"Dalam hasrat membina modul 1 Malaysia, usaha cari gali khazanah sejarah yang telah berperanan membina semangat kemerdekaan dan semangat penyatuan, sama ada dalam bentuk buku, penulisan, memoir, catatan ucapan, puisi dan prosa wajib dilakukan." Kata-kata di atas diucapkan oleh Raja Dr Nazrin Shah yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 07 Ogos 2009. Saya sangat bersetuju dan sudah lama saya bercakap tentang perlunya mempergiatkan usaha mengenang jasa tokoh dan pemimpin. Cadangan ini mungkin diterima secara skeptik: Apakah selama ini tiada usaha mengenang jasa pemimpin? Memang ada. Namun, usaha mengenang jasa yang kita amal selama ini lebih kepada mengenang kuasa, bukan mengenang jasa. Setelah pemimpin itu tidak berkuasa, maka tiada majlis memperingati atau penulisan yang merakam jasa mereka. Kalau adapun hanya terhad pada tokoh-tokoh tertentu sahaja. Perkembangan semasa yang ketara diamalkan kini ialah majlis meraikan pemimpin semasa hidup. Dalam majlis itu diberikan anugerah-anugerah hebat. Lazimnya, majlis merai pemimpin ini terhad pada kalangan pemimpin politik sahaja. Walaupun bagus, pada saya, majlis merai pemimpin hanya bersifat sementara dan semasa. Di samping meraikan, perlu juga dianjurkan majlis diskusi tentang jasa pemimpin berkenaan, diheboh dan didokumentasikan. Budaya kita amat menggalakkan usaha memperingati jasa pemimpin. Namun begitu, dari segi amalan merakam dan mendokumentasikan jasa pemimpin dan tokoh, kita masih kurang melaksanakannya. Pada saya, usaha mendokumentasikan jasa pemimpin dan tokoh adalah penting sebagai bahan bukti, hebahan dan sumber rujukan kepada generasi. Setakat ini, usaha menggali, merakam dan menghebohkan jasa pemimpin terhad di universiti sahaja. Kita hanya mempunyai sebilangan kecil sarjana yang menceburi bidang menghargai jasa tokoh. Tokoh yang terlibat pula terhad pada beberapa nama seperti Za'ba, Datuk Onn, dan Shahnon Ahmad. Sumbangan P. Ramle sendiri kurang digali dan dihebohkan. Setakat ini, buku-buku tentang sumbangan P. Ramlee hanya terhad diusahakan oleh mereka yang mempunyai hubungan peribadi. Saya percaya, jika filem P. Ramlee tidak ditayangkan, ramai generasi muda tidak mengenali nama P. Ramlee. Ramai generasi muda kini tidak kenal dan tidak tahu akan bekas pemimpin dan jasa mereka. Ketidaktahuan itu menyebabkan tiada perasaan hormat, kagum dan apatah lagi menyayangi pemimpin. Mereka melihat semua manusia adalah sama sebagaimana mereka melihat rakan-rakan. Sedangkan mereka perlu ditanam pemahaman tentang perbezaan sosial antara manusia. Mengenali perbezaan sosial adalah penting sebagai asas membina kesantunan diri, di samping rasa kagum (teladan) dan hormat. Ketika Tun Ghafar Baba sihat dan berkuasa, ramai yang menulis tentang aktiviti, jasa dan sumbangan beliau. Pelbagai jenis buku dan tajuk diterbitkan. Setelah beliau meninggal, usaha mencungkil dan menghebohkan jasa beliau terus menyepi. Sedangkan, banyak aspek yang dapat ditulis tentang Tun Ghafar, sama ada dalam bidang pendidikan, perpaduan mahupun kepimpinan. Malah, cubalah bertanya kepada murid-murid: Siapakah Tun Ghafar Baba dan jasa beliau? Adakah mereka dapat menjawabnya. Kita tiada usaha menanam sikap menghargai jasa seseorang. Jikapun ada usaha, ia hanya dalam dua kategori sahaja. Pertama, merai mereka yang berkuasa. Kedua, mengenang jasa tokoh terpilih sahaja. Sebenarnya, kita mempunyai ramai orang yang berjasa dan patut dihebohkan. Jasa mereka itu tidak semestinya di peringkat dunia atau negara sahaja. Kita juga boleh merakam jasa mereka dalam institusi dan bidang tertentu. Misalnya, ramai tidak kenal nama Nik Ahmad Kamil atau Datuk Panglima Bukit Gantang. Sedangkan mereka ialah perunding kemerdekaan. Apalagi jasa tokoh-tokoh peringkat negeri, daerah dan kampung. Jasa mereka langsung tidak ditonjolkan. Oleh sebab tiada usaha menonjolkan jasa mereka menyebabkan generasi baharu tidak mengenali mereka. Apabila tidak mengenali maka tiada sikap hormat atau mengenang jasa mereka. Tiada sikap hormat itu menjadikan generasi kita jenis manusia tidak mengenang budi. Lebih malang lagi, ketiadaan pendedahan jasa tokoh negara atau tempatan menyebabkan mereka tidak mempunyai individu untuk dijadikan idola. Mereka hanya terdedah dengan tokoh-tokoh luar. Maka, jadilah mereka pemuja tokoh-tokoh barat atau penyanyi pujaan kerana sumbangan mereka lebih dihebohkan. Hal ini menyebabkan jasa dan sumbangan penyanyi dianggap lebih besar daripada pejuang kemerdekaan atau tokoh masyarakat. Kita tidak perlu marah kepada generasi baharu kerana gagal mencintai, menghargai dan menghormati tokoh. Atau, mereka keluar di jalan-jalan raya menganjurkan demonstrasi menentang pemimpin dan raja. Mereka melaksanakan apa yang ada dalam jiwa mereka. Oleh sebab dalam jiwa mereka tidak ada idola menyebabkan tiada sikap menghargai dan menghormati jasa seseorang. Mereka tidak segan-silu menunjukkan sikap biadab. Semangat dan jiwa mereka terhadap negara dan kenegaraan juga jadi rapuh. Kitalah yang biadab dan kurang ajar kerana memarahi mereka yang biadab dan kurang ajar kerana kita tidak pernah menanam sikap membenci perbuatan biadab dan kurang ajar. Justeru, idea yang dicadangkan oleh Raja Dr Nazrin Shah itu patut menjadi titik perubahan dalam usaha kita membina modal insan yang berwatak dan beradab. Galakkan penulisan dan penyebaran jasa para tokoh, baik dia tokoh pada peringkat pusat, negeri, daerah mahupun tokoh pada peringkat kampung atau keluarga.
4 ulasan:
Kerajaan perlu pergiat usaha menanam sikap mengenang jasa agar timbu rasa kebangaan kalangan generasi
keburukan pemimpin juga perlu didedahkan sebagai teladan
oh... pemimpinku....
Semua kita adalah pemimpin dan ada sumbangan. Dedahkan sumbangan untuk pengetahuan generasi.
Catat Ulasan