Ahad, 5 April 2009

Perihal Mtest dan Calon Guru


Hari ini aku jadi pengawas ujian Mtest untuk lepasan graduan yang ingin menjadi guru. Mengikut maklumat terdapat 68, 035 calon memohon, seramai 65, 401 layak menduduki Mtest. Tempat kosong lebih kurang 4,000 sahaja, untuk program J-Qaf dan Program KPLI sepenuh masa. Khabarnya, mereka bakal dihantar ke kawasan pendalaman.

Ada dua perkara yang ingin aku tulis tentang Mtest ini. Pertama, berkenaan ujian Mtest. Ujian Mtest mempunyai lima bahagian - Imsak, bahasa Inggeris, Kuantitatif, Verba dan Analitika. Setiap bahagian diperuntukan masa selama 30 minit, namun bilangan soalannya berbeza.Yang membebankan ialah bahagian Imsak, mempunyai 135 soalan. Bahagian-bahagian lain antara 25 hingga 30 soalan. Semua soalan objektif. Walaupun semua soalan objektif, saya fikir, soalan bahagian Imsak sangat membebankan. Ia merupakan perangkap kegagalan. Alangkah ruginya jika calon yang gagal itu kaya sahsiah keguruan. Harap pihak terlibat dapat memikirkan semula. Janganlah mendera oranglain setelah kita menjadi guru.

Kedua, berkenaan calon yang hadir. Ada yang mengandung dan bakal bersalin dari seminggu lagi hingga bulan Jun. Apakah mereka ini layak dipanggil temu duga dan melaporkan diri nanti? Ada juga yang erpakaian seluar jeans, baju T-shit, baju tidak masuk ke dalam (lelaki), berseluar dan berseluar ketat (perempuan), berfesyen dan sebagainya. Apakah mereka ini layak sebagai guru. Cara berpakaian sudah kurang sesuai, belum tahu sahsiahnya. Saya fikir perlu satu kriteria penafisan pada peringkat ini lagi.

Saya sebenarnya kecewa dengan BPG. Semasa saya di maktab dulu, senior saya ada yang terlibat dengan dadah, khalwat, mencuri, ponteng kelas, bergaduh dan sebagainya. Walaupun ditangkap dan dilaporkan ke BPG, untuk dibuang, namun tiada tindakan diambil. Sebaliknya, BPG mengarahkan maktab menerima mereka untuk meneruskan pengajian. Alasan bukti tidak lengkap. Maka, jadilah mereka guru, mengajar di serata pelusuk Malaysia. Tidak tahulah apa yang terjadi kepada mereka dan murid-muridnya. Berbanding masalah dinyatakan di atas, saya tidak dapat berkompromi jika calon guru terlibat dengan dadah. Pada saya mereka perlu dibuang. Saya khuatir, mereka akan 'menggunakan' murid untuk kepentingan aktiviti kedadahannya.

MAHUKAH ANAK ANDA DIAJAR OLEH PENAGIH DADAH?

Satu jok yang sering kami ucapkan semasa di maktab dulu ialah "Kalau lembu masuk maktab, lembu pun dapat jadi guru." Jok ini nampaknya masih relevan. Sikap BPG masih tidak berubah. Malah, masih menganggap guru pelatih bertaraf pelajar sekolah, dan pensyarah bertaraf guru. Segalanya hendak dikawal oleh BPG dan IPGM perlu ikut telunjuk BPG, termasuk dalam hal disiplin guru pelatih.

Kalau ada pegawai BPG / IPGM atau kementerian membaca tulisan ini, silalah memberi reaksi. Saya mahu tahu padangan anda. emel: nassuryibrahim2@gmail.com.

Tiada ulasan: