CERPEN 1: KERANA SENYUM
KERANA senyum ayah kena penampar adik. Terkejut sakan ayah. Bukan kerana sakit pipi. Bukan kerana jerit adik: "Ayah!" Pang! Sepantas kilat tangan adik hinggap di pipi kiri ayah. Ayah terkejut dan terpaku.
Adapun ayah terkejut kerana perlakuan biadab adik. Ibu yang berada di sisi juga tidak kurang terkejut. Bukan kerana perit rasa sakit pipi ayah. Jauh sekali daripada kena tempias tangan adik. Ibu tidak kena penampar adik. Ibu terkejut juga. Terkejut bukan main. Ibu dikejutkan oleh suara adik: "Ayah!" Tidak semena-mena adik menjerit. Kuat. Piusss, kepala ibu berpusing ke arah adik. Ibu lihat tangan adik melayang ke pipi ayah. Pang! Bergema pipi ayah. Tidak semena-mena adik tampar ayah.
"Eh, apa ni?" ayah usap pipi yang panas dan sakit dengan jemari tuanya.
"Kenapa Nasa?" jerit ibu sambil bergegas menghampiri adik.
Adik tidak kata apa-apa. Tidak jawab apa-apa. Adik jegil ayah tidak berkelip. Matanya bersinar macam pontianak sundal malam. Mukanya Gengis Khan.
"Kenapa Nasa? Tiba-tiba tampar ayah. Tak baik," kata ibu dalam nada terkejut.
Ayah tidak terkata apa-apa. Tangan ayah sudah tidak lagi mengusap pipi. Dia pandang adik penuh tanda tanya. Fikirannya menerawang. Tidak sangka adik begitu biadab sekali. Tiba-tiba tampar ayah. Tidak pernah adik berkelakuan begini. Siapakah mengajarnya? Apakah sebabnya?
Adik tidak jawab pun pertanyaan ibu. Hanya mata jegilnya yang beralih: menatap ibu, menatap ayah, kemudian menatap ibu lagi, kemudian menatap ayah lagi. Dan kemudian, adik berlari ke bilik, menghempas pintu. Gedegung! Sekali lagi ayah dan ibu terkejut. Ibu memandang ayah, kehairanan. Ayah terkebil-kebil memandang ibu. Pun kehairanan. Tangan ayah mengosok-gosok semula pipinya yang masih terasa pengar. Entah mengapa adik tiba-tiba naik angin. Biadab. Biadab sungguh.
"Kenapa?" Ibu aju pertanyaan kepada ayah.
"Entah" jawab ayah berbaur rasa hairan. “Tak mahu jadi Melayu, kot?” Ayah bungkus pedih pipi ke dalam kata-katanya.
Ibu baru perasan. Sejak balik dari tuisyen tadi, tidak sepatah pun adik bersuara. Mukanya masam. Adik menghempaskan punggung ke kuisyen dan beg dicampak begitu sahaja. Ingat ibu adik kepenatan mengayuh basikal dari hujung taman. Meredah matahari sendeng. Ibu diam sahaja, meneruskan kerja-kerja surinya di dapur. Mengambil jag, sunquit dan ais. Bubur beras hitam sudah masak. Berasap di atas meja makan. Senduk pun sudah tersedia. Tunggu dicedok saja.
Sambil menunggu, ibu membersihkan apa sahaja yang tersisa di dapur. Membuang sisa-sisa potongan kangkung dan kulit bawang. Juga ibu bersihkan kangkung-kangkung, bawang dan bebola ikan yang siap dipotong untuk hidangan makan malam. Dua keping ikan tenggiri beku dari peti ais ibu keluarkan. Ibu rendam agar aisnya cepat cair. Sambil kerja ibu menjengok keluar, intai kalau-kalau ayah atau adik sudah pulang. Ibu lihat jam dinding di ruang tamu. 'Lambat pula ayah balik hari ini,' bisik ibu.
Gelas pun telah bersusun ibu letak di atas meja. Mangkuk bubur pun telah ibu atur. Masing-masing terlengkup atas piring. Tidak lupa roti sandwich, bersembunyi senyap di bawah anak saji plastik.
Begitu, sedang ibu membersih sinki terdengar kuak pintu depan. Ibu nampak kelibat adik melangkah masuk. Memang ibu nampak sepintas muka adik masam. Fikir ibu, adik kepenatan. Entah mengapa tidak pula ibu menyapa. Adik juga tidak bersuara. Atau menyapa ibu. Maka, ibu sambung kerja surinya. Ibu ambil jag bacuh air sunquit. Fikir ibu, air sunquit sesuai untuk adik yang kepenatan. Juga untuk ayah.
Kemudian terdengar bunyi sesuatu terhempas ke lantai. Ibu diam sahaja. Ibu tahu itu bunyi beg adik. Tidak pula ibu marah walaupun tahu perbuatan itu tidak beradab. Ibu faham sangat perangai adik. Perangai budak sebelas tahun. Perangai orang kepenatan. Mungkin adik kehausan. Nanti apabila sudah menikmati air sunquit, dan bubur beras hitam, akan hilanglah penat adik. Masa itulah ibu akan tegur. Ibu akan beritahu adik. Ingatkan adik, bahawa perbuatannya mencampakkan bag itu salah. Tidak beradab, namanya. Kita orang Melayu. Kaya susila. Kaya adab. Kalau kita tidak menjaganya, mengamalkannya, siapa lagi?.
Ibu ingat benar pesan Ustaz Halim dalam kuliah Magrib di surau. Kata ustaz, "jangan kita marahi orang sedang marah. Jangan kita marahi hati-hati sedang mendidih. Atau orang kepenatan. Jangan. Sebesar manapun salah dia. Sepenting manapun urusan kita. Jangan kita marah. Biarkan. Kalau dimarahi orang sedang marah, kalau dimarahi orang kepenatan, ibarat menuangkan minyak ke dalam api. Api tidak padam. Malah, semakin marak. Minyak pula yang habis."
Bunyi enjin kereta menyusur halaman rumah. Ibu cepat-cepat membersihkan tangan. Lap airnya. Berjalan keluar sambil bawa jag penuh sunquit ke meja makan. Sesaat, jag berdiri tegak di sisi bubur beras hitam.
Seperti hari-hari lain, jelita ibu sungguh manis. Senyum yang mengasyikan. Ibu berlenggang pramugari, keluar menyambut ayah di muka pintu. Memang ibu tidak bersuara. Dan, ayah juga. Ibu tidak menoleh pun arah Nasa yang terjelepuk di kerusi. Wajah mendungnya tidak menarik kepala ibu.
Ibu sambut apa-apa sahaja yang dihulurkan ayah. Beg, bungkusan plastik atau apa sahaja. Begitulah kelaziman kalau ibu sambut kepulangan ayah. Demikian, beg bimbit beralih daripada tangan ayah ke tangan ibu.
Ayah melangkah masuk meninggalkan kuak pintu. Sambil tangan kirinya memegang simpulan tai, menarik-narik ke bawah. Tangan kanan pula memegang menahan hujung kolar baju. Sambil ayah melangkah perlahan meninggalkan ibu yang sedang memegang tombol menutup daun pintu.
Saat itulah adik pantas berdiri meluru menerkam ayah seperti harimau lapar. Tanpa memberi salam, adik hayun geram yang bergayut di tangan kanannya menghempap pipi kiri ayah. Ayah terkesima menerima salam derhaka adik. Ketika itu ibu baharu sahaja berpusing tubuh membelakangi daun pintu. Nyaring bunyi bak mercun daripada pipi ayah sungguh memeranjatkan ibu. Dan, ayah yang baru mendapat pedih.
"Ayah jahat! Ayah jahat!" jerit Nasa dari dalam bilik.
"Nasa tak mau! Nasa tak rela!" jerit Nasa lagi.
Ayah terpingga-pingga mendengar jerit adik. Sekejap ayah menoleh ke bilik adik. Sekejap ayah menoleh ke muka ibu. Tangannya masih di pipi. Dahinya berkerut. Keningnya mengecup. Manakala lehernya melonjat keluar. Mulutnya terlopong seperti cencaru mati. Handsome ayah bertaburan di lantai.
Maka begitulah juga jelita ibu. Hilang lenyap terperosok ke dalam pipi. Manis senyumnya mencuka kini. Dan, matanya tertanya-tanya dalam kekejutan. Beg ayah terjelepok di sisi kakinya.
"Ayah jahat! Ayah jahat! Nasa tak mau!" jerit Nasa dalam esakan nada.
Ibu yang terpaku kaki mulai sedar daripada kekejutannya. Cepat-cepat ibu melangkah dan berlari anak ke bilik Nasa, meninggalkan beg ayah yang terlentang di lantai. Ayah pula menyambung hajatnya membuka tai sambil mengeleng-geleng. Rasa hairan masih berceratuk atas dahinya. Ayah ambil beg dan melangkah ke bilik.
"Kenapa Nasa," kedengaran suara ibu. Nasa masih teresak-esak.
"Ayah jahat! Ayah jahat!"
"Kenapa ayah jahat? Ayah buat apa kepada Nasa?" pujuk ibu. Tangan kasihnya membeli rambut Nasa yang panjang lurus separas bahu.
"Nasa sayang ibu," Nasa peluk ibu. Ibu balas pelukan sambil mengusap rambut adik.
"Nasa tak mau ibu tiri. Ibu tiri jahat," jelas Nasa.
"Ibu tiri?" tergamam ibu mendengar kata-kata adik. Ibu diam seketika, kemudian menatap adik dengan mata hairan. Adik masih menangis sambil memeluk ibu. "Nasa tak mau ibu tiri. Ibu tiri jahat," ulang Nasa. Putih wajah ibu kepucatan mendengar kata-kata adik. Ibu merungkaikan pelukan adik dan melangkah ke biliknya. Kedengaran ibu bertanyakan sesuatu kepada ayah. Ayah pula menafikan sekeras-kerasnya. Mereka bersuara, mula-mula pelahan, kemudian semakin meninggi dan meninggi. Tidak lama kemudian, kedengaran suara ibu pula yang menangis.
Ayah jadi tidak ketentuan. Pertanyaan ibu dan berita Nasa benar-benar menggugat jiwanya. Lagi tidak ketentuan apabila melihat ibu menangis. Belum pun hilang pedih di pipi datang pula derita di hati. Ibu bertanya macam-macam tentang berita ibu tiri. Ibu menuduh ayah mahu kahwin lagi. Dan mendesaknya, mengapa? Ayah menafikan berkali-kali. Tetapi ibu tidak percaya. Ibu tetap mendesak: Mengapa? Mengapa? Mengapa ayah mahu kahwin lagi?
Tidak tahan dengan sikap ibu, ayah bergegas ke bilik Nasa.
"Apa Nasa kata kepada ibu? Bila pulak ayah mahu kahwin? Dengan siapa ayah mahu kahwin? Dari mana Nasa dapat berita ini?" bertubi-tubi soalan ayah persis detektif polis. Ayah berdiri tegak sambil bercekak pinggang mengadap Nasa. Nasa tidak menoleh pun kepada ayah. Nasa tetap menangis.
"Siapa cakap? Cakap!" tegas dan nyaring suara ayah.
"Kawan Nasa cakap. Ayah selalu senyum apabila jumpa Kanty Janda," jawap Nasa dalam esak tangis. “Kat taman, kat pekan. Asal jumpa Kanty, ayah selalu senyum. Ayah hendak kahwin dengan Kantylah tu," petah sekali jawabnya.
Baru ayah sedar punca angkara. 'Pasal Kanty Janda rupanya' bisik hati ayah. Memang ayah selalu senyum apabila jumpa atau selisih dengan Janda Berhias itu. Kanty pula tidak kelorek membalas senyuman ayah. Orangnya cantik juga. Hampir sebaya dengan ibu. Suami Kanty mati kemalangan, sewaktu pulang selepas akad nikah.
Ayah tidak berhajat pun hendak kahwin dengan Kanty. Tidak pernah ayah cakap kepada sesiapa. Memang Kanty cantik. Walaupun janda, Kanty Janda Berhias. Tergoda juga ayah melihatnya.
"Bila pulak ayah mahu kahwin dengan Kanty? Ayah senyum saja," balas ayah tanpa sedari ibu mencuri dengar di belakang. "Dah jumpa jiran setaman, ayah senyumlah. Nanti kata sombong pulak," tegas ayah membela diri.
"Mak Wan, kenapa ayah tak senyum?" balas adik dengan pertanyaan mengejutkan.
Ayah tidak jawab. Mak Wan penjual nasi lemak di tepi jalan pun janda juga. Umurnya mencecah 50 tahun. Tiga orang anaknya sudah besar-besar belaka.
"Hari tu, ketika ayah tegur Kanty kenapa Nasa tak marah? Ibu pun tak marah. Kenapa?" duga ayah.
Nasa tak jawab pertanyaan ayah. Esakannya tetap walaupun kian reda.
"Nasa tak mahu! Nasa tak mahu mati ibu!" tegas Nasa. "Nasa tak mahu jadi macam Bawang Merah. Ibu tiri jahat!" tegas Nasa lagi.
Ayah teringat sesuatu. Kemurungan wajahnya berubah tiba-tiba. Kini jadi ceria dan berseri. Secara tiba-tiba pula ayah ketawa.
"Oooo ..." kata ayah. "Ini pasal tengok TV cerita Bawang Putih Bawang Merah, semalam ya," ujar ayah sambil melangkah dan duduk di sebelah Nasa. Ayah memegang bahu Nasa.
"Bukan pasal itu," Nasa membela diri. Membantah sangkaan ayah.
"Habis, pasal dengar cakap kawan kat sekolah? Termakan hasutan kawanlah ni," tegas ayah lagi.
Saat itu, ayah terpadang ibu tegak berdiri di depan pintu. Ibu menutup mulut dengan kedua-dua tangannya. Tiada lagi esakan atau suara mendesak. Dan matanya, mata ibu, kelihatan bersinar segar dalam basahan.
Sekian
Langkawi – Bukit Mertajam
22 Julai – 25 Ogos 2006.
CERPEN 2: MISTERI GULA
SEHINGGA kini tidak seorang pun tahu ke mana perginya gula. Tiba-tiba sahaja tidak ada di pasaran. Orang ramai merungut, dalam radio dalam tv dalam surat khabar, mereka bertanyakan pasal gula.
“ Ini tentu Tuan Pekedai yang sorok,” tuduh Che Aini, pengusaha Syarikat Donat Bainun.
Kata Che Aini, sejak gula tiada, perusahaan donatnya merosot teruk. Pengeluaran donat menjunam menyebabkan dia rugi berjuta-juta ringgit. Setiap hari dia diserangi pertanyaan daripada para pengedar. Mereka bertanyakan sebab bekalan donat tidak sampai, menyebabkan pelanggan setia dan separuh setia, kata pengedarnya, marah-marah.
“Ada pelanggan mengugut akan memulaukan donat jika bekalan donat tidak dipulihkan,” kata Pengedar itu.
Lantas Che Aini memanggil semua pengedar Donat Bainun dan beri penjelasan. Katanya, bukan syarikat tidak mahu mengeluarkan donat, tetapi syarikat terpaksa menghentikan sementara pengeluaran donat disebabkan bekalan gula tidak diperoleh.
“Oleh itu, tuan-tuan tenteramkan para pelanggan masing-masing,” kata Che Aini. “Saya yakin masalah ini sementara sahaja,” tegas Che Aini.
Serentak dengan pertemuan itu juga, Che Aini mengadakan sidang akhbar. Hasilnya amat positif. Serangan telefon daripada pelanggan berkurangan. Kebanyakan pelanggan berseru harap agar Syarikat Donat Bainun terus beroperasi.
Sebulan, dua bulan, tiga bulan, bekalan gula masih belum pulih. Hanya sedikit sahaja dijualkan untuk kegunaan rumah tangga. Banyak syarikat-syarikat berasaskan gula terpaksa ditutup buat sementara.
Demikian juga nasib Tuan Pekedai. Katanya, para pengedar dan para peruncit setia dan separuh setia menuduh Tuan Pekedai menyorok gula. Jika Tuan Pekedai terus menyorok gula, ugut mereka, mereka akan beralih ke Tuan Pekedai Lain, menyebabkan Tuan Pekedai berkali-kali merayu.
“Jangan itu macam. Bukan saya tak mahu jual gula. Gula tidak sampai,” pujuk Tuan Pekedai. “Kita sudah pesan, tetapi tidak sampai. Awak susah saya lagi susah,” jelas Tuan Pekedai lagi.
“Kenapa tiba-tiba gula tiada?” tanya Peruncit.
“Itu kena tanya sama kilang. Saya tidak tahu.”
Che Aini sepakat dengan syarikat-syarikat berasaskan gula, menghantar memorandum mengadu masalah ketiadaan gula kepada Menteri Perkilangan. Mohon Menteri Perkilangan campur tangan agar bekalan gula di pasaran pulih.
Menteri Perkilangan dan pegawai bertanggungjawab perihal ehwal gula bergegas ke Kilang Gula, bertanyakan sebab bekalan gula tiada di pasaran. Teuke Gula menggaru-garu kepala mendengar pertanyaan menteri.
“Kami keluar gula seperti biasa,” tegas Teuke Gula. “Hari-hari lori datang angkut gula,” tegas Teuke Gula lagi.
Menteri dan pegawainya tidak percaya.
“Mengapa gula tiada di pasaran?”
“Itu saya tidak tahu. Kami keluar gula saja.”
“Awak sorok gula?”
“Tidak, Datuk. Tidak.”
“Kalau sorok gula, saya akan tarik lesen kilang awak,” tegas Menteri Perkilangan.
“Jangan, Datuk. Jangan, Datuk. Kita boleh kawan,” rayu Teuke Gula.
Tidak puas hati dengan jawapan Teuke Gula, Menteri Perkilangan mengarahkan Pegawai-Pegawai Gula menggeledah Kilang Gula. Maka, bertebaranlah Pegawai-Pegawai Gula menyelak menyelongkar segala tabir, longgokan guni dan bilik, hatta bilik tandas sekalipun. Namun, mereka tidak jumpa sebutir gula pun.
Menteri Perkilangan tetap tidak puas hati. Beliau mengarahkan Pegawai-Pegawai Gula memeriksa kawasan luar Kilang Gula. “Kot-kot ada gula tersorok di mana-mana,” katanya.
Sekali lagi Pegawai-Pegawai Gula bertebaran, menggeledah menyelongkar segenap ruang di luar bangunan. Diselaknya guni demi guni yang bertimbun menanti diisi gula. Diintainya celah-celah pokok, dalam lori bawah lori, dalam kereta bawah kereta, pun tidak juga mereka jumpai gula. Pemandu-pemandu lori kehairan melihat tingkah-laku Pegawai-Pegawai Gula, terbongkok-bongkok terhendap-hendap mengintai dan menyelak segala benda di depannya.
Menteri Perkilangan memanggil Teuke Gula.
“Saya mahu semak Rekod Keluar-Masuk Gula,” katanya.
Ternyata, gula diangkut seperti biasa, beribu-ribu tan setiap hari. Lori-lori dan pemandu lori yang berkeliaran di kawasan kilang itu pun, sedang menunggu gula untuk diangkut.
Dalam perjalanan pulang ke pejabat, Menteri Perkilangan membuat lawatan mengejut ke pasar-pasar raya. Bekalan gula di pasar raya juga berkurangan. Bekalannya dijangka meruncing menjelang sambutan Hari Deepavali, Hari Raya Aidilfitri, Hari Krismas dan Tahun Baru Cina pada bulan Disember dan Januari tidak lama lagi.
Sementara itu, orang ramai pula menuduh Kementerian Perkilangan tidak turun padang, kata mereka. Tiap-tiap hari akhbar melaporkan rungutan orang ramai kerana ketiadaan gula. Bagi meredakan keadaan dan membersihkan tuduhan, Menteri Perkilangan menulis kenyataan akhbar.
“Saya simpati dan bimbang melihat masalah kekurangan gula sekarang,” katanya. “Banyak kilang-kilang barangan berasaskan gula terpaksa ditutup,” jelas beliau lagi.
Kenyataan Menteri Perkilangan itu disambut oleh Menteri Jual-Beli Barangan. Katanya, “Negara sebenarnya tidak mengalami masalah bekalan gula. Lesen Jual-Beli gula dikeluarkan kementeriannya adalah mencukupi.”
Laporan Menteri Jual-Beli Barangan mengejutkan Menteri Perkilangan dan orang ramai. Mereka rasa pelik bin ajaib. Sudah berbulan-bulan rakyat sukar mendapatkan gula, dikatakan bekalan gula tiada masalah. Sekali lagi orang ramai merungut kepada akhbar .
“Kalau cukup, mengapakah tiada gula di pasaran?” ujar seseorang.
“Ke manakah perginya gula?” ujar seseorang yang lain.
Tanpa berlengah, Menteri Perkilangan menulis surat kepada Menteri Jual-Beli Barangan, memohon penjelasan berkenaan kenyataannya yang disiarkan akhbar. Dalam surat balasnya, sekali lagi Menteri Jual-Beli Barangan menegaskan bahawa bekalan gula mencukupi. Disertakan statistik pemeriksaan gula oleh kementeriannya bersama-sama surat itu.
“Kami hairan apabila dikatakan bekalan gula berkurangan di pasaran,” Kata Menteri Jual-Beli Barangan.
Dalam perenggan akhir suratnya itu, Menteri Jual-Beli Barangan menasihatkan agar Menteri Perkilangan tidak susah hati, kerana katanya, beliau percaya bekalan gula untuk musim perayaan nanti mencukupi.
Menteri Perkilangan menganggapkan jaminan Menteri Jual-Beli Barangan sekadar menyedapkan hatinya. Lantas, beliau menulis surat kepada Menteri Polis, memohon jasa baik pihak polis menyiasat misteri kehilangan gula. Maka bertebaranlah polis-polis, masuk kampung keluar kampung, masuk taman keluar taman, mengintai dan mengedap pergerakan orang ramai. Seminggu dua minggu mengintai dan mengendap tidak juga terjumpa orang menyembunyikan gula, atau rumah persembunyian gula. Maka, Menteri Polis pun menulis surat balas kepada Menteri Perkilangan. Dinyatakan bahawa sepanjang pengintaian dan pengendapan pihak polis tidak temui orang atau gudang-gudang penyembunyian gula.
“Ini bererti gula yang dikeluarkan oleh Kilang Gula berada di pasaran,” tegas Menteri Polis mengakhiri suratnya.
Menteri Perkilangan rasa sungguh tercabar. ‘Ada sesuatu yang tidak kena,’ fikirnya. Tidak pernah dalam khidmatnya menghadapi kesulitan seperti ini. Ditambah rungutan orang ramai, betul-betul menghairankannya.
‘Ke manakah perginya gula?’ bisik hatinya.
Kehairanan itu dilaporkan kepada Ketua Menteri dan karbinet. Menteri Perkilangan memohon pandangan mereka menyelesaikan masalah kekurangan gula.
“Galakkan rakyat bacuh kopi guna gula merah,” kata seorang menteri.
“Hentikan pengeluaran kuih-muih berasaskan gula,” cadang menteri yang lain.
“Usahakan penanaman kelapa dan nipah untuk tambah pengeluaran gula,” cadang pula menteri yang lain.
Semua cadangan itu ditolak oleh Ketua Menteri. Katanya, “Tidak praktikal.”
Setelah seharian memerah kepala mencari idea menyelesaikan masalah gula, akhirnya mereka bersetuju larangan import gula ditarik balik. Kementerian Jual-Beli Barangan diberikan tanggungjawab mengimport gula. Menteri Jual-Beli Barangan pun mengeluarkan segera lesen import gula kepada kawannya, Teuke Gula. Maka, berkapal-kapal gula Brazil dibawa masuk.
Anehnya, orang ramai tetap juga merungut. Katanya, gula masih sukar diperoleh. Demikian kilang-kilang berasaskan gula, masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Katanya, gula-gula masih tidak mencukupi.
“Saya terpaksa mengunjungi kedai demi kedai, membeli gula,” kata Che Aini.
Sekali lagi masalah kekurangan gula dibawa ke karbinet. Rakyat mohon yang amat sangat agar kerajaan menyelesaikan segera masalah kekurangan gula kerana, kata rakyat, dua bulan lagi musim perayaan tiba. Permintaan terhadap gula akan meningkat.
Sehari suntuk berbincang, Ketua Menteri pun mengumumkan bahawa masalah kekurangan gula tidak dapat diatasi, maka kerajaan terpaksa menaikkan harga gula sebanyak 10 sen sekilo.
“Semoga kenaikan ini akan mengubah cara hidup rakyat dan rakyat tidak bergantung pada gula lagi,” ujar Ketua Menteri. “Kenaikan 10 sen ini tidak membebankan kerana masih di bawah paras siling,” pujuk Ketua Menteri.
Keesokannya, orang ramai terkejut apabila melihat berjujuk-jujuk lori cap Kilang Gula parkir di depan Kedai Borong Pengedar.
“Apa hal lori-lori ini?” tanya Che Aini kepada Tuan Pekedai.
“O ... Awak tidak tahu ke? Sekarang gula sudah sampai. Awak boleh beli banyak gula,” jawab Tuan Pekedai.
“Eh, pelik sungguh,” kata Che Aini. “Dari mana gula-gula ini datang?”
“Tidak tahu,” jawab Tuan Pekedai. “Tadi, pukul 5.00 pagi sudah ada lori sini.”
“Ah, tak kisahlah dari mana. Janji kita dapat gula,” sampuk seorang pembeli.
Ramai yang datang membeli gula. Syarikat-syarikat yang dulunya terpaksa ditutup kerana ketiadaan gula, kini berduyun-duyun datang membeli gula.
Di pejabat, Che Aini menelefon para pengedarnya, memaklumkan bahawa bekalan donat akan sampai esok.
Bukit Mertajam
1 – 18 Oktober 2006
CERPEN 3: GURKHA
“SAYA akan setia pada parti,” kata Tuan Gurkha. “Dan tetap setia pada parti, berjuang habis-habisan kepada parti,” kata Tuan Gurkha lagi. “Oleh sebab itu, usah pertingkaikan kegurkhaan saya kembali kepada parti,” tegas Tuan Gurkha bersungguh-sungguh, berusaha menyakinkan aku.
Aku diam. Hati rasa was-was mendengarnya. Apa benar yang diucapkan itu daripada mulut Tuan Gurkha? Tidak. Mustahil. Aku toleh ke kiri aku toleh ke kanan, mencari seseorang yang mungkin datangnya suara itu. Tidak pula aku lihat sesiapa kerana memang tidak ada sesiapa. Hanya kami berdua saja: Pak Sarman dan Tuan Gurkha.
“Apakah itu kata-kata daripada hati Tuan Gurkha?” aku menduga.
“Kata-kata apa?”
“Setia dan kesetiaan. Perjuangan dan habis-habisan.”
“Apa Pak Sarman tidak mendengar?”
“Bukan tidak mendengar. Kerana mendengarlah saya bertanya.
Tuan Gurkha menatap aku, merenung aku. Mungkin hatinya terguris. Mungkin juga dia marah, atau entahlah. Pokoknya, aku was-was mendengar kata-kata itu.
“Mungkin suara daripada malaikat atau iblis,” desis mulutku sendirian.
“Pak Sarman kata saya iblis?”
“Lho, tidak. Maksud saya kata-kata itu. Mungkin daripada malaikat atau daripada iblis.”
“Bukankah saya di depan Pak Sarman? Sayalah yang mengucapkannya.”
“Mengucapkan apa?”
“Lho, belum faham rupanya orang tua ini.”
Maka kata-kata itu diucapkan Tuan Gurkha sekali lagi, persis sepertinya tanpa sedikit pun berkurang atau bertambah. Aku mengangguk-angguk tanda faham bahawa kata-kata itu memang benar daripada mulut Tuan Gurkha.
“Faham?”
“Ya, faham.”
“Nah, sekarang saya mahu bertanyakan Pak Sarman. Adakah Pak Sarman juga seperti saya?” Tanya Gurkha.
“Tidak.”
“Lho, kenapa?”
“Tuan orang besar-besar. Saya orang kecil-kecil. Tuan kaya-raya. Saya miskin kedana.”
“Maksud saya, setia dan kesetiaan kepada parti. Bagaimana?”
“O … ya, pasti. Saya sudah puluhan tahun dalam parti dan beginilah.”
“Ya, itulah gurkha yang baik.”
“Apa ada gurkha yang tidak baik?”
Terkejut dengan pertanyaanku, maka dikatakan Tuan Gurkha bahawa memang ada gurkha yang tidak baik. Kata Tuan Gurkha, kalau tidak, masakan British memilih orang untuk jadi gurkha. Tidak dipilih orang Melayu jadi gurkha, kata Tuan Gurkha, kerana yang hendak dijaga bijih dari tanah nenek-moyang mereka.
Tidak dipilih Orang Cina jadi gurkha kerana dicurigai sebab di Tanah Besar Cina pada waktu itu sedang anti-British. Mungkin yang datang ke Tanah Melayu itu perisik-perisik Cina yang sedang mencari sasaran dan merangka strategi menyerang British.
Dan jelas Tuan Gurkha lagi, orang India memang digazetkan untuk kerja ladang getah dan buruh binaan kereta api.
“Tambah lagi, British juga menjajah India,” jelas Tuan Gurkha. “India tentu tidak bersetuju dengan British yang mencuri kekayaannya. Maka, sudah tentu orang India tidak sesuai untuk jadi gurkha.”
“Justeru, siapa?”
“Justeru, Nepal. Negara kecil miskin itu. British tidak jajah Nepal dan Nepal tidak anti-British.
Maka Tuan Gurkha pun bercerita tentang Nepal dan kenepalannya. Katanya, kepatuhan, kesetiaan dan ketaatan menjadi sifat semulajadi kaum Nepal dan kerana sifat azali inilah disukai Britih. Hidup mereka sangat miskin, susah dan kedana. Rakyatnya berkais pagi-pagi dan petang-petang, namun jarang peroleh hasil lumayan. Mereka sering kelaparan, tidak makan berhari-hari. Justeru, kata Tuan Gurkha, mereka tidak pernah mendesis dibayar gaji kecil. Pada mereka, kata Tuan Gurkha, kerja dan hasil kerja amat rahmat kerana memberi mereka makan dan makan itu perlu dijaga kerana ketidakpuasan akan menggugatkan kerja dan hasil kerja dan seterusnya menggugatkan makan mereka.
“Justeru itulah mereka begitu taat,” kata Tuan Gurkha. “Sebagai balasan kesetiaan British memberi kerja. Nepal diminta patuh kepada titah British dan sebarang protes dan tindakan protes seperti menuntut gaji tinggi misalnya akan menerima balasan keras daripada British.”
“Apa Tuan juga dari Nepal?”
“Oh, tidak!.”
“Keturunan Nepal?”
“Pun tidak.”
“Kenapa Tuan mahu jadi gurkha?”
Wajahnya sekali lagi berubah. Mungkin dia tersinggung dengan pertanyaanku. Aku sengaja bertanyakan begitu kerana aku tahu benar peranggai lelaki bernama Tuan Gurkha ini.
Kalau kalian mahu tahu, ceritanya begini;
Sejak majlis bersama rakyat di Kampung Bahagia, Tuan Gurkha sering berkunjung ke pejabat parti kami. Pada hal sebelumnya, Tuan Gurkha jarang berbuat demikian. Malahan tidak pernah bertanya khabar akan kami. Jadual harian dan disiplin dirinya turut berubah. Tiba-tiba saja dia melencong ke pejabat parti kami, sepulang sebagai Pengurus di syarikatnya. Bersamanya dibawakan cerita dan idea yang enak-enak didengar. Idea bernas untuk dilaksanakan. Dan, setiap kali berkunjung, Tuan Gurkha tidak lupa membelanja kami, minum teh tarik di kedai mamak.
Setelah beberapa tahun Tuan Gurkha berkunjung ke pejabat parti kami, suatu petang Tuan Presiden memanggil semua Jawatankuasa Parti ke biliknya.
“Ada agenda mahu dibincangkan segera,” kata Tuan Presiden.
Tuan Presiden memberitahu kami bahawa beliau mahu melantik Tuan Gurkha sebagai Pengerusi Biro Kebajikan Parti. Kami, para Jawatankuasa Parti, mengiyakan saja kerana menduga akan keberuntungannya. Tambahan lagi memang sesuai jawatan itu dengan Tuan Gurkha kerana selama ini pun Tuan Gurkha mengambil-berat akan kebajikan kami.
Kami senang sangat dengan berita itu. Beliau mudah mesra dan mesra dengan sesiapa sahaja dalam parti. Kerja-kerjanya sangat berkesan sehingga tiada lagi desas-desus para ahli akan ketidakpuasan hati terhadap Tuan Presiden dan Jawatankuasa Parti. Beliau bukan sahaja pandai menjaga hubungan ahli parti dengan aktiviti-aktiviti kemesraannya, malah setiap aktiviti dilibatkan masyarakat setempat. Maka banyaklah puji-pujian diberikan orang ramai kepada parti, dan lebih-lebih lagi kepada Tuan Presiden dan Tuan Gurkha. Setiap aktiviti dijalankan mendapat sambutan hangat. Ini disokong pula dengan media, bertambah popular nama parti dan nama Tuan Presiden dan nama Tuan Gurkha.
Baik Tuan Gurkha rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Tuan Gurkha bercita-cita besar. Suatu hari dalam Pramesyuarat Agung Parti, Tuan Gurkha mengumumkan bahawa dia ingin mencipta rekod. Dia mengumumkan akan bertanding jawatan Presiden Parti yang berpenggal-penggal lamanya tidak ditandingi lawan. Tersentak Tuan Presiden mendengarnya. Mukanya pucat dan mulutnya terlopong. Saya yakin Tuan Presiden tidak percaya dengan hasrat Tuan Gurkha itu. Lebih tidak percaya lagi Tuan Presiden, ramai Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti bersetuju. Rupa-rupanya Tuan Gurkha telah melobi secara senyap-senyap akan hasratnya itu.
Mahu tidak mahu terpaksalah diadakan pemilihan jawatan Presiden. Jawatankuasa Pemilihan Parti memutuskan bahawa masa diberikan dua bulan untuk semua calon jawatan Presiden dan jawatan-jawatan dalam Jawatankuasa Parti berkempen.
Sungguh sengit kempen dengan isu-isu mengguriskan hati.
Pada hari pemilihan, saat paling genting menunggu keputusan Jawatan Presiden. Setelah lima kali mengira, maka Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti mengumumkan bahawa jawatan Presiden masih dimenangi oleh Tuan Presiden. Tuan Gurkha dan gurkha-gurkhanya rasa tidak puas hati lalu keluar parti. Mereka menubuhkan parti baru dan Tuan Gurkha dilantik sebagai Presiden. Ramai ahli parti Tuan Presiden keluar menjadi ahli parti Tuan Gurkha. Namun, jawatan Tuan Gurkha bertahan lima penggal saja. Masuk penggal keenam, jawatan presiden dirampas oleh timbalannya, juga dalam Mesyuarat Agung Parti. Tuan Gurkha dan gurkha-gurkhanya kecewa dan berkecil hati, lalu keluar daripada parti berkenaan. Tuan Gurkha dan gurkha-gurkhanya memohon masuk parti Tuan Presiden semula.
Mulianya Tuan Presiden, masih menerima Tuan Gurkha dan gurkha-gurkhanya sebagai ahli parti. Dan, berita sirih pulang ke ganggang, gelar Tuan Gurkha, inilah yang diberitakan kepada saya, sewaktu saya bertemu dengannya di Cofee House Jalan Ampang.
Apabila saya bertanyakan kepada Tuan Gurkha, “Apakah Tuan Presiden percaya kepada Tuan Gurkha dan kemasukkan Tuan Gukha itu memberi keuntungan kepada parti?” maka Tuan Gurkha menjawab persis demikian itulah.
“Saya akan setia pada parti dan akan tetap setia pada parti, berjuang habis-habisan kepada parti. Oleh sebab itu, usah pertingkaikan kegurkhaan saya kembali kepada parti,” tegas Tuan Gurkha bersungguh-sungguh, berusaha menyakinkan saya.
“Tapi, gurkha Tuan Gurkha pernah mati di sini!” kataku, setelah melihat wajahnya kembali tenang.
“Kali ini tidak lagi. Aku bersungguh benar jadi gurkha,” tegasnya.
Aku terus diam tanpa mengomen. Sebagai seorang yang setia pada parti dan Tuan Presiden, aku berserah. Tentunya Tuan Presiden lebih arif tentang semua itu.
Sehingga kini, 12 tahun berlalu. Janji Tuan Gurkha tidak pernah benar. Telah tiga kali Tuan Gurkha bertanding rebut jawatan presiden. Dan khabarnya, Tuan Gurkha akan terus bertanding dan bertanding sehingga berpresiden dirinya.
‘Barangkali itulah sebab British tidak lantik orang Melayu jadi gurkha,’ bisik hatiku. ‘kerana kegurkhaan mereka tidak pernah seperti Nepal.’
Bukit Mertajam
3 – 7 Oktober 2006
CERPEN 4: SHIT
KATA SUMBER, Dia telah jadi shit. Keshitannya telah busuk dan membusukan. Seluruh tubuhnya demikian shit. Kata Sumber lagi, sesiapa yang berjumpa dengannya akan menjadi shit dan pulang membawa keshitannya.
Pernah Pemimpin Kecil dari Kampung JK, kata Sumber, berjumpa dengan Dia. Apabila pemimpin itu pulang, seluruh Kampung JK tiba-tiba jadi busuk. Seluruh rakyat Kampung JK jadi gawat kerana sukar bernafas. Tuan Imam dan Tuan Belia berusaha mencari punca datangnya bau shit yang maha busuk itu. Apabila disiasat, mereka dapati, bau shit datang dari rumah Pemimpin Kecil. Maka, bertanyalah Tuan Imam dan Tuan Belia kepada Pemimpin Kecil.
“Ya, benar,” jawab Pemimpin Kecil. “Malah, saya sedang menternak shit semoga seluruh kampung ini menjadi demikian shit,” tegas Pemimpin Kecil itu lagi.
“Mengapa?” tanya Tuan Imam. “Tidakkah keshitan ini akan menganggu solah?”
“Tidak,” tegas Pemimpin Kecil.
“Tidak?” berkerut Tuan Imam mendengarnya.
“Kalau sudah demikian shit akan tiada lagi gangguan,” tegas Pemimpin Kecil. “Lagipun inilah visi Dia. Kita harus menyokongnya.”
Pada mulanya Tuan Imam dan Tuan Belia membantah. Mereka tidak percaya idea shit itu datang daripada Dia dan jadi visi Dia. Tuan Imam menelefon Dia bertanyakan visi shit. Benarkah sebagaimana diceritakan oleh Pemimpin Kecil?
“Apa yang Pemimpin Kecil cerita?” tanya Dia.
Tuan Imam pun cerita dari a sampai z, apa yang Pemimpin Kecil cerita.
“Benar,” kata Dia. “Begitulah visi baru kerajaan. Kita mahu bentuk dunia baru yang seia sekata,” tegas Dia.
Mulanya Tuan Imam ingin bantah. Setelah memikirkan visi itu datang daripada Dia, Tuan Imam terkedu sekejap. Almaklumlah, Dia pemimpin tertinggi Negara Besar. Dia tidak suka orang membantah cakapnya. Visinya pun mahu bentuk dunia baru yang seia sekata.
‘Kalau aku bantah bererti aku tidak sokong visi Dia. Aku akan dicap tidak seia sekata. Habislah ketuanimamanku. Siapa nak bayar hutang tv, hutang peti ais, hutang kereta dan kad kredit,” bisik hati Tuan Imam.
Setelah panjang-lebar memikirkan visi Dia dan ketuanimamannya, Tuan Imam menerima visi Dia dengan senang hati.
Namun, Tuan Belia tetap membantah. Katanya, bau shit dan keshitannya amat meloyakan dan Dia tidak sepatutnya bervisi shit kerana banyak lagi hal lain yang boleh divisikan. Sebagai pemimpin Negara Besar, fikir Tuan Belia, Dia harus bersih daripada shit, termasuk shitnya sendiri.
Sikap Tuan Belia itu dibantah oleh Tuan Imam dan Pemimpin Kecil. Kata Tuan Imam, untuk menjadi negara maju, kita mesti sejalan dengan pemimpin dan kepimpinan Dia. Kata Tuan Imam lagi, kalau shit yang jadi visi Dia, kita harus menyokongnya. Malah, kata Tuan Imam lagi, kerana Dia hidup kita jadi demikian senang. Jasa Dia terlalu banyak dan kita perlu sokong visinya.
Mencelah Pemimpin Kecil. Katanya, kerana Dia kita bebas daripada penjajah. Negara tumbuh bangunan dan kilang-kilang, dan anak kita bekerja dengannya.
“Siapakah yang membina menara tertinggi itu?” tanya Pemimpin Kecil kepada Tuan Belia.
“Dia,” jawab Tuan Imam.
“Siapakah yang bina sekolah dan jalan raya,” tanya Pemimpin Kecil lagi kepada Tuan Belia.
“Dia,” jawab Tuan Imam.
“Siapakah yang membina gedung kain hingga kita dapat memakai baju dan seluar,” tanya Pemimpin Kecil lagi.
“Dia,” jawab Tuan Imam lagi.
“Ya, Dia,” tegas Pemimpin Kecil. “Dialah yang memberikan kepada kita segala-galanya. Tiada sebab kita perlu menentang Dia,” katanya lagi.
“Rezeki datang daripada Tuhan. Tuhan yang memberinya,” Tuan Belia cuba berhujah.
“Benar, rezeki datang daripada Tuhan. Tetapi Tuhan memberi rezeki melalui Dia,” tegas Tuan Imam. “Usaha Dialah hingga kita demikian maju, ada bangunan, ada kerja, ada gaji dan kita dapat makan,” sambungnya lagi.
“Itu kalau kita berusaha.”
“Sebagaimana Dia tunjukkan. Kita perlu menyokongnya.”
“Itu tanggungjawab Dia. Sebagai pemimpin Dia harus membangunkan orang yang dipimpinnya tanpa mengira siapa orang itu.”
“Tidak syak lagi jasa Dia. Negara Besar pernah dipimpin beberapa orang, Dia yang paling berjasa. Kita harus sokong visinya dan berterima kasih kepadanya,” tegas Pemimpin Kecil pula.
Tuan Belia tetap dengan pendiriannya, menolak shit dan keshitan Dia. Katanya, Dia boleh datang dan boleh pergi. Sesiapapun boleh jadi Dia dan setiap Dia harus menjaga status keDiaannya.
“Mesti adil dan saksama,” kata Tuan Belia.
“Ya. Ya,” kata Tuan Imam dan Pemimpin Kecil.
“Mesti bersih dan mulia,” kata Tuan Belia lagi.
“Ya. Ya,” kata Tuan Imam dan Pemimpin Kecil lagi.
“Dan yang penting, mesti ikhlas dan beramanah.”
“Justeru, adil, saksama, bersih, mulia, ikhlas dan amanah itulah,” kata Pemimpin Kecil, “Dia berbahagi shit kepada kita,” tegas Pemimpin Kecil.
Tidak bersetuju dengan kata-kata Pemimpin Kecil itu, Tuan Belia bangun dan meninggalkan Tuan Imam dan Pemimpin Kecil.
Seminggu kemudian, terpapar sepanduk merentas jalan raya Kampung JK. Satu forum membincangkan ‘Visi Shit dan Keshitannya kepada Masyarakat’ akan diadakan. Antara ahli panelnya ialah Tuan Belia.
Dalam forum itu Tuan Belia menjelaskan bahawa shit itu bererti najis dan najis tidak sepatutnya menjadi visi negara. Seterusnya Tuan Belia berhujah bla, bla, bla, .... Terlopong pakcik dan makcik mendengarnya dengan mata luyu.
“Najis siapakah shit itu?” bertanya salah seorang pakcik.
Kata pakcik itu, sepanjang 60 tahu dia hidup tidak pula dia tahu shit itu najis. Yang dia tahu hanya tahi saja najis atau dadah.
Jawab Tuan Belia, “Shit itu tahi orang putih. Kita mesti menolaknya. Tahi bangsa sendiri pun kita benci, inikan pula tahi orang putih.”
Tersentak pakcik dan makcik mendengarnya. Mata luyu mereka tiba-tiba bulat. Wajah ngantuk mereka terbayang tanda tanya dan kebencian.
“Kita tidak boleh jadi seperti Putera Bongsu di Puncak Gunung Tahan. Menentang orang putih, tetapi berkahwin dengan janda mereka. Suku-sakat dialah yang membusuk sejarah negara kita,” jelas Tuan Belia. “Sukakah pakcik dan makcik dengan bau tahi orang putih?” tanya Tuan Belia.
“Tiidddaaakkkk!” jawab pakcik makcik dan peserta.
“Mahukah kita hidup bergelumang tahi?” tanya Tuan Belia lagi.
“Tiidddaaakkkk!” jawab mereka lagi.
“Oleh itu, kita harus membantah visi shit Dia ini,” cadang Tuan Belia.
Saat itu berdiri Pemimpin Kecil di celah-celah para peserta. Pemimpin Kecil bantah cadangan Tuan Belia dan menganggap Tuan Belia sebagai penghasut. Sebagai penghasut, kata Pemimpin Kecil, Tuan Belia boleh ditangkap di bawah akta ISA.
“Mahukah Tuan Belia ditahan bawah akta ISA? Kalau sanggup kita akan memanggil polis” tanya Pemimpin Kecil.
“Buat apa panggil polis?”
“Untuk tangkap Tuan Belia dan semua yang ada di sini.”
Mendengar Pemimpin Kecil ingin memanggil polis, pakcik dan makcik bergegas bangun dan bertempiaran melarikan diri. Yang tidak dengar kata-kata Pemimpin Kecil pun turut terkejut dengan tingkah pakcik dan makcik, turut bergegas bangun dan melarikan diri ke luar dewan. Beberapa jeritan, “Polis! Polis! Lari!” kedengaran entah dari mulut siapa, menggawatkan lagi suasana. Habis kerusi, meja, budak kecil dan budak besar dirempuh oleh para peserta. Suasana menjadi kelam-kabut dan riuh-rendah dengan suara budak-budak dan perempuan menjerit. Ada yang berlanggar sesama sendiri dan jatuh terjeleput, cepat-cepat bingkas bangun dan lari lagi. Ada yang merangkak ke bawah meja ahli panel untuk lari keluar. Pemimpin Kecil sendiri hampir rebah dirempuh oleh entah siapa. Tuan Belia dan ahli panel lain terpingga-pingga, terkejut dengan suasana riuh tiba-tiba. Masing-masing tidak bersuara, berpusing ke kiri berpusing ke kanan mencari polis yang dijeritkan oleh para peserta.
Setelah suasana reda, Tuan Belia terduduk tunduk sambil memekuk kepala dan menggeleng-gelengkannya. Kemudian, Tuan Belia mendongak, melihat Pemimpin Kecil masih berdiri di tempat asalnya. Bersebelahan Pemimpin Kecil ialah Tuan Imam, yang nampak melilau-lilau matanya ke kiri ke kanan. Mungkin Tuan Imam juga mencari wajah polis sebagaimana dijeritkan oleh para peserta.
“Sebenarnya, Tuanlah shit,” kata Tuan Belia sambil menunding jari ke arah Pemimpin Kecil.
“Saya?” soal Pemimpin Kecil, keras.
“Ya, Tuanlah shit. Yang busuk dan sangat membusukan,” tegas Tuan Belia. “Tuan menyebabkan seluruh dewan jadi gawat.”
“Salahkah saya beri pendapat? Ini negara demokrasi. Kita bebas bersuara.”
“Kerana bebas Tuan jadi demikian shit. Lihatlah, apa yang telah berlaku. Suasana aman menjadi kacau-bilau oleh tindakan Tuan.”
“Ini semua berpunca daripada Tuan Belia,” tunduh Pemimpin Kecil.
“Tuan sokong visi tanpa Tuan fikir risikonya,” tegas Tuan Belia membela diri.
“Saya tuan di Kampung JK. Tuan berhak bercakap apa saja. Memberi ulasan atau pandangan,” matanya menjengil ke arah Tuan Belia.
“Tuan menjadi tuan dalam diri Tuan. Di sini kita dalam majlis ilmu membicarakan tentang shit dan natijah daripada keshitannya. ”
“Ya, kerana itulah saya berdiri di sini. Tuan Belia menuduh visi Dia merugikan tanpa membuktikan kerugiannya” tegas Pemimpin Kecil.
Pemimpin Kecil merupakan tokoh muda dalam politik Negara Besar. Beliau menaruh harapan tinggi untuk jadi menteri. Harapannya cerah. Beliau sering dirujuk oleh media. Lagipun, dia bekas penjawat media berpengaruh di tanah air. Sering juga dia mengiringi Dia ke luar negara. Apabila pulang, dia menulis berjela-jela akan kejayaan lawatan Dia. Sebahagian beritanya sukar dibuktikan dan hiperbola. Dia sendiri terbahak membacanya kerana Dia sendiri tidak tahu berita yang diberitakan itu datang daripada mulutnya.
Marah kepada Pemimpin Kecil, Tuan Belia menghempas mikrofon lalu berjalan keluar dan pulang ke rumah. Turut keluar ialah ahli panel yang lain. Masing-masing mengomen sendirian dan marah-marah kepada Pemimpin Kecil.
Esoknya, sekali lagi orang-orang Kampung JK riuh-rendah. Mereka dikejutkan dengan berita penangkapan Tuan Belia di dawah akta ISA.
“Mengapa?” tanya seseorang kepada Tuan Imam.
“Kerana Tuan Belia mengancam keamanan Kampung JK” jelas Tuan Imam.
“Tuan Belia mengancam keamanan kampung?” tanya mereka lagi, kehairanan.
“Ya. Sesiapa yang membantah visi Dia dianggap mengancam keamanan. Setiap pengancam keamanan akan ditangkap dan dijelkan. Mashukah tuan-tuan masuk jel?” tanya Tuan Imam.
Yang bertanya terdiam mendengarnya. Barangkali dia tidak berani bertanya lagi. Barangkali juga mereka takut apabila mendengar akan dijelkan.
Demikianlah, kata Sumber, keshitan Dia telah busuk dan membusukan seluruh masyarakat Kampung JK. Sesiapa yang menentang akan menjadi mangsa. Mereka akan ditangkap dan dikurung bawah Akta ISA. Hal ini ternyata, kata sumber. Tuan Belia kini merengkok dalam penjara.
Bukit Mertajam 25 Oktober - 16 Disember 2006
CERPEN 5: MERDEKA AYAH MAT TOK MEK MINAH
MERDEKA hak milik individu, atau kelompok individu itu saja. Merdeka bukan nikmat hak semua orang. Atau hak dinikmati semua orang. Atau untuk dinikmati semua orang. Itulah konklusifnya pada Ayah Mat Tok Mek Minah. Saya memanggilnya Ayah Mat saja.
Ayah Mat telah berpuluh tahun hidup dalam negara merdeka. “Nak tahu umur Ayah Mat, tengoklah pokok nyiur itu,” kata Ayah Mat apabila saya bertanyakan umurnya. Malangnya, saya tidak tahu bagaimanakah cara mengira umur nyiur itu. Saya angguk saja sebagai tanda hormat kepada Ayah Mat. Tanda faham bahawa Ayah Mat sudah lewat usia. Kedut kulit Ayah Mat pun sudah bercucu.
Kata Ayah Mat, sepanjang umur nyiur itu tidak pernah dia rasa nikmat merdeka. Dia sendiri tidak tahu adakah dia sudah merdeka sesungguhnya. Katanya, “Saya ‘ni entah merdeka entah belum merdeka!”
Saya bertanya, “Ayah Mat tahu maksud merdeka?” Jawab Ayah Mat, “Merdeka bererti kita bebas melakukan apa saja kerja berpelembagaan dan punyai hak sama rata. Sebab kita sudah bebas daripada penjajah.”
Wah, panjang jawapan Ayah Mat! Tetapi, “Mengapa Ayah Mat kata merdeka itu hak individu atau kelompok individu itu saja?” tanya saya. Ayah Mat beritahu bahawa jawapannya itu pada sangkaannya sahaja. “Entah betul entah tidak Ayah Mat tidak tahu. Ayah Mat rasa saja,” tegasnya.
Dan, katanya lagi, “al-Maklumlah, Ayah Mat tidak bersekolah,” tegasnya merendah diri.
“Ayah Mat rasa merdekakah?”
“Semuanya tidaklah.”
“Mengapa?”
“Ayah Mat tidak bekerja dengan kerajaan.”
Pada mulanya saya tidak faham jawapan Ayah Mat itu. Saya tanya lagi, “Mengapa?”
“Yalah, setiap kali sambut merdeka, puak ‘tu (kakitangan kerajaan – P) dapat cuti. Aku tidak pernah cuti.”
“Sebab Ayah Mat tidak bekerja.”
“Salah tu. Aku bekerja sendiri. Tiada siapa mahu beri aku cuti.”
“Ayah Mat bebas cuti sendiri. Tak payah kerja.”
“Kau ingat aku tidak makan?”
“Bukan begitu.”
Saya diam dan berasa kesal. Mungkin kata-kata saya mengores hatinya. Saya mohon maaf secepat itu juga. Membuktikan rasa kesal, saya pujuk Ayah Mat agar menceritakan pengalaman hidupnya. Masa Inggeriskah. Masa Jepunkah. Atau apa saja. Saya katakan sebagai orang muda saya tidak tahu apa lagi mengalami semua hidup masa itu. Jahatkah askar Inggeris saya tidak tahu. Kejamkah askar Jepun pun saya tidak tahu. Dengar cerita saja.
Saya katakan, hendak kata Inggeris jahat rasanya tidak. Hendak kata Jepun kejam pun rasanya tidak. Apa tidaknya, tiap-tiap hari rakyat terbang ke London, ke Amerika ke Jepun. Pergi berniagalah, pergi melanconglah, pergi belajarlah. Serba monika tujuan. Kalau Jepun kejam, kata saya lagi, kerajaan tidak akan Pandang ke Timur.
Saya katakan juga, kalau betul Inggeris jahat, kalau betul orang Melayu benci Inggeris, mengapakah Putera Bongsu kahwin dengan Mem William. Tidakkah anak cucu mereka nanti berasal daripada keturunan orang jahat-jahat?
(P/s, Dalam novel Putera Gunung Tahan, Pak Sako mengakhiri ceritanya dengan Putera Bongsu, pemerintah Gunung Tahan, berkahwin dengan janda William. Mulanya, wanita itu datang menyerang Gunung Tahan untuk menyelamatkan suaminya, William, yang ditawan oleh Putera Bongsu. Malangnya William terbunuh dan isterinya tidak dapat balik kerana kapalnya rosak. Akhirnya, Putera Bongsu mengambilnya sebagai isteri – P).
“Ia mungkin mitos sosialisasi nenek. Mungkin juga siasah nasionalis,” kata saya.
Setelah termenung sekejap, Ayah Mat jawab bahawa memang kita menentang Inggeris. Tetapi, oleh satu pihak yang berkepentingan peribadi, dia bawa masuk Inggeris ke dalam rumahnya. “Bukan Inggeris mahu masuk, tetapi Inggeris dibawa masuk, maka masuklah dia. Ah, ini politik penting diri!” kata Ayah Mat dan katanya dia tidak mahu bercerita lagi pasal perkara ini kerana bimbang terkena tulah.
“Biarlah Ayah Mat cerita pasal diri Ayah Mat saja,” tegasnya.
Dia pun menceritakan kisah dirinya. Katanya, ayah ibunya orang susah. Kerja tanam padi, tanam sayur, masuk hutan cari rotan, cari petai. Walaupun kerja tidak berhenti, namun miskin juga. Katanya, miskin orang Melayu bukan kerana malas. Orang Melayu rajin bekerja. Pagi-pagi lagi ke sawah hingga Zuhur baru balik. Lepas makan lepas sembahyang pergi ke kebun pula, tanam sayur. Namun hidup miskin juga. Sebabnya, kata Ayah Mat, peralatan kerja orang Melayu tidak produktif. Kalau tidak percaya, kata Ayah Mat, tanyalah Ungku Aziz atau Syed Hussin Ali.
“Yalah, dok guna cangkul guna tajak kerja sawah, mana nak dapat hasil banyak,” kata Ayah Mat.
Tegasnya lagi, datuk neneknya bernasib baik sebab ada kerbau banyak. Boleh bajak sawah guna kerbau. Cepat. Kadang-kadang ambil upah bajak sawah orang. Jadi, datuk neneknya, kata Ayah Mat, tidaklah miskin dan tidak pula kaya.
Masa itu tidak ada sekolah macam sekarang. Sekolah orang putih ada, tapi jauh. Sebab jauh ayah tidak hantar Ayah Mat masuk sekolah. Sebab sebenarnya tidak ada duit, kata Ayah Mat, sebab itu ayah tidak hantar dia bersekolah. Maka jadilah Ayah Mat gelung rantai warisan. Mengerjakan tanah pusaka seperti ayahnya, seperti datuknya, seperti moyang-poyangnya.
Selepas bah merah ada kerajaan buat sekolah orang dewasa. Kata Ayah Mat, dia sempat pergi. Belajar alif ba ta. Satu dua tiga. A b c. Tidak lama. Sempat eja nama dan kenal kepala bas saja (nama destinasi bas – P). Lepas itu dia tidak pergi-pergi lagi. Bukan kerana cikgu tidak mengajar.
“Dok ponteng sokmo, nak pandai guana,” samput isterinya, Tok Mek Minah.
“Yalah, sebab ngerja sawah. Tanam sayur. Pergi hutan cari petai,” balas Ayah Mat.
“Orang lain pun buat sawah juga.”
“Kalau aku tidak kerja, siapa nak beri aku makan. Nak beri awak makan.”
(P/s, Tok Mek Minah satu-satunya isteri Ayah Mat. Mereka kahwin masa Tok Mek Minah berumur 13 tahun.)
“Ayah Mat boleh berhenti kerja sekejap. Ilmu itu penting.”
“Orang kerajaan kata gitulah. Dia cuti ada gaji. Aku ini siapa nak beri gaji. Ada kerja ada gaji. Tadak kerja tadak gaji.”
Tegas Ayah Mat, yang diajar oleh guru kelas dewasa ialah membaca. Berkali-kali cikgu kata bertapa pentingnya pandai membaca. “Kalau pandai membaca, kerja kita akan jadi senang,” kata cikgu. Ayah Mat tahu. Faham benar. Tetapi, kata Ayah Mat, dia sudah kahwin. Sudah terlewat. Kalau pandai baca pun tidak ke mana sampainya. Sebab itulah, kata Ayah Mat lagi, dia ponteng sekolah.
Seingat Ayah Mat, katanya, membaca tidak pernah membantu dia bekerja senang. Dia pergi ke sawah tidak perlu bawa buku bawa kalam. Dia hayun tajak tidak payah baca. Dia cangkul tanah pun tidak payah baca. Dia tajak, dia cangkul, dia mengokot rumput kemudian tanam, siram, sembur racun. Itu saja. Kata Ayah Mat, “Ayah ajar tanam padi tanam sayur, aku tanamlah. Tiru macam ayah buat, macam ayah ghoyat.”
“Aku bekerja memuggar tanah, bercucuk tanam, itu pun perlu ilmu baca?’ tanya Ayah Mat.
Saya tergagap-gagap hendak menjawabnya.
“Ahhh, macam ular mengajar ketam berjalan!” keluh Ayah Mat.
Katanya, dia tidak tahu di mana pentingnya ilmu baca untuk kerja dan hidupnya. Bukan tahu ilmu baca itu tidak penting, kata Ayah Mat, penting. Tetapi, buat dirinya pada masa itu, kurang penting. Justeru, dia tidak berminat ke sekolah lagi. Baik ke hutan cari rotan dapat duit sesen dua, kata Ayah Mat, dapat beli beras, beli ikan, bagi anak bini makan.
Ayah Mat tidak pernah cuti kerja. Sebab itu, katanya, dia tidak pernah merdeka. Katanya lagi, “Tidak pernah seorang pun ajak aku merdeka. Aku lihat orang sambut hari merdeka tiap-tiap tahun. Seronok berarak berpesta. Ada artis menyanyi berjoget. Sama-sama bertepuk tangan membilang detik jam. Ahhh!” keluhnya, “Takkan aku hendak bersorak juga!”
“Itulah tanda hari kemenangan.”
Ayah Mat termenung mendengar kata-kata aku itu.
“Apa aku ini tidak menang?” tanya Ayah Mat.
Ayah Mat cerita bagaimana dia mengerjakan sawah hingga sawahnya mula-mula hijau dan kemudian menguning berekar-ekar. Dia upah orang kampung mencerutnya, memukulnya, menganginnya, menjemurnya dan simpan hingga penuh baloh. Berpuluh-puluh guni. Tidak muat baloh, Ayah Mat jual kepada LPN. Dapat duit beli tanah. “’Tu, gelang Tok Mek Minah pakai ‘tu, aku beli dengan duit padilah,” kata Ayah Mat.
“Apakah itu bukan kemenangan? Beras dari padi Ayah Mat jual di pekan, dibeli orang kaya, orang separuh kaya, dan orang miskin. Dimakan oleh pejuang dan petualang. Apakah itu bukan kemenangan? Apakah itu bukan kemerdekaan? Apakah itu bukan sumbangan?” tanya Ayah Mat bertalu-talu.
“Setiap tahun kerajaan sambut ulang tahun hari merdeka bergilir bandar. Ada ceramah, ada pameran, berarak, berparti, berjoget, menyanyi dan anak muda mabuk-mabuk merai sambutan ulang tahun hari merdeka. Pernahkah Ayah Mat berarak sambut ulang tahun hari merdeka?”
“Tidak.”
“Bertepuk bersorak?”
“Tidak.”
“Tak terliurkah?”
“Itu bukan cara merai kedaulatan. Itu menang sorak kampung tergadai. Macam Kadok Ijok. Bertepuk bersorak lihat ayam menang, tapi ayam ‘tu bukan dia punya lagi. Dah jadi ayam raja. Habis ‘tu, apa dia dapat? Dapat sorak. Itu saja.”
“Cerita lapuk ‘tu masih relevankah?”
“Pada Kaduk, di mana dan bila pun.”
Kalau itulah merdeka, kata Ayah Mat, tidak ada seorang pun di kampungnya yang merdeka. Lebai Samad tidak pernah berarak. Ustaz Kasim pun sama juga. Meli, Esah, Daud Dodoi jauh sekali.
“Ustaz Kasim parti pembangkang.”
“Parti pembangkang bukan rakyatkah? Tidak perlukah dia jaga keamanan? Memajukan negara?”
Lihat Penghulu Salleh yang selalu sebut merdeka! merdeka! Merdeka!, kata Ayah Mat, pun tidak pernah pergi berarak. Seingat Ayah Mat tidak seorang pun orang-orang di kampungnya diajak berarak merai sambutan ulang tahun hari merdeka.
Jali Parut yang berkeris bergolok menentang Inggeris menentang Jepun menentang komunis, kata Ayah Mat, pun tidak pernah orang rai. Atau, panggil dia pergi berarak. Lagilah dia bekas pejuang.
“Merdeka itu tak bererti pergi berarak.”
“Kalau diajak, itu tanda penghargaan.”
“Simbolisme kemenangan saja.”
“Bukankah semua itu tanda merdeka hak sebilangan orang saja?”
Saya tegaskan juga, kita patut bersyukur kerana telah merdeka. Ayah Mat angguk. Katanya, kita pun patut ajak sesiapa sahaja rakyat berpentas-pentas sambut hari merdeka. Panggillah bekas-bekas pejuang, merainya. Itu teladan yang baik.
Dan, tanya Ayah Mat lagi, “Pernahkah kau tengok petani ke, nelayan ke, pejuang pencen ke, berarak merai sambutan hari merdeka?” Kata saya, seingat saya tidak ada. Malah, bekas-bekas pejuang pun tidak pernah berarak. Atau diraikan sempena ulang tahun sambutan hari merdeka.
“Ya, sebab itulah Ayah Mat kata merdeka itu hak milik individu saja. Atau kelompok individu itu saja. Merdeka bukan nikmat hak semua orang. Atau dinikmati semua orang. Atau untuk dinikmati semua orang. Seperti kita lihat di pentas Sambutan Ulang Tahun Hari Merdeka, hanya orang itu itu juga di atasnya. Sedang dia tidak pernah pun berjuang,” tegas Ayah Mat.
“Ada,” saya cuba memancing.
“Berjuang kuasa!” sindir Ayah Mat.
Saya diam. Dalam kepala terbayang hipotesis Ayah Mat. Dan kemudian saya membayangkan antitesisnya.
26 April 2007
CERPEN 6: CNINTA KARIMUN
MULANYA ibu tidak izin aku pergi. Aku tetap bertegas juga. Kataku, “Inilah peluang mahu mengetahui pemikiran Melayu.” Ibu membalas. Katanya, aku ini sudah Melayu tentunya pemikiran aku pun Melayu. Aku menafikan. Kataku, tidak semesti keturunan mewarisi pemikiran. “Kalau benar diwarisi, mengapa ada usaha meminggirkan bahasa sendiri,” tegasku. Akhirnya ibu mengalah. Mungkin kerana aku bersungguh benar mahu pergi. Aku mencium tangan ibu tanda berterima kasih.
Aku memaklumkan kepada rakan-rakan SPMG. Kami berjanji bertemu di DBP sebagaimana pagi 11 Disember 2002. Mulanya Samsudin Othman, Azman Ismail dan Jusuh Majid yang datang. Kemudian muncul gadis dua serangkai, Zanazanzaly dan Rozais al-Anamy. Aku bertanyakan tentang rakan-rakan lain.
“Barangkali masih beraya,” teka Jusuh. Terlupa aku hari ini raya keenam.
Kami bertolak jam 9.30 pagi menaiki bas DBP ke Jeti Kukup. Bersama-sama rombongan DBP. Sekitar jam 3.15 minit kami menaiki feri dan mendarat 45 minit kemudian di Pelabuhan Tanjung Balai, Karimun.
Kedatangan kami disambut ceria oleh wakil panitia Persidangan Masa Depan Pemikiran Melayu Serantau. Mereka membawa kami menaiki Kijang ke tempat penginapan di Hotel Rasa Sayang. Aku berkongsi Bilik 402 dengan Shamsuddin. Azman berkongsi Bilik 302 dengan Jusuh. Zanazanzaly dan Rozais al-Anamy berkongsi bilik di bangunan sebelah.
Selesai mandi dan solat, aku mengajak Samsudin, Azman dan Jusuh keluar mencari kedai buku. Perjalanan kami kurang selesa kerana jalan sempit. Di sebelah kiri ada Taruna, Kijang, Nisan dan Hyundai parkir, di sebelah kanan ada longgokan tanah sepanjang jalan. Projek bina longkang besar sedang dilaksanakan.
Melihat cara mereka bekerja, aku mencuit Azman dan berkata, “Mereka tak guna jentera,” sambil menunjukkan ke arah pekerja yang sedang mencangkul tanah.
“Baguslah. Kalau tidak rakyat tiada kerja,” jawab Azman. “Siapa nak beri anak bini makan?” kata bekas graduan Universiti Indonesia itu. “Kan adil. Satu projek untuk semua,” tegasnya lagi.
Jauh berjalan tiada satu pun kedai buku kami temui. Azman berhenti dan bertanyakan pada pekerja longkang.
“Ada, Pak. Di sana. Berhampiran pasar,” jawab pemuda itu.
Kedai itu kecil sahaja. Memasukinya kami menemui beberapa buah buku agama, buku kanak-kanak, buku komputer, majalah dan akhbar. Ada dua judul buku peribahasa. Kami rasa kecewa sebab tiada buku sastera. Kemudian kami melewati pasar basah dan bazar pakaian terpakai, sebelum singgah di sebuah Restoran Bakso Special.
Di restoran itu kami berkenalan dengan Seri. Kami berbual panjang. Aku katakan, kami ingin mengembara sampai ke Medan. Seri cepat-cepat mencelah dan mengatakan dia berasal dari Medan, lalu Seri bercerita tentang kemedanannya. Gaya Seri bercakap seakan dia mahu jadi pemandu pelancong kami. Aku teringat nasib Razak dalam cerpen Tisna Wati karya Razak Mamat. Razak jadi kedana kerana bersetuju Tisna Wati jadi pemandu pelancong. Aku cepat-cepat bermohon diri, mengajak rakan dan pulang ke hotel. Di hotel, aku merunggut kepada Nafie Mat, “Rasa tak lengkap datang ke Karimun kerana tiada kedai buku.” Nafie tersenyum dan membalas, “DBP boleh buka kedai buku di sini.”
Pagi 12 Disember 2002 kami ke Gedung Nasional. Jaraknya sekitar 500 meter dari hotel. Gedungnya muat sekitar 1000 orang. Di Gedung Nasional inilah berlangsung persidangan, dirasmikan Bapak Haji Muhammad Sani, Bupati Karimun. Kata beliau, persidangan ini satu usaha baik kerana kita serumpun. Katanya lagi, orang-orang Karimun ada saudara-mara di Johor, selalu ke Malaysia mencari rezeki. Setengahnya tidak mahu balik.
Acara persidangan bermula dengan pembentangan kertas kerja Dr Yusmar Yusuf dari Universiti Riau. Beliau marah-marah dengan pembohongan birokrat. Katanya, kebohongan jika diulang-ulang dan dipercayai akan dianggap benar. Hal ini sering diamalkan individu pemerintah. Katanya, miskin rakyat kerana kebohongan birokrat. Justeru, beliau memancing peserta. Katanya, “Kita tak perlu percaya dengan siasah Jakarta bahawa Indonesia membangun Riau, padahal Riau yang membentuk dan membangun Indonesia.”
Habis sesi kedua persidangan – aku, Samsudin dan Azman – diajak Dr Yusmar bersiar-siar dengan Taruna pinjaman. Di sebelahnya Samsom Rambah Pasir, seorang guru dan penulis dari Batam. Samson pernah datang ke Malaysia pada tahun 2000, membentangkan kertas kerja di Sudut Penulis, DBP.
Dr Yusmar berkeliling mencari stesen minyak. Aku juga turut mengintai. Malangnya tidak ketemu. Aku yakin tidak akan ketemu. Hanya ada beberapa gerai menjual minyak dalam botol air minuman. Dr. Yusmar bertanyakan pada penjualnya. Sah, tidak ada stesen minyak di sini. Hanya gerai minyak botol sahaja. “Barangkali Petronas boleh melabur di Karimun,” kataku.
Setelah mengisi minyak botol, Taruna meluncur ke kawasan perkampungan. Sambil memandu Dr. Yusmar menunjuk dan menceritakan tempat-tempat dia pernah bermain semasa kecil. Aku lihat sepanjang jalan banyak pintu gerbang. Tiangnya dihiasi pelita tin minuman. Ada kain rentang tanda mereka menyambut malam tujuh likur.
Aku salut Dr Yusmar. Dia berpengetahuan luas tentang pulau-pulau di Riau dan Malaysia juga. Sewaktu di Batam, pernah dia menceritakan pengalamannya melawat Malaysia, dari Johor sampai Kelantan. Memang dia pencari dan pengumpul semangat tanah asal Riau. Cinta dan usahanya bak Tan Seri Ismail Hussein dari Rumah Gapena.
Kami melawat perkampungan tradisional masyarakat Karimun, kawasan pembinaan stadium, lapangan terbang, bekas lombong bijih timah, dan sekolah sebelum singgah di sebuah gerai makan. Kebetulan pemiliknya bekas jiran Samson. Dr. Yusmar dan Samson meminta Bakso. Azman meminta teh tarik. Samsuddin meminta roti canai. Kedua-duanya tak ada, dan tak pernah ada di Karimun. Maka, aku cadang kepada Shamsuddin agar buka kedai roti canai di sini. Samsuddin pandai tebar roti terbang. Telah dia buktikan ketika aku mencabarnya di Breakfields dulu.
Dalam perjalanan pulang aku tanya Dr. Yusmar Yusof tentang kedai buku di Tanjung Balai.
“Tak ada kedai buku di sini,” jawab Dr Yusmar. “Di sini tak ada sekolah tinggi.”
“Habis, mereka belajar di mana?” tanya Samsuddin.
“Di Pulau Batam. Atau Riau”
Memang Pulau Batam ada banyak kedai buku. Pada tahun 2001 ada dua kedai buku besar. Satu di Matahari dan satu lagi di Batam Trade Centre. Tahun 2002 ada tambahan dua kedai buku lagi. Satu kedai buku Gramedia di Super Market Ramayana, dan satu lagi di Lotus. Tetapi kedai buku di Matahari kian mengecil. Tahun 2004 kedai buku di Ramayana telah berpindah ke BC Mall.
Sepanjang tiga hari persidangan masa depan pemikiran Melayu, aku tertarik pada tiga kertas kerja sahaja. Pertama, kertas kerja Dr Yusmar Yusuf, seperti telah aku ceritakan. Kedua, kertas kerja Dr Ahmad Zaki Abu Bakar. Beliau melaporkan tamadun Melayu akan menghadapi hambatan globalisasi. Orang Melayu perlu mahir mengurus maklumat berteknologi canggih. Beliau meramalkan era biokomputer bakal mengubah kehidupan manusia. Data maklumat di hujung jari. Aku merasakan dunia kini sudah kecil, canggih dan rumit. Menurut Dr Ahmad Zaki, dunia dalam era biokomputer akan jadi lebih kecil, lebih canggih dan lebih rumit. Aku teringat kawan-kawan di Kampung Tokkah. Mereka 99 % gagal dalam pelajaran. Anak, emak dan ayah mereka tidak kenal komputer. Malah tidak tahu pun mengetip mesin taip. Cakap Inglish jauh sekali.
“Apa akan jadi kepada mereka dan anak-anak mereka,” keluh aku sendirian.
Ketiga, jawapan yang diberikan oleh Drs. Maman S. Mahayana terhadap soalan Amiruddin Ali. Drs. Maman S. Mahayana menulis buku Kesusasteraan Malaysia Moden terbitan Balai Pustaka. Aku berpendapat buku itu perlu diedit semula kerana terdapat beberapa kesilapan dan kekaburan maklumat.
Amiruddin Ali bertanyakan, “Adakah terdapat penggunaan buku sastera Malaysia dalam sistem pengajian di Indonesia, sebagaimana Malaysia sering menjadikan karya sastera Indonesia sebagai buku teks di sekolah.”
Drs. Maman S. Mahayana menjelaskan bahawa belum ada usaha sepenuhnya dilakukan oleh kerajaan Indonesia sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia. Hanya sedikit sahaja di universiti tertentu. Faktor utama, kata Drs. Maman S. Mahayana, ialah ketiadaan lintasan sastera kerana wujud kesombongan intelektual di Indonesia. Ramai sarjana Indonesia beranggapan sastera Malaysia kecil dan lemah. Kesombongan ini, kata Drs. Maman S. Mahayana, perlu dihapuskan kerana tidak menguntungkan bangsa serumpun.
“Sebenarnya mereka kemiskinan maklumat tentang karya sastera kita,” kataku kepada Amiruddin Ali yang duduk di sebelah. “Aku fikir persidangan seumpama ini perlu diteruskan dan diperluaskan di universiti-universiti antara negara,” ujarku lagi.
Sepanjang 20 orang pemakalah yang membentangkan masa depan pemikiran Melayu, 8 orang dari Malaysia, 5 orang dari Indonesia, 6 orang dari Singapura dan seorang dari Brunei Darussalam. Kalangan 20 orang itu tidak seorang pun daripada generasi muda.
“Alangkah baik jika diberi peluang kepada generasi muda dari empat negara serantau itu menyumbangkan pendapatnya,” kataku.
Malah penteori-penteori pemikiran Melayu juga perlu diberikan peluang mengemuka, menyebar dan menjelaskan teori masing-masing. Bukankah penghasilan teori pemikiran Melayu dapat membina tamadun? Ada beberapa teori pemikiran Melayu yang aku tahu nama, tetapi tidak tahu isinya. Aku teringat Syed Naquib Al-Attas. Beliau pernah mengkaji puisi Hamzah Fansuri. Bukunya diterbitkan oleh DBP berjudul The Mysticism of Hamzah Fansuri. Sayangnya, aku tidak pernah jumpa buku itu. Alangkah baik tokoh ini diberi peluang mengemukakan pemikirannya. Atau, DBP menterjemah dan menerbitkan semula buku itu.
Hari terakhir persidangan, para peserta dibawa dengan bas antik (bas kayu – satu lagi peluang pelaburan yang boleh diceburi oleh korporat Malaysia) melawat tempat-tempat kegiatan ekonomi dan sosial masyarakat Karimun. Pihak panitia sewa tiga buah bas kayu. Kata Jusuh, orang awam Karimun tidak dapat naik bas pada pagi ini. Semua bas telah disewa. Taukenya untung lumayan. Dalam perjalanan, Azman Ismail minta Samsuddin (yang berada di bahagian depan) mengecilkan “aircond ” (tingkap depan) bas.
“ Aircond kuat sangat. Rosak remos,” katanya.
Kami melawat kawasan industri batu granik dan pasir. Tempatnya di hujung pulau. Batu granik dan pasir itu dieksport ke Singapura untuk bina bangunan dan tambak laut. Aku berseloroh, “Nampaknya Singapura semakin membesar, tetapi Karimun semakin mengecil.”
Sepanjang perjalanan tidak pula aku lihat lembu atau kerbau atau kambing berkeliaran sebagaimana jalan raya di Malaysia. Aneh, daging lembu jadi bebola bakso, tetapi tiada lembu di Karimun! Aku cadangkan agar Azman buka ladang lembu. Dan Aku membeli kuda untuk mengawalnya.
Dalam kawasan industri batu granik itu ada batu besar dijaga rapi. Terdapat satu transkripsi pada batu besar itu. Kata penjaganya, transkripsi itu dipercayai tinggalan armada Kublai Khan. Dalam pengetahuan aku, Kublai Khan ialah pemimpin Kerajaan Monghul. Kalau Kublai Khan itu yang dimaksudkan bererti transkripsi itu lebih tua daripada Batu Bersurat Terengganu. Amirudin Ali tidak percayai. Katanya, saiz transkripsi itu besar dan kelihatan bersih. Aku membalas, “Transkripsi itu tidak serupa tulisan Cina.” Sebenarnya, aku tidak tahu corak tulisan pada zaman Kublai Khan. Al-maklumlah, aku tidak pernah bertemu dengannya.
Kemudian, kami melawat kilang air minuman Arena. Letak berhampiran bukit. Kilang kecil sahaja. Satu-satu kilang air mineral di Pulau Karimun. Sepanjang persidangan di Gedung Nasional, air minuman Arena yang dibekalkan. Mohammad Daud Mohammad mencari-cari saluran telaga air, tetapi tidak jumpa. Kami dapat melihat secara dekat proses membotolkan air. Kami diberikan percuma sebotol air. Azman dapat tabung uji siap penutup sekali. Katanya, “Inilah ‘ibu botol.’ Biji-bijinya untuk dibuat botol.” Barangkali Azman bercadang membuka kilang air mineral di Pasir Puteh.
Dalam perjalanan pulang kami singgah di bandar Tanjung Balai untuk membeli belah. Aku beli sehelai baju, seluar dan sepasang kasut kulit putih. “Wah, Nassury beraya hari ini,” kata Samsuddin. “Ya,” aku menyokongnya. Pakaian itulah yang aku pakai ketika pulang pada 14 Disember 2002.
Di rumah aku termenung mengenangi perjalananku ke Karimun. Melihat masyarakat dan kehidupannya, mendengar perbincangan ahli panel dan pesertanya, ada cinta berputik dan merayap ke dalam karung kalbuku. Ia membuak-buak mendesak aku mengenali diri dan memesrainya. Terasa semundur-mundur negeriku mundur lagi negeri orang. Aku teringat sajak Di Luar Negeri karya A. Ghafar Ibrahim dan cerita visi Sulong Anak Terengganu karya Dato’ Seri Haji Idris bin Jusoh. Aku terasa akulah wira lirik dalam cerita mereka itu.
Bukit Mertajam: 23 – 30 Jun 2007
CERPEN 7: PAK MAT DITANGKAP POLISI
KERANA tidak mahu memilih hantu dan kerana tidak mahu bersekongkol dengan hantu, Pak Mat telah ditangkap polisi. Dia dituduh menjadi dalang hingga demikian orang pun tidak mahu memilih hantu dan tidak mahu bersekongkol dengan hantu. Pak Mat dituduh menghasut manusia memboikot perancangan hantu hingga hantu-hantu tercemar nama suci kehantuannya.
Orang banyak di Kampung Che Lijah rasa terkejut mendengar penangkapan itu. Mereka tidak percaya dek kerana tidak mahu memilih hantu, maka Pak Mat ditangkap polisi.
Lho, kot ditangkap kerana benci hantu,” kata Pak Semaun, satu-satunya Melayu keturunan Jawa di Kampung Che Lijah yang turut terkejut dengan penakapan itu.
“Bukan benci hantu, Pak Semaun,” bantah Pak Karim. “Pak Mat ditangkap kerana tidak mahu pilih hantu, bukan benci hantu.”
“ Lho, itukan sama. Benci hantu ertinya tidak mahu pilih hantu. Tidak mahu pilih hantu ertinya benci hantu,” tegas Pak Semaun, membela diri.
“Tidak sama. Pak Mat ditangkap kerana tidak mahu memilih hantu.”
“Lho, tidak mahu pilih hantu pun ditangkap?”
“Iya, tidak mahu bersekongkol dengan hantu.”
“Lho, tidak mahu bersekongkol pun ditangkap?”
“Dan menahan hantu-hantu daripada memilih hantu.”
“Wah, banyak bangat tuduhan ni?”
“Iya, Pak Semaun, kerana kata polisi, Pak Mat telah mencemarkan nama kehantuannya.”
“Kot nama hantu boleh tercemar. Itukan lebih baik kerana kita tidak ketemu dengan hantu, tidak perlu takut pada hantu.”
“Itulah yang Pak Semaun tidak tahu. Tidak ketemu hantu dan tidak takut pada hantu, itulah yang dikatakan mencemarkan nama hantu.”
“Kot begitu?”
“Iya, kalau tidak bersekongkol dengan hantu, makanya orang tidak memilih hantu.”
“Iya, benar.”
“Kalau tidak memilih hantu, makanya orang tidak ketemu hantu.”
“Iya, benar.”
“Kalau tidak ketemu hantu, makanya orang tidak takut pada hantu.”
“Iya, benar.”
“Kalau ketemu hantu, makanya manusia akan takut pada hantu.”
“Iya, benar.”
“Apabila manusia takut pada hantu maka sempurnalah sifat kehantuannya.”
“Ooo ... “
“Dan terpeliharalah kesucian nama kehantuannya.”
“Kot begitu?”
“Iya. Cuba Pak Semaun ingat. Pak Semaun pernah ketemu hantu?”
“Is, nauzubillah .... tak mahu aku.”
“Dan, mahu ketemu hantu?”
“Nauzubillah .... Nauzubillah .... ”
‘Mengapa?”
“Menakutkan. Wajahnya amat buruk.”
“Iya, itulah hantu. Tidak ada hantu yang cantik seperti Dewi.
“Iya, kalau Dewi jadi hantu lagi baik. Saya suka.”
“Pak Semaun suka kerana Dewi cantik. Makanya, Pak Semaun tidak takut. Lagi mahu adanya.”
“Iya. Iya.”
“Adakah apabila Dewi jadi hantu, wajah Dewi akan kekal cantik?”
“Iya, itulah harapnya.”
“Apa pernah Pak Semaun dengar hantu cantik?”
“Ngak. Ngak pernah. Tapi saya harap hantu Dewi cantik sepertinya Dewi.”
“Maka orang tidak takut sama hantu.”
“Iya. Iya, benar sekali.”
“Menurut polisi, itu salah. Kesalahan itu amat berat kerana jiwa hantu tidak harmoni lagi. Ketidakharmonian itu menganggu fungsi hantu menyebabkan jiwa hantu menjadi kacau-bilau. Dan, apabila kacau-bilau bererti akan menganggu ketenteraman negara.”
“Falsafah sekali, Pak Karim.”
“Tidak, Pak Semaun. Cuba Pak Semaun lihat Palestin, lihat Iraq, lihat Lubnan. Mengapakah berlaku kacau-bilau? Kerana mereka sudah menghampiri keharmonian, kedamaian. Hantu Israel telah kembali ke negara mereka. Tidak ada lagi kekacauan di bumi Palestin, Iraq atau Lubnan. Kerana ketidakadaan kekacauan itu telah mengganggu rutin masyarakat hantu di negaranya kerana hilang sifat kerisauannya. Ini telah mengganggu keharmonian hantu menyebabkan hantu-hantu jadi resah-gelisah. Keresahgelisahan itu mengganggu ketenteraman negara.”
Pak Semaun mengangguk-angguk mendengar hujah Pak karim. “Iya, benar seperti kata Pak Karim, tu,” sahut Pak Semaun.
Dan Pak karim bercerita lagi. Katanya, Palestin yang aman damai di bawah pemerintah Hamas-Fatah ternyata tidak aman damai. Hilang hantu Israel tiba-tiba timbul pulak hantu Fatah. Kata sumber yang boleh dipercayai, sejak Palestin aman, para hantu Fatah tidak lagi mendapat upah. Hidupnya semakin kedana. Yang lebih parah lagi, menurut sumber, para rakyat tidak lagi takut pada hantu-hantu Fatah yang ditakuti sebelum ini. Tidak ada sedikit pun rasa gementar saat mereka berselisih. Ini satu kejadian yang amat menghinakan hantu-hantu Fatah.
Lebih parah lagi, kata Pak karim, hantu-hantu Fatah telah hilang medan kehantuannya. Israel yang menjadi musuh kini telah kembali ke negaranya. Kerana tidak ada hantu Israel yang mahu dilawani dikacaui, justeru hantu Fatah kembali mengganas. Mangsa paling hampir dengannya ialah Hamas, rakan kongsi kuasa yang menggugat nama suci kehantuannya. Kerana Hamas darah Palestin kering. Kerana Hamas luka Palestin sembuh. Dan kerana Hamas juga perusahaan fitnah, perusahaan hasad dengki dan kilang umpat-mengumpat yang diusahai oleh hantu-hantu Fatah terpaksa ditutup. Hantu-hantu Fatah yang bergerak dalam lubang sulit hampir mati kelaparan kerana Israel tidak berminat mendapatkan khidmat sulit kehantuannya lagi.
“Iya, saya setuju,” tegas Pak Semaun, tiba-tiba.
“Apa yang setujunya, Pak Semaun?” tanya Pak Karim kehairanan melihat tingkah Pak Semaun.
“Oh, iya,” tersentak Pak Semaun mendengar pertanyaan Pak Karim. “Maksud saya, mereka tidak percaya bahawa memboikot hantu akan mengganggu ketenteraman negara.”
“Ya, betul” tegas Pak Karim.
Pak Karim pun bercerita lagi bahawa ketidakpercayaan membaikot hantu mengganggu ketenteraman negara telah menjadi isu nasional. Katanya, para penternak hantu, khususnya hantu raya, menghadapi kerisauan maharunsing kerana dikhuatiri tiada pihak berminat mendapatkan khidmat hantu raya lagi. Segala strategi menyamar, menjelma dan menyerupai ahli-ahli pemilih telah dapat dihidu oleh lelaki bernama Pak Mat.
Katanya lagi, salah seorang penternak hantu dan sekali gus calon pemilihan bernama Lebai Ketereh, rasa terkejut sungguh kerana hantu-hantu yang disuruh menyamar, menyerupai, dan menjelma itu pulang tanpa sempat menyamar, menyerupai dan menjelma. Apabila Lebai Ketereh bertanya, hantu-hantu itu memberitahu bahawa mereka telah disekat oleh entah siapa sewaktu dalam perjalanan ke pusat pemilih. Mereka diarah pulang tanpa sempat memasukkan kertas-kertas pilihan ke tempat sewajarnya. Malah, kata salah seekor hantu raya, kertas-kertas itu telah dirampas dan dibuang bertaburan ke dalam tali air. Dek takut diapa-apakan, hantu-hantu itu lari lintang-pukang.
Lebai Ketereh rasa amat marah kerana dia kehabisan banyak duit bagi mencalonkan diri bertanding dalam Pemilihan Wakil Suara itu. Lantas, disepaknya kerusi tidak berdosa di sebelahnya, terpelanting dan jatuh di kaki Tok Imam. Dek terkejut bunyi hempatan kerusi itu, Tok Imam melompat dan terjatuh di atas Peti Tabung Upah Hantu di sebelahnya. Akibat peristiwa itulah Tok Imam sampai sekarang digelar Tok Imam Peti.
“Bagaimana Pak Karim boleh tahu ini semua?” tanya Pak Semaun.
“Peristiwa ini dilihat oleh saya dan mata kepala mereka yang ada di situ.”
Ujar Pak Karim lagi, maka riuh-rendah orang melihat peristiwa kerusi melayang itu. Ada yang menjerit-jerit melihat kerusi melayang ke udara kerana bimbang kerusi itu jatuh menimpa kepala. Ada yang cuba lompat mengelak dan ada yang bingkas bangun melarikan diri. Suasana menjadi riuh dan hinggar-binggar. Ada yang luka-luka. Ada yang patah kaki dan ada yang patah tangan. Ada juga lebam muka dan lebam mata kerana terlanggar sesama sendiri.
“Saya sendiri hampir terpenyek dipijaki kaki-kaki yang hinggar-binggar itu, nasib baik saya sempat berlindung di sebalik sebatang pokok,” tegas Pak Karim.
Dan, katanya lagi, Lebai Ketereh terduduk melihat orang ramai yang tiba-tiba hinggar-binggar itu. Setelah suasana reda, Lebai Ketereh mengarahkan Pembantu Kiri dan Pembantu Kanannya menyiasat segera dalang yang menggagalkan rencananya. Mereka pun menelefon esyu-esyu sulit yang ditugaskan mengawasi laluan ke pusat memilih. Sesaat itu juga Pembantu Kiri dan Pembantu Kanan memperoleh maklumat bahawa dalangnya ialah Pak Mat, bekas korperal pencen. Khabarnya Pak Mat ini dahulunya pernah menjadi Hantu Kolar Putih sebab itulah dia tahu tektik samar-menyamar, menyerupai dan menjelma. Dan kata esyu-esyu sulit lagi, ujar Pak Karim, mungkin Pak Mat telah diupah oleh pihak lawan dengan bayaran lumayan.
“Nah, Pak Semaun. Tidakkah ini menunjukkan bahawa orang tidak takut pada hantu?”
“Mereka menyekat penyamaran,” balas Pak Semaun.
“Kerana menyekat penyamaran hantu telah mencetuskan kehinggarbinggaran dan ini mengganggu keamanan? Soalnya mengganggu keamanan”
“Iya.”
“Justeru itulah Pak Mat ditangkap polisi.”
“Tapi, Pak Mat berusaha menyekat penyamaran. Itu usaha yang baik.”
“Apakah ada hantu yang jujur? Yang tidak menyamar dan tidak menipu?”
Sekali lagi Pak Karim menegaskan bahawa perbuatan Pak Mat itu telah melanggar Akta Hak Asasi Kehantuan Negara. Katanya, pelanggaran ini adalah salah di sisi undang-undang negara. Hantu-hantu itu telah membuat laporan ke Pejabat Polisi tentang pelanggaran hak asasinya itu.
“Justeru itulah Pak Mat ditangkap polisi,” tegas Pak Karim lagi.
Maka dijelaskan lagi bahawa kerana tidak mahu memilih hantu dan kerana tidak mahu bersekongkol dengan hantu, Pak Mat telah ditangkap polisi. Dia dituduh menjadi dalang hingga demikian orang pun tidak mahu memilih hantu dan tidak mahu bersekongkol dengan hantu. Pak Mat dituduh menghasut manusia memboikot perancangan hantu hingga hantu-hantu tercemar nama suci kehantuannya.
“Apa, Pak Karim juga menternak hantu?” teka Pak Semaun.
“Isy, Pak Semaun!”
“Makanya Pak Karim setuju bahawa kita tidak perlu takut pada hantu?”
“Sepatutnya.”
“Kita perlu hapus hantu dan kehantuannya?”
“Juga.”
“Pak Karim dan Pak Semaun?”
“Dan mereka yang selidahnya.”
“Kita perlu merdekakan negara dan rakyat daripada segala hantu.”
“Iya. Iya.”
“Kalau begitu, ayuh kita buktikan.”
Esoknya, orang Kampung Che Lijah berduyun-duyun berarak ke Rumah Pasung, di mana tempat Pak Mat ditahan. Mereka menyampaikan memorandum agar dihapuskan Akta Hak Asasi Kehantuan Negara dan mengharamkan segala jenis hantu daripada menjadi pemilih dan calon Pemilihan Wakil Suara. Pada akhir perhimpunan itu, Pak Karim dan Pak Semaun telah ditahan polisi. Hal ini menyebabkan beberapa peserta perhimpunan terkejut dan berusaha mendapatkan kepastian terhadap penahanan Pak Karim dan Pak Semaun itu. Malangnya, mereka juga turut ditahan dan dituduh bersubahat.
“Adakah kamu mengaku salah?” tanya Tuan Arif kepada Pak Karim, Pak Semaun dan Pak Mat serta mereka yang sekariman, sesemaunan dan sematannya.
Mereka tidak membalas pertanyaan Tuan Arif. Hanya wajah mereka menatap wajah Tuan Arif dan Tuan Dakwa. Ruang sunyi seketika.
“Tidak, Tuan Arif,” tegas Pak Mat
“Merdeka!” jerit Pak Karim.
“Merdeka!” sahut Pak Semaun.
“Merdeka! Merdeka! Merdeka!,” sahut mereka yang sematan, sekariman dan sesemaunan dengannya.
Bukit Mertajam: 7 September 2007
CERPEN 8: GILA GELAR
SEORANG Tan Sri, enam orang datuk dan tiga orang doktor menjuih bibir melihat Bulan Anak Langkau, diiringi seorang Peguam Muda, melangkah masuk ke kandang salah. Budak itu kelihatan kebinggungan. Matanya bagai rusa masuk pekan.
“Bulan anak Langkau,” Jurutuduh memecah kesunyian suasana.
Yang Ariff menjeling dari bingkai atas cermin rabun dekat sebesar jari kelingking bertenggek di atas hidung besar berkerutu miliknya. Bulan tidak berkata apa-apa. Menyahut tidak senyum pun tidak. Hanya mata melilau-lilau tidak ketentuan.
“Anda dituduh membaling 10 biji batu dengan sengaja hingga mencederakan seorang tan sri, enam orang datuk dan tiga orang doktor,” Jurutuduh berhenti sejenak, memandang Bulan anak langkau, dan kemudian menyambungkan suara, “ Adakah anda mengaku salah?”
Bulan anak Langkau masih diam. Hanya mata terkebil-kebil memandang Yang Ariff, Jurutuduh, Tuan Dakwa, Tuan Bela dan para tamu. Sikap membisu Bulan anak Langkau memaksa Jurutuduh mengulangi pertuduhan.
Hasil bantuan polis, Bulan anak Langkau mengangguk dan kemudian menggeleng. Mengangguk lagi dan menggeleng lagi. Yang Ariff merenung telatah Bulan dan bersuara, “Jawab ya atau tidak.”
“Ti … ti … tidak.”
Mendengar jawapan Bulan, Yang Ariff bertanya, “Adakah awak lantik peguam?” Tuan Bela bangun dan berkata, “Saya, guam belanya, Yang Ariff.
Yang Ariff memutuskan pembicaraan dijalankan segera.
Sambil menunjukkan objek, Tuan Dakwa bertanya Bulan akan nama objek itu. Dijawab oleh Bulan, “Batu.” Ditanyakan lagi akan kegunaan batu dan kemudian ditanyai sebab Bulan membaling batu ke arah tan sri, datuk dan doktor. Dijawab oleh Bulan bahawa dia tidak baling batu ke arah mereka.
“Habis, kepada siapa awak baling batu?” Tuan Dakwa memancarkan sinar retina pada muka bulan.
“Saja baling-baling batu,” agak lancar jawapan Bulan.
“Ke arah mereka?”
“Hutan kampung saya.”
“Anda ambil 10 biji batu dan baling tan sri, datuk dan doktor,” Tuan Dakwa memancing pertuduhan.
“Ke arah hutan di kampung saya.”
“Anda mencampak batu apabila melihat mereka?”
“Tidak.”
“Anda lempar batu ini ke arah mereka,” Tuan Dakwa menunjukkan sebiji batu.
“Saya tidak baling batu.”
“Bukan baling batu? Habis, awak baling apa?”
“Batu,”
“Tadi awak kata bukan baling batu. Kemudian, awak kata baling batu. Mana satu. Baling batu atau baling bukan batu?”
“Saya baling batu.”
“Awak jangan main-main. Ini mahkamah. Awak mesti cakap benar.”
“Saya baling batu.”
“Ya, bagus. Sekarang awak mengaku. Awak baling batu ke arah tan sri, datuk dan doktor?”
“Tidak. Saya baling-baling batu bukan baling batu.”
“Kenapa arah mereka?”
“Tidak. Saya tidak lihat mereka. Saya baling ke arah hutan, bukan ke arah orang.”
Melihat berlaku ketegangan, Tuan Bela bangun mencelah.
“Ya, Yang Ariff. Anak guam saya tidak baling batu, tetapi main baling-baling batu di kampungnya, Kampung Angin Dingin,” tegas Tuan Bela. “Di kampung mereka, Yang Ariff. Perkampungan orang asli. Mereka selalu main baling-baling batu. Itulah permainan mereka, Yang Ariff.”
Tuan Bela mengeluarkan keratan akhbar dan menghulurkan kepada Yang Ariff. Dibaca oleh Yang Ariff persis sebagaimana di bawah.
AlSutani – 10 November. Seorang penganalisis gelar dari luar negara melaporkan hasil kajiannya mendapati 90 % rakyat negara alSutani mempunyai gelar.
Katanya, dalam kertas kerja bertajuk “Gila Gelar,” antara gelar yang digilamiliki ialah datuk, tan sri dan doktor.
Beliau mengandaikan bahawa jika baling 10 biji batu ke mana-mana sahaja, enam biji terkena kepala datuk, tiga biji terkena doktor dan satu terkena tan sri.
Yang Ariff cepat-cepat lipat keratan akhbar dan bertanya kepada mangsa, “Di manakah kamu berada ketika terkena batu?”
Para mangsa itu serentak menjawab, “Di hutan di Kampung Angin Dingin. Kami sedang memburu.”
Mendengar jawapan itu, Yang Arif terus memutuskan bahawa kes ditutup. Tersentak Tuan Dakwa lalu bangun, “Tapi, Yang Ariff Datuk …” kata-kata Tuan Dakwa terhenti kerana Yang Ariff Datuk Hakim telah hilang si sebalik pintu kamarnya.
Seorang Tan Sri, enam orang datuk dan tiga orang doktor menjuih bibir melihat Bulan Anak Langkau, diiringi seorang Peguam Muda, melangkah keluar dari kandang salah. Budak itu kelihatan masih kebinggungan. Pun matanya masih melilau-lilau, bagai rusa masuk pekan.
Pengkalan Chepa, 15 Mac – 18 April 2009
CERPEN 9: TUAN BESAR BOS @ KURSUS
HABIS Majlis Penutup Mesyuarat Gubal Kurikulum, aku cepat-cepat berjumpa Tuan Besar Urus Setia, bermohon diri. Tuan Besar Urus Setia mengajak aku makan sebelum berangkat. Aku menolak dengan hormat. Kataku, “saya perlu segera ke Kota Star.”
“Ada apa di sana?” tanya Tuan Besar Urus Setia. Tangannya masih menggeggam salamku. Senyum matanya bertentang dengan santun mataku.
“Ada kursus lagi,” kataku bersungguh-sungguh sambil mengangguk. “Kawan telefon beritahu. Daftar masuk pagi tadi.”
“Ooo …” kata Tuan Besar Urus Setia. “Nampaknya Encik belum pandai lagi,” sambung Tuan Besar Urus Setia. Terasa sekali nada guraunya.
Aku tersenyum mendengar kata-kata Tuan Besar Urus Setia itu, dan berkata, “Ya, begitulah nampaknya.” Aku bungkus kata-kataku itu dalam senyum wajah dan gurau nada.
Tuan Besar Urus Setia mengangguk-angguk dan ketawa mendengarnya. Aku juga turut ketawa, kerana faham akan gurauan masing-masing.
“Saya pun begitu juga,” terdengar nada Tuan Besar urus Setia agak sayu sedikit. “Asyik berkursus. Balik tukar bag saja. Tough and go. Anak-anak entah macam mana!” ujar Tuan Besar Urus Setia, dalam sayu nada. Senyum wajahnya nampak sedikit masam.
Aku terdiam seketika. Aku fikir Tuan Besar Urus Setia tidak merunggut dengan kerja. Rupa-rupanya, sangkaanku salah. Mungkin Tuan Besar Urus Setia terkenang akan anak-anaknya yang tidak terbela. Almaklumlah, tugas Tuan Besar Urus Setia asyik keluar memberi kursus, mendidik rakan-rakan sekerja agar pandai, sedang anak sendiri, entahlah!
“Kita menurut perintah,” ujarku memujuk, tanpa pasti adakah kata-kata itu dituju kepada Tuan Besar Urus Setia atau kepada aku sendiri.
“Ya, kerana menurut perintah. Hati-hati memandu,” balas Tuan Besar Urus Setia. Wajahnya kembali ceria.
Waktu aku melangkah keluar dari hotel, matahari bulat tegak di atas kepala. Bahangnya menerkam dan mencakar muka. Aku biarkan saja. Memang fiil matahari begitu. Tidak berkuasa aku melawannya. Tetamu semesyuarat juga tidak ramai kelihatan. Hanya Jali dan Mail saja, kelihatan tergesa-gesa mengheret bag ke parkir kereta. Mungkin yang lain sedang berbahagia di meja makan.
“Balik ke mana?” jeritku.
“Terengganu. Tak mahu sampai malam,” ujar Jali apabila aku bertanya arah tujunya. Kami pun bergerak menuju ke haluan masing-masing.
Sampai di petengahan jalan aku berhenti kerana teringat belum menelefon isteri. Aku beritahu bahawa aku tidak pulang seperti dijanjikan. Kataku, “Kena sambung Kursus Intell-Pedagogi pula.”
“Tak habis-habis kursus. Tak pandai lagi ke?” sindir isteriku. “Itu budak-budak (maksudnya, pelatih ) siapa nak ajar?” katanya lagi.
Aku membalas tegas, “Ilmu sentiasa di depan. Mesti dikejar. Tidak seperti Bahasa Melayu. Semakin ke belakang,” walaupun otak terasa letih.
Perjalanan 170 KM dapat aku habiskan dalam masa satu setengah jam saja. Memang perjalananku kali ini tidak selesa. Pertama, aku perlu sampai segera mungkin. Kedua, kata-kata Tuan Besar Urus Setia masih terngiang-ngiang. Entah ikhlas entah sindiran. Mungkin juga berkongsi pengalaman. Ketiga, sindiran isteriku. Ya, siapakah yang berkursus, pensyarah atau pelatih? Entahlah. Aku hanya menurut perintah saja.
Tepat jam 2. 45 minit aku sampai di Kota Star. Setelah mendaftar masuk hotel dan mandi, aku segera ke Dewan Kursus. Aku lihat para peserta begitu asyik melayari internet, mencari dan muat turun maklumat. Di depan kelihatan rakan sejawatku, Tuan Fasilitator, sedang asyik menunjuk cara. Aku menyapa dengan senyuman sambil mengangguk. Tuan Fasilitator membalas, juga dengan senyuman dan anggukkan.
Tanpa berlengah aku terus memasang laptop jabatan yang baru seminggu aku terima. Aku klik ikon internet, gagal. Klik lagi, gagal. Aku klik dua kali, pun gagal juga. Klik lagi, dan lagi, dan lagi, dan lagi .... Semuanya gagal. Aku panggil Tuan Fasilitator bertanyakan sebab kegagalan itu. Tuan Fasilitator cuba klik, namun gagal. Kemudian, Tuan Fasilitator klik di situ klik di sini klik di situ klik di sini .... “La ... “ kata Tuan Fasilitator tiba-tiba sambil menepuk dahinya.
“Kenapa?” tanyaku.
“Format tak habis. Sebab ‘tu tak dapat,” tegas Tuan Fasilitator. “Ni gara-gara niaga nak cepat kaya le ni!” tegas Tuan fasilitator lagi, seakan-akan menyindir, tetapi entah kepada siapa.
“Habis tu, macam mana nak buat kerja?” aku merunggut.
“Macam mana, tumpang kawan le.” Balas Tuan Fasilitator. “Balik nanti, hantar ke Jabatan Teknologi. Nanti aku panggil pembekal format bagi habis,” saran Tuan Fasilitator.
Tiba-tiba daun pintu terkuak. Masuk Tuan Besar Bos, terus ke tempat urus setia di belakang. Sepuluh minit kemudian, Tuan Besar Bos memanggil aku.
“Pagi tadi tak ada. Pergi ke mana?” tanya Tuan Besar Bos.
Aku terkejut mendengar pertanyaan Tuan Besar Bos itu. Hatiku terasa pilu. Dalam hati aku berkata-kata sendirian, ‘Dia yang arah kita keluar, ditanya pulak!’
Aku menahan rasa pilu dan menjawab lembut, “Bukankah Tuan Besar Bos mengarahkan saya ke Mesyuarat Gubal Kurikulum? Sudah seminggu saya di sana. Baru habis tengah hari tadi,” tegasku.
“Eh, iya ke?” berkerut dahi Tuan Besar Bos mendengarnya. “Lupa pula saya. Maklumlah, banyak sangat kursus. Belum habis satu kursus dah sampai arahan baru. Pergi ke kursus ini, pergi ke kursus itu,” runggut Tuan Besar Bos. Aku diam sahaja.
Setelah berbasa-basi, aku meninggalkan Tuan Besar Bos. Tiba-tiba Nokiaku berbunyi. Aku cepat-cepat menekan butang dan menyahutnya.
“Encik. Surat dari Bos Tuan Besar Bos arah Encik pergi berkursus di Ipoh, lusa.”
“Hah, kursus lagi!” Tiba-tiba terasa lututku lemah, mata berbinar-binar dan ....
Bukit Mertajam, Julai 2007
CERPEN 10: CAHAYA RUMAH PUSAKA
TERKEJUT saya melihat ramai orang di hadapan rumah pusaka. Di halaman pula ada bas persiaran, ada kereta polis. ‘Wah, ada lawatan pelancong asing!’ kembang hati saya melihatnya.
Memang rumah pusaka sangat tua usianya. Kalau dikira dengan jari memang tidak cukup jari. Kalau dikira dengan ingatan pun tidak cukup ingatan. Demikian pengalaman waris-wara, pun tidak cukup tahu akan usia rumah pusaka.
Tuanya sejauh sejarah. Tiada sesiapa dapat menceritakan pengalaman asal dan usulnya. Setahu nenek, kata ayah, rumah pusaka sudah lahir waktu nenek dilahirkan. Kata nenek lagi, ujar ayah, datuk kepada datuk nenek yang membinanya. Siap, rumah pusaka jadi rumah induk keluarga datuk. Anak datuk dan cucu-cucu datuk tinggal di rumah pusaka.
Kata ayah lagi, serupa nenek, ayah lahir di rumah berdinding kulit kayu Kapur di atas gelegar nibung rumah pusaka inilah. Mula rumah pusaka kecil. Tiang cengal bersegi empat, yang disorong-ditarik gergaji buaya, manakala atapnya dari daun Langkap dijahit dengan Rotan Beras belah empat. Dinding dan atapnya berkali-kali berubah, dari kulit kayu Kapur ke kulit Kuing, dari atap daun Langkap ke daun Palas. Kini rumah pusaka berdinding papan dan beratap genting dari China.
Dek bertambah anak dan cucu dan cicit dan ciuk dan … entah siapa lagi, rumah pusaka membesar dan membesar dan membesar hingga kini semua ada 12 bilik, termasuk bilik air dan bilik dapur. Ada bilik bersaiz besar ada bilik bersaiz kecil. Setiap bilik mewakili satu keluarga. Sentiasa geger rumah pusaka, seronok tidak terkira rasa.
Bilik nenek, kata ayah, tidak besar tidak kecil. Bilik tempat ayah dilahirkan. “Bilik itu,” ayah menjuih bibir. “Bilik tidur Amin sekarang inilah.”
Kata ayah lagi, rumah pusaka menyimpan banyak pengalaman. Kalau manusia, rumah pusaka boleh menceritakan perihal orang putih, orang janggut, orang pendek, orang sepet, orang hitam, orang sawo. Malah semua fiil penghuni dan bekas penghuninya pun boleh rumah pusaka menceritakan.
Sayangnya, selepas merdeka, seorang demi seorang penghuni rumah pusaka berpindah. Ada yang pindah ke kubur. Ramai yang pindah ke rumah baharu. Ikut suami, ikut anak. Tidak kurang membina atau membeli rumah sendiri. Tinggallah ibu dan bapa ayah. Bapa ayah diamanahkan menjaga rumah pusaka. Kini, ayah menjadi pemerintah paling tinggi di rumah pusaka setelah datuk dan nenek pindah ke kubur.
Seingat saya, sekalipun ayah tidak pernah baiki rumah pusaka, walaupun lantai dan dinding dan atap dan serambi dan jemurannya dimamah anai-anai. Tegas ayah, dia mahu keaslian rumah pusaka kekal. Sebab itu, jelas ayah, segala perkakasnya ayah tidak tambah. Ayah kata mahu kekalkan keasalan dan kepusakaannya. Walaupun perkakas-perkakis rumah pesaka kian berkurangan kerana rosak dek tua usia.
Saya pernah dengar Pak Andak dan Pak Usu mencadangkan agar ayah baiki rumah pusaka.
“Bolehlah kami balik sekali-sekala. Imbau kenangan silam,” Pak Usu memancing ayah.
Ayah hanya diam. Angguk tidak geleng pun tidak.
“Kalau tiada duit boleh kami bantu,” Pak Andak mengerling Pak Usu. “Lagipun, rumah pusaka perlu dibaiki agar sesuai dengan zaman,” Pak Andak berusaha menyakinkan ayah.
Ayah hanya diam seakan tidak mendengar kata-kata Pak Andak.
Tok penghulu dan saya, dan emak sudah berkali-kali mencadangkan agar ayah baiki rumah pusaka. Kalau boleh, pinta saya, buat rumah batu macam rumah Pak Usu dan rumah Pak Andak.
“Nanti tidur tidak sejuk,” dengan nada lembut saya pujuk ayah.
Pun ayah diam juga.
Rumah jiran-jiran, tegas saya cuba mencucuk jarum persetujuan ayah, sudah banyak bertukar wajah. Ada yang membatukan semua dindingnya lantainya. Ada yang separuh-separuh. Batu di bawah kayu di atas. Dan, jelas saya lagi, yang sebenar-benarnya, “Boleh beli tv besar. Boleh beli komputer meja,” pancing saya. “Gah rumah kita seperti rumah orang lain yang ada tv besar, yang ada komputer meja.” saya mendiamkan telinga, menanti persetujuan ayah.
Sayangnya, mulut dan kepala ayah masih belum mahu bersuara.
“Seronok ada komputer, ayah. Sudin kata boleh cari itu boleh cari ini. Semua ada dalam komputer,” dengan wajah teruja saya berusaha menyakinkan ayah.
Pun ayah diam juga. Memang ayah seorang pendiam!
Alih-alih, suatu hari, pulang dari lawatan JKKK ke Putrajaya, tiba-tiba ayah memanggil kami. Ayah kata, ayah mahu beri nafas baharu pada rumah pusaka, biar dilihat lebih menarik. Kami mengiyakan dengan rasa sangat setuju. Saya bayangkan rumah pusaka akan ayah batukan semuanya. Atau membatukan bahagian bawah dan biar berkayu di bahagian atas. Seronok saya bak di pagi raya.
“Perubahan itu sejajar dengan perkembangan massa, tanpa perlu mengubah ciri keasalan rumah pusaka,” bersungguh ayah menyakinkan saya, menyakinkan ibu.
Bak bulan purnama senyum ibu. Saya pula seperti bola terpelanting. Lama kami nanti khabar berita ayah itu.
Langkah pertama, kami disuruh ayah membersihkan sawang dan semak-samun di sekeliling dan belakang rumah pusaka. Baharu saya sedar, ada pusu kecil dan tembok anai-anai melekat di salah satu tiang rumah. Ayah minta saya buang dan lumur minyak hitam keliling tiang. “Biar anai-anai tidak merebak,” sambil ayah tunjukkan caranya. Saya lumur minyak hitam sampai ke gelegar, tempat berakhir tembok anai-anai. Dua hari kemudian, Tauke hantar enam baldi Crown 7517 dan empat baldi Korevon Colour Connection 2453.
“Wah, ini rumah baru nampak cantik,” Tauke melopong. Ayah senyum kemegahan.
“Berapa banyak mahu kayu, atap. Cakap saja. Nanti saya bawa mari,” Tauke cuba memasang jerat.
Ayah beritahu semua itu tidak perlu. Tegas ayah, dia tidak mahu tukar perabung atau alang-alang atau dinding kerana mahu keasalan rumah pusaka kekal.
“Lagipun, kayu-kayu asal rumah pusaka masih kukuh dan kuat.”
“Kalau begitu, boleh besarkan. Cakap saja. Boleh saya hantar.”
Pun ayah tolak.
Kata ayah, cukuplah kebesaran rumah pusaka sedia ada. Lagipun, penghuninya kami berempat: Ayah, ibu, adik dan saya.
Seminggu kemudian, rumah yang nampak suram itu kelihatan ceria. Dindingnya dikuningkan warna. Orang-orang kampung mula datang melawat. Kata mereka, kuning rumah pusaka kelihatan cerah dan berseri. Dan, kata mereka lagi, sudah lama tidak melihat rumah berwarna kuning. Hanya Usop, anak Pak Su Nawi baru tamat belajar di universiti, tidak setuju rumah pusaka dikuningkan warna.
“Rumah Melayu tidak boleh berwarna kuning,” Usop menggeleng. “Ia boleh mendatangkan murka.” Dengan wajah serius, Usop beri nasihat kepada ayah, “Lebih baik ditukarkan saja kayu dinding dan atap China yang sudah berlumut itu.”
Saya lihat dahi ayah berkerut mendengar nasihat Usop.
“kayu dinding, daun pintu, jendela dan kekisi patut ditukarkan, baru nampak kukuh dan tegap,” Usop melirik ayah.
“Betul tu, ayah. Rumah jiran kita semua dah jadi banglo. Kita tukar rumah pusaka jadi banglo, ayah.” Kata-kata Usop memberi semangat kepada saya memujuk ayah.
“Kalau ditukarkan ...,” tiba-tiba ayah jegil Usop dengan wajah bengkeng.
“Baru habis belajar dah nak ajar orang tua. Balik baiki rumah sendiri!” tempelak ayah mengejutkan saya dan Usop. Barangkali kerana terkejut, takut atau malu mendengar tengkingan ayah, Usop menonong pergi.
Kesian saya lihat Usop ditengking ayah.
Beberapa lama berlalu, akhirnya ayah dapat memahami rasa hati kami. Ayah bercadang mengubah imej rumah dan kerumahan rumah pusaka secara beransur-ansur. Perubahan pertama, ayah menamakan secara rasmi rumah pusaka dengan nama Rumah Pusaka.
“Kenapa masih nama itu?” Saya teringat nama ‘villa’, rumah baharu Haji Salleh.
Ayah menjawab, “Ayah mahu kekal keasalan dan warisannya,” ceria wajah ayah mengiringi kata-katanya. “Lagipun kita sudah biasa memanggilnya rumah pusaka. Biar nama itu kekal dalam hati kita, sanubari kita.”
Dengan rasa senang saya mengiyakan hasrat ayah. Kata ayah lagi, “Oleh sebab rumah itu pusaka nenek-moyang, maka ayah kekalkan nama pusaka tanda ingatan kita terhadap mereka dan jasa mereka.”
“Ya. Kita harus kenang jasa mereka,” entah ikhlas entah tidak, ibu menyokong cadangan ayah. Mungkin ibu bimbang ayah berubah fikiran.
Sejak bergelar Rumah Pusaka, ayah mulai membeli itu membeli ini untuk mencantikkan Rumah Pusaka. Mula-mula ayah beli kerusi Itali. Berat tidak tertanggung kudrat saya mengangkatnya. Ayah letak di ruang tamu. Dihiasi Pasu Kuala dengan bunga mati dari Cameron. Dindingnya ayah gantung Lukisan Siam. Kemudian ayah beli almari rak berkayu jati. Katanya, almari itu sesuai diletak di ruang tamu juga, untuk diisi dengan barang-barang pusaka, sebagai hiasan.
“Nanti tetamu kita seronok melihatnya. Pulang dengan rasa bahagia. Dan bercadang datang lagi,” mata ayah cuba menyakinkan saya.
Paling seronok ayah beli tv 29 inci. Dan kemudian komputer Pentiun 3. Pun ayah letak di ruang tamu. Menyusulnya, ayah beli katil besar katil kecil dan almari kain kayu nyatoh. Pun berat tidak tertanggung kudrat saya. Almari makan dan meja makan ayah letak di dapur. Kecuali bilik ibu dan bilik saya, beberapa almari berdinding cermin gaya antik ayah beli dan letak di setiap bilik. Semua itu, kata ayah, “Demi mencantik dan menambah tarikan pada Rumah Pusaka.”
Macam-macam jenis barang pusaka dan tidak pusaka ayah gantung di dinding-dinding dan simpan dalam almari di Rumah Pusaka. Tidak kurang juga pantun, syair, sajak dan kata-kata indah ayah lekat di setiap penjuru kosong dinding Rumah Pusaka.
Ayah mahu set hiasan bertaraf dunia dan bercita-cita mahu menjadikannya rumah lawar pelancong. “Oleh itu,” sambil tersenyum semanis ibu, “Perabot dan dinding harus cantik dan menawan. Nanti tetamu terpesona, tinggal beberapa hari di Rumah Pusaka. Dan, teruja hendak datang lagi.”
Hasrat ayah menjadi. Setiap hari, ada sahaja tetamu putih tetamu hitam, yang mancung, yang sepet, yang tinggi, dan yang rendah datang. Mereka datang melihat-lihat, bergambar dan bermalam, bermalam-malaman. Ayah, saya dan emak jadi pakar rujuk barang-barang pusaka dan kepusakaan Rumah Pusaka. Emak makin bergaya dan ayah tidak lekang dengan blazer bandernya. Orang kampung juga ramai yang datang memeriahkan suasana di Rumah Pusaka. Juga membantu orang putih, orang hitam, orang sawo, orang tinggi, dan orang rendah keluar masuk Rumah Pusaka.
Mamak Tanjung datang buka Gerai Cendol dan Ali Jempol jual ais krim.
Termasuk Usop. Usop datang ketika ayah tiada. Apabila saya bertanya akan Rumah Pusaka, Usop menjawab, “Bagus. Nampak berjaya.” Oh, senang hati saya mendengarnya!
“Tetapi,”
“Ah!” Kesenangan hati saya tiba-tiba tersentak. Jantung dup-dap-dup-dap. Badan mulai berpeluh. Kepala tertonjol. Dan telinga berlitahkan diri, menanti Usop membuka mulut.
“Perubahannya tidak seimbang.”
“Mengapa?”
“Perubahan isi harus diikuti perubahan struktur. Malangnya, Rumah Pusaka tidak berlaku perubahan itu semua,” Usop memandang tajam, dan nampak bersungguh. Saya tergamam mendengarnya.
“Habis, perabot-perabot kami beli tu?” Saya mencari kepastian.
“Itu bukan perubahan. Perabot-perabot itu elemen luar yang dibawa masuk ke dalam Rumah Pusaka. Ia hanya aksesori.”
“Ak-se-so-ri? Kau kata aksesori?” Saya kehairanan.
“Ya. Sedang struktur asas Rumah Pusaka masih kekal. Ketahanannya amat diragui. Ini tidak sepatutnya.”
Saya terlopong mendengar hujah Usop. Memang fikiran Usop sukar difahami. Sekejap memuji, dan kemudian membantahnya.
“Struktur fizik dan struktur asas Rumah Pusaka langsung tidak berubah,” Usop bersuara melihat saya kehairanan. “Saya fikir, struktur asal Rumah Pusaka tidak dapat menampung sampah-sarap yang dibawa masuk.”
‘Sampah sarap?’ terkejut lagi hati saya mendengarnya. Kehairanan saya makin berganda.
Saya tidak faham kehendak Usop. Segala perabot ayah beli dikatakan sampah sarap. Memang Usop bernasib baik ayah tiada di rumah. Kalau tidak, kesian Usop!
Pandangan Usop tidak saya khabar kepada ayah. Bimbang ayah melenting dan Usop ditengking lagi.
Hasil pertolongan wakil rakyat, jalan sekitar kampung dan jalan ke Rumah Pusaka ditar, dilebar dan dinaikkan taraf. Kini orang keluar masuk setiap hari ke Rumah Pusaka, hingga kami terpaksa tukar Buku Pelawat Rumah Pusaka berkali-kali. Ada yang datang berjalan kaki. Ada yang datang bertongkat. Ada yang datang naik motosikal, naik kereta, naik bas. Ada rombongan pelajar, mahasiswa, rakyat tempatan dan pelancong asing. Ayah dan saya dan ibu bersinar gigi melihat para pelawat.
Makin lama ayah makin ghairah. Tambah gambar dan segala jenis barangan waris-wara Rumah Pusaka. Pak Andak dan keluarga, Pak Usu dan keluarga, Mak Ngah dan keluarga, sepupu-sepapa dan waris-wara dengan keluarga masing-masing datang bawa gambar bawa barang, sebagai sokongan.
Rumah Pusaka jadi kebanggaan waris-wara. Semua gambar dan barang-barang klasik ayah sambut dengan besar hati dan pamerkan. Banyak juga barangan dan gambar waris-wara tidak saya kenal, ayah pamerkan.
Pulang dari pekan, terkejut saya melihat ramai orang di hadapan Rumah Pusaka. Di halaman pula ada bas persiaran, ada kereta polis. ‘Wah, ada lawatan pelancong asing!’ kembang hati saya melihatnya.
Orang ramai saya redah sopan maju ke depan dan terkejut melihat beberapa pelancong bergelimpangan di perkarangan Rumah Pusaka. Ada terbaring diam. Ada mengaduh kesakitan. Saya meluru ke arah mereka.
“Mengapa?” Mata saya melilau-lilau. Saat itu terpandang ayah berlumuran darah, bersandar di satu bangku. Saya meluru ke arah ayah.
“Mengapa?” Ayah membisu. Hanya tangan menuding ke belakang Rumah Pusaka. Saya pun berlari ke arah tudingan ayah.
“Ya, Allah!” Tergamam saya. Perabung, dinding dan lantai bahagian belakang Rumah Pusaka berselerakan atas tanah.
Hati saya terasa sayu. Mata pula mulai berair dan kabur.
Saat itu, saya tiba-tiba teringat pada Usop.
20 Februari – 2 Disember 2008
Pengkalan Chepa, Kelantan.
CERPEN 11: MERAH MATA
ORANG ramai yang datang mendapatkan rawatan pada hari itu terpingga-pingga melihat ramai budak sekolah di sekitar hospital. Ada yang melihat tanpa bersuara. Ada yang berbisik kepada rakan sesakit. Ada yang menjuih bibir melihat fiil budak yang tiba-tiba ramai itu.
“Kenapa ramai budak sekolah?”
“Sakit.”
“Laaa. Ingat datang melawat.”
“Hiss!”
“Biasa tidak seramai ini.”
“Keracunan, kot?”
“Semua mata merah.”
“Oooo. Sakit matalah ‘tu. Berjangkit ‘ni.”
“Seramai ‘tu?”
“Biasalah. Penyakit berjangkit.”
Ketika dua orang wanita tua itu berbual-bual, datang lagi beberapa orang budak sekolah, dihantar oleh guru mereka.
“Laaa, ada lagi!”
“Sakit mata lagi!”
“Baik kita balik.”
“Habis, sakit kita?”
“Kita pergi klinik. Awak tak takut berjangkit?”
“Tak apalah kat sini pun. Dah lewat nak pergi klinik.”
Oleh sebab ramai budak sekolah, telah memaksa pihak hospital menyediakan kauter khas. Dua orang jururawat ditugaskan mencatat butiran diri dan tekanan nadi, sebelum budak-budak itu masuk berjumpa dengan Tuan Doktor.
“Apa sakit?”
“Merah mata, Tuan Doktor,”
Tuan Doktor meneliti kad yang ditulis oleh jururawat, dan berkata, “Ada lihat matahari?”
“Tidak, Tuan Doktor.”
“Main hujan malam?”
“Tidak, Tuan Doktor.”
“Ada sakit?”
“Tidak, Tuan Doktor.”
Tuan Doktor kelebek mata kiri kelebek mata kanan. Disuluh-suluh mata kiri disuluh-suluh mata kanan. Kemudian, merakam merah mata ke dalam komputer. Kata Tuan Doktor, bacaan komputer mendapati aliran keluar-masuk cecair jernih ke dalam bola mata normal. Purata 15 mmHg. Kandungan oksigen, gula dan nutrient juga normal.
“Sel retina, saraf serabut, saraf optik dan warna kelopak mata juga normal. Cuma bola mata saja merah.”
Melihat dahi Tuan Doktor berkerut-kerut dengan wajah berselang ceria sambil menyatakan kehairanannya, salah seorang daripada budak itu tiba-tiba bersuara.
“Sepagian kami berbaris di tepi jalan, Tuan Doktor.”
“Mengapa?”
“Menanti Tuan Negara.”
Maka budak seorang itupun menceritakan pengalaman dia berbaris di tepi jalan menanti Tuan Negara. Kata budak itu, Tuan Negara telah terlewat masa atur cara. Dia dan budak-budak lain, termasuk guru dan wakil ibu bapa, terpaksa menunggu tanpa berganjak. Kata Tuan Urus Setia, Tuan Negara akan sampai pada bila-bila masa. Lama ‘bila-bila masa,’ kata budak itu, kira-kira 30 minit baru Tuan Negara sampai. Langit pula panas terik. Tidak ada segumpal awan melindungi kami daripada bahang matahari. Tekak terasa haus. Malangnya, kata budak itu lagi, “Tiada siapa memberikan air kepada kami.”
“Mereka juga larang kami ke kantin. Bimbang Tuan Negara akan sampai tanpa sempat kami bersedia,” sampuk rakan budak itu, memberitahu Tuan Doktor.
Tuan Doktor menjalankan diagnosis, bertanya itu bertanya ini: “Adakah mata awak berair atau bertahi?” Dijawab oleh budak-budak itu, “Tidak.” Ditanya lagi, “Adakah terasa silau sewaktu berada di tempat terbuka?” Dijawab oleh budak-budak itu, “Tidak.” Dan, ditanya lagi, “Adakah rasa berpasir atau nyeri pada mata?” pun dijawab oleh budak-budak itu, “Tidak, Tuan Doktor.”
Tidak puas hati dengan hasil diagnosis, Tuan Doktor memanggil rakan melakukan diagnosis dan mencari simptom merah mata. Pun tidak berjaya. Maka Tuan Doktor berbincang dengan rakannya itu. Mereka setuju mengambil sampel darah dan, buat sementara waktu, memberi vitamin sahaja kepada budak-budak itu.
Berita budak sekolah membanjiri hospital dan Tuan Doktor tidak dapat kenal pasti simptom merah mata sampai ke telinga akhbar. Tuan Pengarang mengarahkan seorang pemberita pelatih dan jurugambar segera ke hospital. Bergegas mereka mencari Tuan Doktor. Tuan Doktor pula mengelak daripada memberi maklumat kerana khuatir melanggar Etika Kedoktoran. Pemberita itupun mencari budak sekolah dan bertanya akan sebab merah mata mereka.
Dijawap oleh budak-budak itu, merah mata mereka itu tiba-tiba sahaja, sehari selepas sepagian menyambut Tuan Negara. Diceritakan bahawa Tuan Doktor tidak dapat kenal pasti penyakit dan simptom. “Lantas,” kata budak-budak itu “Tuan Doktor beri vitamin sahaja.”
Keesokan hari tersiar berita merah mata budak persis sebagaimana diceritakan. Berita itu telah menggemparkan masyarakat. Mereka terperanjat dan berpendapat tidak patut Tuan Doktor beri vitamin kerana yang sakit ialah mata, bukan tiada selera makan.
“Barangkali Tuan Doktor belum habis belajar.”
“Biasalah Negara Mamakadiaq. Lain sakit lain rawat.”
“His, mana boleh biasa-biasa.”
“Alaaa, itu bahasa. Yang sakit Bahasa Inggeris. Yang rawat bahasa Matematik. Sekarang, ramai budak tercicir.”
“His! His! His!. Tak patut! Tak patut!”
“Memang tidak patut pun.”
“Itulah doktor sekarang, cepat mengalah. Tidak kreatif macam Dr. Lin Dong. Hancur daging paha pun masih berusaha merawat. Tidak mahu potong kaki komrad.”
“Dia gabung perubatan Timur dengan Barat.”
“Sepatutnya. Semua yang baik kita terima.”
Merah mata budak sekolah itu telah mencabar profesion kedoktoran dan menjadi lawak bualan orang ramai. Para pentadbir hospital, doktor dan jururawat pun mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengenal pasti simptom dan nama penyakit yang menyerang mata budak sekolah. Lebih-lebih lagi laporan dari Jabatan Makmal mendapati tiada sebarang virus dalam sampel darah yang diuji.
“Kita lawat sekolah berkenaan. Barangkali kita akan dapat petunjuk,” cadang Doktor Perempuan Muda.
Cadangan itu diterima sebulat suara. Maka menetaplah mereka akan tarikh dan masa ke sekolah.
“Esok. Pukul 8. 00 pagi.”
“Ya, lagi cepat lagi baik.”
Tepat masa dijanjikan, Tuan Doktor dan pembantu bergerak ke sekolah. Sampai di hadapan pintu gerbang, Tuan Doktor dan pembantu terkejut melihat pagar, pondok kawalan dan segala batang kayu dan batang tidak kayu dicat warna merah. Tuan Doktor tidak berkata apa-apa, kecuali seorang pembantu terpancut pertanyaan, “Eh, kenapa semua merah?”
Tidak ada sesiapa menjawabnya.
Tuan Doktor terus pergi ke Pejabat Sekolah, melewati beberapa orang guru dan kerani yang sedang asyik bercakap isu politik. Malangnya Tuan Pengetua tidak ada.
“Tuan Pengetua pergi JPK. Ada mesyuarat Post-Mortem Rapat Rakyat. PK 1 ada,” Tuan Kerani pergi mengetuk pintu bilik PK 1, memberitahu ada Tuan Doktor mahu berjumpa.
Tuan Doktor memberitahu tujuan kedatangan mereka untuk memeriksa, meninjau dan mencari tanda-tanda yang boleh menjadi petunjuk akan sebab merah mata budak-budak. PK 1 dengan rasa ceria mengangguk-angguk tanda faham dan berkata, “Pihak sekolah berharap benar agar Tuan Doktor dapat kenal pasti puncanya.”
Setelah mendapat izin, Tuan Doktor dan rombongan diiringi PK 1 meninjau sekitar bangunan dan kawasan sekolah. Jurugambar kelihatan sibuk merakam gambar di sana-sini, manakala pembantu pula asyik mencatat sesuatu.
“Cikgu,” Tuan Doktor bersuara sambil mengeluarkan buku catatan. “Kenapa dinding, pagar, tiang, pokok dicat merah?”
“Oooo. Semua itu baru dicat. Kami ada Majlis Rapat Rakyat kelmarin dulu. Sambut Tuan Negara.”
“Mengapa merah?”
“Tuan Negara suka warna merah.”
Kata PK 1, pada hari itu, hari menyambut kedatangan Tuan Negara, bukan sahaja dinding dan pagar dan pokok dicat merah, malah para tetamu dan jemputan juga diminta berpakaian warna merah. Kata PK 1 lagi, rombongan Tuan Negara dan Tuan Negara sendiri datang berpakaian merah.
“Kami sangat gembira kerana persediaan yang kami atur menepati cita rasa Tuan Negara,” wajah PK 1 bersinar ceria. Dan, katanya lagi, “JPK berkali-kali memuji usaha kami. Sebab itu Tuan Pengetua dipanggil memberi penerangan kepada JPK untuk Rapat Rakyat di sekolah lain pula.”
“Oooo.” akur Tuan Doktor sambil membuka cermin mata dan mengesat matanya.
Tuan Doktor dan pembantu tidak lama berada di sekolah. Sekitar 45 minit sahaja. Itupun sudah berkali-kali Tuan Doktor dan pembantu mengenyeh dan mengelap mata masing-masing.
Pagi esoknya, Tuan Doktor dan pembantu mengadakan mesyuarat untuk merumuskan hasil lawatan. Tuan Doktor minta jurugambar menayangkan gambar-gambar yang dirakam. Lewat satu jam berbincang berbahas berhujah, mereka pun merumuskan simptom merah mata budak-budak sekolah. Sepucuk surat difaxkan ke beberapa akhbar memberitahu pihak hospital akan mengadakan sidang akhbar pada pukul 10.00 pagi esok, bagi menjelaskan sebab merah mata budak sekolah.
Dalam sidang akhbar itu, Tuan Doktor menjelaskan bahawa merah mata budak sekolah bukan kerana penyakit glaukoma. Merah mata budak sekolah itu, kata Tuan Doktor, adalah dipercayai berlaku serapan warna akibat terdedah terlalu lama pada warna merah di sekolah dan pakaian para pengunjung Rapat Rakyat.
“Oleh sebab itu,” Tuan Doktor mengakhiri sidang akhbarnya, “Tindakan pihak hospital memberi vitamin adalah wajar dan tepat dengan harapan merah mata budak sekolah itu pulih seperti sedia kala.”
Malangnya, rumusan Tuan Doktor itu disanggah oleh penganjur Rapat Rakyat. Beberapa akhbar arus perdana, yang rapat dengan Tuan Negara, juga membantah dan mengatakan Tuan Doktor sengaja mengada-adakan punca. Penyokong Tuan Negara pula menuduh Tuan Doktor menderhaka kepada negara kerana tidak segemaran dengan Tuan Negara. Katanya, Tuan Doktor perlu tarik balik tuduhan dan mengugut, “Kalau tidak, kami akan berdemostrasi di hadapan hospital dan kuarters Tuan Doktor.
Mereka juga mendesak agar polisi menahan Tuan Doktor di bawah Akta ISA. Mereka mendakwa kenyataan Tuan Doktor itu fitnah dan boleh mengancam keselamatan negara.
Kemarahan penyokong Tuan Negara ditangguk oleh Tuan Pembangkang. Katanya, Kenyataan akhbar Tuan Doktor adalah berdasarkan kepakaran dan perlu dihormati. Dicadangkan agar warna merah diharamgunakan di negara tercinta ini kerana ternyata merosakan putih mata para generasi.
“Kita juga bantah Rapat Rakyat di kawasan sekolah dan melibatkan budak sekolah.”
Tanggukan Tuan Pembangkang telah menyebabkan isu itu merebak dari hari ke minggu dan kini ke bulan. Mereka saling tuduh-menuduh, cabar-mencabar, ungkit-mengungkit dan bantah-membantah.
Pihak keselamatan terpaksa masuk campur, cuba mententeramkan keadaan agar panas isu tidak menjadi api dan api tidak menyala. Namun, kedua-dua pihak tetap berdegil. Pihak penyokong Tuan Negara terus mengadakan demostrasi menyebabkan Tuan Doktor dan doktor-doktor lain tidak dapat keluar dari kuarters. Keadaan ini mencemaskan para pesakit kerana Tuan Doktor dan doktor-doktor lain tidak dapat merawat.
Berita penyokong Tuan Negara mengadakan demostrasi hingga Tuan Doktor dan doktor-doktor lain terkurung dalam kuarters cepat sampai ke telinga Tuan Pembangkang. Mereka kerah budak sekolah berkumpul membelakangi Jabatan Pesakit Luar berhadapan penyokong Tuan Negara, sambil angkat sepanduk membantah demostrasi penyokong Tuan Negara dan membantah penglibatan budak sekolah dalam Rapat Rakyat.
Orang ramai yang datang mendapatkan rawatan pada hari itu terpingga-pingga melihat ramai budak sekolah di sekitar hospital. Ada yang melihat tanpa bersuara. Ada yang berbisik kepada rakan sesakit. Ada yang menjuih bibir melihat fiil budak yang tiba-tiba ramai itu.
Melihat keadaan menjadi tegang, pihak keselamatan bertindak memancutkan air pedih mata menyebabkan kedua-dua puak demostrasi lari lintang-pukang dan merempuh sesama sendiri. Ada yang terjun longkang dan ada yang panjat pokok panjat pagar. Sesetengahnya pula lari ke dalam bangunan, merempuh pesakit dan jururawat hingga rebah tertiarap.
Orang sakit dan orang sihat dalam bangunan itu terkejut beruk, lantas menjerit-jerit dan lari tanpa hala. Suasana jadi kelam-kabut, riuh dan tidak terkawal. Kanak-kanak pula menangis kenanaran mencari ibu ayah yang entah ke mana. Kira-kira sejam kemudian barulah suasana reda. Masing-masing keluar dari tempat persembunyian.
Esoknya tersiar berita akhbar bahawa Hospital Tanjung kecoh kerana diserang oleh para demostrasi. Diceritakan banyak peralatan hospital rosak dan hilang semasa demostrasi tersebut. Ramai orang sihat jatuh sakit dan orang sakit menjadi tenat. Tuan Negara melahirkan rasa kesal tidak terhingga, dan menyalahkan Tuan Doktor dan Tuan Pembangkang sebagai puncanya.
Anehnya, sejak hari itu, tiada siapa tahu ke mana pergi Tuan Doktor.
Dan, merah mata budak-budak itu kekal hingga ke hari kini.
15 Ogos - 16 Disember 2008
Pengkalan Chepa, Kelantan.
CERPEN 12: CERITA KADUK
“EH, BUKANKAH itu Pak Kaduk,” kata Haji Hassan apabila melihat visual berita di skrin televisyen. Lantas, dia memanggil isteri bagi mengecam dan memastikannya.
“Yelah, bang. Pak Kaduk.”
“Apa yang dia buat tu?”
Setelah tiga hari bersembunyi daripada buruan polis kerana mencopek kupu-kupu malam, dan merasai diri tidak selamat lagi kerana wajahnya tersiar dalam visual televisyen, Pak Kaduk bercadang melarikan diri dan menyusup masuk ke Malaysia. Dia memberi alasan kepada isterinya mahu mencari kerja kerana ramai yang pulang dari Malaysia jadi jutawan.
“Aku juga mahu jadi jutawan, bu,” Isterinya tidak berkata apa-apa.
Hasil bantuan seorang Tekong Malam, dengan bayaran Rp2 juta, Pak Kaduk berjaya menjejakkan kaki di tanah emas Malaysia. Melalui petunjuk seorang teman, dia menemui Bung Karim di Chow Kit dan 'melaporkan' tujuan kedatangannya. Bung Karim menasihati agar dia tidak terlalu mempercayai seseorang dan berhati-hati ketika berada di tempat awam.
“Di sini,” Bung Karim menunjukkan jari telunjuknya ke bawah. “Pak Kaduk dianggap pendatang haram.”
“Apa itu, Bung?”
“Pendatang tanpa izin.”
“Oooo …. Aku kemari mahu cari kerja, Bung. Mahu kerja,” bersungguh-sungguh dia menyakinkan tujuan kedatangannya.
“Ah, itu gampang saja!” Bung Karim membetulkan sila. “Di sini kita tidak usah cari kerja. Di sini kita bikin kerja,” nasihat Bung Karim, pemegang kad pengenalan merah.
“Kerjanya apa, Bung?”
“Apa-apa saja, asal lumayan.”
Maka dijelaskan oleh Bung Karim akan kerja yang sesuai dan hasilnya lumayan. Kata Bung Karim, Pak Kaduk patut jadi dukun.
“Masakan!” Terkejut Pak Kaduk mendengarnya.
“Jadi dukun tak perlu modal besar, Pak. Asal saja pandai bercakap dan diyakini. Pak Kaduk akan dapat wang lumayan dan bisa hidup senang,”
“Aku tidak tahu ilmu pedukunan. Masakan aku bisa jadi dukun! Ah … main-main aje Bung Karim. Aku berkata benar,” jelas rasa kecewa di mukanya.
“Betul, Pak, betul. Kerja ini tak perlu modal besar. Untungnya lumayan.”
Bung Karim memujuk agar Pak Kaduk sanggup menjadi dukun merawat tenaga dalam lelaki. Bung Karim memberi beberapa tip untuk berjaya, termasuk berjanji menyediakan modal awal, tempat tinggal dan peralatan niaga.
“Sebagai balasnya, bapak mesti bayar tiga kali ganda daripada modal aku beri,” sambil mengangkat tiga batang jarinya. “Kalau bersetuju, aku akan bantu perniagaan bapak.”
Setelah berfikir sejenak, Pak Kaduk pun menyatakan persetujuannya. Maka Bung Karim menelefon rakan-rakan agar menghantar segera segala jenis kayu-kayuan: Tongkat Ali, Perdu Bumi, Bangkawali, Jarum Emas, rempah-ratus, halia, kunyit dan segala macam. Bahan-bahan itu dimesin dan dimasak bersama minyak nyor. Sisa kayu-kayuan itu dibuat majun.
Berbekalkan minyak nyor dan majun itulah, Pak Kaduk keluar ke Chow Kit menjual impian. Minyak dan majun itu dipamer bersama-sama gambar ghairah wanita dari majalah Playboy, dan gambar lelaki kecewa patah berjuang.
“Bapak-bapak jangan jadi seperti lelaki ini,” demikian kata Pak Kaduk setiap kali memulakan perniagaan. Kata-kata itu seperti magnet, cepat menarik para lelaki yang lalu-lalang. “Kalah sebelum berjuang,” sambil menunjukkan gambar lelaki berkenaan. Para pengunjung mula mengerumuni.
“Kesian wanita ini,” sambil menunjukkan gambar wanita ghairah. “Kecewa kerana hajat tidak kesampaian. Mahukah isteri bapak-bapak jadi seperti wanita ini?” Pak Kaduk menatap wajah para lelaki di hadapannya. Semua diam, menanti kata-kata Pak Kaduk seterusnya.
“Kalau begini, isteri bapak akan cari lelaki lain,” jarinya menunjuk ke langit. “Tiada guna wang berjuta kalau ini (menunjukkan aksi dengan jari) tidak bisa berfungsi. Mahukah?” Sekali lagi Pak Kaduk memerhati wajah para pengunjung di hadapan. Pak Kaduk rasa makin bersemangat.
“Mahukah digelar lelaki dayus, kalah sebelum berjuang dan isteri dikebas orang?” Pak Kaduk menatap satu demi satu wajah di hadapannya.
“Mahukah?” Pak Kaduk mengulangi suara tanpa mengharapkan jawapan.
“Tidak,” tiba-tiba kedengaran satu suara dari celah kerumunan pengunjung. Pak Kaduk mendongak ke arah datang suara itu, mencari wajah pemiliknya.
Seperti biasa Bung Karim keluar dari belakang para kerumunan, berdepan dengan Pak Kaduk.
“Saya ada tiga isteri,” Bung Karim melangkah ke hadapan. “Sejak guna minyak dan majun bapak, saya rasa sangat bertenaga. Isteri tidak pernah merunggut. Sungguh mujarab majun bapak ini,” tanpa berlenggah, Bung Karim terus membeli dua botol minyak nyor dan tiga botol majun. Sebelum lewat, Bung Karim akan berkata, “Minyak dan majun Pak Kaduk membantu saya menjadi wira sejati,” sambil mengangkat ibu jari.
“Ya, lihatlah. Bapak itu pelanggan tetap saya. Apakah bapak-bapak masih ragu akan ubat saya?” Pak Kaduk cuba menyakinkan pelanggan, sebaik Bung Karim berlalu.
“Kalau senjata kita tidak berfungsi, kita akan jadi seperti mayat batu ini. Keras,” lalu Pak Kaduk menunjukkan gambarnya.
Para pengunjung, khususnya lelaki tua rasa tercabar dengan kata-kata Bung Karim. Apalagi kata-kata Bung Karim itu diperhangat pula oleh Pak Kaduk. Lantas, mereka membeli tanpa dolak-dalih.
Enam bulan lamanya Pak Kaduk berniaga, licin dan menguntungkan. Hutangnya juga sudah habis. Tiba-tiba pada suatu petang dia diserbu oleh pihak berkuasa. Mulanya, Pak Kaduk tidak tahu apa-apa. Nasib baik dia mendengar jeritan rakan sepenjaja menyuruh mereka lari kerana pihak berkuasa datang menyerbu perniaga haram.
Terkejut dengan jeritan itu, Pak Kaduk cepat-cepat membungkus minyak dan majunnya. Sewaktu dia beredar terdengar jeritan suara, “Tangkap dia, Pak! Tangkap dia, Pak! Tangkap dia, Pak!” Dia melihat seseorang sedang menunding jari ke arahnya.
Pak Kaduk terus menggandakan kayuhan kaki, melewati celahan bangunan. Pada satu selekoh, dia terpandang Bung Karim sedang bercakap-cakap dengan beberapa orang lelaki beruniform. Dia berlari menuju dan ingin mendapatkan Bung Karim. Kebetulan Bung Karim berpaling ke arahnya. Tiba-tiba Bung Karim menjerit, “Itu dia, Pak! Itu dia, Pak! Tangkap.”
Terkejut dengan jeritan Bung Karim, Pak Kaduk terus berpaling dan lari tanpa menoleh lagi. Bungkusan minyak dan majun dibuang begitu saja. Dia berlari dan berlari dan berlari dan berlari keluar kota sekuat takutnya tanpa dia tahu ke mana dan di mana tujunya.
Sedar-sedar dia berada di atas katil. Cepat-cepat dia bertanyakan pada lelaki di hadapannya.
Haji Hassan memberitahu bahawa dia terjumpa Pak Kaduk terbaring dalam semak di tepi jalan, sewaktu pulang dari sembahyang Insyak. Dia sendiri mengangkat Pak Kaduk balik dan menyuruh isteri merawat luka-luka di badan. Haji Hassan turut bertanya akan sebab-musabab dia jadi begitu. Dijelaskan oleh Pak Kaduk bahawa dia berasal dari Brengset, telah enam bulan datang ke negara ini. Kini, dia diburu oleh pihak berkuasa kerana dikhianati rakan.
Terkejut Haji Hassan mendengarnya.
Keesokan hari, Haji Hassan memberitahu bahawa dia terpaksa menyerahkan Pak Kaduk kepada pihak berkuasa. Dijelaskan juga bahawa jika pihak berkuasa tahu, mungkin melalui jiran-jiran, dia dan seluruh ahli keluarga akan ditangkap dan didakwa melindungi pendatang. Haji Hassan berharap Pak Kaduk faham kedudukan dan perasaannya.
Pak Kaduk merayu agar Haji Hassan membatalkan niat sucinya itu. Dikatakan bahawa dia ada seorang isteri dan empat orang anak yang perlu dibiaya. Jika dihukum, maka tiada siapa lagi yang membiaya mereka. Katanya, isteri dan empat anaknya itu akan mati kelaparan.
Katanya lagi, “Aku mahu pulang ke Brengset. Ngak mahu lagi hidup di sini,” air matanya mulai menitis. “Aku benci! Aku benci!” jerit Pak Kaduk tiba-tiba.
Namun, Haji Hassan tetap bertegas. Katanya, “Ini tanggungjawab saya kepada negara. Kami terima kedatangan tetamu halal yang ingin mencari rezeki, dan tidak mendatangkan musibah.”
Ketika mereka bercakap-cakap, tiba-tiba pintu rumah diketuk. Ada suara memberi salam dan memanggil nama Haji Hassan. Setelah dibuka, terjonggol Haji Salleh, Ketua Kampung Lada. Kata Haji Salleh, seorang anak buah mengadu ada pendatang di rumah Haji Hassan.
“Betul ke aduan itu?”
Haji Hassan tidak segera menjawab. Sebaliknya, dia mempersilakan Haji Salleh masuk dan berbincang di dalam. Diceritakan oleh Haji Hassan peristiwa dia terjumpa Pak Kaduk yang pengsan terbaring dalam semak di tepi jalan.
“Saya membawanya pulang dan menyuruh Si Timah merawatnya.”
“Sekarang di mana orang itu?”
Haji Hassan mengajak Haji Salleh ke bilik tamu. Malangnya, Pak Kaduk tidak ada di situ. Haji Hassan dan Haji Salleh mencari di sekitar rumah, tetapi tidak terjumpa. Timah pula tiada di rumah kerana pergi ke pasar.
“Dia sudah lari.”
Sementara itu, Pak Kaduk yang melarikan diri, sampai di rumah kongsi pekerja ladang kelapa sawit (juga pendatang). Melalui bantuan pekerja tersebut dan rakan-rakan mereka, Pak Kaduk berjaya sampai ke sebuah rumah transit berhampiran jeti haram. Di rumah itu terdapat sekitar 20 orang penghuni senegara, lelaki dan perempuan.
Hasil siasatan Pak Kaduk, mereka juga pendatang yang sedang diburu oleh pihak berkuasa tempatan. Ada antaranya terlibat dengan kegiatan pecah rumah, meragut, merompak, menipu, merogol dan membunuh rakyat tempatan. Sepanjang berada di rumah itu, Pak Kaduk berkenalan dan beramah mesra dengan mereka. Masing-masing melahirkan rasa marah terhadap pihak keselamatan kerana memburu mereka.
“Wah, ternyata, kita sudah jadi keluarga besar!” kata salah seorang daripada mereka.
Tiga hari bersembunyi dalam rumah itu, pada suatu malam dalam hujan renyai-renyai, mereka diarah menaiki bot laju. Mereka segera berlepas ke Brengset meredah selat dan pekak malam. Sepanjang dalam perjalanan, mereka berwadah akan bertemu pada tarikh dan tempat ditetapkan.
Ternyata, pada tarikh berkenaan, kesemua 21 orang itu, menepati wadah mereka. Mereka bertemu, bercerita sambil makan-makan. Sempena pertemuan itu, Pak Kaduk mencadangkan agar mereka bersatu di bawah satu organisasi. Cadangan itu dipersetujui.
Kebetulan TV Merpati di restoran tempat mereka bertemu dan makan-makan itu menyiarkan berita tentang Tarian Beliak Mata dalam iklan Tahun Melawat Malaysia. Dikatakan oleh pembaca berita bahawa Tarian Beliak Mata itu kepunyaan negara Brengset dan menuduh Malaysia mencurinya. “Justeru,” seru pembaca berita itu, “Rakyat perlu bangkit menunjukan bantahan.”
Menyahut seruan itu, seorang daripada mereka bangun dan mencadangkan agar organisasi mereka dinamakan Gerakan Demonstrasi Bersama Rakyat (Gedeber). Pak Kaduk dilantik sebagai presiden dan sekali gus sebagai koordinator program. Aktiviti pertama Gedeber ialah mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Malaysia. Pada hari itu juga, mereka membincangkan tarikh, strategi dan segala kelengkapan yang perlu sepanjang demontrasi tersebut.
“Eh, bukankah itu Pak Kaduk,” kata Haji Hassan apabila melihat visual berita di skrin televisyen. Lantas, dia memanggil isteri, mengecam dan memastikannya.
“Yelah, bang,” sokong isterinya.
“Apa yang dia buat tu?”
Haji Hassan mengamati orang-orang dalam visual itu. Masing-masing mengikat kepala, memegang buluh runcing dan berkumpul di tepi jalan, berteriak sambil mengangkat sepanduk bertulis, “Malaysia Curi Tarian Beliak Mata: Ganyang Malaysia.”
“Oooo ...,” kata Haji Hassan. “Kaduk naik junjung” Dia menutup suis tv, dan segera beredar ke masjid kerana mahu menunaikan solat Zuhur.
Pengkalan Chepa, 8 – 12 Oktober 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan