Khamis, 24 November 2011

Laporan Penilaian ACM

LAPORAN PENILAIAN ANUGERAH CITRA MAJALAH SEKOLAH MENENGAH NEGERI JOHOR DAN MELAKA 2011

PENGENALAN
Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka 2011 (Kategori Esei)  anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Selantan (DBPCS) menerima sebanyak 70 esei. Bilangan penyertaan ini menandakan sambutan yang baik daripada pihak sekolah.

KEKUATAN
1.    Bilangan penyertaan sebanyak 70 buah esei daripada 33 buah sekolah dari Johor dan Melaka. Ada sekolah yang menghantar satu penyertaan, ada yang menghantar dua penyertaan dan ada yang menghantar tiga penyertaan. Hal ini menandakan bahawa program ini mendapat sambutan dan sokongan cemerlang daripada pihak sekolah.

2.    Berdasarkan nama-nama penulis didapati bahawa anugerah ini mendapat sambutan daripada pelbagai kaum yang ada. Penyertaan dari pelbagai kaum ini menandakan sambutan yang baik dari rakyat Malaysia, bukti sifat sama rata yang menjadi amalan masyarakat dan yang lebih membanggakan ialah bukti perpaduan kaum dan penglibatan bersama dari pelbagi kaum dalam menjaya misi dan visi kerajaan.

3.    Terdapat pelbagai tema dan pemasalahan digarapkan dalam esei, meliputi pemasalahan para remaja, masalah sosial masyarakat, sukan, pertanian, industri hinggalah kepada dasar-dasar kerajaan bagi memajukan masyarakat dan negara.

KELEMAHAN
1.    Aspek pengeditan. Terdapat sebilangan besar esei yang mempunyai kelemahan umum sama ada dari segi kesilapan ejaan mahupun penggunaan tanda baca yang tidak tepat. Misalnya, tiada dijarakkan perkataan yang hadir selepas tanda titik (.) atau tanda koma (,). Walaupun kesalahan ini sangat asas, namun dengan terdapat kesalahan itu mendatangkan syak wasangka para pembaca bahawa esei berkenaan tidak diedit dengan baik oleh pihak tertentu sebagaimana sepatutnya.

2.    Aspek penggunaan istilah. Terdapat sebilangan esei yang menggunakan istilah-istilah gah yang tidak berwacana. Malangnya, sebilangan istilah itu terasa ‘diada-adakan’ dan bertentangan dengan laras ilmu yang diperkatakan serta tidak berkonteks. Misalnya, frasa atau istilah "metodologi kerajaan” digunakan bagi merujuk kepada dasar-dasar kerajaan.

3.    Aspek pemerengganan. Terdapat esei yang bagus dari aspek pemasalahan yang diperkatakan, namun esei tersebut dicacati oleh sikap kurang perihatin penulis atau editor terhadap sistem pemerengganan. Terdapat esei yang baik binaan perenggan pada peringkat awal, namun dalam perenggan seterusnya berlakukan longgokan isi yang dikemukakan secara fakta tanpa dihujahkan sebagaimana sepatutnya. Juga terdapat esei yang baik, namun tidak mempunyai penutup.

4.    Aspek rupa taip. Antara kesukaran penilai yang perlu diberikan perhatian oleh pihak editor khususnya ialah rupa taip dan teknik persembahan esei yang diterbitkan. Terdapat esei yang dicetak dalam saiz rupa taip yang sangat kecil. Ada esei yang telah ‘disemaksamunkan’ dengan lakaran hiasan dan warna-warna pada dada esei. Hal ini menimbulkan kesukaran membaca dan tumpuan penilaian.

ASPEK PENILAIAN
1.    ISI / PEMIKIRAN. Secara umumnya idea yang dikemukakan dalam esei adalah jelas dan menarik. Perbincangan juga merangkumi pelbagai bidang ilmu, sama ada berkaitan dengan bidang pendidikan mahupun di luar bidang pendidikan. Pengolahan idea diperincikan secara berstruktur, baik dari aspek binaan sesebuah karangan mahupun binaan pemerengganan. Hal ini mencerminkan bahawa pelajar faham akan aspek yang dibincangkan. Namun begitu, terdapat juga esei-esei yang ‘kurang masak.’ Idea tidak dihujahkan secara jelas, malahan ada idea yang berlonggok dalam satu perenggan. Terdapat juga esei yang cantik dari segi penstrukturan, namun tidak berwacana dengan tajuk yang dikemukakan.

2.    BAHASA. Semua esei dikemukakan dalam bahasa Melayu baku. Ada dua kategori penggunaan bahasa. Pertama, esei disampaikan dengan hiasan kosa kata yang ‘global’ yakni kosa kata pinjaman daripada laras bidang ilmu lain. Kesannya, ada esei yang penggunaan kosa katanya tepat, dan ada esei yang terasa penggunaan kosa kata ‘globalnya’ ‘dipaksakan’ menyebabkan hilang kejernihan wacananya. Kedua, esei yang disampaikan menggunakan kosa kata biasa. Dari segi kepersisan bahasa juga terasa dua kesan. Pertama, ada esei yang penggunaan bahasanya lancar. Kedua, ada esei yang kaya dengan kesalahan ejaan, frasa, malah ayat yang tergantung hingga mesejnya kabur. Hal ini tidak terkecuali pada esei yang pernah memenangi pertandingan sebelumnya.

3.    GAYA TEKNIK. Secara keseluruhan, esei-esei yang dikemukakan menggunakan teknik menulis karangan yang lazim diamalkan. Amat jarang esei yang ‘bermula’  atau dihiasi dengan sesuatu penyataan atau kata-kata hikmah bagi mengembangkan isi.

CADANGAN
1.    Guru atau editor majalah hendaklah memberi tumpuan lebih terhadap aspek pengeditan esei seperti aspek ejaan, penggunaan tanda baca, pemerengganan isi dan sebagainya.

2.    Menyeragamkan aspek saiz rupa taip agar tidak terlalu kecil, dan menggunakan kelarai atau hiasan latar pada halaman esei secara bijaksana agar tidak mengganggu pembacaan.

KEPUTUSAN
Setelah menelaah secara bersungguh-sungguh kesemua esei, dan setelah membuat pertimbangan, maka dicadangkan esei-esei yang berikut layak untuk diberikan hadiah.

1.    SMK TUN HUSSEIN ONN
            Nur Farahin binti Mohd. Yazez (Menyelusuri kepentingan mempertahankan seni
            silat Melayu dalam arus kejam globalisasi).

2.    SMK (P) SULTAN ABU BAKAR
            Khairunnisak bt. Hassni, Nur Baiti bt. Mohd Aini, Ida Nur Izzaty bt. Ikhwan Goh,
          dan Siti Hawa bt. Mahfar (Langkah-langkah mempopularkan permainan tradisional).

3.    SMK DATO’ PENGGAWA TIMUR
            Santhiya a/p Chandran (Satu Malaysia menjana tranformasi).

4.    SMK (P) SULTAN IBRAHIM
            Cassandra Quek Yi Ting (Pencegahan rasuah).

5.    SMK SULTAN ALAUDDIN
            Nur Ain Johar (Peranan ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak).

6.    SMK (P) SULTAN ABU BAKAR
            Nur Hazeeqah bt. Mohd Farhadi (Usaha-usaha memupuk amalan membaca dalam       
          kalangan masyarakat).

7.    SMK INDAPURA (1)
            Gan Leh Ying (Peranan masyarakat mengatasi lumba haram).

8.    SMK AGAMA BANDAR PENAWAR
            Azmeer bin Azman (Kelebihan menguasai lebih daripada satu bahasa).

9.    SMK TUN ISMAIL
            Noor Farahidayu binti Khamsan (Pengisian kemerdekaan sempena kemerdekaan   
          yang    ke-53).

Sekian, terima kasih
(MANIYAMIN BIN IBRAHIM @ NASSURY IBRAHIM)
Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Kota Bharu,
16109 KOTA BHARU, KELANTAN.

01 OGOS 2011

2 ulasan:

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan Nassury,
Tahniah atas pelibatan selaku juri dalam anugerah pada tahun ini yang telah diadakan sejak tahun 2002 ini.

rafihasanan berkata...

Itu satu kepercayaan terhadap Tuan Nassury.