Sejak akhir-akhir ini terasa benar jiwa terganggu. Diganggu oleh anasir-anasir pengacau bergelar wira amanah. Melalui tv melalui akhbar, wira amanah berteriak hingga mengganggu ketenteraman jiwa. Tiada lagi terasa damai sebuah negara atau susila sebuah bangsa. Kata-kata William Marsden bahawa bahasa Melayu adalah bahasa Itali Timur terasa tidak benar kini. Pun kata-kata Victor A. Pogadaev bahawa bahasa Melayu terindah di dunia. Memang politikus Melayu tidak pernah mengiyakannya, dan tidak pernah mempertahankannya. Dalam banyak kes, kerosakan bangsa Melayu banyak dilaksanakan oleh politikus Melayu. Namun begitu, seperti lazimnya, mereka meletakkan kesalahan itu kepada orang lain atau lawannya. Tanah air juga hilang satu-satu. Singapura diberikan percuma kepada Lee Kuan Yu. Pulau Batu Putih dalam perairan Johor disentak songsang oleh Singapura hingga menjadi miliknya. Kini Tanjung Pagar pula jatuh ke Singapura. Semua itu berlaku semasa Tanah Melayu dalam genggaman nasionalis Melayu. Malangnya, mereka tidak pernah insaf. Dan, sangat marah apabila ada pihak 'mengocang' keteguhan kuasa. Lantas menuduh pengocang kuasa itu sebagai penderhaka. Itulah Melayu wira amanah rakyat sekarang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan