Isnin, 16 Januari 2017

Kata Penghantar Antologi Dermaga Hayat



TAUTAN KREATIF JIWA BUDI EMPAT PENYAIR MUDA TERENGGANU
Oleh Nassury Ibrahim

Betapa ramai, manusia mempunyai satu jiwa yang sama, iaitu ingin sejahtera dan maju. Termasuk dalam sejahtera ialah rasa damai, bahagia, dan kasih-sayang. Manakala maju ialah mencapai kejayaan setinggi dan sehebat mungkin. Kejayaan dalam kalangan masyarakat, kejayaan dalam lapangan kerjaya, dan kejayaan setelah beralih ke dunia yang lain. Untuk mencapai kesejahteraan dan kemajuan, manusia sentiasa merefleksi diri dan kehidupan di sekitarnya. Mereka akan menemui pelbagai fenomena yang memeritkan. Daripada fenomena itu timbul keinginan membaiki pemasalahan, sama ada pemasalahan peribadi mahupun pemasalahan dari sekitar dirinya. Maka timbul pula keinginan mencipta, baik dalam aspek material mahupun nonmaterial. Semuanya untuk mengembalikan struktur budaya dan masyarakat yang telah rosak.

Sifat mencipta ini dipanggil kreativiti. Nilai kreativiti terbit daripada akal yang sihat dan kaya maklumat. Manusia selalu mencipta (dan membaharui ciptaan) kerana tidak mahu kehancuran. Kemajuan pada zaman Yunani dianggap lapuk pada zaman renaisans. Kemajuan pada zaman renaisans dianggap ketinggalan pada zaman sains, dan seterusnya pada zaman Teknologi maklumat dan komunikasi kini yang boleh dianggap zaman kesatuan bangsa dan negara. Bagi mengelak kelapukan nikmat hidup (kehancuran), manusia terus mencipta dan memperbaharui struktur-struktur kebudayaan material dan nonmaterial. Mencipta yang baharu atau membaiki yang rosak.