Isnin, 6 April 2009

Membaca Idealisme Kepimpinan Malaysia


Muka depan akhbar Mingguan Malaysia 5 April 2009 menyiarkan tiga berita. Pertama, berita bertajuk Dr M Sertai Umno. Turut disiarkan gambar bersaiz 26.8cm x 16cm. Kedua, berita bertajuk 13 Tahanan ISA dibebas Hari Ini. Ketiga, berita bertajuk Barang Jacko Dilelong.

Ketiga-tiga berita mempunyai nilai tersendiri. Antara nilainya ialah kepentingan awam, membangkitkan rasa ingin tahu, kemanusiaan dan sebagainya. Berbalik pada tiga berita berkenaan, pada pandangan saya, berita kedua lebih penting kerana (a) nilai kepentingan awamnya tinggi; (b) kaya nilai kemanusiaan, berbanding berita pertama, yang sudah dimaklumi.

Faktor lain ialah (c) menyentuh idealisme baharu pucuk pimpinan negara (eksekutif) sebagai gambaran gaya bertindak eksekutif seterusnya, dan (d) ia menyentuh tindakan pertama DS Najib sebagai PM. Keriangan DS Najib dapat menjadi PM patut dikongsi oleh orang yang sentiasa dalam kesusashan / mengharap. Dalam hal ini, orang kesusahan itu dilambangkan pada tahanan ISA dan keluarganya.

Sebagai generasi baharu dan pemerhati di luar kepompong partai, membesarkan berita Dr. M masuk Umno, secara tidak langsung, memberitahu kepada umum bahawa (a) pengaruh Dr M masih kuat dalam Umno atau BN; (b) Dr M akan kembali menguasai kerajaan. Antara sebab Dr M keluar Umno kerana tidak bersetuju dengan tindakan Tun Abdullah (Tun A) dalam menjalankan pentadbirannya. Penggal pertama pemerintahan Tun A menuruti kehendak Dr M dan setelah Tun A tidak menuruti kehendak Dr M, maka Dr M pun keluar dari Umno; (c) berkaitan dengan faktor (b) bererti Dr M dapat menguasai pemikiran dan tindakan DS Najib dalam pentadbiran negara. Ertinya, DS Najib akan jadi PM boneka kepada Dr M @ PM berpelembagaan. Nauzubillah; dan (d) walaupun masuk Umno Dr M masih memegang keahlian lama (001). Perlu diingatkan bahawa Dr M keluar daripada Umno, bukan digantung keahliannya. Apabila menyertai semula Umno, Dr M turut menyerahkan wang pendaftaran (sumpamanya).

Saya mengatakan ia sebagai malapetaka kepada BN sebab (a) Dr M terkenal sebagai tokoh yang pernah dilabelkan sebagai 'keras kepala' oleh bekas pemimpin tertinggi Australia; (b) selepas Tun A melepaskan jawatan dan Dr M berpelukan dengan Tun A, rakyat berpendapat krisis mereka sudah pulih. Namun, sangkaan itu meleset apabila Dr M 'membelasah' Tun A semasa berada di luar negara; dan (c) Dr M mengumumkan hanya satu kesilapan sepanjang beliau memerintah Malaysia, iaitu melantik Tun A sebagai PM.

Bagi rakyat tiada kesilapan apabila Dr M melantik Tun A sebagai PM. Tidak ada bantahan langsung walau ramai tidak suka kepada Umno lagi. Malah, PRU-11 telah memberi kemenangan besar kepada Tun A. Kemenangan itu bukan bererti rakyat suka kepada Umno atau Tun A. Kemenangan itu sebagai memberitahu bahawa rakyat benci kepada Dr M. Mesej itu sebenarnya gagal dibaca oleh Dr M dan Tun A sendiri serta kepimpinan Umno/BN.

Saya mengatakan kemungkinan DS Najib akan jadi boneka Dr M sebab Dr M memang tidak berkenan dan tidak mahu melantik DS Najib sebagai PM. Kalau benar DS Najib memang pilihan yang betul dan disukai, mengapakah Dr M tidak melantik DS sebagai PM. DS Najib perlu ingat jasa Tun A yang melantik beliau sebagai TPM dan seterusnya PM, bukannya Dr M.

Kemungkinan ada sesuatu 'udang' di sebalik sokongan dan kembalinya Dr M ke pangkuan Umno. DS Najib perlu hati-hati mendengar nasihat Dr M sebelum rakyat menghukum. Setakat ini, DS Najib memulakan langkah pemerintahan dengan hentakan kaki yang amat baik. Gaya langkahan kaki yang baik pada peringkat awalnya ini turut terlihat pada Dr M dan Tun A sendiri. Persamaan Dr M dengan Tun A ialah separuh pemerintahan pertama disukai rakyat, manakala separuh pemerintahan kedua dibenci rakyat.

Harap-harap pemerintahan DS Najib, dari A hingga Z, disukai oleh semua rakyat sebagai bukti kebenaran slogan SATU MALAYSIA yang menjadi idealisme beliau.

6 April 2009

Tiada ulasan: