Isnin, 3 Ogos 2009

Setuju Akta ISA

Secara peribadi, saya sebenarnya tidak bersetuju Akta ISA dimansuhkan. Sebab, Akta ISA menjadi laluan terbaik menghukum penjenayah kejam dan zalim terhadap kerajaan dan negara. Sejak diperkenalkan, sudah berapa ramai penjenayah diISAkan, termasuk mereka yang kini menjadi pemimpin negara.
Walau apapun baju yang dipakai kini, mereka yang pernah menjadi banduan ISA, adalah tetap penjenayah. Baik pemimpin itu bernama Anwar Ibrahim atau Ibrahim Ali ataupun Zahid Hamidi dan sesiapa sahaja. Biarpun mereka ditahan selama dua hari, atau dua bulan, atau dua tahun mahupun lebih. Asalkan penahanan itu atas nama ISA. Kalau mereka bukan penjenayah, mereka tidak ditahan di bawah Akta ISA. Penahanan mereka akan dibicarakan di mahkamah.
Kalau Akta ISA dimansuhkan, ia akan menyebabkan penjenayah negara akan berleluasa, sama ada berpakaian biru atau putih, bertali leher atau T-shit, berjawatan dalam kabinet atau kerja sendiri. Lebih-lebih lagi mereka yang ada kuasa.
Tindakan kerajaan BN menggunakan Akta ISA bagi menangkap dan menghukum musuhnya dan penjenayah negara adalah wajar. Sebagaimana wajarnya kerajaan British di Tanah Melayu memburu dan membunuh Dato' Kelana, Tuk Janggut, Abdul Rahman Limbong, Raja Abdullah, dan sebagainya kerana mereka adalah penderhaka kepada kerajaan yang memerintah. Dato' Onn yang menentang British dan kemudian menentang kerajaan Perikatan adalah penderhaka negara. Penderhaka tergolong dalam penjenayah. Beliau sepatutnya diwarta dan "disimpan" dalam Muzium ISA. Demikian juga Dato' Annuar yang pernah tabal sultan Kelantan baharu, walaupun Sultan Kelantan masih ada, juga adalah penjenayah yang patut diISAkan, kerana menderhaka kepada sultan.
Manakala tindakan pembangkang membantah Akta ISA juga adalah wajar kerana itulah perjuangan untuk mendedah kezaliman pemerintah dan membela rakyat yang dizalimi. Kalau tidak ada orang berani seperti Anwar, Tian Chua umpamanya akan lebih zalim para pemerintah.
Suatu masa nanti, mungkin PAS, atau Keadilan, atau DAP, atau MCA, atau MIC, atau Partai Komunis Malaya berkuasa dan menjadi pemerintah di Malaysia. Mereka juga boleh menggunapakai Akta ISA yang sedia ada bagi menangkap penjenayah dan penderhaka kerajaannya sama ada penjenayah itu masih hidup atau sudah lama meninggal dunia.
Kalau sudah meninggal, boleh digali semula kuburnya dan dipenjarakan tengkorak yang ada. Misalnya, pemimpin yang menyebabkan Pulau Temasik dan pulau-pulau sekitarnya, dan Pulau Batu Putih hilang hak milik Malaysia, boleh diISAkan.
Kalau Akta ISA dimansuhkan, adalah tidak adil dan amat sukar untuk saya (mustahil dan memang mustahil) atau generasi baharu (tidak mustahil) mewujudkan semula Akta ISA, apabila saya atau generasi baharu, kalau ditakdirkan, menjadi pemimpin negara kelak. Sebagaimana pemimpin BN sekarang, mereka juga ingin mempertahankan nafsu dan kenafsuan mereka ingin kekal berkuasa.

Itu pada pandangan saya. Bagaimana pula pandangan anda?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau ISA 2 digunakan hanya untuk kepentingan politik semata2..bgaimana plak???hmmm,en..saya sokong ISA 2 tp kalu akta itu dijadikan senjata politik sy rasa lebih baik dimansuhkan...pastu tubuh ISA yang di bawah kuasa AGONG n raja2 Melayu...kan lebik baik...