Selasa, 25 Ogos 2009

MENGHERET MIMPI MEMINTAL CINTA: Perihal Cinta dan Rasa Cinta Penyair

Nama Wan Ahmad Ismail tercatat sebagai seorang aktivis sastera tersohor negeri Terengganu. Beliau aktif berteater dan bersajak, baik melalui Kumpulan Teater Terengganu (Komputer) mahupun Kumpulan Teater Tamu (Tetamu). Sehingga kini beliau telah menghasilkan tidak kurang daripada enam kumpulan sajak perseorangan.

Mengheret Mimpi Memintal Cinta (3MC) merupakan kumpulan sajak beliau terbitan Wahwi Production House tahun 2005. Ketebalannya sekitar 173 halaman. Sesuai dengan judul, sajak-sajak dalam kumpulan ini bermula dengan persoalan kasih-sayang, cinta dan rindu. Wan Ahmad Ismail merenungi alam mudanya lewat usia 50-an. Memang kita disaran berbuat demikian bagi meningkatkan mutu hidup seterusnya. Penyair menziarahi makam cinta dan cuba merasai air cinta yang pernah dihirup, dan berusaha menikmati rasa cinta sejati. Katanya, lewat sajak 'Mengheret Mimpi Memintal Cinta':

telah lama kuheret mimpi ini ke dalam kelambu
tidak kutemui sejati itu cintamu, maha dalam dakapanmu
lalu kupintal cintamu itu ke kertas tertulis jawi

Walaupun cinta dalam sajak ini boleh ditafsirkan pelbagai: cinta suami-isteri, cinta tanah air, cinta ilmu, cinta keagamaan, cinta sastera-budaya, dan sebagainya, namun di sini saya mengecilkannya kepada cinta suami-isteri. Saya menganggap sajak ini ditujukan kepada isteri setelah sekian lama mereka bersama. Terkesan betapa cinta yang mereka bina bertahun-tahun itu adalah cinta sejati. Betapa syahdu suara hati penyair menemui cinta kekasihnya, sejati itu cintamu, dan maha dalam dakapanmu. Justeru, beliau berkata bahawa cinta kita tetap abadi,sayang kita tetap akrab, mimpi kita semakin nyata, dan ia bukan sebuah sandiwara. Memang Wan Ahmad Ismail suka berterus-terang dalam berkarya, baik dalam penyampaian mesej mahupun dalam pendayagunaan bahasa.

Pengakuan penyair itu sesuai, wajar dan terbukti kebijakan orang tua-tua kita menjodohkan anak mereka dengan konsep kahwin dulu kemudian bercinta. Kesejatian cinta itu kerana cinta mereka dirai dan direstui oleh keluarga dan masyarakat.

mimpi kita, mimpi dinobatkan
cinta kita, cinta ditabalkan
kita adalah mahkota sebuah pelayaran

Sebenarnya, sajak-sajak Wan Ahmad Ismail ini bukan sahaja tentang cinta, malahan juga tentang adat budaya, fenomena alam, kemasyarakatan, politik, pembangunan tanah air, anak-anak generasi, dan sebagainya. Semua itu menjadi mimpi yang diperjuangkan oleh penyair.

Kesimpulannya, kumpulan sajak yang dihiasi dengan gambar turut memuatkan juga beberapa catatan ahli panel sayembara, wartawan, pengkaji dan penilai sastera seperti Rahman Shaari, Lim Swee Tin, Ramli Isin, A. Rahim Abdullah, Arbak Othman, Mohammad Daud Mohammad, Ami Mubim, Imlan Adabi, Zainal M.Z., Wan Zahari Ali, Hamid Jabar, T. Alias Taib, Aziz Desa, dan Salbiah Ani. Catatan dan laporan mereka membuktikan bahawa sajak-sajak Wan Ahmad Ismail bukan sampah semata-mata, Ia merupakan cinta dan lambang cinta Wan Ahmad Ismail.
Cuma, cintanya pada bahasa agak tidak kuat, lantaran terlihat begitu banyak kesalahan ejaan.

2 ulasan:

Rositah Ibrahim berkata...

Salam, Peta Perjalanan berapa harganya?

NASSURY IBRAHIM berkata...

Kalau masih ada, nanti saya pos. sms alamat melalui tel.