Selasa, 7 Julai 2015

Sabtu, 4 Julai 2015

Selasa, 19 Mei 2015

Proses Menulis

Menulis sajak tidak susah. Asalkan datang idea, atau terjumpa idea, atau ada maklumat yang hendak disampaikan. 

Catatlah idea atau maklumat itu. Tentulah idea atau maklumat itu tidak lengkap. Setelah idea atau maklumat itu dicatat, maka barulah bermula kesukaran mematangkannya. Perlu ditokok, dipotong, diubah dan sebagainya. 

Semuanya itu dinamakan proses. 

Proses mematangkan sajak memerlukan kesabaran dan tumpuan sedaya mampu, hingga kita terasa puas. Rasa puas pada hari ini belum tentu kekal pada keesokannya, atau pada beberapa tahun akan datang. 

Selagi timbul ketidakpuasan itu, selagi itulah kita membaikinya, walaupun karya itu telah diterbitkan. Yang penting, kita jangan berasa bosan.  


Sajak ini adalah kesan setelah membaca buku Mek Mulung terbitan ITBM, 2014.

Jumaat, 15 Mei 2015

Rahimidin Zahari

Saya mengenali Rahimidin Zahari semasa tinggal di Kelantan, sekitar pertengahan 1980-an. Beliau sering bersama Salleh Yacob. Malah, menubuhkan dan aktif dalam Teater Saadong bersama-sama Salleh Yacob. Beliau sering hadir acara kami anjurkan (PUSPA) dan saya juga hadir acara Teater Saadong. Pada saya, beliau merupakan saham besar dalam pasaran kesusasteraan Melayu Malaysia, khususnya genre puisi. Seorang yang mencari guru dan ilmu untuk berkarya, bukannya seorang yang dicari agar berkarya. Saya masih ingat, beliau mencari Dr Lim Swee Tin untuk membedah karyanya. Beliau pernah tunjuk sajak Batu-Batu di Laman kepada saya dan saya anggap sajak itu bagus, malah ternyata bagus kerana sajak itu memenangi satu pertandingan. Saya fikir beliau ingin mencipta rekod sebagai pengarang termuda menghasilkan buku dan dikenali, sebagaimana Chairil Anwar mencipta rekod dalam usia muda. Ternyata, beliau benar-benar menyusur rekod Chairil Anwar apabila beliau meninggal pada 14. 05. 15 (Khamis) pada jam 4 petang dan dikebumikan di kampung halaman (Kg Benchah Keranji, Kelantan) pada 15. 05. 15 (Jumaat) jam 10 pagi. Sebagai sahabat saya hanya mampu berdoa (sajak di bawah), namun ternyata Allah lebih menyayangi beliau. Damailah engkau di sana, wahai sahabat yang kerap menghadiahi buku kepada saya. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa, ampunilah dosa-dosa beliau dan tempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang soleh. 
 
DOA BUAT DIA
 
Tuhanku, aku berseru
dengan tangan kuasa-Mu
Engkau kembalikan sihat
subur di tubuh sahabatku,
Engkau kembalikan riang
mekar di pipi sahabatku,
Engkau kembalikan rasa
wangi di waris sahabatku,
kerana Engkau Tuhan
aku berseru
Engkau kembalikan dia
membaja takwa di ladang jiwa
membaja kata di kebun puisi.

NASSURY IBRAHIM
8 MEI 2015





Selasa, 3 Februari 2015

Hormat

Sebelum datang, tabik dengan tangan
setelah datang, tabik dengan kaki.

Maksudnya,
Dari sisi luar kita menghormatinya kerana diuar-uarkan kehebatannya, namun setelah kita berada di dalam atau bersama-sama, kita hilang rasa hormat kerana sikap atau kehebatannya tidak seperti disangkakan atau diuar-uarkan.