Ahad, 9 Oktober 2011

Punca Penggangguran

Pembentangan Bajet Belanjawan Negara 2011 yang dianggap berani dan luar biasa oleh Barisan Nasional adalah bajet yang bakal menjerat leher kerajaan sendiri. Keluarbiasaannya itu di luar tabii. Walaupun DS Mohd Najib menafikan ketidakmampuan melaksanakannya.

Kalangan kakitangan awam sangat memahami dan sudah dua tahun dideritakan oleh kerajaan kerana terpaksa menanggung bebanan dengan kewangan sendiri bagi melaksanakan aktiviti rasmi kerajaan. Pelbagai aktiviti dengan hasrat setinggi langit menuntut pegawai kerajaan melaksanakan aktiviti tanpa diberikan belanjawan secukupnya.


Dalam kemiskinan jabatan tiba-tiba terbit BBN11 yang sangat luarbiasa, menjadikan BBN11 sangat sukar dipercayai. Umpama, si miksin ditawarkan membeli banglo dan berhasrat membeli banglo.

Salah satu kemanisan BBN11 yang bakal menjerat leher kerajaan ialah apabila kerajaan melanjutkan usia persaraan, dari usia 58 kepada 60 tahun.

Saya berpendapat, pelanjutan usia persaraan itu akan melebarkan lagi graf penggangguran dari kalangan anak muda, khususnya mereka yang baharu tamat pengajian. Keadaan ini telah diruncingkan oleh kesempitan ruang pekerjaan akibat kesan langsung kemajuan teknologi.

Apabila usia persaraan meningkat bererti menutup ruang kekosongan jawatan yang sepatutnya diisi oleh graduan baru. Lambakan graduan terus berlaku kerana pasaran pekerjaan sedang menjunam. Seterusnya, graf penggangguran terus melonjak. Kemiskinan akan terus mencengkam.

Apabila tumbuh dan membiak kemiskinan pada golongan muda akan memberi kesan langsung terhadap kegiatan jenayah. Golongan muda terkenal dengan keinginan yang tinggi. Sekiranya keinginan tinggi itu terbantut disebabkan kewangan (pekerjaan) dijangka akan meningkatkan lagi aktiviti jenayah.

Memang pelanjutan usia persaraan menggembirakan kakitangan yang sedang berkhidmat. Namun, kegembiraan itu bakal mendukacitakan pada pihak yang lain. Dan, rasa duka cita golongan muda itu lebih berisiko berbanding rasa gembira kakitangan awam.

Jika mereka dibenarkan bersara awal, mereka telah mempunyai sumber pendapatan daripada wang pencen. Malah, tanggungjawab mereka juga sudah berkurangan, berbanding tanggungjawab golongan muda.

Demikian juga apabila kerajaan menyambung kontrak mereka berjawatan tinggi. Ia bakal menutup peluang dan ruang kakitangan bawahan untuk naik pangkat. Misalnya, apabila pencen Ketua Pengarah A disambung, ia menyekat peluang kenaikan pangkat timbalannya dan kakitangan bawahan yang lain. 

Dalam catatan sejarah kerajaan moden telah banyak kerajaan pemerintah kecundang akibat kebangkitan golongan muda. Huru-hara yang berlaku di Mesir dan beberapa negara lain misalnya, adalah kesan ketidakpuasan hati golongan muda. Ketidakpuasan itu timbul akibat golongan muda tiada peluang pekerjaan. Mereka bangkit menentang kerajaan pemerintah kerana kerajaan pemerintah gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka. Malahan, masyarakat juga berkemungkinan bangkit menentang pemerintah kerana meningkatnya kegiatan jenayah yang tidak mampu ditangani oleh kerajaan pemerintah.

Apakah kebangkitan seumpama itu tidak akan berlaku di Malaysia? Saya fikir tiada siapa dapat menjamin ketiadaan bangkitan. Terpulanglah kepada kerajaan, saya hanya berbicara akan kemungkinan-kemungkinan dengan harapan kegusaran itu tidak akan berlaku. 

Tiada ulasan: