Isnin, 13 Mei 2013

Sasterawan Negara Ke-12


Dalam intro kertas kerja saya bertajuk Sinisme Sajak-Sajak Baha Zain, saya mencatatkan, “Jika saudara melihat Baha Zain: cara beliau berjalan, bercakap, senyum, beraksi, malah fizik tubuhnya yang kecil, dan pada hari yang lain saudara diberi sajak tanpa tercatat  nama beliau, dan saudara baru pertama kali membacanya, saya yakin saudara tidak akan mengatakan bahawa sajak tersebut adalah hasil minda dan rasa beliau. Terdapat sangat kontras dan paradok antara Baha Zain di alam realiti dengan Baha Zain dalam sajak. Di alam realiti, Baha Zain seorang yang lemah-lembut, mudah tersenyum dan menyapa. Namun, sajak-sajak Baha Zain sangat sinis, mengejek, memperli, keras, malah berunsur erotik.”
                             
Kertas kerja itu telah disiarkan dalam Majalah Dewan Sastera tahun 2004, dan kemudian diangkat sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia sesi 2004-2005. Dalam kertas kerja itu, saya mengisytiharkan bahawa sajak beliau berjudul “Menangguhkan Kebenaran” merupakan sajak terbaik disebabkan kekayaan gaya bahasa dan pemikiran tinggi.

Rabu, 27 Februari 2013

Pengalaman Kreatif Peta Perjalanan

Pengalaman  kreatif

1.
Peta Perjalanan (judul asalnya Sejak Kau Hadir ) merupakan  sebuah manuskrip puisi berunsur Islam dan pernah memenangi Hadiah Galakan, Anugerah Sastera (Puisi) Daruliman 3 (ASDI 3)  tahun 1995, anjuran Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita). Pertandingan  terbuka kepada seluruh warga nusantara yang menggunakan Bahasa Melayu. Panel telah menerima sebanyak 67 buah manuskrip puisi karya penyair dari Indonesia, Singapura dan Malaysia. Menurut panel hakim, 

Kumpulan Sejak Kau Hadir membawa tema keislaman yang kental dan padat berhubung dengan soal akidah keislaman, pemikiran dan kehidupan. Kesemuanya diungkap secara terkawal dan menarik.

Khamis, 24 Januari 2013

Masa Depan Sajak Malaysia

Isu masa depan sajak di Malaysia dapat ditinjau dari dua aspek. Pertama dari aspek aktivis, dan kedua, dari aspek mutu sajak. Termasuk dalam aspek aktivis ialah penerbit, persatuan, agensi kementerian, kerajaan tempatan dan pihak swasta.

         Dibandingkan dengan dekad 1960-an dan 1970-an, bilangan penulis sajak dekad 2000-an mengalami kemerosotan. Minat masyarakat terhadap sajak dan dunia persajakan menurun. Pandangan ini berasaskan keahlian persatuan penulis dan kesediaan media cetak menyediakan ruangan sastera. Didapati ruangan disediakan semakin terhad. Walaupun penulis sajak tetap lahir dalam dekad 1990-an hingga kini, namun kelahirannya tidak memeriahkan aktiviti pesajakan sebagaimana dekad sebelumnya.

Selasa, 8 Januari 2013

Falsafah Sastera Melayu

Dalam tradisi Barat, falsafah bertujuan menyelesaikan masalah manusia. Dalam tradisi Islam, falsafah bertujuan menemui kewujudan Tuhan. Dalam tradisi Melayu, falsafah bertujuan membentuk seorang orang. Dalam tradisi sastera Melayu, falsafah bertujuan memberi teladan (pengajaran dan peringatan).

Sabtu, 17 November 2012

Pejuang Bahasa

bak Sisipus memikul batu
ke puncak gunung
pejuang bahasa menjulang
mutiara bahasa
ke puncak bangsa

sampai di puncak
batu ditendang Sang Maharaja
demikian mutiara bahasa
bergolek berguling berkecai
ditendang Sang Penguasa

Sisipus tak berhenti usaha
memikul batu cinta
pejuang tak berhenti tega
menjulang mutiara bahasa

hanya itulah sahaja
usaha cinta bahasa
selain doa
semoga Sang Penguasa
bukan musuh bangsa.


NASSURY IBRAHIM
31.7.2009

Ahad, 14 Oktober 2012

Majalah Ekonomi Rakyat


 

10 Sajak Di Utusan Borneo, 14 Oktober 2012

 
1. MENANG SORAK
    (Senario Politik Malaysia)
 
Kami bersorak
rai kemenangan
kaki berkinja-kinja
hingga letih badan
mulut berpekik-pekik
hingga suara hilang
 
dan kemudian
kami pun pulang
menggeledah periuk
mencari
rezeki semalam.
 
9 November 2010
 
 
2. PADA PERTEMUAN INI
 
Mesra hati berjabat tangan
pada pertemuan ini
pulang kita seperti
ada sesuatu yang tertinggal.
 
7 Jun 2010
 
 
3. KUASA
 
Kerana memiliki peti dan lidah
maka mulut menjadi raja
memerintah semesta tubuh.
 
18 Mei 2010
 
 
4. LAHIR SAJAK
 
kala sunyi sepi menyakitkan
kala bosan sepi membahagiakan
kala khalwat sepi menemukan
 
Tuhan, ini anakku lahir
kala sepi menikmatkan.
 
25 Februari 2010
 
 
5. DI SIMPANG PERTEMUAN
 
Kita berjabat tangan
kerana bertemu
pulang tanpa saling
mengenali.
 
27 September 2009
 
 
6. ORANG
 
Cantik emas di tangan
cantik bahasa di mulut
cantik tingkah di santun
cantik lagi budi ditabur.
 
2009
 
 
7. CHANG-RAI
 
Daging tak busuk
seharian diasap matahari
 
kerananya berpusu-pusu
pelancong datang membeli
 
dan puteri berlumba-lumba
menjual daging sendiri.
 
19 Disember 2004
 
 
8. KESUSAHAN HIDUP
 
Hidup sebenarnya tidak
sesusah sangka
pada kepayahan ini
kita disusahkan
sang haloba.
 
31 Disember 2009
 
 
9. JARAK
 
Mengukur dengan mata
tidak terasa
betapa penatnya kaki
ketika melangkah.
 
10 Februari 2007
 
 
10. SAJAK KEPADA NASSURY 1
 
Betapa mati langkah betapa senyap jiwa
air kata yang kautinggalkan itu
mengalir biar membasahi kering wajah
betapa saat kaubersunyi diri
di bawah pohonan kemboja.
 
7 November 2008

 

Khamis, 20 September 2012

Lembaran Mastera

Terima kasih kepada editor Lembaran Mastera yang memilih sajak saya untuk keluaran Lembaran Mastera tahun ini yang disisipkan dalam majalah Dewan Sastera (Malaysia), majalah Bahana (Brunei Darussalam) dan majalah Pusat (Indonesia). Semoga kejayaan menembusi Lembaran Mastera ini terus mendorong kejayaan-kejayaan lain.

Rabu, 8 Ogos 2012

Bengkel Penulisan Sajak

Ini merupakan sumbangan kedua aku dalam bidang penulisan di IPGK Tawau. Aku menamakan Bengkel Penulisan Sajak. Aku menganjur, urus setia dan sekali gus fasilitator. Bengkel ini diadakan dalam dua siri. Siri pertama pada 25 Jun 2012, mendedahkan teknik menulis sajak. Teknik yang aku perkenalkan ialah gaya perulangan. Aku memberi masa sekitar tiga minggu untuk peserta menulis sajak. Oleh sebab bulan Ramadhan sudah hampir, maka aku menetapkan mereka menulis berkenaan Ramadhan. Dalam siri kedua pula, pada 22 Julai 2012, ialah praktis, iaitu membedah karya peserta. Kesemua mereka merupakan graduan aliran sains tulen yang mendapat ijazah pertama dari universiti tempatan. Daripada 30 orang peserta, pelajar DPLI (BM) ambilan Januari 2012, 29 orang berjaya menyiapkan sajak. Aku mengedit sajak-sajak mereka dan menaipnya di belakang Sijil Penyertaan masing-masing. Tujuannya supaya sajak itu tidak hilang dan menjadi kenangan mereka. Mereka ialah Ailin Jeilin menghasilkan sajak berjudul Ibuku, Abd. Rashid bin Abdul Razak (Bulan Ramadhan), Dg. Suziana binti Mohd Ghani (Di Kamar Ini), Jumriani Andi Sikandar (Ramadhan Ini), Mariana binti Ibrahim (Ramadhan), Rudiansyah Ahmad (Rinduku Terhenti), Nurdanish_Ikhwan (Ramadhan), Sitti Maimunah binti Imasse (Kerinduanku), Artishah binti Seharing (Ramadhan), Mastura binti Ali (Malam Seribu Satu Malam), Lauraleonny Peter (Kosong), Jaharia binti Amir (Andainya Kau Bisa), Fauziah binti Matjudin (Raya Raya Raya), Arzura Mohamad Arsad (Bulan Ramadhan),Widayani binti Beritta (Aidiftri Muncul Lagi), Noor Baizura Abdul Karim (Hari Yang Mulia), Noor Asyikin Mohd Safri (Hujan), Maslina Muhammad (Ramadhan unutk Semua),  Mazlinah Arabi (Sekali pun Kuingin Lari), Yanti Sapalu (Syukur Ramadhan), Bulan Surang (Pertemuan), Bibiana Ping Tuban (Pentas Alam), Karimah binti Juny (Ramadhan yang Mulia), Sarmili binti Matnor (Kunanti Kutempuhi Ramadhan), Zalmiah Mohd Nee (Tinta Ramadhan), Merliana binti Omar (Muhasabah Ramadhan), Norazney Zanariah (Rasa), Salmiati Sutta (Ramadhan), dan Masnie binti Abdullah (Bulan Ramadhan).

Selasa, 3 Julai 2012

Kelas 1P6, 1991

SMK TAMAN MALURI, KUALA LUMPUR


Mereka murid-muridku yang tidak kukenali lagi. Entahkan hidup atau mati. Entahkan berjaya entah masih mencari. Entah bagaimana nasibnya kini? Kalau ketemu pasti tidak kukenali lagi. Apapun, semoga semuanya berjaya. Aamiin.

Selasa, 19 Jun 2012

Konsep Ruang dan Waktu dalam Hikayat Malim Deman

DALAM karya lipur lara Melayu, konsep ruang dan waktu begitu ketara sekali. Para penglipur lara mengekploitasi sepenuhnya makhluk dan segala isi alam untuk membentuk konsep ruang dan waktu. Kedua-dua konsep itu ditandai bukan sahaja dengan pengisian manusia, malahan juga ditandai dengan pengisian haiwan dan tumbuh-tumbuhan, makhluk halus dan imaginasi pencerita sendiri yang diambil daripada cerita-cerita sejarah, dongeng atau mitos. Semua cerita yang diserap telah diadun dengan kreatif sehingga ceritanya menjadi menarik dan berkesan, sesuai dengan cerita lipur lara yang bersifat advanture. Kekreatifan penglipur lara menyampaikan cerita juga boleh menjadi tali yang mengikat perhatian khalayak agar menonton persembahan yang kadang-kala berlarutan sampai berhari-hari lamanya.

Rabu, 2 Mei 2012

Masalah

Selamat datang masalah
engkau tentu bukan
dari negeri asing

duduklah betapa tidak
membawa kegembiraan
engkau tetap tetamuku

ini aku berdiri mencari
simpul kerumitanku

aku tahu
engkau tidak mungkin datang
tetapi oleh kesilapanku
telah memungkinkanmu

selamat datang masalah
semoga pergimu
aku lelaki dewasa.

1995 - 2010
Utusan Borneo 24 April 2012

Rabu, 25 April 2012

Selera Keindahan

Pengarang yang baik dapat mengolah kata-kata
Kata-kata yang baik dapat menghidupkan cerita
Cerita yang baik dapat menarik cinta pembaca
Pembaca yang baik dapat memetik iktibar peristiwa.

                               24 April 2012



Sabtu, 24 Mac 2012

Pengajian Melayu

Sempena Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) tahun 2012, seramai 69 orang daripada 59 buah negara telah menyertainya. Berlaku peningkatan berbanding tahun lepas seramai 52 negara menyertainya. Angka ini menunjukkan bahawa pembelajaran bahasa Melayu telah berkembang ke seluruh dunia. Bahasa Melayu bukan lagi dianggap bahasa kampungan atau bertaraf Asia Tenggara sahaja. Bahasa ini berkembang dan kian diminati.

Sehingga kini, menurut Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, terdapat 140 buah institut pengajian tinggi (IPT) di 50 buah negara menawarkan pembelajaran pengajian Melayu.

Sabtu, 10 Mac 2012

Sabtu, 3 Mac 2012

Bahasa Sapaan: Kata Ganti Diri Melayu

Bahasa Sapaan: Kata Ganti Diri dalam Konteks Budaya Melayu
Makalah Program Bahasa, Sastera dan Budaya anjuran Faculty of Liberal Arts, Prince of Songkla University, Thailand pada 28 – 31 Januari 2008 di Prince of Songkla University, Hat Yai.

Mukadimah

Bahasa sapaan dikenali juga dengan nama bahasa panggilan atau panggilan hormat. Ia merupakan sebahagian daripada aspek kesantunan berbahasa. Bahasa sapaan terdapat dalam semua masyarakat, baik masyarakat itu terdiri daripada etnik minoriti (kelompok orang asli misalnya) mahupun etnik majoriti di sesebuah negara. Walaupun terdapat perbezaan bentuk bahasa sapaan antara satu kelompok etnik dengan satu kelompok etnik lain, namun konsep asasnya tetap sama. Bahasa sapaan yang digunakan mesti menggambarkan kesantunan. Seorang adik tidak boleh memanggil abang dengan menggunakan bahasa sapaan yang sama dengan bahasa sapaan yang digunakan terhadap rakan-rakan. Demikian juga bahasa sapaan seseorang anak terhadap ibu, atau murid terhadap guru. Kegagalan menggunakan bahasa sapaan yang betul akan menjejaskan hubungan dan ikatan sosial mereka.

Hubungan Bahasa dengan Budaya Masyarakat

Hubungan bahasa dengan masyarakat adalah saling melengkapi. Bahasa memerlukan masyarakat untuk terus hidup dan masyarakat memerlukan bahasa untuk melicinkan urusan hidupnya. Tanpa pengguna, bahasa akan mati sebagaimana bahasa Sanskrit, atau nazak sebagaimana tulisan Jawi. Daripada hubungan timbal-balik (saling melengkapi) ini akan membentuk satu budaya. Orang Thai mengucapkan sawatdi kha / sawatdi khap  sambil menyusun kedua tapak tangan ke dada dan menundukkan kepala. Orang Melayu mengucapkan selamat datang / Assalamualaikum sambil menghulurkan tangan dan bersalam. Manakala orang Inggeris mengucapkan welcame  sambil mengangkat topi.

Ahad, 8 Januari 2012

Jangan Bunuh Bahasa Anda

Sama ada anda percaya atau tidak, bahasa boleh mati. Bahasa akan mati bersama-sama matinya benda bahasa berkenaan. Dan, bahasa hidup atau akan hidup setelah wujudnya benda berkenaan. Misalnya, ibu bapa akan memberi nama setelah anaknya lahir. Nama anak itu kekal sehingga anak berkenaan meninggal dunia.

Begitulah yang terjadi sekarang ini. Beberapa bahasa telah mati bersama matinya objek berkenaan. Istilah 'mesin taip' telah hilang dan diganti dengan istilah 'komputer.' Sebelum tahun 1990-an, istilah 'komputer' amat jarang digunakan.

Buluh

Di Malaysia terdapat banyak buluh dan tumbuh liar di dalam hutan, sama ada di kawasan berbukit mahupun di kawasan lembah. Jika di negara China, buluh menjadi makanan panda, buluh di Malaysia pula menjadi makanan gajah.

Kegunaan buluh di Malaysia melampaui sebagai makanan haiwan. Ia juga menyerap ke dalam hidup manusia Melayu. Justeru, hubungan buluh dengan masyarakat Melayu sangat erat. Sebahagian hidup orang Melayu diwarnai dengan buluh. 

Gajah

Ini bukan kali pertama aku bertemu dengan gajah ketika memandu kereta. Sepanjang berkhidmat di IPG Kampus Tuanku Bainun, aku sering bertemu dan berselisih dengan gajah liar di tepi jalan raya di sepanjang jalan Lebuh Raya Grik - Jeli.

Gajah dalam 3 keping gambar ini adalah bertuan. Aku rakam gambar ini ketika bertemu dengannya di Jeli. Gambar di sebelah diambil di persimpangan jalan Jeli - Tanah Merah ke Rantau Panjang. 

Sabtu, 7 Januari 2012

Bahasa dalam Penulisan Rencana


Pengenalan
Berdasarkan pengalaman mengajar bahasa, saya berpandangan bahawa yang dikatakan bahasa ialah satu sistem lambang-lambang yang arbitrari, mempunyai makna yang dipersetujui oleh sesuatu kumpulan atau anggota masyarakat dan digunakan sebagai alat komunikasi mereka. Berdasar definisi ini bererti saya menerima segala lambang sebagai bahasa dalam kategori masing-masing. Tentunya gambar, walaupun mempunyai makna, tidak boleh dianggap sebagai bahasa. Walau bagaimanapun, lambang-lambang jalan raya boleh dianggap sebagai bahasa kerana difahami oleh setiap pengguna jalan raya. Kita boleh menamakannya sebagai bahasa jalan raya atau bahasa lambang jalan raya.  Demikian juga dengan penulisan genre rencana atau biografi. Masing-masing mempunyai identiti dan gaya bahasa tersendiri yang boleh dinamakan sebagai bahasa rencana atau bahasa penulisan rencana, dan bahasa biografi atau bahasa penulisan biografi. Dalam tulisan ini hanya ditumpukan terhadap aspek bahasa dalam penulisan rencana.

Khamis, 24 November 2011

Laporan Penilaian ACM

LAPORAN PENILAIAN ANUGERAH CITRA MAJALAH SEKOLAH MENENGAH NEGERI JOHOR DAN MELAKA 2011

PENGENALAN
Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka 2011 (Kategori Esei)  anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Selantan (DBPCS) menerima sebanyak 70 esei. Bilangan penyertaan ini menandakan sambutan yang baik daripada pihak sekolah.

KEKUATAN
1.    Bilangan penyertaan sebanyak 70 buah esei daripada 33 buah sekolah dari Johor dan Melaka. Ada sekolah yang menghantar satu penyertaan, ada yang menghantar dua penyertaan dan ada yang menghantar tiga penyertaan. Hal ini menandakan bahawa program ini mendapat sambutan dan sokongan cemerlang daripada pihak sekolah.

2.    Berdasarkan nama-nama penulis didapati bahawa anugerah ini mendapat sambutan daripada pelbagai kaum yang ada. Penyertaan dari pelbagai kaum ini menandakan sambutan yang baik dari rakyat Malaysia, bukti sifat sama rata yang menjadi amalan masyarakat dan yang lebih membanggakan ialah bukti perpaduan kaum dan penglibatan bersama dari pelbagi kaum dalam menjaya misi dan visi kerajaan.

3.    Terdapat pelbagai tema dan pemasalahan digarapkan dalam esei, meliputi pemasalahan para remaja, masalah sosial masyarakat, sukan, pertanian, industri hinggalah kepada dasar-dasar kerajaan bagi memajukan masyarakat dan negara.

Ahad, 13 November 2011

Terjemahan "Facebook"

Saya telah m enghantar satu entri ke dalam facebook pada 9 November 2011 pukul 3.15 petang. Entri itu berbunyi, "Apakah terjemahan tepat untuk istilah facebook? Hasilnya, saya telah menerima beberapa pandangan yang barangkali boleh difikirkan kesesuaiannya.
  1. Abdul Mushawwir - buku wajah
  2. Usman Ibrahim - facebook - buku muka. Contoh: (1) Text book - Buku Teks; (2) Note book - Buku Nota; (3) Exercise Book - Buku Latihan; (4) Work Book - Buku Kerja.
  3. Noridah Ramli - Raut kalam;
  4. Mokhtar Sah Malik - Laman Muka;
  5. Mohd Hafiz Andrew Hafiz - Laman Wajah;
  6. Nor Azlina - Buku Berwajah;
  7. Wan Asyeah Wan Nawang - Kita bubuh la hok molek sikit - "Laman Kenalan";
  8. Nassury Ibrahim - ada lagu (menamakannya) "Muka Buku." 

Isnin, 7 November 2011

Selamat menunaikan ibadat haji

Hari ini ialah hari kedua aku menyambut hari aidiladha. Aku sambutnya bersama keluarga di Kelantan. Semalam, aku ke Hulu Kusial, rumah kakak ipar. Mereka akikah lembu untuk cucunya. Aku membantu menghiris daging dan membersihkan perut lembu.

Buat masa ini, ibuku, Habsah Yacob, dan adikku, Zarina Ibrahim, berada di Tanah Suci Mekah kerana menunaikan fardu haji. Mereka merupakan antara 28,000 umat Islam Malaysia yang mengerjakan ibadah haji. Ibu dan adikku dijangka pulang pada 15 November 2011 sekitar puku 5 pagi. Aku akan menjemputnya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Mengerjakan ibadat haji ini adalah kali kedua buat ibuku dan kali pertama buat adikku. Ibu pernah mengerjakan ibadat ini bersama-sama ayah, Ibrahim Mamat, pada tahun 1999.

Kadang-kadang aku berasa malu kepada mereka. Ibu dan ayah tiada pekerjaan tetap. Hanya sekadar menoreh dan menjaja kain, dapat mereka kumpul wang dan menunaikan fardu haji. Aku pula ada pekerjaan dan bergaji tetap, tidak mampu kumpul wang untuk menunaikan fardu haji.

Pada tahun ini, ibu mengajak aku menemaninya dan adik mengerjakan ibadat haji. Juga aku tidak mampu. Selain kewangan, aku tidak mampu meninggalkan keluarga. Anak bongsuku masih kecil dan dalam kategori OKU. Sebilangan wang dibelanjakan untuknya. Aku sendiri tiada persiapan mental untuk ke sana. Mulanya, ibu mendesak juga. Namun, akhirnya ibu memahami keadaan diriku. Syukurlah.

Kepada ibu dan adik, semoga Allah memberkati usahamu dan menerima ibadatmu. Amimmmmmmmmm. Juga kepada umat Islam yang lain.

Khamis, 3 November 2011

Seksualiti Merdeka, Bob Lokman dan Nallakarupan

Ada tiga isu dalam minggu ini (1 November 2011) yang sangat memalukan aku sebagai rakyat bermoral bersih.

Pertama, kempen Seksualiti Merdeka yang dianjurkan oleh beberapa NGO songsang dan disokong pulak oleh Majlis Peguam dan Suaram. Kempen ini sangat bertentangan dengan nilai dan normal masyarakat Malaysia. Malahan, aktiviti seksualiti merdeka (kebebasan seks / sek bebas / kemerdekaan seks) adalah bertentangan dengan agama. Ia bakal menjadi kubahan berlesen pembiakan gay, lesbian, biseksual, transgender, rogol, zina, pelacuran dan bohsial, sebagainya. Saya berasa hairan akan sebab program ini diberikan kebenaran (atau permit) oleh pihak polis, atau dipandang ringan oleh pihak yang sepatutnya menghalang. Lebih-lebih lagi, kempen ini turut direstui oleh NGO yang memperjuangkan Islam dan pemimpin serta orang Islam sendiri.

Selasa, 25 Oktober 2011

Laporan HSKU (cerpen 2010) - Penulis Remaja Meningkat

Majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan - ExxonMobil (HSKU) akan diadakan pada 31 Oktober ini di hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Acara ini diharap dapat menyemarakkan lagi dunia kesusasteraan tempatan. Berikut adalah petikan daripada laporan Panel Hakim HSKU 2010 kategori cerpen remaja.

Kesusasteraan sebagai alat pembina sahsiah bukan suatu tanggapan kosong bahkan telah diakui dalam sistem pendidikan apabila teks sastera dijadikan alat pengajaran dan pembelajaran. Pengukuran kefahaman golongan pelajar sering dikaitkan dengan nilai moral dan motivasi yang terkandung dalam karya, sekali gus menjadi manifestasi pengakuran pihak pengolah sukatan pelajaran terhadap kepentingan karya sastera.

Ahad, 9 Oktober 2011

Punca Penggangguran

Pembentangan Bajet Belanjawan Negara 2011 yang dianggap berani dan luar biasa oleh Barisan Nasional adalah bajet yang bakal menjerat leher kerajaan sendiri. Keluarbiasaannya itu di luar tabii. Walaupun DS Mohd Najib menafikan ketidakmampuan melaksanakannya.

Kalangan kakitangan awam sangat memahami dan sudah dua tahun dideritakan oleh kerajaan kerana terpaksa menanggung bebanan dengan kewangan sendiri bagi melaksanakan aktiviti rasmi kerajaan. Pelbagai aktiviti dengan hasrat setinggi langit menuntut pegawai kerajaan melaksanakan aktiviti tanpa diberikan belanjawan secukupnya.

Khamis, 6 Oktober 2011

Hamba yang seorang ini

Kalau boleh jumpa pemimpin UMNO atau MCA atau MIC atau DAP atau KITA atau, kendatipun ketua pemuda yang sanggup makan sebegini, sangatlah ambo hormati kerakyatan hatinya. Namun, amat sukar dapat ambo temui.
Alkisah diriwayatkan oleh yang empunya cerita, ada sekumpulan anak-anak muda yang menjadi wakil dari setiap kampung, dikatakan mencuri kayu jambatan yang diberikan oleh Sang Maharaja.

Dikatakan kayu yang dicuri itu dijual dan duitnya berpakat mereka membeli sebuah kereta bernama Mecedes hitam akan setiap seorangnya. Akibatnya, sampai sekarang jambatan lama itu belum berganti dan rakyatnya teramatlah susah perhubungan.
Jauh sangatlah ceritera yang diriwayatkan itu dengan hamba yang seorang ini. Dan, doa ambo, semoga hamba yang seorang ini terus diberkati, dilindungi, dirahmati oleh dia yang bernama ALLAH SWT. 

Khamis, 29 September 2011

Ada Pokok Di Atas Mejanya

Wah, ada pokok di atas mejanya. Pokok ini berbuah kad-kad huruf, dihasilkan oleh pelajar Literasi Bahasa sebagai kerja kursus. Ia sebahagian daripada pelbagai jenis pokok, kotak, dan bahan-bahan maujud yang dihantar oleh pelajar IPG. Bahan-bahan ini perlu disimpan sehingga lima tahun.

Bayangkanlah, sekiranya setiap tahun pensyarah menerima menima 10 hasil seumpama ini dan terpaksa disimpan sehingga lima tahun. Di manakah hasil tugasan ini hendak disimpan?

Di sebelah kanan pensyarah berkenaan ada dua lagi meja berhimpitan sekitar enam kaki persegi. Kedua-duanya bergred DG52. Namun, mereka dilayan seperti penjaga stor. Di sebelah kirinya pula ada satu meja individu bergred DG48.

Adakah gambar ini menggambarkan suasana budaya ilmu pengeraknya, sebagaimana diwar-warkan?

Khamis, 22 September 2011

Buah Dari Kebun IPG

Berkata yang empunya cerita, sebesar manapun rumah anda, secantik manapun garaj anda, sekukuh manapun binaan rumah anda, sehebat manapun laman anda; anda tidak berhak membina longkang di rumah jiran, atau menebas rumput di laman jiran, atau menyusun kasut selipar anak-anak jiran, apalagi mengkritik binaan, struktur atau warna rumah jiran.

Khamis, 15 September 2011

Status Tentera dan Polis Zaman Penjajah

Siapa Tok Janggut dan siapa membunuh Tok Janggut?
Tentera dan polis dan seumpama dengannya pada zaman penjajah adalah berkhidmat untuk keselamatan dan kemajuan penjajah. Mereka bukan berkhidmat kepada pemerintah asal negara itu, walaupun ada cubaan menafikannya. Mereka bertugas dan dibayar gaji serta elaun untuk menjaga kerajaan dan harta kerajaan penjajah.

Rabu, 31 Ogos 2011

Guru Bahasa Salah Bahasa

Pada hari Sabtu, 27 Ogos 2011, pukul 7.13 pagi, saya mengeposkan satu entri dalam facebook. Entri tersebut berbunyi, "Mengapakah banyak tulisan guru bahasa (maksudnya Bahasa Melayu / Malaysia, yang salah bahasanya?" Entri ini adalah bertujuan bagi meninjau pendapat dari rakan-rakan facebook.

Sehingga 30 Ogos 2011, saya menerima sebanyak 11 pandangan, dan dua pandan balas saya. Pandangan tersebut ialah;

Sabtu, 27 Ogos 2011

Nafi hak royalti penulis

Membaca surat rayuan terbuka oleh lima penulis teks Komsas (5PK), Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin, Hazama Harun, Mohd Izan Abd. Hazes, dan Erda Roslan Khairi, kepada Menteri Pelajaran Malaysia, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, ada dua perasaan menerjah diriku.

Pertama, aku rasa sangat bertuah kerana karya-karyaku tidak terpilih sebagai teks Komsas. Apa gunanya kalau karya aku terpilih, tetapi aku tidak memperoleh nikmat daripada karya berkenaan. Sedangkan, nikmatnya diratah hidup-hidup oleh kapitalis penerbitan. Benarlah kata pepatah yang diibaratan oleh 5PK - Menang sorak kampung tergadai, atau ibarat memberi lanun makan sedangkan anak sendiri mati kelaparan.

Kedua, aku rasa terharu dan sedih. Bukan senang menghasilkan karya. Namun, mereka dengan senang sahaja mengaut keuntungan. Jika mereka memberi royalti 10 % pun, mereka masih dapat mengaut untung berlipat ganda. 

Sebagai penulis, aku fikir penafian hak royalti oleh penerbit Mega Setia Emas, Nur-Ilmu, Associated Education Distributors, Hartamas, dan V-Nice perlu diajar. Oleh sebab ramai penulis berkhidmat sebagai guru, maka saya mencadangkan agar 5PK (dan guru-guru) menasihati pelajar masing-masing agar tidak membeli sebarang buku terbitan lima syarikat berkenaan.

Malah, boleh juga dihantar surat kepada rakan-rakan guru Bahasa Melayu di sekolah lain, mencadangkan agar mereka menyertai kempen berkenaan. Surat juga boleh dihantar kepada pihak kementerian dan mencadangkan agar menyenaraihitamkan penerbit berkenaan daripada sebarang projek penerbitan buku teks.   

Selasa, 16 Ogos 2011

Diskusi Pengajian Melayu Siri 4

Diskusi Pengajian Melayu Siri 4 anjuran Kelab Bahasa Melayu (Kebayu) di bawah tanggungjawab Maniyamin Ibrahim telah menjemput Dr Ting Len Siong, seorang pensyarah pakar ilmu pendidikan dari Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, IPG Kampus Kota Bharu gred 54. Beliau memperkatakan tentang teks dan konteks dalam novel berjudul Rezeki Bumi Bertuah karya beliau sendiri.

 





 




Isnin, 15 Ogos 2011

Dilema Pelajar IPG dengan Pentadbir

Tahun 2006 Perdana Menteri Malaysia, DS Najib Tun Abdul Razak mengumumkan kenaikan taraf institut perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG). Sehubungan satu IPG telah ditubuhkan yang dinamakan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). IPGM mengantikan Bahagian Pendidikan Guru (BPG) yang kini khusus mengendalikan kursus-kursus dalam perkhidmatan kepada guru-guru. Manakala, IPG di negeri-negeri dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus ... (IPGK). Nama asal maktab/institut tidak berubah. Misalnya, Institut Perguruan Ipoh ditukar kepada nama Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh (IPGKI).

Khamis, 11 Ogos 2011

Menjadi Orang Kecil Merdeka

Orang besar tidak melihat atau nampak orang kecil. Itulah kesimpulan aku setelah bergaul dengan orang besar. Namun begitu, mulutnya sering memuji orang kecil di hadapan orang kecil itu. Menyatakan kekagumannya dan kebaikan orang kecil. Sesudah berjumpa, akan terus terlupa. Apabila bertemu kembali akan dinyatakan bahawa dia sudah perjuangkan permintaan orang kecil itu. Padahal, kata-katanya itu tiada susulan tindakannya.

Selasa, 9 Ogos 2011

Seminar Mini Pengajian Melayu Siri 2

Bertempat di Dewan Gerko pada 8 Ogos 2011 di IPG Kampus Kota Bharu telah berlangsung dengan jaya Seminar Mini Pengajian Melayu Siri 2 (SMPM2). SMPM2 merupakan siri aktiviti Kelab Bahasa Melayu (KEBAYU) yang saya tubuh pada tahun 2010. 
Nurul Nadia Mazuki
Antara pensyarah yang hadir










Antara pelajar yang hadir
Siti Norzahrah Othman










Kenyataan Awang Selamat dan Pandangan Rakan FB

Kata Awang Selamat (MM, 17.7.11), "Awang sedikitpun tidak teruja pada Perhimpunan Bersih. Lebih menarik rasanya melihat aksi perarakan gay di negara Barat walaupun menjijikkan."

Top of Form   

o    Wan Asyeah Wan Nawang,Kota Putera Besut dan 2 yang lain menyukai ini Nazmi Yaakub Hah? Lebih menarik? Ini pengakuan serius!? (pada 18hb Julai pukul 6.29 ptg). Nassury Ibrahim barangkali dia ahli kelab kot (pada 18hb Julai pukul 6.35 ptg.). Kenapa Dibunuh Peminat gay boleh menghidu kenikmatannya walaupun ianya jauh dari syurga (pada 18hb Julai pukul 6.51 ptg). Imlan Adabi Awang Selamat tahuke apa yang dia cakap? (pada 18hb Julai pukul 7.05 ptg) Salleh Yaacob Yaacob begitulah UM mesti melaporkan kpd bosnya (pada 18hb Julai pukul 8.01 ptg). Ilhami Hisham dia bagi tau mentaliti dia yang hanyir dan meloyakan... kalau tak bagi tau pun, orang dah tau. Apa lagi dibagi tau berupa pengakuan; elok sangatlah tu. Nanti kamu akan tahu lubang mana kamu akan terperosok...(pada 18hb Julai pukul 8.01 ptg) Zaiton Zakaria Awang nak teruja macam mana.... dok sekat sini dok sekat sana. Atas kayangan pun takdok sekatan. kalu nak ikut depa dok berarak kita pun dok larat..tpi kadanga kala perlu jugak berarak untuk menghilangkan lengah di kaki dan serabut di kepala. (pada 18hb Julai pukul 10.33 ptg). Samsiah Alwadi ADA YG TERSIRAT D SEBALIK AYAT ITU... pada 19hb Julai pukul 2.26 pagi) Azli Lee Abdullah Awang Selamat mesti pastikan dia tetap selamat di Utusan Melayu! (pada 19hb Julai pukul 9.35 pagi) Azim Saleh Awang Selamat moga selamat le dunia akhirat... jangan tak selamat pulak (pada 19hb Julai pukul 10.50 pagi) Nassury Ibrahim Awang selamat tu masih Zainudin Maidin ke? (pada 19hb Julai pukul 6.30 ptg). Kota Putera Besut terlebih pemikiran barat.. (pada 19hb Julai pukul 8.58 ptg). Noridah Ramli sbb dia pun gay. (pada 19hb Julai pukul 9.27 ptg). Noridah Ramli dah tak BERSIH (pada 19hb Julai pukul 9.28 ptg). Kota Putera Besut may be la...ikut hak asasi (pada 19hb Julai pukul 9.29 ptg). Abdulhadi Muhamad Imlan sahabatku " Awang Selamat tahuke apa yang dia cakap?"... Celaka persis kaum Nabi Lut a.s dia....selagi AS tidak tarik balik, tulisan itu ikut mencelakakannya sampai bebila.....semoga tidak berulang AS menulis begitu :( ... pada 20hb Julai pukul 10.47 pagi). Nassury Ibrahim katakan, kalau nuar braim tulis macam tu, alamaknya ... (pada 20hb Julai pukul 6.06 ptg). Shukri Abdullah berita yg dah tak ada nilai berita di utusan meloya..dan wartawannya sanggup melakukan apa sahaja utk penuhi arahan penguasa waima menjatuhkan maruah dirinya..sama spt pelacur yg meperdagangkan tubuhnya! (pada 21hb Julai pukul 1.32 pagi). Nassury Ibrahim Jgn le kata gitu. kawan2 kita juga (pada 21hb Julai pukul 5.41 ptg). Shukri Abdullah sbb mereka yg pilih utk jd gitu...melampau tahap kronik! (pada 26hb Julai pukul 1.55 pagi).

Sabtu, 6 Ogos 2011

PPK dan Secebis Pandanganku

Persatuan penulis paling tua di Kelantan ialah Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Asalnya dari ASWANI. Sudah ramai ahli PPK yang berjaya, malah ada yang meraih Anugerah Sasterawan Negara. Pada tahun ini genap usia 45 tahun PPK. Pada 30 Julai 2011 berlangsung Mesyuarat Agung PPK Ke-41. Saya merupakan salah seorang daripada sekitar 32 orang ahli yang hadir. Mesyuarat kali ini berlaku pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) baru. Ada 11 ahli dicalonkan. Daripada senarai calon itu, empat orang tidak hadir (AJK lama). Maka, empat orang dicalonkan oleh ahli yang hadir. Salah seorang ialah aku. 

Pada pandangan aku, persatuan penulis dalam dekad awal abad ke-21 ini kurang berdaya. Lemah dari banyak aspek. Paling besar ialah aspek kewangan. Ahli-ahli hanya sekadar menjadi ahli tanpa membayar yuran tahunan. Malah, keahlian juga tidak kemas kini dan sering tidak menepati perlembagaan sendiri. Ahli-ahli juga agak kurang berminat lagi terhadap persatuan dan aktivitinya. Tiada daya upaya mencari dana sendiri. Justeru, segala aktiviti adalah bertongkatkan institusi tertentu. Lazimnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi penyalur dana aktiviti. Sekiranya DBP tiada makan akan lumpuhlah persatuan. Demikian juga aktiviti dijalankan adalah sama sahaja dengan aktiviti sebelumnya, iaitu bengkel penulis puisi terhadap calon penulis. Hanya berpuisi atau bercerpen yang diminati, tidak dalam aspek lain.  Rakaman hal-hal kebudayaan langsung tidak disentuh. Sedangkan, rakaman itu penting buat tatapan zaman. Hal ini bertentangan dengan imej penulis sebagai penjana pemikiran masyarakat. Dikatakan bahawa pemikiran penulis lebih ke depan daripada pemikiran masyarakat. Nampaknya, hipotesis ini kurang tepat buat masa ini. Hal ini tidak terkecuali pada PPK dan ahli PPK. Dan, berdasarkan pengalaman dalam mesyuarat berkenaan, agak sukar PPK untuk keluar daripada kepompong. Sebabnya, kerana sesetengah AJK yang sama (kurang berdaya) masih menerajui sesi yang baharu. Saya sangat berharap, melalui AJK PPK yang baru ini dapat keluar ke alam lebih global. Setidak-tidaknya, tidak berfokus pada satu aktiviti atau dilibati oleh muka yang sama sahaja. 

Jumaat, 29 Julai 2011

Musuh BN

Berkata Prof. Dato' Shamsul Amri Baharuddin, "Musuh Barisan Nasional (BN) bukan lagi komunis yang bergerak dari hutan, tetapi pergerakan madani yang mempunyai kesedaran politik yang meningkat." Namun saya tidak berpendapat sedemikian. Pada saya, musuh BN bukan Partai PAS, atau DAP, atau Keadilan Rakyat. Di sana di sini sekarang orang bercakap tentang kekejaman, keganasan dan ketidakadilan agensi kerajaan seperti apakah sebab wujud pergerakan Bersih dan Perhimpunan Aman Bersih 2.0, tindakan PDRM terhadap rakyat dalam Perhimpunan Aman Bersih 2.0, SPRM dengan kes kematian Teo Beng Hock dan Sarbini, dan sifat pilih kasih serta ketidakadilan JKKK di kampung-kampung.

Rabu, 27 Julai 2011

Minat Sarjana Barat Terhadap Kesusasteraan Melayu

Oleh Djazlam Zainal
Sejak kedatangan penjajah barat ke dunia Melayu, kesusasteraan Melayu menjadi satu komuditi yang diperhatikan oleh golongan ini. Rantau Asia Tenggara dan gugusan Kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah dan kesusasteraan yang begitu menakjubkan sering menjadi intipan mereka. Perkembangan ini menjadi lebih ketara pada awal abad ke 19. Karya-karya kesusasteraan Melayu klasik, terutama hikayat, telah menarik para sarjana luar, terutama golongan orientalis. Namun, dalam keghairahan pengkajian terhadap sastera klasik itu, sebahagian besar daripada mereka memperlihatkan citarasa individual penyelidik melebihi kepentingan kesusasteraan sebagai satu disiplin ilmu. Sekalipun Barat mempunyai tradisi pengkajian yang kukuh, namun untuk tanah jajahan, mereka bertolak dan membuat tafsiran yang tidak menepati kehendakan tempatan. Sebagaimana C. Snouck Hurgronje yang mengkaji Kesusastraan Aceh dan R.O. Winstedt yang mengkaji kesusasteraan Melayu, jelas sekali mempunyai pandangan kebaratan. A History of Classical Malay Literature yang diguna pakai oleh mahasiswa pengajian Melayu pada awal kemerdekaan bukanlah suatu cerminan konkrit untuk sastera Melayu. Pendekatan yang terlalu condong dan terlalu cenderung serta bersifat komparatif dan historis kebaratan. Aceh di Mata Kolonialis ( Hurgronje ) seringkali menjadi rujukan utama hingga mendatangkan kekesalan di hati A. Hasjmy yang mengatakan bahawa orang Aceh sendiri lebih percaya kolonialis daripada anak tempatan. H.M.J. Maier, mencadangkan agar teks klasik harus dilihat melalui bidang konsep ' intertektualiti ' sepertimana kajian beliau terhadap Hikayat Merong Mahawangsa (HMM). Maier yakin kaedah itu lebih berkesan bukan sahaja ketika membaca HMM tetapi juga apabila membaca tulisan tentang hikayat tersebut.

Menanti GELODAK RASA

Pulang dari Temerloh, saya menerima salinan fax dari Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) yang menerima surat itu dari Dewan Bahasa dan Pustaka pusat. Kandungannya berkenaan penerimaan manuskrip sajak berjudul Gelodak Rasa. Diyatakan penerimaan bersama-sama manuskrip saya itu ialah manuskrip sajak Antawacana karya Marzuki Ali, Kusemai Putih (Ramli Hashim) dan Diorama (Jamaludin Darus). Dikatakan bahawa manuskrip saya dan rakan-rakan di atas menunggu kelulusan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Penerbitan Ke-252 pada 23 Mei 2011. Keputusannya belum diketahui lagi.

Saya tentunya berasa seronok menerima khabar yang belum tentu menggembirakan ini. Manuskrip itu pertama kali dihantar pada tahun 2004 dan telah mengalami beberapa kali pengeditan. Judul asalnya Tukang Sajak Menulis Sajak. Atas permintaan penilai judul itu ditukar kepada Gelodak Rasa pada tahun 2007, dan sekali lagi ditukar kepada Di Luar Bingkai Diri pada tahun 2010. Namun, judul Gelodak Rasa yang diterima.

Dari tahun 2004 hingga tahun 2011 (dan belum tentu diterbitkan), tentulah saya dab kumpulan sajak itu mengalami pelbagai perasaan dan 'ketakutan.' Dipadankan dengan rasa pengarang dan imej sajak, maka benarlah bahawa sajak atau kumpulan sajak itu mengalami pelbagai rasa gelodak. Dan, saya juga yakin, setelah diterbitkan, akan mengalami beberapa citra gelodak rasa dari pembaca.

Walau apapun, saya serah nasib Gelodak Rasa itu kepada DBP, editor dan pembaca. Harapan yang amat sangat, biarlah sajak itu terbit tanpa ada kesilapan taipan, sebagaimana pernah dialami sebelum ini. Setidak-tidaknya, gelodak rasa saya kendur sedikit dengan keaslian isi dan bentuk sebagaimana saya manauskrip saya.

Ahad, 10 Julai 2011

Peludah Warna

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun berbisa
diragutnya baju T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

tapi kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas
memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

kerana nikmat amat lama berkuasa
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A. SAMAD SAID

Cerita Si Hitam dan Si Bersih

Kalau ibunya melihat gambar ini, barangkali beginilah katanya, "Nak, sudah  mak kata jangan pergi ke perhimpunan Bersih 2.0 itu. Tapi kau nak pergi juga. Pergi berjuang konon. Apa pendulikan negaramu. Sudah ada polis dan tentera menjaganya. nak hapuskan rasuah nak hapuskan jenayah nak hapuskan ketidakadilan? Itu kerja mereka. Mereka sudah dilatih menembak, memukul, menendang orang. Engkau apa tahu? Tengok, sekarang apa sudah jadi. Kepala engkau juga yang pecah. Berdarah. Nasib baik tak mati. Eik, masa zaman 14 hari komunis dulu, begini jugalah komunis buat terhadap orang kampung. Sudah, pergi mandi. Cuci badan tu biar bersih. Jangan jadi macam mereka. Pengotor. Pelawak lagi. Lepas tu, solat hajat, doa banyak-banyak pada Tuhan. Mohon ditimpa bala pada mereka yang zalim. Sudah! Pergi mandi!"