Selasa, 25 Ogos 2009

Konflik Masyarakat dalam REBAT BERTALI SABUT Karya Wan Ahmad Ismail

Antologi drama Rebab Bertali Sabut (RBS) ialah buku drama pentas karya Wan Ahmad Ismail terbitan Wahwi Production House tahun 2004. Wan Ahmad Ismail merupakan antara sebilangan kecil dramatis tersohor Terengganu, khususnya pada akhir dekad 1970-an dan 1980-an. Keistimewaan Wan Ahmad Ismail ialah rajin berkarya dan karyanya mengekori perkembangan semasa, khususnya dalam bidang drama sendiri.

Selain menulis skrip drama pentas dan drama radio, beliau juga menulis sajak, cerpen, novel, esei, malah turut menjadi pengarah drama dan berlakon, sama ada drama sendiri mahupun drama penulis lain. Beliau juga rajin membukukan karya-karyanya.

RBS menghimpunkan tujuh drama pentas, masing-masing berjudul 'Rebat Bertali Sabut,' 'Layang-Layang Terbang Melayang,' 'Awal Tengah Akhir,' 'Cendanadewi - Muda Sri Agung,' 'Rakan, Teman & Seteru,' 'Naskah Tengku Dalam Kalthum,' dan 'Sewaktu Semasa Seketika.'

Semua drama itu pernah dipentaskan di sekitar Terengganu dan di luar Terengganu melalui Kumpulan Teater Tamu (Tetamu) dan Kumpulan Teater Terengganu (Kumputer). Ia pernah dibukukan dan menjadi bahan kajian para pelajar universiti.

Sepanjang pembacaan, penontonan dan penelitian terhadap karya-karya drama pentas Wan Ahmad Ismail, saya mendapati beliau gemar mengungkapkan perihal kemasyarakatan. Dramanya seperti 'Awal Tengah Akhir,' 'Rakan, Teman & Seteru,' 'Alahai Sakitnya Alahai,' dan 'Sang Keluarga' yang pernah saya menonton jelas sekali memperkatakan konflik manusia dalam masyarakatnya. Pada satu setika mereka menjadi rakan dan pada satu ketika yang lain, mereka bermusuhan.

Gambaran seperti ini, kalau ditinjau dalam masyarakat, adalah jelas bertepatan dengan tingkah-laku dan amalan para politikus. Memang para politikus tidak mempunyai teman setia kerana mereka sendiri tidak pernah setia dan sering menggunakan peluang yang ada demi kepentingan diri. Kalau dipadankan permasalahan itu dengan negeri Terengganu, lagi bersuluhlah permasalahan politiknya yang antara negeri sentiasa panas dengan tingkah-laku manusia politik.

Wan Ahmad Ismail juga gemar mengungkapkan konflik masyarakat manusia kemacar. Perihal orang gila, orang tamak / penipu dan lebih-lebih lagi yang miskin menjadi antara persoalan yang digemarinya. Drama 'Rakan, Teman & Seteru' misalnya, mengisahkan kehidupan dan konflik manusia dhoih, yang sering dipinggirkan dan terpinggir arus pembangunan. Sering kali manusia dhoih itu dijelmakan melalui watak kurang siuman. Walaupun mengangkat watak manusia separuh gila (kurang siuman), perihal persoalannya adalah berkenaan manusia yang menganggap diri mereka waras.

Demikian juga dalam drama muzikalnya seperti 'Layang-Layang Terbang Melayang,' merupakan drama uda-dara versi Wan Ahmad Ismail, masih mengungkapkan konflik orang-orang miskin / kemancar.

Selain itu, Wan Ahmad Ismail gemar menyelongkar perihal konflik para seniman rakyat, sebagaimana terlihat dalam drama 'Naskah Tengku Dalam Kalthum,' 'Tanah Ronggeng' atau Wayangan Mak Nang.' Dalam drama 'Naskah Tengku Dalam Kalthum' misalnya, beliau mendedahkan kepengarangan istana dan sejarah hitam sebenar negeri Terengganu ketika berdepan dengan Inggeris durjana.

Sebenarnya, Wan Ahmad Ismail bukan sahaja mendedahkan konflik masyarakat awam, malahan juga konflik masyarakat istana, seniman, ulama, pentadbir, dan para politikus. Hal ini sesuai dengan latar masa dan tempat, negeri Terengganu, tempat beliau melangsungkan hidup. Beliau yang lahir di Pulau Duyung Kecil berasal dari keturunan keluarga istana telah bekerja di puluhan jabatan kerajaan dari jawatan serendah-rendahnya hingga jawatan Pengawai Daerah. Pengalaman ini memberi kesempatan kepada beliau mengungkapkannya dalam drama-drama ciptan beliau.

Satu hal lagi yang patut disentuh ialah berkenaan aliran kepengarangan Wan Ahmad Ismail. Berdasarkan pengalaman menonton dan pembacaan terhadap naskah-naskah lain, saya dapati Wan Ahmad Ismail sering kali menerjunkan seninya dalam dalam perkembangan semasa drama. Ketika berlaku perkembangan drama serius, beliau menghasilkan skrip yang serius, dan ketika rancak drama komendi, beliau turut menghasilkan drama komendi. Hal ini, pada saya, meletakan diri Wan Ahmad Ismail sebagai seniman pop / popular (Pop arts).

Kesimpulannya, selain meletakan nama Wan Ahmad Ismail sebagai seniman pop / popular, drama-drama pentas Wan Ahmad Ismail mencerminkan perihal masyarakat negeri Terengganu, tempat beliau belajar, bekerja dan berseniman.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju pendapat anda bahawa Wan Ahmad Ismail sasterawan pop arts.

NASSURY IBRAHIM berkata...

WAI seorang seniman rajin

zuhey berkata...

Minta pandangan:
1) Pada tanggapan tuan, siapakah antara dramatis pascamoden Melayu yang mempunyai mutu bahasa yang "baik" dalam skrip dramanya... adakah termasuk WAI?
-baik yang dimasukkan yang menyelitkan banyak unsur bunga bahasa, ujaran-ujaran yang mendokong banyak makna dan tiada pengulangan kata bahasa -
Pohon pandangan & terima kasih