Bertolak daripada hasrat memperkenalkan penulis tempat dan penulis dari luar kepada masyarakat setempat, khususnya yang berkaitan dengan perkembangan kebudayaan dan persuratan Melayu, maka Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dengan kerjsama Kelab Bahasa Melayu (Kebayu), Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) menganjurkan majlis Diskusi Karya Wilayah Timur pada 6 Mac 2011. Majlis yang berlangsung di Dewan Wawasan, IPGKKB, bagi mendekatkan hubungan penulis dengan pelajar sebagai pembaca karya, sekali gus memberi pendedahan terhadap teori kritikan yang dipelajari dalam bilik kuliah dan cara pelaksanaannya.
Sebanyak dua buah karya pengarang Pantai Timur telah dibedah, dianalisis dan dirumuskan oleh dua orang pengkritik jemputan. Dr. Fatimah Busu (mantan pensyarah Universiti Sains Malaysia) mengkritik kumpulan cerpen Merpati Menari di Padang Embun (MmdE) karya Zanazanzaly. Manakala, kumpulan drama pentas Awal Tengah Akhir (ATA) karya Wan Ahmad Ismail diperkatakan oleh Encik Muhammad Nazri Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Melalui kertas kerja setebal 15 halaman berjudul “Memperkatakan Merpati Menari di Padang Embun”, Dr fatimah Busu mengkritik 21 buah cerpen perseorangan pertama Zanazanzaly yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur pada tahun 2010. Menurut beliau, membaca cerpen dalam MMdE telah membangkit pelbagai cita rasa kerana ada cerpen yang memakan masa seminggu pembacaan, ada cerpen dibaca beberapa kali saja, ada cerpen dapat dibaca secara santai, dan ada cerpen yang menyebabkan hatinya memberontak untuk menghabiskan pembacaan.
Dengan merujuk frasa ‘Renyai petang muda tidak mengizinkan saya meninggalkan galeri ekslusif yang sudah hampir empat jam tadi dipotong reben perasmiannya’ di muka surat 20, ‘kutub emosi perempuan saya ditarik’ (m.s. 21), ‘lingkung horizontal menyilang sepatu langit’ (m.s 22) misalnya, Dr. Fatimah Busu berpendapat kesukaran memahami mesej kerana bahasa cerpennya yang bersifat hiperbola dan membazir perkataan.
Dr. Fatimah menyifatkan gaya penulisan sedemikian menyamai gaya penulisan pengarang tahun 1960-an yang terlalu ‘over’, membazir perkataan, tidak mementingkan aturan binaan ayat dan bersifat membahaskan hujah dari awal hingga akhir cerita.
Kesan daripada gaya bahasa yang sedemikian menyebabkan Dr Fatimah Busu rasa ‘terdera’ untuk menghabiskan pembacaannya. Secara sinis Dr. Fatimah Busu berkata hal ini mungkin disebabkan sikap beliau yang konservetif, konvensional dan kolot dalam menilai karya kesusasteraan kreatif moden dan ditambahkan pula sikap beliau yang tidak menyukai gaya penulisan cerpen para ‘pengarang generasi baru’ Malaysia.
Berkenaan mesej dalam cerpen, Dr fatimah Busu mendapati idea dalam cerpen Zanazanzaly meliputi empat perkara, iaitu (a) berhubung-kait dengan gejala sosial masyarakat / agama sebagaimana cerpen “Hijau Lumut, Hijau Rumput” (m.s. 30 - 39) misalnya; (b) masalah bahasa dan karya kreatif dalam kalangan penulis kreatif Melayu seperti dalam cerpen “Kontraktor” (m.s. 65 - 73), “Kalam Munsyi” (m.s. 52-64) misalnya; (c) kesedaran kebudayaan seperti dalam cerpen “Avule Aidiladha” (m.s. 9 - 19), “Teranum Busur Titanium” (m.s. 40 - 51) misalnya; dan (d) kesedaran kemanusiaan sejagat seperti terdapat dalam cerpen “Biru, Merah Jambu” (m.s. 20 - 29) misalnya.
Walaupun tidak meminati karya generasi baharu, namun Dr Fatimah menyifatkan Zanazanzaly sebagai antara penulis wanita angkatan baru yang serius, komited dan menulis bukan bermatlamatkan royalti serta keluasan latar idea dan kekayaan ilmu bantu yang perlu diteladani oleh 200 peserta yang hadir.
Manakala Mohamad Nazri Ahmad melalui kertas kerja setebal 24 halaman berjudul “Antologi Awal Tengah Akhir: Satu Pembicaraan Kritis” menganggap Wan Ahmad Ismail sebagai penulis tanah air yang istimewa, kreatif, produktif, aktivis teater yang terkenal di Terengganu, dan berguru ilmu teater dengan buku. Sehingga kini, Wan Ahmad Ismail telah menghasilkan sekurang-kurangnya 32 buah skrip drama pentas.
Beliau berpendapat pemikiran dalam drama pentas Wan Ahmad Ismail terbahagi kepada dua bentuk drama, iaitu drama absurd dan drama surrealisme. Wan Ahmad Ismail dianggap penulis drama pentas absurd yang baik. Menurut Encik Mohamad Nazri, pemikiran yang beracuan absurd dalam drama pentas Wan Ahmad Ismail dapat dikesan dari segi cadangan masa, watak dan tempat yang universal. Dari segi surrealisme pula, drama pentas Wan Ahmad mempunyai latar, watak dan cerita yang pelbagai ragam dan kisahnya di luar zaman.
Walaupun bersifat absurd dan surrealisme, Mohamad Nazri merumuskan bahawa pertama, drama Wan Ahmad tetap mencerminkan kehidupan masyarakat dan tamadun Melayu khususnya di Terengganu; kedua, negeri dan masyarakat Terengganu terjajah dari segi minda dan fizikal; ketiga, nama-nama watak tidak menggambarkan individu secara perse; keempat, seorang penulis yang produktif mengarang cerita yang beragam dan berlapis makna.
Kesimpulannya, Diskusi Karya Wilayah Timur membantu pelajar IPGKKB memahami karya MmdE dan ATA sebagai bahan kajian ilmiah dan penerapan teori mengkritiknya, di samping dapat memperkenalkan pengarang dari Pantai Timur ke persada khalayak dan sastera tanah air. Dan, yang lebih penting ialah pendedahan karya, kritikan karya dan majlis Kesusasteraan dapat mendekatkan generasi baharu dan bakal guru dengan karya kesusasteraan. Sesungguhnya, pengalaman ini mampu memperkayakan ilmu peserta di luar pedagogi mereka.
1 ulasan:
Tahniah
Catat Ulasan