Ahad, 19 Jun 2011

Kembara Pulau Delta 2010

Dibandingkan dengan Bachok atau Pasir Puteh, Tumpat merupakan daerah pesisir yang unik. Di sini terdapat masyarakat multietnik terbesar di Kelantan. Orang Melayu bersama orang Cina dan orang Siam  hidup berkongsi dialek, tatasusila dan permainan tradisional yang sama. Mereka berdikir pada waktu malam, bercucuk tanam pada waktu siang.

Satu lagi keunikan yang terdapat di daerah seluas 169.5 kilometer persegi ialah pulau-pulau delta. Pulau-pulau ini tidak terdapat di daerah lain di Kelantan, termasuk Daerah Bachok dan Daerah Pasir Puteh yang menghadap Laut China Selantan.

Berbangga dengan keunikan yang ada, Persatuan Penulis Tumpat (Pesisir) melalui koordinatornya, Ediramlee, menganjurkan aktiviti Kembara Pulau Delta Tumpat (KPDT) pada 28 Oktober 2010.

Menurut Ediramlee, KPDT 2010 bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran jiwa kepada masyarakat Kelantan, khususnya ahli Pesisir, tentang kewujudan pulau-pulau delta di sekitar pesisir muara Sungai Kelantan.

“Ramai warga Kelantan, waima warga Tumpat sendiri tidak tahu kewujudan pulau-pulau delta. Malah, ramai yang tidak pernah menjejakan kaki ke pulau-pulau delta tersebut,” ujar Ediramlee.

Justeru itulah, menurut Ediramlee, Pesisir menganjurkan aktiviti kembara KPDT 2010 ini, di samping berharapkan dapat melestarikan rasa cinta terhadap tanah air dan alam sekitar.
Menurut warga tua yang ditemui, Encik Abdul Samad (69 tahun), berdekatan Kg. Tok Majid sahaja terdapat lebih daripada 13 buah pulau delta berbanding beratus-ratus buah pulau delta di sekitar Tumpat.

“Ada pulau yang mempunyai penduduk sehingga kini dan ada juga yang tiada lagi penduduk kerana mereka berhijrah ke tanah besar,” ujar beliau.

Berbekalkan semangat dan rasa ingin tahu, saya bersama-sama 10 orang ahli Pesisir mewaikili 168,600 orang penduduk, tujuh Daerah Penggawa, 30 mukim dan 57 kampung di Tumpat bagi melaksanakan misi KPDT 2010.

Kami menyewa bot galah kepunyaaan Abe Awe dengan bayaran RM15.00 perkepala. Dengan kapasiti lima orang lelaki dan enam orang perempuan, kami berlepas dari Jeti Kok Majid pada pukul 8. 30 pagi.

Kami  meredah air kuning Sungai Kelantan menuju ke Pulau  Teluk Junor. Sebahagian tebingnya mengalami hakisan teruk akibat tekanan air pasang surut. Tebing yang menghadap Kuala Besar telah ditambak dengan batu.

Masih ramai yang mendiami Pulau Teluk Junor. Di bahagian barat tidak ramai penduduk berbanding bahagian timur yang lebih padat. Rumah-rumah penduduk diperbuat daripada kayu dan batu, dilengkapi kemudahan air, dan elektrik. Rumah bertangga batu ala tangga rumah di negeri Melaka. Terdapat beberapa buah rumah buruk kerana penghuninya telah berpindah ke tanah besar Tumpat.

Menurut penduduk yang ditemui, air paip dari tanah besar Tumpat disalur melalui dasar sungai ke pulau-pulau delta. Oleh sebab itu, bekalan air tidak menghadapi masalah.

Jalan pula diturapkan dengan simen, menghubungkan dari rumah ke rumah dan jeti. Pagar rumah pula ada yang berdawai, kayu bulat dan jalinan bilah-bilah buluh.

Terdapat dua bangunan batu yang agak pelik binaan. Satu bangunan bekas tempat salai buah koko, manakala satu tempat pembakaran sampah. Selain sebagai nelayan, penduduk Pulau Teluk Junor bekerja menanam kelapa dan koko. Namun, tanaman koko tidak diusahakan lagi.

Kami bergerak ke Pulau Beluru di sebelahnya. Ada satu jambatan kayu menghubungkan Pulau Teluk Junor dengan Pulau Beluru. Di sini lebih ramai penduduk. Lebih banyak rumah diperbuat daripada simen. Jalannya masih diturapkan dengan simen. Jeti Pulau Beluru lebih moden, diperbuat daripada simen dan berbumbung.

Hal ini tidak menghairankan kerana di Pulau Beluru terdapat sebuah Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru dengan kapasiti empat bangunan. Satu bangunan Pusat Kokujrikulum Kelantan, manakala satu lagi bangunan Makmal Komputer.

SK Pulau Beluru dibina sekitar tahun 1990-an. Muridnya pernah mencecah lebih 400 orang. Namun, kini tinggal sekitar 300 orang sahaja. Mereka datang dari pelbagai pulau di sekitarnya.

Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru menjadi salah satu sekolah pilihan Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu menghantar pelajarnya menjalani praktikum. Perjalanan ke sekolah yang terpaksa menggunakan kenderaan air (perahu atau bot) sesuai sebagai latihan mental bakal guru ke kawasan pedalaman.

Gurunya pula sekitar 30 orang, diketuai Hajah Faridah Che Lah. Kecuali seorang sahaja yang menjadi penduduk tetap Pulau Beluru, guru-guru lain berulang dari tanah besar Tumpat.

Menurut wakil penduduk yang ditemui, Pulau Beluru dan pulau-pulau di sekitarnya akan lebih maju sekiranya kerajaan membina jambatan konkrit dari Pulau Besar ke Pulau Beluru.

“Dari Pulau Beluru dapat dibina jambatan kayu kerana jaraknya lebih dekat,” ujar beliau.

Kami terus melewati beberapa pulau tidak berpenghuni untuk ke Pulau Tongkang. Sekitarnya dipenuhi pokok kelapa, pokok buah-buahan, tumbuhan hutan dan pohon nipah.

Menghampiri Pulau Tongkang, kami melihat beberapa orang wanita berusia sedang membersih daun pucuk paku. Kami terus ke jeti yang diperbuat daripada simen dan berpelantarkan papan.

Di sekitar jeti terdapat beberapa bot nelayan yang sedang dibaikpulih. Terdapat juga bangkai bot di tebingnya.

Penempatan di Pulau Tongkang adalah berpusat. Terdapat beberapa buah rumah kayu yang agak usang. Kami menemui seorang wanita separuh usia sedang menyuapi nasi ke mulut ibunya. Menurut wanita bernama Esah itu, walaupun berasal dari Pulau Tongkang, dia sudah lama meninggalkannya. Kini Esah kembali ke Pulau Tongkang untuk menjaga ibunya yang sedang uzur. Esah bercadang akan terus tinggal di sini.

Kami rasa sangat terharu mendengar cerita Esah yang sanggup meninggalkan rumah dan anak-anaknya di tanah besar demi menjaga ibu yang tidak mahu berpindah.

Walaupun tidak banyak rumah, di Pulau Tongkang terdapat kemudahan Taman Bimbingan Kanak-Kanak Seri Chempaka dan sebuah klinik desa untuk keperluan penduduk dari pulau sekitarnya.

Sebagaimana di pulau-pulau lain, Pulau Tongkang juga dilengkapi kemudahan asas seperti air paip dan elektrik. Namun, menurut Ediramlee, pulau ini sering dinaiki air pada musim tengkujuh.

Berhampiran jeti terdapat satu wakaf. Ada dua orang wanita tua dan dua orang kanak-kanak perempuan sedang berehat. Kami menghampiri dan bersalam dengan dua wanita itu yang memperkenalkan diri mereka sebagai Bidah binti Mat Amin dan Mejah binti Mamat.

Bidah merunggut berkali-kali kerana tidak mendapat bantuan. Katanya, telah berkali-kali dia naik-turun pejabat kebajikan dan majlis agama, namun tetap tidak memperoleh bantuan. Kami menyarankan agar beliau berbincang dengan Tok Penghulu.

“Di sini tidak ada kerja. Selain sebagai nelayan, kami bergantung pada jualan buah kelapa,” ujar Bidah.

Langit yang cerah memberi peluang kami menyusur ke pulau-pulau sekitar sebelum sampai di Pulau Pantai Baru untuk melihat perusahaan membuat perahu faber. Alam hijaunya sangat mendamaikan. Sesekali burung bangau dan burung enggang melintasi kami.

Setelah berlabuh di jeti Pulau Pantai Baru, kami terserempat dengan seorang pemuda yang sedang membawa ketam nipah yang baharu ditangkap. Ketamnya besar dan berwarna kehijau-hijauan  

Kami menyusur denai ke rumah Encik Mat yang membuat perahu faber.  Malangnya, perusahaan perahu faber sudah tidak beroperasi lagi.

Dari sini, kami menyusur laluan sempit antara Pulau Pantai Baru dan Pulau Haji Nikmat ke Pulau Suri. Di kiri kanan laluan dipenuhi pokok nipah yang sedang galak berbuah. Buahnya sedap dimakan bersama ais batu. Manakala, daun nipah muda dapat dibuat rokok daun. Mayang nipah pula boleh diambil air tuak (nira).
Berselang-sel  dengan pokok nipah ialah pohon paku pia, jeruju, mengkuang pokok bemban dan pelbagai tumbuhan pulau. Ediramlee sempat memetik buah bemban di tepi laluan kami. Inilah pertama kali aku melihat buah bemban yang telah lama aku dengar namanya.

Terdapat dua bangunan menternak burung walit di Pulau Haji Nikmat. Satu lagi sedang dalam pembinaan.

Sekitar pukul 12. 30 tengah hari, kami sampai ke Pulau Suri. Terdapat banyak kapal-kapal nelayan di sekitar Jeti Pulau Suri.

Pulau Suri lebih terkenal berbanding pulau-pulau delta lain di Tumpat. Terdapat web khusus dibina bagi memperkenalkan Pulau Suri. Pulau ini menjadi antara destinasi pelancong di Kelantan.

Pulau Suri mempunyai ramai penduduk berbanding dengan pulau-pulau yang kami lawati. Lengkap dengan kemudahan asas. Namun, jalannya masih berturapkan simen. Ada rumah yang diperbuat daripada kayu, simen  dan separuh kayu separuh simen. Kira-kira satu kilometer dari jeti, terdapat pusat kegiatan masyarakat seperti Dewan orang Ramai, Pusat ICT dan Taman Bimbingan Kanak-kanak. Beberapa buah rumah ditandai lambang sebagai homestay. Ramai pelancong yang datang dan bermalam di Pulau Suri.

Setelah makan tengah hari, kami menuju ke destinasi terakhir, iaitu ke pantai Pulau Kuda yang menghadap Laut China Selantan. Walaupun tiada sampah, namun pantainya tidak terjaga kerana dipenuhi dengan bangkai kayu. Kami tidak terdaya membersihnya   kerana bangkai kayu banyak dan besar-besar.  Alangkah indahnya pantai jika kayu-kayu itu tiada.

Setelah puas bergambar, kami menyusur pulang melewati Pulau Raja Muda.   Tebing pulau ini mengalami hakisan dan perlu ditambak segera. Pulaunya dipenuhi dengan tanaman kelapa.

Sekitar pukul 2.00 petang, kami bergerak pulang ke Jeti Kok Majid. Banyak lagi pulau-pulau delta yang tidak sempat kami lawati.

“Sesungguhnya, perjalanan ini mendekatkan kami dengan nadi kehidupan masyarakat pulau,” tegas seorang guru lepasan Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu yang menyertai Kembara Pulau Delta Tumpat 2010.

Tiada ulasan: