Jumaat, 27 Mei 2011

Hari Hujung Minggu


Selain urusan kekeluargaan, hari hujung minggu aku diwarnai tanggungjawab sebagai tutor atau pensyarah sambilan atau penceramah. Ada kalanya aku mengajar guru-guru yang datang berkursus. Ada kalanya aku mengajar di sebuah universiti swasta (sejak 2004 lagi) dan ada kalanya menghadiri ceramah-ceramah kesusasteraan dan pendidikan. Ada kalanya, dalam cuti semester pun aku masih bertugas. Kalau tidak mengajar, aku isi dengan memeriksa tugasan, kertas atau membuat persediaan.

Selasa, 24 Mei 2011

Kemuliaan

Kemuliaan datang dengan kata
bersimpuh di mulut kita

kemuliaan datang dengan gerak
melambai-lambai di tangan kita

kemuliaan datang dengan baju
bersila tertib di tubuh kita

kemuliaan datang dengan rasa
bertenggek malu di pipi kita

itulah roh kemuliaan
diam bersembunyi di hati kita.

1 Julai 2010
Dewan Sastera, Mei 2011

Isnin, 23 Mei 2011

Yang Runtuh Tanah Yang Sedih Hati

Tanah runtuh bukan bencana. Tanah runtuh juga bukan tragedi. Namun, tanah runtuh akan memberi bencana dan tragedi. Bencana kerana tanah runtuh akan merosakkan persekitaran. Sekiranya di persekitaran itu ada manusia maka tanah runtuh akan merosakkan manusia dan jiwa manusia. Apabila merosakkan manusia dan jiwa manusia, maka tanah runtuh akan memberi tragedi.

Rabu, 18 Mei 2011

Berkubang di Kubang Batang

Selama tiga hari berturut-turut aku 'berkubang' di SK Kubang Batang, Tempat, pada 10 - 12 Mei 2011.

Aku 'berkubang' di sini sebagai Ketua fasilitator bagi Kursus Penghayatan Bahan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu.

Pesertanya terdiri daripada guru-guru Bahasa Melayu sekitar sekolah di Daerah tumpat dan Pasir Mas, iaitu sekitar 25 orang.

Kursus di bawah Kursus Pendek Kelolaan Institut ini adalah dalam program  Memartabatkan Bahasa Melayu.

Semoga kursus itu memberi banyak manfaat kepada para peserta dan diri aku sendiri.

Kursus Pembelajaran Berpusatkan Murid

Selama tiga hari dua malam, bermula pada 3 - 5 Mei 2011, aku bersama-sama Encik Roslan Wahid dan Encik Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad menjadi fasilitator Kursus Strategi Pengajaran Bahasa Melayu Berkesan.

Kursus ini bermula pukul 8.00 pagi hingga 4.00 petang telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2, Gua Musang. Antara kandungan yang telah kami berikan ialah pelbagai jenis teknik drama, dan pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

Pesertanya seramai 25 orang, terdiri daripada guru-guru dari sekolah kebangsaan di sekitar Gua Musang. Aku berharap segala ilmu yang diberikan akan digunakan secara berkesan dalam pengajaran mereka nanti.

Isnin, 16 Mei 2011

Seminar Mini Pengajian Melayu Siri 1

Dalam visi dan misi Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) masing-masing berbunyi, "menjadi institusi pendidikan cemerlang ke arah melahirkan guru bertaraf dunia," dan "membangunkan sumber manusia berkualiti bagi melahirkan guru minda kelas pertama melalui pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum berkesan." 
Visi dan misi ini digantung di ruang pejabat dan di dinding-dinding setiap jabatan.

Saya menterjemahkan visi dan misi ini dengan menubuhkan Kelab Bahasa Melayu (KEBAYU) pada tahun 2010.

Atas nama KEBAYU saya menganjurkan Seminar Mini Pengajian Melayu (SMPM). Jika tiada masalah, seminar ini akan diwartakan sebagai aktiviti semester dan akan dilaksanakan secara bersiri.

Siri pertama SMPM telah dilaksanakan pada 15 Mei 2011, bertempat di Dewan Seminar 2 (Dewan Gerko), IPGKKB. Dua orang pelajar dari tahun satu dipilih sebagai ahli panel pelopor.

Mereka ialah Edmund ak Austrus dari opsyen Pendidikan Khas, dan Muhammad Ramadhan Muhamad dari opsyen Bahasa Melayu.

Edmund Austrus membentang makalah bertajuk "Analisis Cerpen 'Kasut Kelopak Jantung' Karya Ghazali Lateh dari Sudut Formalistik," manakala makalah Muhammad Ramadhan Muhamad bertajuk "Konflik Masyarakat dalam Cerpen 'Kasut Kelopak Jantung' Karya Ghazali Lateh."

Cerpen Kasut Kelopak Jantung merupakan salah satu cerpen yang terdapat dalam antologi Kasut Kelopak Jantung terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, dan menjadi buku teks Komsas tingkatan satu mulai tahun 2010.

Tujuan utama SMPM ialah untuk (a) melatih para pelajar bagi mempersiapkan diri sebagai ahli panel seminar yang berkesan; (b) mendedahkan para pelajar bagi menyediakan makalah seminar yang betul; dan (c) menyebarkan ilmu pengajian Melayu secara praktis.

Saya amat berharap SMPM akan menjadi pemangkin ke arah merealisasikan hasrat IPGKKB dan juga Kementerian Pelajaran bagi melahirkan pelajar dan seterusnya guru yang bertaraf dunia. Dan, yang lebih utama dalam konteks kesusasteraan ialah melahirkan generasi pelapis dalam genre kritikan.

Sabtu, 7 Mei 2011

Prof. Ahmad Pengalaman: Pengalaman

Sebut saja nama Prof. Ahmad Pengalaman, orang akan menggangguk. Maklumlah, siapa tidak kenal Prof. Ahmad Pengalaman. Semua orang kenal. Yang baharu datang pun kenal. Lebih-lebih lagi yang telah berkulat dan melekat di sini, bertambahlah kenalnya.

Prof. Ahmad Pengalaman mula menjadi guru sekitar 30 tahun lampau. Dia pernah bertugas di sekolah rendah dan menengah. Dan kini sudah 25 tahun Prof. Ahmad Pengalaman bertugas di IPG. Maka ramailah anak muridnya dan tersebar di pelusuk bumi Sejantung ini.

Dulu Prof. Ahmad Pengalaman bertugas di IPG Nantang. Tidak lama, hanya 5 tahun sahaja. Kini, Prof. Ahmad Pengalaman bertugas di IPG Kijang. Campur tolak kali bahagi, rupa-rupanya sudah 20 tahun Prof. Ahmad Pengalaman bertugas di IPG Kijang.

Mulanya sebagai pensyarah biasa di JIH. Tidak lama kemudian beliau dinaikkan pangkat jadi profesor. Apabila kawan-kawan bertanya akan kriteria dia dipilih dan diberikan jawatan profesor, maka beliau menjawab;

"Sudah 20 tahun saya mengajar di IPG. 10 tahun mengajar di sekolah. Takkan pengalaman 20 + 10 = 30 itu tidak melayakan saya memperoleh jawatan profesor." Jawab Prof. Ahmad Pengalaman. "Di universiti," sambung beliau. "Baru 5 tahun tamat belajar Ph.D sudah diberikan jawatan profesor. Ilmunya masih mentah," tegas beliau lagi.

Sejak itulah beliau memperoleh gelar Prof. Ahmad Pengalaman. Kini, Prof. Ahmad Pengalaman telah menjadi Ketua Jabatan IPG.

Isnin, 2 Mei 2011

Surat Kepada Leo AWS

Nassury Ibrahim
Jabatan Pengajian Melayu
MP. Tuanku Bainun
Bukit Mertajam.

13 Disember 2004

Semoga Cikgu Leo dan keluarga berada dalam keberkatan Allah hendaknya. Terima kasih kerana menghantar kumpulan puisi terbaharu, "Simile Che Azizah Serupa Sajak." Walaupun tidak lengkap, koleksi kumpulan puisi Cikgu Leo dalam simpanan saya kira memadai sebagai rujukan.

Nampaknya, dari segi mutu penerbitan buku terbaharu Cikgu Leo ini lebih maju dan menarik. Berkenaan isi sesebuah puisi sangat subjektif. Walaupun puisi sering dilihat dari segi mutu isi, sebenarnya, tidak ada puisi yang dihasilkan tidak berguna. Puisi yang bermutu sekalipun jika tidak menarik minat pembaca / pengkritik, puisi itu dianggap mati, berbanding puisi yang tidak bermutu tetapi sering dijadikan rujukan.

Orang melihat seni, tetapi apa ada pada seni jika seni puisi itu tidak mampu berkata-kata. Pada sebuah puisi sebenarnya kita boleh melihat manusia, peristiwa, latar, pemikiran pengarang, perasaan pengarang, gaya, maju-mundur masyarakat, bahasa dan sebagainya yang semuanya tidak bergantung pada mutu isi puisi.

Saya berpendapat Cikgu Leo sudah melepasi 'ujian tahap kepenyairan' untuk meletakkan diri dalam sejarah peta puisi Malaysia. Seseorang pengarang yang menang Hadiah Sastera Malaysia sekali dan terus menghilang, pengarang berkenaan tidak akan 'tercetak' namanya dalam sejarah peta puisi Malaysia. Sebaliknya, seseorang yang dianggap mutu puisi ciptaannya rendah, tetapi konsisten, berkarya dan terus berkarya, maka gaya puisi yang dihasilkan secara konsisten itu akan menjadi identiti / gaya kepengarangan penyair berkenaan. Identiti gaya kepengarangan inilah yang penting yang membezakan karya seseorang pengarang dengan karya seseorang pengarang yang lain, yang sudah Cikgu Leo peroleh. Tahniah.

Saya ada kalanya rasa cemburu dengan produktivisi Cikgu Leo yang 'sekali berbunga selamanya berbuah' (sajak Pohon Puisi Leo). Saya ada beberapa kumpulan puisi yang belum diterbitkan, terpendam, maka tidak bermanfaat. Ini tentunya merugikan. Saya fikir saya perlu mengikuti cara Cikgu Leo menerbitkan sendiri kumpulan puisi berkenaan. Untuk itu, saya perlu belajar dari Cikgu Leo menguruskannya.

Ok, setakat itu sahaja. Selamat berkarya.

NASSURY IBRAHIM   

Naik Taraf Tugasan Pelajar

Alhamdulillah, aku telah siap mengedit dan menaiktarafkan hasil tugasan pelajar PPISMP Semester 2. Mereka ditugaskan menghasilkan kritikan terhadap cerpen-cerpen dalam antologi Kasut Kelopak Jantung yang menjadi teks Komsas tingkatan satu mulai tahun 2010.

Mereka diminta mengkritik salah satu cerpen dengan menggunakan salah satu teori yang dipelajari: Teori Formalistik, Teori Struktural, Teori Feminisme, dan Teori Sosial.

Memanglah hasil tugasan pelajar tidak berapa menarik. Aku memilih mana-mana yang aku anggap terbaik untuk dibaiki. Banyak juga yang aku baiki - mengurangkan dan menambahkan - kerana mereka masih baru dalam segala macam. Baru dalam membuat tugasan, baru dalam memahami kesusasteraan dan baru untuk memahami teori.

Aku berharap usaha yang sedikit ini akan mencetus minat mereka untuk seterusnya menggauli dunia kesusasteraan.

Aku bercadang tugasan yang aku perbaiki itu akan dibentangkan dalam seminar, yang aku menamakannya SEMINAR MINI PENGAJIAN MELAYU. Aku bercadang akan menganjurkan seminar ini secara bersiri dan panelnya terdiri daripada para pelajar. 

Tiga tugasan yang telah siap dinaiktarafkan sebagai kertas kerja ialah "Konflik Masyarakat Dalam Cerpen "Kasut Kelopak Jantung" Karya Ghazali Lateh" oleh Muhamad Ramadhan bin Muhamad; "Analisis Cerpen Kasut Kelopak Jantung Karya Ghazali Lateh dari Sudut Formalistik" oleh Edmund AK Autrus; dan "Teori Kritikan Formalistik dan Penerapannya Terhadap Cerpen Kasut Kelopak Jantung" oleh Siti Aisyah Khalid.

Oleh sebab tajuk Admund AK Austrus dengan tajuk Siti Aishah Khalid sama, maka salah seorang akan dipilih untuk dibentang pada semester ini, manakala yang satu lagi akan dibentangkan dalam siri akan datang. 

Semoga impian ini akan menjadi realiti seterusnya.