Ahad, 2 Ogos 2009

Mimpi Bainun

Bergambar kenangan dengan En. Aminuddin dan Ustaz Zamri

Pada malam 21 Julai 2009 aku bermimpi: Ketika memandu aku menanyai dua orang rakan di belakang: "Sejak pindah, ada kau pergi ke Bainun (maksudku, IPGM-KTB)." Dua rakan menjawab, "Ada pergi sekali." Aku memberitahu, sejak pindah, telah beberapa kali aku ke Bainun dan tidur di sana.

Tiba-tiba air mataku bercucuran. Aku rasa amat sedih dan sedih sekali. Aku menangis teresak-esak kerana teringatkan Bainun. Esakan itu melompat ke alam sedar. Aku berusaha meredakannya kerana bimbang diketahui isteri di sebelah.
Memang Bainun begitu berbekas di hatiku. Aku merasai benar-benar menjadi pensyarah ketika bertugas di Bainun. Suasana selesa: Bilik, persekitaran, rakan-rakan, pelatih dan kemudahan. Kami cepat mesra dan berkenal sapa. Lebih-lebih lagi aku menjadi warden dan tinggal di asrama pelatih perempuan.
Aku banyak menaikan imej dan nama IPGM-KTB. Aku memperkenalkan nama IPGM-KTB, dari penulis dalam negara hingga ke luar negara. Kalau cari di internet akan terpapar: MPTB /IPTB. Maklumlah, pada mulanya, aku sendiripun tidak mengetahui kewujudan Bainun.
Di Bainun aku selesa berkarya dan menjana aktiviti kesusasteraan di kampus, luar kampus (negeri-negeri) dan luar negara. Menjemput para penulis dan pemikir.
Aku sebenarnya berbelah bahagi ketika mengisi borang pertukaran. Sensitivitiku sudah merasai bahawa penghijrahan tidak semesti membawa kebaikan. Namun, aku gagahi juga kerana terkenang orang tua dan demi mendekatkan jarak dengannya.
Di tempat baharu, aku menghadapi kesulitan. Orangnya (persekitaran) hidup dalam perbezaan warna. Tentu warna sangat asing kepadaku kerana aku hidup di luar warna: di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Aku sendiri tidak sangka ada pewarnaan begini.
Hal ini ditambah pula, setelah 7 tahun berkhidmat sebagai pensyarah di IPGM, perjawatanku masih DG41. Kata mereka, perjawatanku tercicir. Keciciran itu akan merugikan masa seterusnya. Rakan-rakan yang baharu 3 tahun berkhidmat di IPGM sudah berubah DG. Hal ini menghilangkan mood bekerja.
Anak sulung aku pula gagal ke IPGM. Dan, aku gagal menolong merealisasi cita-citanya. Manakala, anak-anakku pula, pada pandanganku, mengalami krisis budaya. Maklumlah, mereka membesar di luar perkiraan warna.
Nyatalah bahawa penghijrahan tidak semesti membawa kemajuan. Sehingga kini, apabila teringatkan Bainun, perasaanku terasa lain dan lain sekali. Walau bagaimanapun, aku tidak akan mohon untuk pulang kembali, kecuali diarah pergi.
NUR SYAHIRAH
Aku gagal menjadi misioner yang baik
penghijrahan diri terperangkap
dalam jerat petaka bangsa
di sini orang-orang hidup bertuhankan warna

di tanah adat ini ternyata aku tersasar peta
sebak hatiku merindui mesra bainun
mengenang jawatan tergelincir waktu
kakak terkulai harapan guru
engkau balela warisan tuju

Sejak semula aku membenci tindak
meragui hijrah membawa Syurga
kini ternyata aku misioner yang sia-sia.


24 Julai 2009

8 ulasan:

Syaidul Azam Bin Kamarudin berkata...

Assalamualaikum.
Mungkin mimpi Nassury hampir sama dengan mimpi saya di DBPWT. Manis walau penuh juga dengan kenangan pahit.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Apa yang kita rancang, kadang kala, tidak seperti apa yang kita harapkan. Itulah tanda kekuasaan-Nya bahawa hidup ini pelbagai warna dan rupa.

Tanpa Nama berkata...

masuklah dalam kelompok warna itu, gadaikan maruah diri, baharu kita dihargai.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Tuan tanpa nama, Guru-guru amat takut dengan warna dan ada pengarah JPNK yang jadi pencelup warna. Aku perhatikan ramai yang hidup dalam kepuraan warna.

Tanpa Nama berkata...

dunia penuh hipokrit.orang yang hipokrit akan terus beroleh apa yang diingini

NASSURY IBRAHIM berkata...

Ya, kawe setuju. orang hipokrit lebih banyak dapat untung.

Zul Hazmi Hamad berkata...

kehilanganmu tiada pengganti,
En Maniyamin bin Hj Ibrahim.

terima kasih di atas curahan ilmu pada saya dan rakan-rakan sekumpulan.
walaupun cuma tiga semester, jasa encik terlalu besar dan tidak akan kami lupakan.

inilah tiga semester kami bersama encik.
1 PPISMP PM/PJ/KS/PI jun 2006
2 PPISMP PM/PJ/KS/PI januari 2007
3 PPISMP PM/PJ/KS/PI jun2007

dan kini,
kami masih berada disini,
4 PISMP PM/PJ/KH.

semoga suatu hari nanti dapat bertemu encik semula.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Zul Hazmi,
Memang saya tak dapat ingat wajah Cikgu Zul, tetapi kunjungan ini adalah satu penghargaan. Selamat berjaya dalam bidang perguruan, atau apapun bidang diceburi.