Selasa, 25 Oktober 2011

Laporan HSKU (cerpen 2010) - Penulis Remaja Meningkat

Majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan - ExxonMobil (HSKU) akan diadakan pada 31 Oktober ini di hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Acara ini diharap dapat menyemarakkan lagi dunia kesusasteraan tempatan. Berikut adalah petikan daripada laporan Panel Hakim HSKU 2010 kategori cerpen remaja.

Kesusasteraan sebagai alat pembina sahsiah bukan suatu tanggapan kosong bahkan telah diakui dalam sistem pendidikan apabila teks sastera dijadikan alat pengajaran dan pembelajaran. Pengukuran kefahaman golongan pelajar sering dikaitkan dengan nilai moral dan motivasi yang terkandung dalam karya, sekali gus menjadi manifestasi pengakuran pihak pengolah sukatan pelajaran terhadap kepentingan karya sastera.
Menyedari bahawa permintaan dan keperluan terhadap sastera remaja semakin tinggi dan terkawal dalam aspek seni dan muatannya, Panel Penilai HSKU 2010 telah merangka suatu tatacara dan kriteria yang ketat dan boleh dipertanggungjawabkan dari segenap sudut dalam proses pemilihan pemenang.

Bagi menilai karya yang dikategorikan sebagai cerpen remaja dan novel remaja, Panel Penilai telah merangka ukuran yang berikut sebagai panduan:

* Karya menggunakan pandangan dunia remaja, daripada aspek pengolahan dan pemikiran.

* Karya menggunakan pendekatan serta gaya bahasa yang komunikatif.

* Karya mengemukakan nilai motivasi yang dapat membangkitkan semangat dan memupuk jiwa remaja yang berkualiti dari sudut penyempurnaan akal budi, penampilan sahsiah yang berhemah tinggi dan jati diri.

* Karya menampilkan unsur eksploratif, iaitu penerokaan bagi melahirkan paradigma baharu dalam aspek tema, persoalan, pemikiran, dan bentuk.

* Karya mengangkat nilai insani dalam memacu kecemerlangan dan memperkasakan keutuhan manusiawi untuk menangani masalah kehidupan.

* Karya mengandungi mesej berseni tentang harapan, motivasi serta kegigihan mencipta kejayaan masa depan.

* Sebaik-baiknya, watak remaja berperanan sebagai penggerak cerita, tetapi karya yang menampilkan watak dewasa dengan matlamat memberi pengajaran kepada remaja juga diterima.

Sepanjang tahun 2010 sebanyak 120 buah cerpen telah disiarkan dalam majalah dan akhbar terbitan Kumpulan Utusan, iaitu Mingguan Malaysia, Utusan Melayu Mingguan, Wanita, Harmoni, URTV dan Al-Islam. Jumlah ini berkurangan berbanding dengan tahun 2009 yang menyiarkan 125 buah cerpen. Hal ini disebabkan oleh ruang yang mengecil, iaitu hanya sebuah cerpen disiarkan oleh Al-Islam dalam keluarannya sepanjang tahun 2010 manakala majalah Mangga tidak lagi memuatkan cerpen.

Berdasarkan skop dan ukuran yang telah ditetapkan, sebahagian besar cerpen remaja terbit dalam majalah URTV dan Harmoni. Isu yang diangkat berbeza mengikut konsep editorial media yang menampunginya. Majalah URTV, misalnya, menerbitkan lebih banyak cerpen yang mengolah persoalan cinta remaja yang bersifat ringan dan popular selari dengan konsep penerbitannya. Begitu juga majalah Harmoni dan Wanita turut memuatkan cerpen yang mengupas permasalahan remaja, konflik kekeluargaan dan kasih sayang sesama insan. Akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Melayu Mingguan pula menyiarkan cerpen dengan persoalan yang lebih serius, meliputi isu sosiobudaya, bahasa, politik, ekonomi, dan agama.

Seolah-olah sudah menjadi tradisi, kebanyakan cerpen remaja berkisar pada persoalan cinta dan konflik keluarga yang berupa perulangan dalam karya yang tersiar sebelum ini. Oleh sebab tidak menampilkan sesuatu yang segar, maka karya yang sedemikian tersisih daripada tumpuan penilaian. Bagaimanapun, terdapat pula segelintir penulis memilih subjek yang lebih serius sama ada mengangkat permasalahan yang berlaku dalam negara mahupun persoalan yang lebih bersifat global. Persoalan perpaduan, budaya, tradisi, dan sejarah turut menjadi pilihan pengarang. Dengan nafas baru, persoalan itu berupaya memberi manfaat kepada khalayak remaja.

Daripada senarai penulis, tampak bahawa ramai penulis baharu muncul, berkisah tentang dunia remaja dengan perspektif yang lebih kritis. Mereka berupaya mengolah beberapa isu besar yang melingkari kehidupan manusia kontemporari dengan gaya penyampaian yang lincah dan cenderung bercorak argumentatif. Hal ini memperlihatkan petanda positif kepada dunia penulisan tanah air kerana terdapatnya pelapis yang berbakat bagi mengambil alih dunia penulisan suatu masa nanti. Situasi ini membuktikan bahawa negara tidak ketandusan penulis walaupun minat dan kecenderungan masyarakat ke atas bidang kesusasteraan makin berkurangan.

Daripada karya-karya yang didapati sesuai dengan takrif cerpen remaja, Panel Penilai telah menyenarai pendek 19 judul untuk dibawa ke peringkat akhir. Cerpen-cerpen yang terpilih itu adalah seperti yang berikut:

* Aku Datang, Aminhad, Mingguan Malaysia, Ahad, 28 November 2010

* Bunga Telur Kenduri Kahwin, Mohd Helmi Ahmad, Harmoni,1 November 2010

* Caramel Cinnamon Anise di Cordova, Ranofla Dianti Irwan, Mingguan Malaysia, 25 Julai 2010

* Citra Venezia, Rebecca Ilham, Mingguan Malaysia, 12 Disember 2010

* Estet dan Kuarters Batu 13, Zainal Rashid Ahmad, Wanita, Oktober 2010

* Gulai Sembilang Untuk Abah, Fauziah Mohd Ismail, URTV, 15-30 Jun 2010

* Ilham Sang Pujangga, Zulfazlan Jumrah, Mingguan Malaysia, 26 September 2010

* Jangan Bunuh Semut Api, Muzaf Ahmad, Utusan Melayu Mingguan, 29 November 2010, 6 Disember dan 13 Disember 2010

* Kakak, Sharifah Nurbaizura Syed Mohd Safie, URTV, 15-31 Disember 2010

* Kala Hujan Ini, Nur Adilla Abd Rahim, Mingguan Malaysia,11 April 2010

* Mimpi Budak Bola, Dr. Illias Zaidi, Mingguan Malaysia, 3 Oktober 2010

* Nasi Putih Daging Cincang, Nadia Khan, Mingguan Malaysia, Ahad, 10 Oktober 2010

* Oh Fatimah!, Tengku Nurlaila Tengku Ismail, Utusan Melayu Mingguan, Isnin 17 Mei 2010, 24 Mei dan 1 Jun 2010

* Periaku untuk Ibu Pertiwi, Mohd Ali bin Salim, Mingguan Malaysia, 29 Ogos 2010

* Rancanganku Rancanganmu, Mohd Helmi Ahmad, Harmoni,15 April 2010

* Rindu Oktober Merah Jambu, Zanazanzaly, Mingguan Malaysia, 31 Oktober 2010

* Setulus Cinta Muaddib, Husna Nazri, Mingguan Malaysia, Ahad, 16 Mei 2010

* Siapa Haram?, Ummu Hani Abu Hassan, Mingguan Malaysia, 20 Jun 2010

* Tergelincir, Aminhad, Mingguan Malaysia, 7 Mac 2010

Secara keseluruhannya, cerpen yang memenangi hadiah pada tahun penilaian 2010 memperlihatkan kepekaan yang tinggi terhadap liku-liku permasalahan remaja. Pemilihan subjek semakin meluas dan bervariasi sehingga melepasi skala ruang makro, mencecah masuk ke ruang sejagat. Dalam cerpen-cerpen tersebut, isu introspeksi diri dan pembinaan peribadi unggul tetap menjadi persoalan yang popular dalam perkembangan psikologi remaja.

Selain itu, semangat patriotisme juga menjadi subjek perbincangan dalam karya-karya remaja. Cerpen-cerpen tersebut ternyata relevan dalam pembentukan sahsiah dan jati diri remaja. Karya-karya yang terpilih memenangi hadiah menggarap tema dengan sokongan teknik naratif yang sesuai dan padan dengan subjek yang diangkat. Pengaplikasian simbolisme dan kiasan yang tinggi nilainya dalam karya ini berupaya mencabar penaakulan minda, atau mengemukakan idea yang bernas dan menguja daya pemikiran.

MINGGUAN MALAYSIA, 23 OKTOBER 2011


Tiada ulasan: