Isnin, 13 April 2009

Surat SN Shahnon Ahmad bertarikh 12 April 2004


Sdr Nassury Ibrahim yang baik.

Terima kasih banyak atas ingatan kiriman senaskah Di Rumah Wiramal. Baru pagi tadi saya terima. Saya kini banyak berada di kampung di Sik berdialog hanya dengan hutan belantara, gunung-ganang, sungai dan pokok. Ilham pun banyak tertumpu ke alam barzah & kematian. Jemputlah datang ke Banggol Derdap, Sik. Nombor rumah tak ada tapi kalau sampai di Sik, tanya rumah Cunong, semua orang tahu. Lagi sekali terima kasih kerana kirim DRW. Saya tak pandai menggubah puisi tapi suka pada puisi kerana menjadi pusat / titik untuk renungan. Saya dapati Sdr banyak bertolak dari pelabuhan diri untuk belayar mencari makna yang lebih jauh tersirat. "Rumah" boleh ditakwilkan dengan berbagai (pelbagai) tapi dalam DRW saya dapati sorotan lebih kepada diri dengan asosiasi kepada makna kehidupan yang jarang-jarang terlintas kepada mereka-mereka (mereka) yang popular. Sebagai seorang politik yang gagal, saya tersenyum bila meneliti "Di Rumah Kroni" & "Di Rumah Politik." Sdr bermula dengan "Di Rumah Diri (1)" memang mengharukan. Memang kita semua akan mati tapi apa isi akan kita bawa bersama? Tentang mati ini diulangi lagi dalam "Di Rumah Diri (11)." Puisi-puisi Sdr meskipun kontot-kontot tapi merupakan titik ide yang menerjah renungan memulangkan alam nyata, "go beyong" alam ghaib tapi tidak sesat kerana selalu terarah kepada Yang Satu: Allah. Syukur. Salam.


SHAHNON AHMAD
12/4/04

Tiada ulasan: