Rabu, 15 April 2009

Autobiografi: Rumah Kenangan



Aku lahir di Pasir Puteh, Kelantan, di Kampung Telaga Gayung. Namun begitu, aku membesar di Kampung Tok Kah, Dungun, Terengganu. Setelah tamat belajar di tingkatan enam atas di SMK Tengku Intan Zaharah, aku kembali ke Pasir Puteh (1984 – 1987, 1990 dan 1995 - 1999). Tinggal bersama bapak saudara bernama Awang Yacob dan Saudi Yacob, dan kawan bernama Yudin Mat. Gambar-gambar di bawah ialah rumah yang pernah menggulit mimpiku.
Ini rumah emak saudaraku bernama Che Mah binti Idris. Terletak di Kampung Telaga Gayung, Pasir Puteh. Aku tidak tahu rumah sebenar aku dilahirkan kerana rumah berkenaan telah tiada. Walau bagaimanapun, tempat lahirku di kawasan sekitar rumah ini. Apabila aku kembali ke Pasir Puteh, rumah Mak Da Che Mah ini antara destinasi mimpiku. Aku juga menyusu Mak Da Che Mah. Emmmm ... sedapnya!

Kali pertama aku berhijrah dari Dungun ke Pasir Puteh, tahun 1984, aku tinggal di rumah ini. Menumpang Bapak Saudara bernama Awang Yacob (Pak Tih Awang). Beliau bekerja sebagai mekanik di Balai Polis Pasir Puteh. Rumah ini terletak di cabang 3 ke kompleks sekolah Kamil. Ia terletak di belakang Kedai kopi Pok Mat. Semasa di sini aku bersekolah di Institut Azam Malaysia.

Sekitar tahun 1985, Pak Tih Awang berpindah ke kuarters di Balai Polis Pasir Puteh. Aku ikut serta. Rumah kami di tingkat empat Blok D, bertentangan dengan Klinik Kesihatan. Aku tidak lagi bersekolah. Masa ini aku mulai bergiat aktif dalam Persatuan Penulis Pasir Puteh (Puspa), menjadi penulis sepenuh masa, di samping menjual buah tembikai di Pasar Pasir Puteh.

Dalam tahun 1985, aku berpindah dan tinggal bersama bapak saudaraku bernama Saudi bin Yacob (Paksu Udi). Rumah ini terletak di belakang SK Perempuan, Pasir Puteh. Kami menjual buah tembikai di Pasar Pasir Puteh.
Apabila Paksu Udi berkahwin, kami berpindah ke rumah ini yang terletak di Kampung Dalam Kemunting.
Sekitar tahun 1986, Paksu Udi berpindah ke Kampung Husin Pajak. Rumah itu sudah tiada. Ia terletak di tapak banglo ini. Semasa di sini, aku menyambung pelajaran di Sekolah Adabi Pasir Puteh.
Paksu Udi berpindah lagi ke rumah di hadapan tapak banglo di atas. Masa ini, Paksu Udi telah dapat seorang cahaya mata. Kini, rumah itu sudah buruk dan terbiar tanpa penghuni.
Tidak lama kemudian, aku berpindah ke rumah ini yang terletak di Kampung Kelubi. Aku tinggal bersama Yudin Mat. Beliau masih bujang, bekerja sebagai Posman di Pejabat Pos Pasir Puteh. Yudin Mat seorang pelukis dan aktivis persatuan.
Beberapa bulan kemudian, aku dan Yudin Mat berpindah ke rumah ini yang terletak di Kampung Baru. Rumah ini berhampiran Sungai Semerak. Sering juga le aku melepas kat sungai tu!
Sekitar tahun 1987, aku berpindah ke rumah ini yang terletak di Rumah Murah Bukit Gedombak. Selain menulis, aku turut jadi wartawan sambilan Majalah Ekonomi Rakyat yang berpengkalan di Kompleks Stesen Bas Butterworth. Inilah rumah terakhir zaman bujang aku. Semasa di sini aku telah mendapat tawaran Inspektor Polis dan maktab perguruan. Aku memilih maktab perguruan. Nasib baik aku pilih bidang ini, kalau tidak tentu aku jadi penjenayah kolar biru.



Tahun 1990 aku telah berkahwin. Ini merupakan rumah mentuaku yang terletak berhadapan dengan rumah sewaku dulu, di Rumah Murah Bukit Gedombak.

Semasa aku sambung belajar d UM, gajiku hanya tinggal RM500.00 sahaja. Untuk jimat pembelanjaan, aku berkongsi dengan rakan-rakan sepengajian di Kondominium Bukit Angkasa. Isteri dan dua anakku, aku hantar pulang dan menyewa di rumah ini, tidak jauh dari rumah mentuaku. Kini, ia terbiar.


Ini ialah rumah Pak Tih Awang, selepas tinggal di Kuarters polis. Rumah ini terletak di Taman Kobena, Pasir Puteh. Masa zaman bujang (dan selepas berkahwin juga), rumah ini menjadi destinasi aku apabila balik ke Kelantan, atau dalam perjalanan dari Dungun ke Pulau Pinang.

Demikian, secebis kisah hidupku. Tak sangka, banyak juga rumah yang pernah mengulit mimpiku dan kini jadi kenangan.


1 ulasan:

zatiehafiz berkata...

Salam, terharu membaca catatan saudara tentang rumah kenangan. Nampaknya secara tidak langsung, kita berkongsi rumah kenangan di kawasan yang hampir sama. Saya dilahirkan di belakang kelinik Pasir Putih, pernah belajar di SMK Kamil, dan pernah menetap di Perumahan Bkt Gedombak. Sewaktu kecil, kerap menonton wayang di panggung Rama, rasanya panggungnya dah tiada sekarang. Tahun 1987, saya dah melanjutkan pelajaran dan seterusnya merantau hingga kini. Sekali-sekala balik bercuti, saya akan singgah di belakang kelinik melihat rumah lama yang telah dijual kepada orang. Kenangan indah itu tetap terpahat diingatan. Terima kasih kerana catatan saudara begitu indah.