Fragmen Selangor

========================= Sebuah Kumpulan Puisi ====================


Fragmen Selangor

nassury ibrahim



Dedikasi
Negara bersih kerana pemimpin bersih.
Pemimpin bersih kerana jiwa takwa.
Ya, Allah, Engkau rahmat pemimpin takwa
dan Engkau laknat pemimpin khianat.



CATATAN PENULIS

Menulis puisi bukan kerja mudah. Mengarapnya menuntut tumpuan seluruh panca indera kita. Tidak seperti membuat kerusi, pengalaman lepas tidak menjamin puisi siap dan sempurna ciptaannya. Betapa peralatan sudah lengkap tersedia, namun menyusun kata-kata ternyata lebih sulit daripada membuat tagam dan mencantum kayu kerusi. Kata-kata yang  menyeronokan pada hari ini belum tentu demikian seronok pada hari esok. Dan, puisi yang kita cipta pada hari ini mungkin lebih buruk daripada puisi yang kita cipta pada hari sebelumnya.

Seakan itulah yang saya rasai apabila membikin puisi-puisi untuk mencuba nasib dalam Sayembara Menulis Puisi Selangor Darul Ehsan 2001. Anggapan bahawa segalanya akan berjalan lancar mengikut perancangan ternyata meleset. Hal ini timbul disebabkan sifat puisi dan sikap saya sendiri yang ingin mencipta puisi-puisi berilmu, iaitu puisi yang tidak bergantung kepada daya imaginasi atau retrospeksi diri semata-mata.

Justeru, saya memanjat tangga perpustakaan sekolah, Perpustakaan Negara, dan Pusat Dokumentasi Dewan Bahasa dan Pustaka semata-mata ingin menyelongkar khazanah ilmu. Malangnya, bahan bercetak tentang Selangor yang saya peroleh tidak banyak. Di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor  di Shah Alam, saya menghadapi kesukaran membuat rujukan di Koleksi Selangor. Sebagai penulis bebas, maklumat yang dicari terlalu mahal untuk diperoleh.

Kesukaran mendapatkan bahan bercetak tentang Selangor seakan menghantar isyarat  bahawa berlaku ketidakseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan pembangunan intelektual. Sebenarnya, Selangor merupakan pusat perkembangan ilmu dari serata dunia. Alangkah baiknya kalau perkembangan ilmu itu turut diiringi segala bentuk maklumat  tentang Selangor. Sesungguhnya, masih terlalu banyak khazanah tempatan yang belum dikorek, disebar dan diketahui umum. Semoga usaha saya ini memenuhi sedikit daripada kelopongan yang maha luas itu.


 
                        Selangor Abad xviii 
                        Fragmen Raja Lumu

Rajamu luka
dilukakan harum Kemboja
Kemboja Johor-Riau
betapapun tidak ada darah menitis
darah dari rajamu
membasahi istana Selangor

rajamu luka
sebutir insaf menjelma
sebutir insaf menjelma ingat
seorang raja bukan Raja
tanpa nobat dan sumpah setia

kaupun merawat rajamu
kau rawat rajamu di Kota Lumut
kau rawat dengan wa’adah Sapurba
wa’adah sakral lagi berdaulat

saudara, demikianlah
raja sebenarnya seindah nama
seperti setelah luka  itu
Lumu menyusur istana Selangor
Sakral dan daulat
sakral dan daulat





Selangor Abad  XVIII

Fragmen Residen Selangor      

             

Bukan rakyat dihalusi                                        
tetapi jarak
bukan   raja dikawali                          
tetapi timah
lahir kereta api
Kuala Lumpur
ke Bukit Kuda

rakyat dan raja bagai kuda
bagai kuda di mata
Frank Swettenham.




Selangor Abad xix

Fragmen Kolonisasi

Anaknda,
Belanda bikin kolonisasi
Jawa sendat dan sepu
kolonisasi membikin kami
petani di Tanjung Karang
membikin kami
peladang di Teluk Menegun
membikin kami
nelayan di Kuala Selangor
membikin kami
lurah di Kampung Jawa
membikin kami
haji di kota Makkah

Ananda,
tanpa kolonisasi
kita rumah antara gedung
kita mayat antara hidup
pahit dan menyakitkan

Ananda,
kita rantau kangen negeri
kolonisasi realis kangen hidup




Selangor Abad xix
Fragmen Boyongan i

Dari tanah derita aku boyongan
ke tanah bahagia
-- memuliakan hidup  

dari minda krama aku boyongan
ke minda ngoko
– menjauhi musuh

dari tanah darah aku boyongan
ke Kuala Selangor
– membuang derita

dari wayang wong  aku boyongan
ke kompang marhaban
– membikin padu

Adinda,
di sini kita boyongan
rantau mencari sejahtera.


                        Selangor Abad xix
Fragmen Minggat

Kentut membikin badan bertambah sihat
tetapi, kentutku membikin badan melarat

Suatu majlis aku melayani pembesar Jawa
aku susun tertib dan sopan menjunjung adat

Tiba-tiba angin syaitan terbolos keluar
seluruh majlis gawat angin malaikat

Kain dan bajuku luruh tiba-tiba
tertib dan sopanku hancur semerta

Kerana kentut aku kehilangan wajah diri
kerana kentut aku kehilangan isteri suci

Kentut membikin badan bertambah sihat
tetapi, kentutku membikin badan minggat.




                        Selangor Abad xix
Fragmen Sheikh Haji

Sheikh bukan guru agama
Sheikh agen penghijrahan Jawa

dia pujuk orang Jawa miskin
dengan wang di tanah Selangor
                       
dia pujuk orang Jawa lapar
dengan hutan di tanah Selangor

dia pujuk orang Jawa minggat
dengan kampung di tanah Selangor  

dia pujuk orang Jawa merempat
dengan kerja di tanah Selangor 

Sheikh bukan guru agama
Sheikh pengimport buruh Jawa.



Selangor Abad xix
Fragmen Boyongan ii

Adinda,
tidak semudah sangka mimpi boyongan
tidak seindah mimpi rasa boyongan
menyeberangi Selat Melaka

kadang sangka terbata-bata
dirempuh ribut wereg
kadang mimpi berkaca-kaca
dihempas gelombang Sheikh

betapapun,
kuning padi di Tanjung Karang
adalah peluh Jawa
hijau kopi di Teluk Menegun
adalah peluh Jawa
lemak santan di Kuala Selangor
adalah peluh Jawa
buncit British di Istana Kelang
adalah peluh Jawa

Adinda,
betapa sangka sering terbata-bata
betapa mimpi sering berkaca-kaca
boyongan realis kangen sejahtera.



Selangor Abad xix

Fragmen Melayu

Tidak ada Kerinci tidak ada Bugis
tidak ada Batak tidak ada Banjar

di tanah Selangor
mereka adalah Jawa

Kerinci itu Jawa Bugis itu Jawa
Batak itu Jawa Banjar itu Jawa

di tanah Selangor
mereka adalah musafir

yang tidak terbilangkan saf Jumaat
yang tidak terbariskan saf adat.


                        Selangor Abad xix
Fragmen Hj. Mohd. Awam bin Hj. Rusdi

Kau kikis Kerinci
kau kikis Kerinci daripada mitos
harimau jadian

kau kikis Bugis
kau kikis Bugis daripada mitos
api amarah

kau kikis Batak
kau kikis Batak daripada mitos
maging manusia

kau kikis Banjar
kau kikis Banjar daripada mitos
angin berang

kau kikis prasangka
kau kikis prasangka Melayu
dengan ilmu kifayah

kau ikat cinta
kau ikat cinta Melayu –Jawa
dengan tali iman.



                        Selangor Abad xix
Fragmen Pak Lurah

Lurah aku ini bukan rumah kuasa
lurah aku ini rumah amanah

tidak ada daging atau tanah
aku peroleh
tidak ada pejabat atau setiausaha

di atas bahu kananku amanah raja
di atas bahu kiriku amanah rakyat 

di tanah Jawa aku lurah rumah kuasa
di Kuala Selangor aku lurah rumah amanah

ananda,
kita lurah di rumah Allah
pada kuasa dan amanah  itu
kita urus sempurna.



                        Selangor Abad xix
Fragmen Seni Budaya

Walau suci wayang tak hidup
di tanah Selangor
dalang kemiskinan watak

walau daulat gamelan tak hidup
di tanah Selangor 
waris ketiadaan takhta

hanya marhaban mengiringi adat
di tanah Selangor 
mengikat rantau

hanya kompang menyusuri waktu
di tanah Selangor
merentasi budaya.


Selangor Abad xix

Fragmen Bijih Timah


Tanpa bijih timah
Selangor tidak
demikian megah

benar katamu, Amarjit:
bijih timah mengundang
narrow gauge, candu,
Ghee Hin dan pendagang

bandar-bandar tumbuh
ekonomi rancak
lampu-lampu berwarna
perempuan lacur
dan jalan raya

Lukut atau Batu Arang
tasik rekreasi atau undang-undang

aku menyusur kisah
sedar tanpa bijih timah
Selangor tidak demikian
sejarah


                       Selangor Abad xix
                       Fragmen Burung Gagak

12 pasang gagak dari Ceylon
diimport Thani ke ladang kopi
habis ulat dimakannya
tahun ini kopi menjadi

12 pasang gagak dari Ceylon
kembang biak di ladang kopi
najis bersepah meracuni udara
ayam itik habis dicuri

12 pasang gagak dari Ceylon
diimport Thani ke lembah Kelang
datuk menghijaui kopi Selangor
cucu menghitami nyawa peladang

12 pasang gagak dari Ceylon
biak mengancam nyawa manusia
lantas Sultan mengisytiharkan cara
bertanding tembak mengurangkannya

12 pasang gagak dari Ceylon
padanya rezeki kopi petani
padanya barah nyawa manusia
padanya sejarah negeri Selangor.



Selangor Abad xix

Fragmen Meriam Bukit Raja


aku meriam purba
meriam purba tangan Melayu
meriam disepuh besi dan mantera
meriam tak tertipu muslihat 
meriam tak ternilai keramat

datanglah saudara
datang mengangkat aku
mengangkat aku dengan putih niat
kerana tanpa putih niat
sepuluh pun engkau aku tak terangkat
tetapi dengan putih niat
seorang pun engkau aku terangkat.

aku meriam purba
meriam keramat pahlawan Melayu.




Selangor Abad xix
Fragmen Gendang Dong-Son

Tak ada silat gendang ini tak ada bunyi
tukulnya entah di mana

tak ada rasa gendang ini tak ada hak cipta
tukangnya entah di mana

tak ada iras gendang ini tak ada nama
tuannya entah di mana

tak ada keris gendang ini tak ada nobat
bangsanya entah di mana

tak ada Jugra gendang ini tak ada Jawa
istananya entah di mana

namun, ada Kelang di gendang ini
ada Kelang bersembunyi di makamnya.



Selangor Abad xx

Fragmen Mimpi Kalumpang - i


sejuk embun mengigit tulang sumsum
jadi kalih menterjemah mimpi
anak-anak Kalumpang

betapa sukar aku tetap menterjemah
menterjemah mimpi ke layar hidup
lengkap dan sempurna

mereka anak-anak kampungan
padanya aku cari result cemerlang
padanya aku cari warga gemilang

betapa sukar aku tetap berusaha
berusaha menterjemah mimpi
selengkap dan sempurna
seselengkap dan sesempurna
cinta.


                        Selangor Abad xx

Mimpi Kalumpang - ii


Bukan lagi anganan atau dongeng purba pun
subsidi hidup. Di sini kita berkongsi mimpi
tanggungjawab yang minta disempurnakan
kbsr
kbsm
dan setelah itu berkata minda dari suaramu;

“ini, aku begini, engkaulah mengajari!”



Selangor Abad xx

Fragmen Kampung Sungai Midah


Midah lahir dari hutan. hutan dikampungkan.
dikampungkan rancangan tanah berkelompok.
rancangan kerajaan Selangor 1960: mengumpul
bumiputera berterabur ke dalam hidup tersusun

maka jadilah Midah warga peneroka - tanpa
geran dan wartikah: pagi Midah menoreh getah
petang Midah berdusun buah

masa berganti tahun Midah beralih pelan struktur
dari selangor ke wilayah Persekutuan
Midah sunti kota buruan jejaka pembangunan

malangnya, nasib Midah tak pernah berubah
orang menjual saham Midah masih menjual getah

khabarnya bukan Midah tak mahu kemajuan
atau menolak pinangan jejaka pembangunan
tetapi, mereka mahu kahwin murahan!

kini hidup Midah terkepungkan keluarga jiran:
Connought, Len Seng, Dahlia dan Anggerik
rumah besar anak keliling pinggang
sedang Midah masih gadis sunti

entah bila Midah akan berkeluarga
rumah besar anak pengubat duka
sehingga sajak ini siap tercipta
Midah masih penunggu setia.

 

 

Selangor Abad xx

Fragmen Taman Muda



Tiba-tiba kami kehilangan

pingan dan sudu

Tiba-tiba kami kehilangan
mimpi dan rindu

Ternyata hidup di sini
tidak pernah bahagia.



                         Selangor Abad xx
Fragmen Anggerik

Biar wajah berbunga rangka
dan makam tidak bertanda
di taman hati berkuntum mesra
di taman mata berkuntum rupa.


                        Selangor Abad xx
Fragmen Shah Alam

i.
Mungkin engkau demikian maklum panas
tidak pernah kejam, tetapi oleh demikian rasa 
adalah tingkah sang korporat

mengepak-ngepak sayap debu berhinggapan
mula-mula di kaki, di mata, di kerongkong dan
kemudian engkau adalah debu sayapnya

ii.
mungkin engkau demikian maklum jauh
sebelum tragedi Hingland Tower itu engkau
adalah manusia, pohonan dan margasatwa

tenang dan damai berhijauan rasa bahagia
mula-mula di minda, di mata, di tangan dan
kemudian seluruh tubuh si teknokrat.



                         Selangor Abad XX
Fragmen Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur 1990

setelah menamatkan pengucapan
deklamasi puisi dunia Kuala Lumpur
di Puncak Seni, Taman Pertanian Malaysia,
barangkali yang tertinggal di sini
ialah jerit Harimau A Ghafar Ibrahim
mengaauuum-aaauuuummm
membakar dendam si Rajarimba
yang kehilangan istana
mengintai-intai kini
di celah rimbun di bukit sana

atau,
ketakjuban penyair tamu itu
bahawa di lembah di puncak belantara ini
ada seni dan budaya rakyatnya 
berhijauan subur.

·         Harimau” ialah judul puisi dicipta dan dideklamasikan
        oleh A. Ghafar Ibrahim dalam majlis PPDKL berkenaan




Selangor Abad xx

Fragmen Morib Suatu Senja


Burung-burung
daun-daun
menyahut rentak angin

bening menari-nari
hening menyanyi-nyanyi
di pantaimu

menari-nari
menyanyi-nyanyi
di hatiku

ternyata,
hidup sebenarnya
seindah bahagia.



                        Selangor Abad xx
                        Fragmen Buaya Puchong

Tenang tiba-tiba resah
sunyi tiba-tiba pecah
di Kampung Sri Aman

yang jauh berkampung datang
yang dekat berulang tapak
yang rendah terintai-intai
yang tinggi tertunjuk-tunjuk
yang buta membuka telinga
yang pekak membuka mata
mereka mengelilingi
tasik bekas lombong

kau yang mengejutkan
tanpa bedal mengekor sifat
tanpa riak mengocak air
perhilitan berganti akal
jerat berganti bangkai
hari berganti minggu
namun kau tetap
diam antara timbul

kami menyaksikan tindak
kejang tidak bersuara
diam seekor buaya
menenggelamkan
seribu akal manusia!


Selangor Abad xx

Fragmen Disember


disember melanda pantai hidup tanpa belas menghempap
tuku dapur tanpa belas menyerang ladang rezeki tanpa
belas mencengkik nafas Selangor

saat hadirnya daun-daun kuyup dan kaki basah
bukit-bukit kelabu dan langit hitam
bayi dan nenek menggigil kesejukan

siapakah mangsa pilu dan penziarah tragedi?
tak terdugakan kaya-miskin, riang-pilu
air menjelma musim melengkapkan tabii diri

aku berdiri sepi di hujung gigi air
kini beransur faham
disember menuntut kebijaksanaan tindak



                         Selangor Abad xxi
Fragmen K-Ekonomi

Bukan mitos cerita bukan dongeng lipur lara
Selangor adalah lebuh raya ekonomi
wang beralih tangan korporat ke saku rakyat

bukan lagenda panji bukan hikayat Selampit
Selangor adalah medan pembangunan
dagangan meresapi waktu Kelang ke Shah Alam

bukan retorik politik bukan wacana kedapi
Selangor adalah telaga rezeki
anak kecicir dan graduan universiti

bukan angan Jenin bukan mimpi penyair
Selangor adalah pasar raya minda
di situ petani di situ korporat

bukan cerita filem bukan kempen partai
Selangor adalah K-Ekonomi.


Selangor  Abad  xxi

Fragmen Diri


Tidak, tidak ada pengajaran mengajarmu
selain tragedi Highland Tower

tidak ada permintaan minta kau renung
selain diam seekor buaya

sekeras-keras batu akhirnya pecah oleh lembut air
sepintar-pintar manusia akhirnya lemah oleh diam buaya

tidak, tidak ada pengajaran minta kau renung
selain sejarah dan hari depanmu.


Selangor Abad XXI

Fragmen Pelajar


Selangor adalah universiti
dan aku adalah pelajarnya

di sini aku pencari di bangku-bangku sekolah di dewan kuliah
di sawah di kampung di celah-celah lorong di graf-graf indeks
riuh pasar dan sepi masjid

aku mencari sepatah ya selingkar angguk dalam keluh setinggan
dalam hijau alam dalam tepuk kompang dalam merdu marhaban
banjir kilat dan sopan adat

aku mencari sepatah ya selingkar angguk dalam asin laut pantai morib
dalam tenang rimba Ulu Yam dalam senyum kelok  pasaran saham
rayu doa dan result semester

aku mencari hidup beriktiraf.



Selangor Abad xxi

Fragmen Gleneagles


saat gementar demikian resah
saat keinginan demikian puncak
janji-Nya merayap perlahan-lahan
menyusut ke dalam tiup oksigen

tangan ghaib-Nya menyusur pakar
perlahan-lahan memadam
air, angin dan rindu tiup,
serta wajah membawa resah

salam tiba-tiba terdiam
mendengar khabar kemangkatan
alam pucat, sugul dan putih

gementar resah dan keinginan sejahtera
mengangguk-angguk perlahan
“sesungguhnya janji Allah  itu benar.”

kini, tidak ada lagi Aisyah
tidak ada lagi tugas
yang ada wujud diri




Selangor  Abad  xxi

Fragmen Mencari Selangor

Selangor tak ada di Perpustakaan Negara
yang ada di sini Kelantan dan Melaka
Selangor tak ada di Dewan Bahasa dan Pustaka
yang ada di sini sastera dan lagenda
Selangor tak ada di Methodist Boy’s School
yang ada di sini Amerika dan Britain

di Perpustakaan Raja Tun Uda
Selangor bersembunyi di taman larangan
di rumah buku yang aku temui
Selangor bersimpuh di hujung serambi

sukarnya mencari wajah selangor
seperti sukar mencari asal namanya
ke sana ke sini aku mencarinya
aku temui sekeping wajah lama.




Daftar Kata

Boyongan             : berpindah (hijrah) sesuatu keluarga secara suka rela
Ghee Hin              : kumpulan kongsi gelap
Kangen                 : rasa rindu terhadap sesuatu
Kedapi                 : kedai kopi
Kolonisasi            : program galakan perpindahan yang diperkenalkan oleh Belanda
                               di Jawa
Krama                  : dialek bahasa Jawa yang halus (hormat)
Maging                 : makan daging
Minggat                : lari atau terpaksa meninggalkan sesuatu tempat disebabkan
                               sesuatu peristiwa yang memalukan
Ngoko                  : dialek bahasa Jawa yang kasar
Norrow Gauge     : kereta api ringan yang pertama kali diperkenalkan di Selangor                       
Sheikh Haji         : agen yang menjalankan perniagaan mengimport  orang Jawa ke 
                               Tanah Melayu
Wa’adah Sapurba : persetiaan antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun  
                                dalam Sejarah Melayu
Wereg                    : kumpulan yang melakukan penipuan terhadap orang Jawa yang            
                                berhijrah ke Tanah Melayu dengan cara menjualkannya kepada  
                                Sheikh untuk mendapatkan wang sagu hati.


Rujukan

Amarjit Kaur 1985. Seabad Kereta Api di Malaysia. Kuala Lumpur: Persatuan Muzium
    Malaysia, Muzium Negara.

A.    Talib b. Hj. Ahmad 1986. Perang Saudara di Selangor 1868 – 1873. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Khazin Mohd. Tamrin . Penghijrahan dan Penempatan Orang-orang Jawa di Selangor 
     1880-an – 1940-an. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Razali Agus “Politik dan Pembangunan Perumahan Komuniti Melayu Bandar”
    dlm. Norazit Selat 1997. Ekonomi dan Politik Melayu. Kuala Lumpur: Akademi
    Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Mohd. Sarim Hj. Mustajab dan Khazin Mohd. Tamrin (Peny.) 1990. Klang 1890 –
     1990 Sejarah dan Pentadbiran. Klang: Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran
      Klang.

Persatuan Sejarah Malaysia 1973. Pameran Sejarah Tempatan Negeri Selangor
     Tinjauan Sejarah Jilid 1. Tempat (?) :  Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan
     Selangor.

Yusoff Hassan 1983. Jugra dalam Sejarah. Kuala Lumpur: Penerbitan Tra-Tra.