Ahad, 12 April 2009

Aku Bangga Kerja di IPGM

Aku bekerja di salah satu jabatan di salah sebuah institusi tertua di Malaysia. Namanya IPGM. Dulu bernama training college, kemudian ditukarkan nama kepada maktab perguruan ke institut perguruan dan kini Institut Pendidikan Guru Malaysia. Aku bangga bekerja di IPGM. Rakan-rakan di sekolah selalu bertanya tentang IPGM. Macam-macam soalan. Aku jawab melalui visual di bawah.

Ini pintu bilik ke pejabatku. Luasnya sama dengan luas bilik darjah sebab memang asalnya bilik darjah. Dalamnya ada 16 orang pekerja akademik. 13 lelaki 3 wanita. Teringat aku pada bilik darjah waktu bersekolah dulu.

Ini meja aku. Maaf le ada banyak buku, kertas dan tugasan pelajar bersepah atas meja. Dalam karbinet 'tu pun ada banyak buku dan dokumen. Maklumlah, tiada tempat dan ruang. Suasananya memang tidak merangsang minda. Apa boleh buat sebab itulah taraf kami. Bilik kami tak ada langsir, maka cahaya dapat masuk banyak. Dapatlah kami berjimat cermat pembelanjaan kerajaan. Cermin tingkap begitulah. Ada gril untuk elak kecurian. Malangnya, kecurian tetap berlaku. Ada aircon. Kipas pun ada. Alhamdullillah.

Ini barisan meja aku dan rakan-rakan. Ada lima orang. Kami duduk di tengah sebab bahagian tepi, depan dan belakang telah dipenuhi. Macam menumpang di jabatan sendiri pulak! Masa lapor diri bertugas dulu, selalu duduk meja tengah. Dua hari baru dapat meja kekal dan sudut sesuai. Kami ni dah setahun lebih duduk meja tengah, sebab tak ada tempat lagi. Tengah pun tengahlah. Tak mengapa. Tetapi, maaflah wahai rakan di belakang kerana setiap hari melihat buntutku. Berada di sini, teringat aku masa di sekolah dulu. Mejanya besar sikit dan agak lapang.

Dalam bilik jabatan aku ada 15 + 1 (KJ) pekerja, 05 almari, 13 rak, 02 meja komputer , satu komputer (dikongsi 15 orang) dan sebagainya. Agak sesak sikit. Justeru, segala buku, dokumen, fail, kerja kursus pelajar (mesti simpan) kami letak di atas meja, rak, tepi meja dan juga bawah meja. Boleh buat alas kaki!

Demikianlah jabatan aku. Jabatan-jabatan lain di IPGM pun begini juga. Serupa saja sebab ruang terhad. Cuma aku harap tiada sesiapa gatal tangan datang cucuh api, sebagaimana terjadi pada trak polis di Stadium Sultan muhammad, Kelantan, sebab dalam bilik kami ada banyak kertas dan bahan mudah terbakar. Walau bagaimanapun, aku bangga kerja di IPGM. Cuma kemudahan dan pengurusan tempat IPGM aku bekerja amat mengecewakan.


Tiada ulasan: