis dalam dekad awal abad ke-21 ini kurang berdaya. Lemah dari banyak aspek. Paling besar ialah aspek kewangan. Ahli-ahli hanya sekadar menjadi ahli tanpa membayar yuran tahunan. Malah, keahlian juga tidak kemas kini dan sering tidak menepati perlembagaan sendiri. Ahli-ahli juga agak kurang berminat lagi terhadap persatuan dan aktivitinya. Tiada daya upaya mencari dana sendiri. Justeru, segala aktiviti adalah bertongkatkan institusi tertentu. Lazimnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi penyalur dana aktiviti. Sekiranya DBP tiada makan akan lumpuhlah persatuan. Demikian juga aktiviti dijalankan adalah sama sahaja dengan aktiviti sebelumnya, iaitu bengkel penulis puisi terhadap calon penulis. Hanya berpuisi atau bercerpen yang diminati, tidak dalam aspek lain. Rakaman hal-hal kebudayaan langsung tidak disentuh. Sedangkan, rakaman itu penting buat tatapan zaman. Hal ini bertentangan dengan imej penulis sebagai penjana pemikiran masyarakat. Dikatakan bahawa pemikiran penulis lebih ke depan daripada pemikiran masyarakat. Nampaknya, hipotesis ini kurang tepat buat masa ini. Hal ini tidak terkecuali pada PPK dan ahli PPK. Dan, berdasarkan pengalaman dalam mesyuarat berkenaan, agak sukar PPK untuk keluar daripada kepompong. Sebabnya, kerana sesetengah AJK yang sama (kurang berdaya) masih menerajui sesi yang baharu. Saya sangat berharap, melalui AJK PPK yang baru ini dapat keluar ke alam lebih global. Setidak-tidaknya, tidak berfokus pada satu aktiviti atau dilibati oleh muka yang sama sahaja.
1 ulasan:
Perjuangan anda cukup hebat. Tahniah!
Catat Ulasan