SEORANG Tan Sri, enam orang datuk dan tiga orang doktor menjuih bibir melihat Bulan Anak Langkau, diiringi seorang Peguam Muda, melangkah masuk ke kandang salah. Budak itu kelihatan kebinggungan. Matanya bagai rusa masuk pekan.
“Bulan anak Langkau,” Jurutuduh memecah kesunyian suasana.
Yang Ariff menjeling dari bingkai atas cermin rabun dekat sebesar jari kelingking bertenggek di atas hidung besar berkerutu miliknya. Bulan tidak berkata apa-apa. Menyahut tidak senyum pun tidak. Hanya mata melilau-lilau tidak ketentuan.
“Anda dituduh membaling 10 biji batu dengan sengaja hingga mencederakan seorang tan sri, enam orang datuk dan tiga orang doktor,” Jurutuduh berhenti sejenak, memandang Bulan anak langkau, dan kemudian menyambungkan suara, “ Adakah anda mengaku salah?”
Bulan anak Langkau masih diam. Hanya mata terkebil-kebil memandang Yang Ariff, Jurutuduh, Tuan Dakwa, Tuan Bela dan para tamu. Sikap membisu Bulan anak Langkau memaksa Jurutuduh mengulangi pertuduhan.
Hasil bantuan polis, Bulan anak Langkau mengangguk dan kemudian menggeleng. Mengangguk lagi dan menggeleng lagi. Yang Ariff merenung telatah Bulan dan bersuara, “Jawab ya atau tidak.”
“Ti … ti … tidak.”
Mendengar jawapan Bulan, Yang Ariff bertanya, “Adakah awak lantik peguam?” Tuan Bela bangun dan berkata, “Saya, guam belanya, Yang Ariff.
Yang Ariff memutuskan pembicaraan dijalankan segera.
Sambil menunjukkan objek, Tuan Dakwa bertanya Bulan akan nama objek itu. Dijawab oleh Bulan, “Batu.” Ditanyakan lagi akan kegunaan batu dan kemudian ditanyai sebab Bulan membaling batu ke arah tan sri, datuk dan doktor. Dijawab oleh Bulan bahawa dia tidak baling batu ke arah mereka.
“Habis, kepada siapa awak baling batu?” Tuan Dakwa memancarkan sinar retina pada muka bulan.
“Saja baling-baling batu,” agak lancar jawapan Bulan.
“Ke arah mereka?”
“Hutan kampung saya.”
“Anda ambil 10 biji batu dan baling tan sri, datuk dan doktor,” Tuan Dakwa memancing pertuduhan.
“Ke arah hutan di kampung saya.”
“Anda mencampak batu apabila melihat mereka?”
“Tidak.”
“Anda lempar batu ini ke arah mereka,” Tuan Dakwa menunjukkan sebiji batu.
“Saya tidak baling batu.”
“Bukan baling batu? Habis, awak baling apa?”
“Batu,”
“Tadi awak kata bukan baling batu. Kemudian, awak kata baling batu. Mana satu. Baling batu atau baling bukan batu?”
“Saya baling batu.”
“Awak jangan main-main. Ini mahkamah. Awak mesti cakap benar.”
“Saya baling batu.”
“Ya, bagus. Sekarang awak mengaku. Awak baling batu ke arah tan sri, datuk dan doktor?”
“Tidak. Saya baling-baling batu bukan baling batu.”
“Kenapa arah mereka?”
“Tidak. Saya tidak lihat mereka. Saya baling ke arah hutan, bukan ke arah orang.”
Melihat berlaku ketegangan, Tuan Bela bangun mencelah.
“Ya, Yang Ariff. Anak guam saya tidak baling batu, tetapi main baling-baling batu di kampungnya, Kampung Angin Dingin,” tegas Tuan Bela. “Di kampung mereka, Yang Ariff. Perkampungan orang asli. Mereka selalu main baling-baling batu. Itulah permainan mereka, Yang Ariff.”
Tuan Bela mengeluarkan keratan akhbar dan menghulurkan kepada Yang Ariff. Dibaca oleh Yang Ariff persis sebagaimana di bawah.
AlSutani – 10 November. Seorang penganalisis gelar dari luar negara melaporkan hasil kajiannya mendapati 90 % rakyat negara alSutani mempunyai gelar. Katanya, dalam kertas kerja bertajuk “Gila Gelar,” antara gelar yang digilamiliki ialah datuk, tan sri dan doktor. Beliau mengandaikan bahawa jika baling 10 biji batu ke mana-mana sahaja, enam biji terkena kepala datuk, tiga biji terkena doktor dan satu terkena tan sri.
Yang Ariff cepat-cepat lipat keratan akhbar dan bertanya kepada mangsa, “Di manakah kamu berada ketika terkena batu?”
Para mangsa itu serentak menjawab, “Di hutan di Kampung Angin Dingin. Kami sedang memburu.”
Mendengar jawapan itu, Yang Arif terus memutuskan bahawa kes ditutup. Tersentak Tuan Dakwa lalu bangun, “Tapi, Yang Ariff Datuk …” kata-kata Tuan Dakwa terhenti kerana Yang Ariff Datuk Hakim telah hilang si sebalik pintu kamarnya.
Seorang Tan Sri, enam orang datuk dan tiga orang doktor menjuih bibir melihat Bulan Anak Langkau, diiringi seorang Peguam Muda, melangkah keluar dari kandang salah. Budak itu kelihatan masih kebinggungan. Pun matanya masih melilau-lilau, bagai rusa masuk pekan.
Pengkalan Chepa
15 Mac – 18 April 2009
15 Mac – 18 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan