Apabila berjauhan
baru terasa
betapa nikmatnya
saat berdekatan.
(Elipsis, DBP: 67)
Sajak ini lahir kesan daripada perjalanan hidup saya sebagai generasi kedua selepas merdeka (lahir tahun 1960-an) yang telah dewasa. Saya dapati banyak nikmat yang dikecapi pada zaman kanak-kanak (tahun 1970-an) semakin mengecil dan menghilang. Tidak ada lagi permainan seperti tarik upih, main nusuk, berdikir dan berwayang kulit. Tidak ada lagi aktiviti sepakat seperti berderai, dan bewah. Tidak lagi kenal keris, rakit, pistol buluh, senapang ikan, jerat burung dan binatang hutan. Memang tidak betah lagi saya ulangi, namun setidak-tidaknya saya berharap dapat melihat pada kanak-kanak kini. Mereka semakin jauh dari akar Melayu. Justeru, mengapa mereka harus mencintai Melayunya? Itu generasi saya, dan tentu lebih lagi bagi generasi sebelum. Saya tidak sempat melihat Awang Belangga berbari tujuh hari tujuh malam, Main Puteri, Makyong dan sebilangan adat yang tidak sempat mewarnai jiwa saya. Justeru, saya tidak mengetahui rupa parasnya dan hanya tertarik oleh Pandai Cerita dan rakaman budayawan.
Dalam Bahagian Kedua pula berkenaan perihal budaya. Saya rakam konsep kejadian alam bagi orang Melayu yang dinafikan oleh sesetengah pihak (bab 1), konsep orang dalam sosio budaya Melayu yang semakin kecil peranannya (bab 2), ciri-ciri rumah Melayu yang semakin sukar dicari (bab 3), sistem nilai Melayu yang semakin bercelaru (bab 4), keindahan seni Melayu yang kian terpadam (bab 5), peranan penaung terhadap seni Melayu yang bertukar milik dan mengecil fungsi (bab 6) dan konsep seni bina masjid yang semakin tidak diketahui oleh generasi (bab 7). Semua ini adalah neonostalgia yang tidak mungkin kembali seperti asalnya. Maka jadilah saya sebagai perindu nikmat, dan kecelaruan jiwa bagi generasi muda.
Buku Konteks Sastera dan Budaya ini berusaha menggali kesarjanaan silam bangsa. Walaupun tidak menyeluruh, namun ia diharapkan sedikit-sebanyak dapat memberi pengetahuan berguna kepada generasi yang mencari akar bangsa. Baca dan tambahlah di mana kurang, tampal di mana bocor, seru di mana dapat, dan petik di mana nikmat. Hal ini kerana guru yang paling baik dan membijaksanakan muridnya ialah guru yang bergelar Sejarah, sebagaimana saya tegaskan dalam sajak Di Rumah Sejarah di bawah.
Masa lampau adalah rumah kita
yang mesra dan pemurah
di sini kita berhias bukan dengan cermin
di sini kita berhias dengan duri.
(Di Rumah Wiramal, Pustaka Nusa: 34)
Dan, dalam pantun di bawah pula tergambar rintihan dan kekesalan sekelompok manusia pulau yang semakin mengecil fungsi diri dan tanah pulaunya. Dulu mereka tinggal di depan pulau, kini mereka tinggal di balik pulau, dan akan datang saya percaya mereka akan tinggal di bawah pulau. Bunyi pantun karangan mereka itu ialah sebagaimana di bawah.
Pulau Pinang bandar baharu,
Kapten Light menjadi raja;
Kalau dikenang zaman dahulu,
Air mata jatuh ke riba.
Timbanglah betul-betul dan fikirlah bulat-bulat agar sebarang keputusan kita tidak membinasakan bangsa dan kebangsaannya. Selamat membaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan