Berkata yang empunya cerita, sebesar manapun rumah anda, secantik manapun garaj anda, sekukuh manapun binaan rumah anda, sehebat manapun laman anda; anda tidak berhak membina longkang di rumah jiran, atau menebas rumput di laman jiran, atau menyusun kasut selipar anak-anak jiran, apalagi mengkritik binaan, struktur atau warna rumah jiran.
Dan, diroyak olehnya lagi, anda adalah anda dengan segala cita rasa dan keandaan anda. Dan, jiran anda adalah jiran anda yang tidak pernah dan tidak akan pernah menjadi anda.
"Sebagaimana anda, jiran anda adalah jiran anda dengan segala cita rasa jiran anda dan sifat kejiranannya pada anda."
Dan, kata yang empunya cerita lagi, anehnya, hal ini seolah-olah sukar difahami oleh para cerdik pandai dan cerdik terpandai di IPGM mahupun IPGK. Baik dia cerdik pandai dan cerdik terpandai bertaraf master-mastir mahupun dari golongan fil-filosofi.
"Atas alasan kuasa dan kekuasaan, para master-mastir dan fil-filosofi dari IPGM dan IPGK memanjangkan tangan dan kepalanya ke dalam tanah kekuasaan jabatan-jabatan lain. Ditebas-tebasnya pohon dan pokok dengan mulut mengerutu akan susun baris pohon dan pokok, dan ketidakwajaran menanam pohon dan pokok itu di tanah itu."
Walaupun di tanah jabatan lain itu, kata yang empunya cerita, ditanami pohon dan pokok yang tidak sama pohon dan pokok di tanah master-mastir dan fil-filosofi, namun master-mastir dan fil-filosofi tetap mengerutu dan mahu jabatan lain mengikut cara master-mastir dan fil-filosofi menanam pohon dan pokok sebagaimana di jabatannya.
Dikatakan olehnya bahawa cara jabatan-jabatan lain memilih benih dan kebenihannya, memilih nama dan kenamaannya, serta cara dan kecaraan menanam pohon dan pokok itu adalah salah. Yang betul adalah sebagaimana master-mastir dan fil-filosofi memilih benih, memilih nama dan cara master-mastir dan fil-filosofi menanamnya.
Akibatnya, kata yang empunya cerita, "tunas yang tumbuh dan bertumbuhan menjadi sangat kontot, kemetok dan berpenyakit dan buahnya menjadi tersangat masam dan tidak laku dijual. Namun, para master-mastir dan fil-filosofi tetap menganggapnya berhasil. Dan, dengan pelbagai helah, para master-mastir dan fil-filosifi menghadiahkan buah itu kepada rakan-rakan sejawatnya. Oleh sebab teruja mendapat buah percuma, maka rakan sejawat master-mastir dan fil-filosofi membelinya untuk dijual kepada pelanggan yang lain. Dan, oleh sebab pelanggan itu orang bawahannya, maka dibelinya juga tanpa memakannya."
Di belakang master-mastir dan fil-filosofi dan di belakang rakan sejawat master-mastir dan fil-filosofi, para pelanggan menggerutu akan bertapa masamnya buah dan kebuahan dari kebun IPGM dan IPGK.
"Buah dan kebuahan IPG ada banyak ulat dan berkelarah," gerutu para pelanggan.
Namun, IPGM dan IPGK tetap menganggap buah dan kebuahan dari kebunnya tetap manis dan lazat untuk dimakan, serta kaya vitamin C.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan