Orang besar tidak melihat atau nampak orang kecil. Itulah kesimpulan aku setelah bergaul dengan orang besar. Namun begitu, mulutnya sering memuji orang kecil di hadapan orang kecil itu. Menyatakan kekagumannya dan kebaikan orang kecil. Sesudah berjumpa, akan terus terlupa. Apabila bertemu kembali akan dinyatakan bahawa dia sudah perjuangkan permintaan orang kecil itu. Padahal, kata-katanya itu tiada susulan tindakannya.
Barangkali pada dirinya, orang kecil hanya barang mainan. Atau, alat untuk mencapai hasrat hatinya. Mereka lebih gemar berkawan dengan orang sama besar. Hal ini tidak salah mereka, dan sememangnya begitulah. Hanya orang kecil lebih 'perasan' disayangi dan diingati oleh orang besar.
Demikianlah kesimpulan saya apabila seorang kawan memberitahu bahawa orang besar itu sering memperjuangkan dirinya, mengangkat dirinya ke jawatan lebih atas. Namun, kata kawan saya itu, orang lebih besar daripada orang besar itu telah menafikan atau tidak menyokong atau ada orang lebih besar itu membawa kroninya. Maka, 'disalah-salahkan' oleh orang besar terhadap orang lebih besar di hadapan orang kecil berkenaan. Dan, kawan saya itu masih sepertinya dulu, dan taatnya masih pada orang besarnya agar akan beroleh habuan sebagaimana dicita-citakan.
Pernah seorang kawan lain memberitahu, dia memohon projek melalui orang besarnya, dan kawan besarnya nenberitahu telah menyokong dan menghantar permohonannya itu ke Kuala Lumpur. Namun, tiada jawapan. Kawan saya itu memperbaharui beberapa kali permohonannya melalui kawan besarnya. Jawapan yang diterima begitulah. Suatu hari kawan saya itu pergi ke Kuala Lumpur berjumpa dengan pihak yang berkenaan. Pihak itu memberitahu bahawa mereka tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada kawan saya itu. Oleh sebab kawan saya itu setiausaha kepada orang besarnya, maka dia menyiasat hingga ke dalam bilik orang besarnya. Rupa-rupanya, kesemua permohonan kawan saya itu berada di bahagian paling bawah dalam laci mejanya.
Lain pula ceritanya kalau orang kecil itu seorang perempuan dan ada 'wajah' pula. Sama ada perempuan itu gadis atau janda atau isteri orang, tidak menjadi masalah.
Ekoran daripada pengalaman itu, aku berpendapat bahawa sesekali orang kecil kena 'gigit' kaki orang besar itu agar dia tahu kehadiran orang kecil dan sedar akan kebergantungannya terhadap orang kecil. Atau, beralih angin kepada orang besar yang lain. Atau, membesarkan diri sendiri. Umpamanya, orang yang memberi penyapu sebagai hadiah terhadap pekerjaan kita, maka elok juga kita beri pam tandas kepadanya.
Memang sukar untuk melakukannya. Namun, hal ini akan menjadi sekiranya anda orang kecil yang merdeka, ada maruah diri, dan tidak seperti menjadi orang-orang Melayu kampung yang boleh diberi dengan janji, kain, makan kenduri atau sejumlah kecil duit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan