Setahu saya, tidak pernah tercatat dalam sejarah negara-negara di dunia bahawa ada manusia marah atau memusuhi warna. Namun, negara Itali Timur telah mempeloporinya. Ada puak tertentu di negara Itali Timur yang sangat marah terhadap warna. Warna pertama yang menjadi mangsa ialah warna hijau. Puak ini menggunakan warna merah @ biru sebagai identiti mereka. Manakala lawannya menggunakan warna hijau sebagai identiti. Sifat dan sikap pelik (devian) ini terjadi pada akhir tahun 1990-an atau akhir abad 20, semasa pemerintahan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed sebagai perdana menteri.
Sejarah membenci warna hijau bermula apabila puak warna hijau berusaha bersungguh-sungguh menggugat kuasa azali puak warna merah @ biru. Ramai rakyat yang tidak berwarna terpersona dengan warna hijau. Ditambah dengan kebaikan sifat dan sikap warna hijau, dan keburukan sifat dan sikap pendokong warna merah @ biru.
Gelombang hijau tumbuh di mana-mana di segala ceruk di Itali Timur. Menyedari 'gelombang' yang membahayakan ini, puak merah @ biru cepat-cepat bertindak membersihkan warna hijau di premis-premis mereka. Melalui agensinya, puak merah @ biru menukarkan warna tiang, dinding, bumbung, siling, lantai, dan segala benda dan objek berwarna hijau dicat semula dengan warna merah. Malah warna minyak petrol yang kehijau-hijauan juga ditukar kepada warna kemerah-merahan. Sesiapa yang menggunakan warna hijau akan dianggap musuh dan dimusuhi. Maka, ramailah orang-orang yang tidak bersalah dituduh dan dihukum sebagai perisik warna hijau. Guru-guru yang memakai baju hijau atau berfail hijau akan ditukar ke kawasan pendalaman. Bencinya mereka terhadap warna hijau sehingga ada yang menjenakakan bahawa kalau pokok boleh dicat akan dicatkan dengan warna merah atau biru.
Dan, sehingga kini, mereka masih memusuhi warna hijau dan kehijauan hijau.
Dan, sehingga kini, mereka masih memusuhi warna hijau dan kehijauan hijau.
Kini puak yang sama, dalam era pemerintahan Datuk Seri Najib, mengambil sikap yang sama memusuhi warna. Kini warna kuning pula yang menjadi mangsa. Alasan mereka, warna kuning ialah warna Bersih, sebuah kumpulan NGO yang mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya bersikap telus dan adil dalam pilihan raya. Sesiapa yang memakai baju berwarna kuning dianggap membahayakan. Mereka akan ditangkap dan disiasat. Yang memakai baju kuning dan ditutupi baju warna lain, akan diselak. Kalau ternyata warna kuning, dan lebih-lebih lagi tercatat perkataan BERSIH 2.0, mereka akan ditangkap. Mereka terdedah dengan pendakwaan.
Adapun sejarah bermulanya baju kuning apabila segolongan puak yang merasai ketidakadilan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Puak ini menamakan kumpulan mereka sebagai Bersih. Menurut mereka, telah berkali-kali Bersih mengkritik SPR, hantar memorandum, bantahan, saranan agar SPR bersikap bersih. Namun, SPR tetap dikatakan bersikap tidak bersih. Lantaran itu, mereka merancang keluar beramai-ramai menghantar memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong menuntut agar SPR bersikap bersih. Mereka sepakat memakai baju berwarna Kuning semasa menghantar memorandum itu.
Anehnya, yang dimusuhi oleh puak Bersih ialah SPR, yang terasa dimusuhi ialah puak merah @ biru. Tidak pula diketahui akan kaitan SPR dengan puak merah @ biru. Yang diwarwarkan oleh puak merah @ biru ialah perhimpunan Bersih 2.0 itu haram dan mengundangkan banyak malapetaka kepada negara dan peniaga. Peliknya, perhimpunan belum lagi bermula, tetapi sudah diwarwarkan kemalapetakaannya. Malah, PDRM pun, awal-awal lagi menegaskan bahawa mereka tidak akan mengeluarkan permit berhimpun kepada Bersih. Maka perhimpunan yang dirancangkan itu dianggap haram dan mengharamkan. Sesiapa yang menyokongnya dengan cara memakai baju berwarna akan dianggap haram.
Oleh sebab ramai yang menyokong, maka puak merah @ biru rasa kedudukan mereka tergugat. Lebih-lebih lagi apabila belajar daripada perhimpunan Bersih pada 2007 yang telah merampas empat buah negeri oleh puak lawannya pada tahun 2008. Perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal diadakah pada 9 Julai 2011 akan mengganggu kedudukan kuasa puak merah @ biru pada pilihan raya ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa nanti. Oleh sebab itu, pada fikiran saya, langkah puak merah @ biru menentangnya adalah wajar kerana bimbang kuasa mereka hilang. Dan, langkah puak hijau bersekongkol menganjurkannya juga adalah wajar kerana bakal menguntungkan mereka.
Sebagai lambang penentangan, sekali lagi warna menjadi mangsa. Oleh sebab pihak Bersih memilih warna kuning dan menyaran agar penyokongnya memakai baju berwarna kuning, maka puak merah @ biru bangun menentang warna kuning. Tentunya, agensi tunggangan sebagai pelaksana ialah PDRM.
Oleh sebab itu, sesiapa sahaja yang memakai baju warna kuning, dan lebih-lebih lagi tertera perkataan Bersih 2.0 akan ditangkap. Pencetak baju yang demikian juga akan ditangkap dan bajunya dirampas.
Satu kebimbangan timbul bahawa warna kuning bukan identiti puak Bersih semata-mata. Sejak azali lagi warna kuning menjadi identiti warna raja-raja Melayu. Raja dianggap ketuanan Melayu. Sekarang ini sedang berlaku usaha menanam ketakutan dan kebencian terhadap warna kuning. Dibimbangi kebencian itu juga merebak bukan sahaja terhadap Bersih dan Bersih 2.0, malahan terasa kebencian terhadap raja-raja Melayu. Lama-kelamaan, kebencian itu akan tercetus sikap menghapus institusi raja dan kerajaannya. Perlu diakui bahawa masalah yang timbul pada hari ini bukanlah terbenih pada hari ini, melainkan rasa terhadap sudah bermula sejak bertahun-tahun yang lampau.
Kiranya ini terjadi (membenci raja-raja dan institusi raja oleh generasi baru) benihnya telah disemai pada hari ini oleh puak warna merah @ biru. Siapapun mereka, mereka bertanggungjawab terhadap membencikan warna hijau dan kuning dan punca kemusnahan terhadap identiti dan ketuanan Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan