Tulisan ini bertolak daripada Teori Resepsi yang terhasil kesan penikmatan terhadap sajak-sajak dalam Segugus Embun (SE) karya Hilmi Rindu. Walau bagaimanapun, tidak semua kesan yang dirasai itu akan saya tulis, sesuai dengan ruang yang terhad. Dan, tidak semesti kesan yang saya rasai ini bersamaan dengan kesan yang dirasai oleh pembaca lain, atau bersamaan dengan maksud penyair. Saya memaparkan maklumat dari segi persepsi dan resepsi saya setelah menalaah sajak-sajak dalam SE.
Dalam carta penyair Malaysia nama Hilmi Rindu masih menjadi nota kaki sebagai penyair Terengganu. Sedang di Terengganu Hilmi Rindu merupakan antara penyair moden generasi kedua selepas J.M. Aziz, T. Alias Taib, Shafie Abu Bakar, Marzuki Ali dan Nawawe Mohammad. Kemalapan nama Hilmi Rindu dalam khalayak sejagat sastera nasional disebabkan kurang aktiviti penjanaan ilmu terhadap karya beliau. Aktiviti penjanaan ilmu ini memang kurang mendapat perhatian baik sebagai program persatuan mahupun para pengkritik. Masalah ini pula bersabit dengan sikap kita tidak mesra pengkritik. Malaysia hanya mempunyai sebilangan kecil pengkritik puisi sedang penulis puisi menjuarai genre kesusasteraan. Masalah lain pula ialah ruang penampungan kritikan semakin mengecil, terhad dan dimonopoli oleh pengkritik yang sama.
Malaysia hanya mempunyai satu majalah sastera dan dua keping ruangan sastera di akhbar. Majalah dan ruangan sastera itu pula berebutan antara genre dan iklan. Sifat ruangan sastera akhbar pula menjurus arah melaporkan aktiviti, bukannya membincangkan karya. Kemiskinan ruangan ini dikecilkan lagi oleh minat penerbit. Purata minat penerbit terhadap genre kritikan adalah tidak mesra. Hal-hal seperti ini menyebabkan nama Hilmi Rindu hanya dikenali sebagai penyair tempatan sahaja, sedang beliau boleh dikenali hingga peringkat nasional. Nasib malang Hilmi Rindu ini turut dialami oleh ramai penyair / sasterawan tempatan yang lain. Malaysia mempunyai penyair aktif seperti Leo A.W.S, Ami Masra, Wan Ahmad Ismail, A. Jalil Alimon, Jamaluddin D, M. Z. Alias, Mohd Kasim Mahmud dan lain-lain. Karya mereka tidak dikenali di peringkat nasional, lebih-lebih lagi jika mereka tidak menjuarai sayembara. Atau, mereka tidak ‘menyibuk’ di peringkat nasional. Justeru, kemurahan hati budi para yang berhormat negeri Terengganu menaja penerbitan karya-karya Wan Ahmad Ismail patut dipuji, diteladani dan diperluaskan. Persatuan pula boleh melaksanakan aktiviti membicarakan karya tokoh tempatan pilihan dan menerbitkan karya / buku berkenaan tokoh tersebut.
Nawawe Mohammad yang mengkaji sajak-sajak dalam Batas Impian mendapati Hilmi Rindu tergolong dalam penulis sajak prolifik. Hal ini masih relevan apabila meneliti tarikh yang tercatat di bawah sajak-sajak dalam kumpulan sajak SE ini. Sebelum SE, sajak-sajak Hilmi Rindu terkumpul dalam kumpulan persendirian berjudul Memetik Gerimis (1989), Batas Impian (1991), Dusun Kemesraan (2002), Menuai Mimpi (bersama Wikunila M.S, 2004) dan Yang Jauh dan Dekat (2005). Lima kumpulan sajak itu membukti keprolifikan dan kesungguhan Hilmi Rindu. Menurut catatan Hilmi Rindu dalam kumpulan sajak Yang Jauh dan Dekat, beliau telah menyertai persatuan penulis sejak pertengahan tahun 1977. Mengambil kira tarikh berkenaan sebagai tarikh beliau mula menulis, bererti telah 30 tahun Hilmi Rindu bekerja sebagai penyair / sasterawan. Timbul persoalan, setelah sekian usia, mengapakah Hilmi Rindu memilih ‘Segugus Embun’ sebagai judul kumpulan sajaknya. Embun merupakan titik-titik air jernih yang segar tetapi lemah. Embun tidak dapat bertahan lama apabila berdepan dengan cahaya. Analogi imej embun lebih sesuai kepada remaja. Malah, lima judul kumpulan sajak terdahulu juga terasa keremajaannya. Namun begitu, persoalan sajak-sajak dalam SE dan lima kumpulan terdahulu juga merangkumi alam di luar keremajaan. Didapati beliau banyak bersajak tentang alam, renungan diri, hal kemasyarakatan, hal keagamaan, perjuangan, peperangan, konflik politik, kesetiaan dan sebagainya yang jauh daripada alam keremajaan. Sebahagian sajak-sajak beliau begitu terasa kefalsafahannya. Apakah ini petanda badi dari nama Rindu?
Atau, Hilmi Rindu menyindir sikap tidak mesra manusia terhadap sesuatu. Embun merupakan titisan air jernih dan suci, hilang apabila berdepan dengan cahaya matahari. Dalam kehidupan kita boleh menganalogikan embun sebagai agama, gadis, kaum / etnik, kesenian etnik, budaya nonmaterial seperti bahasa atau tarian, dan sebagainya. Semua ini akan kalah apabila berdepan dengan globalisasi atau kejahatan. Kita sedang mengalami kekalahan dari segi jenama Islam, jenama Melayu dan segala yang bersangkutan dengan Islam dan Melayu, dan dianggap lemah atau ketinggalan. Bahasa Melayu misalnya bukan sahaja dianggap tidak mampu sebagai bahasa ilmu, malah jenamanya sendiri tidak mampu mengidentitikan negara bangsa. Uthaya Sankar SB melalui sajak Pe(r)juang(an) Bahasa 11 (Mingguan Malaysia, 24 Jun 2007) menganggap pertukaran nama Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia sebagai satu kemenangan besar, dan menganggap penjuang Bahasa Melayu sebagai petualang bahasa. Tidakkah nasib bahasa Melayu itu seperti embun di pagi hari?
Banyak sajak dalam SE membicarakan perihal kampung dan kekampungannya. Alam ini meliputi pelbagai objek sama ada konkrit mahupun abstrak, beryawa mahupun tidak bernyawa, berakal dan tidak berakal, dari daratan yang dipenuhi kayu-kayan hingga lautan yang membentuk gelombang, dari langit berawanan hingga bumi berbukitan. Imej alam seperti pepohonan, senja, embun, hujan, waktu, Subuh, langit, malam, lebah, tembakau, gajus, lembu, burung dan sebagainya. Ia sangat mengesankan jiwa penyair dengan pelbagai kenangan peribadi, sebagaimana gambaran dalam sajak Dusun Kenangan i (hlm. 72) , Dusun Kenangan ii (hlm. 74), Pantai (hlm. 76), dan Tiap yang Menjadi Kenangan (hlm. 101).
Tafsiran hakikat kehidupan digambarkan dalam sajak, antaranya, sajak Usia Senja (hlm. 14) dan sajak Senja yang Larut (hlm. 15). Penyair membandingkan secara tidak langsung antara usia senja dengan usia manusia. Melihat usia senja yang kian melarut telah dapat diramalkan nasib objek pada waktu siang. Justeru, penyair merumuskan bahawa kitalah sebenarnya yang menjadi tua, merapat ke kegelapan, yang kian hanyut dan dimamah kalbu alam. Pendedahan akan hakikat kehidupan itu diperteguhkan lagi dengan nasihat-nasihat yang dapat dipetik daripada maksu sajak Merenung Mimpi (hlm. 16), Menjelang Tumbuh (17), Uban (hlm. 129), Nyanyian Ikan-Ikan (hlm. 102) dan Sabut (hlm. 106). Dari fenomena dan tamsil alam manusia dapat memetik iktibar. Dalam sajak Uban penyair menegaskan bahawa “ini permulaan / citra baru yang akan menjurus / program hidup yan lebih terurus.” Manakala dalam sajak Duri (hlm. 125) ditegaskan “di sana duri dan iman / saling mengukur kekuatan / diri dan kemanusiaan.” Jika program hidup lebih terurus dan kekuatan diri telah terbentuk, maka kata Hilmi Rindu dalam sajak Menjelang Tumbuh, betapa “bau peluru dalam gengaman / lebih harum dari sentuhan / jari kekasih.” Jika kesedaran atau cinta telah bertapak, bertapa besar pun halangan, ia nikmat yang mempesonakan.
Dalam sajak Senja Melihat Burung-Burung (hl. 13), penyair menggambarkan keajaiban alam burung yang dapat terbang melangkaui benua, gelora, kesaujanaan laut dan akhirnya pulang “tiada seekor pun yang hilang / dalam kesesatan,” dan “tanpa seekor pun / tewas dalam keletihan.” Gambaran ini membangkitkan kenangan saya sewaktu di Kampung Tokkah. Pada setiap senja sekumpulan burung Enggan terbang pulang ke sarang melintasi kampung. Dan, sewaktu di Hotel C.S. Pattani beribu-ribu ekor burung Layang-Layang terbang laju keluar melalui terowong khas dari bawah lobi hotel pada enam jam pagi dan pulang semula ke tempat berkenaan pada jam enam petang tanpa sebarang pelanggaran. Ini merupakan keajaiban (dan sekali gus tanda kebesaran Tuhan) dari makhluk tidak berakal kepada makhluk berakal.
Sebagaimana dalam kumpulan sajak terdahulu, dalam SE juga terserlah imej penduaan dari alam benda. Imej penduaan itu jelas dicatatkan pada judul sajak sebagaimana sajak Satu Percakapan antara Detik dengan Malam (hlm. 30), Songkok dan Kasut (hlm. 110), Berus dan Lukisan (hlm. 112) dan Sudu dan Garpu (hlm. 113). Hilmi Rindu mendedahkan hubungan pragmatik antara dua objek dalam memperkasakan kesatuan imej. Walaupun setiap objek itu mempunyai kelebihan dan terlihat keistimewaan, namun pada aspek tertentu objek yang dianggap istimewa itu tidak dapat merealisasikan keistimewaannya, dan ia hanya mampu disempurnakan oleh objek yang dianggap lemah. Gaya penduaan itu sebenarnya bersifat kefalsafahan yang diambil langsung daripada ajaran Islam. Dalam Islam, alam ini terbelah dua dan berpasangan. Pepasangan itulah yang membentuk kesatuan pragmatik. Misalnya malam dipasangkan dengan siang, dunia dipasangkan dengan akhirat. Demikian sudut dipasangkan dengan garpu, berus dipasangkan dengan lukisan dan songkok dipasangkan dengan kasut. Pada saya, Hilmi Rindu merupakan penyair yang paling berjaya menulis sajak yang bersifat penduaan imej dalam kesatuan mesej. Membaca sajak penduaan Hilmi Rindu terasa betapa pentingnya kita saling menghormati, menghargai dan bekerjasama kerana tiada pekerjaan yang sempurna dilakukan oleh seorang diri manusia. Sejak lahir hingga ke liang lahat manusia memerlukan rakan kongsi bagi menyempurnakan tanggungjawabnya. Memang ada konsep penduaan dalam novel Melayu awal, namun penduaannya terhad pada nama-nama watak, sebagaimana terlihat dalam novel Syed Syeikh al-Hadi. Betapa pentingnya konsep penduaan itu dirumuskan oleh Hilmi Rindu dalam ungkapan di bawah.
Tanpa berus warna tak bererti
tanpa lukisan berus tak bererti
(Sajak Berus dan Lukisan)
Selain itu, Hilmi Rindu dalam SE ini juga gemar bersajak tentang persoalan diri. Beliau bersajak tentang pengalaman percintaan, kekeluargaan, kesetiaan, keyakinan diri, ketekunan, dan kejatian, sebagaimana tergambar dalam sajak Kekasih yang Singgah (hlm. 5), Kelembutan Wajah (hlm. 7), Isteri yang Tidur (hlm. 8), Tukang Sepatu (hlm. 24), Penyusun Arca (hlm. 26), Pesan Pujangga (hlm. 27), Tangkai (hlm. 29), Yang Paling (34), Pertanyaan Diri i (hlm. 64), Pertanyaan Diri ii (hlm. 65), Biarkan Kabus (hlm. 70), Balada Seorang Penyanyi (hlm. 83), Aku (hlm. 84), Di Muka Cermin (hlm. 89), dan Sebuku Roti Kering (hlm. 93). Hal ini sesuai sebagai makhluk berbudaya dan berbangsa. Dalam persoalan sekitar diri ini terkesan usaha Hilmi Rindu membentuk modal insan melalui keyakinan dan jati diri, sebagaimana terdapat dalam sajak Tukang Sepatu, Biarkan Kabus, dan Sebuku Roti Kering di bawah.
Sesuatu yang bermula dari acuan yang betul
dan bergerak di atas landasan yang betul
maka akan terhasillah
keputusan yang betul
(Sajak Tukang Sepatu)
Aku telah mengenal
tanah pamah airku
bertahun-tahun sebelum
pagi sedingin ini
(Sajak Biarkan Kabus)
dia sukar tertawan
pada kemabukan asing
meskipun berbekal
sebuku roti kering
(Sajak Sebuku Roti Kering)
Sebenarnya sajak-sajak Hilmi Rindu tidak sukar untuk difahami. Diksi dan olahan diksinya terus kepada makna tersurat. Kebanyakan sajak-sajak Hilmi Rindu terasa begitu kental sifat prosaiknya. Dalam petikan di atas misalnya, kita menemui makna langsung yang ingin disampaikan. Walaupun beliau gemar beranalogi, namun mesejnya jelas. Amat jarang ditemui gaya metafora atau perlambangan imej yang berlapis. Malah, idealisme dalam sajak-sajak kefalsafahannya juga jelas tidak berlindung. Hal ini menyebabkan kita terasa bahawa Hilmi Rindu amat mementingkan mesej sajak daripada gaya. Saya berpendapat beliau lebih berjaya menghasilkan sajak-sajak melalui teknik beranalogi dan penduaan.
Walaupun purata komunikatifan sajaknya jelas, terdapat juga pada bahagian / bait dan sajak tertentu yang sukar difahami disebabkan diksi atau pengulangan barisnya. Pemahaman sajak Di Kebun Tembakau (hlm. 37) misalnya, terganggu dengan perulangan baris “baja kimia dan racun serangga.” Demikian pada bahagian xiv dan xv sajak Tanpa Tajuk (hlm. 94). Atau, sajak Prolog Buat Naw K Adis ii (hlm. 86) di bawah.
Lukisan itu seharusnya telah siap
tetapi dindingmu belum penuh
catatan itu seharusnya telah selesai
tetapi langit-langitmu
masih berkerawang.
Berkerawang
melayang-layang.
Buku itu seharusnya telah ditutup
namun kau masih mundar-mandir
di dalam gelap
lantai itu seharusnya telah
dibersihkan
namun kamu masih menyelongkar
poskad demi poskad.
poskad demi poskad
surat demi surat
bertaburan
melayang-layang
melayang-layang!
Saya berpendapat penggunaan tanda titik ( . ) pada setiap akhir bait, bait kedua, dan pengulangan baris “poskad demi poskad” tidak perlu atau perlu diedit kembali. Alasannya (a) idea penyair berada dalam keseluruhan bait sajak tanpa putus. Justeru, penggunaan titik hanya wajar pada akhir sajak. Sebaliknya, penggunaan titik pada akhir bait dalam sajak Tanpa Tajuk, atau sajak Yang Paling misalnya, adalah wajar; (b) penggunaan diksi “berkerawang” tidak membawa imej seni. Ia boleh diganti dengan diksi “melayang-layang”; (c) demikian juga pengulangan baris “poskad demi poskad” terasa kejanggalan. Adalah lebih wajar baris berulang itu dibuangkan dan bait empat itu dicantumkan dengan bait ketiga. Atau digantikan dengan ungkapan lain yang sama strukturnya. Diksi “kamu” dalam bait ketiga juga tidak berwacana dengan diksi “kau” yang hadir sebelumnya.
Demikian persepsi dan resepsi saya terhadap sajak-sajak Hilmi Rindu dalam SE. Yang jelas beliau seorang penyair prolifik. Setelah sekian tahun bersajak, saya berpendapat Hilmi Rindu telah menemui gaya persajakan lewat teknik analogi dan konsep penduaannya. Malah, konsep penduaan inilah paling berkesan berbanding sajak-sajak Hilmi Rindu yang lain.
NASSURY IBRAHIM
Bukit Mertajam, 4 Jun 2007.