Isnin, 10 Ogos 2009

Wasiat Raja-Raja Melayu

Berikut ialah 7 Wasiat Raja-Raja Melayu
  1. Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
  2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama kaum lain.
  3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauaqn dalam negara dan ancaman luar.
  4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.
  5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
  6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
  7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain. (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Inilah pertama kali aku membaca Wasiat Raja-Raja Melayu. Rupa-rupanya ada raja-raja Melayu moden meninggalkan wasiat untuk kesejahteraan anak cucu dan negara, ingat hanya waadah sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun sahaja yang ada.

Oleh sebab adanya wasiat iru, menyebabkan aku tertanya-tanya sendirian: Mengapakah baharu sekarang wasiat itu dihebohkan. Mengapakah tidak didedahkan saat raja-raja Melayu mengalami 'penghinaan' oleh para politikus pada tahun 1990-an. Saat itu, tidak ada satupun imej raja yang bersih, sehingga bermula detik penghinaan itu, rakyat sudah hilang taat-setia kepada raja. Macam-macam tuduhan dilempar. Dikatakan bahawa raja-raja Melayu sekarang bukan pewaris sah takhta, membelasah rakyat, kompaun saman terhadap rakyat sehingga RM500.00, penculik kereta mewah, malah ada yang mengadakan majlis pertabalan raja baharu bagi menggantikan raja yang masih memerintah negeri. Tidak ada cerita baik tentang raja disiarkan oleh media massa pada saat itu. Mengapakah wasiat itu tidak dikeluarkan? Apakah raja-raja Melayu takut kepada Dr Mahathir? Atau, Dr Mahathir sebenarnya raja-raja Melayu?

Aku merasai seakan-akan wasiat ini tidak terpakai sepanjang pemerintahan Dr Mahathir selama menjawat Perdana Menteri. Dan sepanjang pemerintahan Dr Mahathir itulah, orang Melayu banyak kehilangan hak dan warisannya, terkorban dan dikorbankan. Malah hampir kehilangan raja-raja Melayu sendiri. Soalnya, kenapakah wasiat ini disimpan kemas tanpa dihebohkan?

Setelah berlaku krisis politik di Perak yang mencerminkan kedurjanaan pemimpin politik, barulah wasiat itu dihebohkan. Mengapa baru sekarang? Di manakah wasiat itu tersembunyi?

Tahniah kerana raja-raja Melayu mula mendapat RAJAnya. Raja-raja Melayu juga, khususnya generasi muda raja-raja Melayu, mulai berani menyuarakan haknya, yang selama ini dirampas songsang oleh pemerintah persekutuan. Kecuali raja Kelantan, raja-raja lain dipersetujui menghilangkan imuniti oleh menteri besarnya, dan sesiapa sahaja boleh menyaman raja.

Isu tidak menghormati kedaulatan raja dan menghina raja dimainkan oleh akhbar seakan-akan Pakatan Pembangkang yang menghina raja-raja Melayu. Saya sebagai generasi baharu yang turut menyaksi krisis kepercayaan terhadap raja dalam tahun 1990-an dan pasca-PR 12 menjadi keliru, siapakah sebenarnya penderhaka dan pengkhianat terhadap raja-raja Melayu.

Saya kagum membaca 7 Wasiat Raja-Raja Melayu itu. Dalamnya jelas membela kedaulatan rakyat dan kedaulatan raja dalam segala aspek kehidupan dan warisan. Telah diwartakan dalam wasiat itu perihal hutan simpan, tanah simpanan Melayu, kedaulatan raja sebagai pemerintah dan bahasa Melayu. Apabila dianalisiskan, kita dapati hal-hal yang diperikan itu, diceroboh dan dinafikan haknya untuk kekal berdaulat.

Saya ingin bertanya kepada Sahidan Kasim: Siapakah yang mewarwarkan sebilangan raja-raja Melayu bukan waris sah takhtanya? Saya ingin bertanya kepada Anuar Musa: Siapakah yang melantik raja baharu sedangkan raja sedia ada masih sihat memerintah? Saya ingin bertanya kepada Idris Jusuh: Siapakah yang menulis kata-kata 'nantang' pada sepanduk demontrasi UMNO yang merujuk kepada Sultan terengganu? Dan, kepada Kementerian Dalam Negeri: Mengapakah mereka yang terlibat itu tidak diISAkan? Bukankah mereka menghina raja dan menghasut rakyat membenci raja.

Malah, angkara siapakah menyebabkan kita kehilangan Pulau Temasik dan Pulau Batu Putih. Apakah mereka ini tidak boleh dicari dan diISAkan kerana melanggar Wasiat Raja-Raja Melayu?

Kepada raja-raja Melayu, besarlah harapan patik agar tuanku tidak terjerumus dalam mainan politik, baik mainan politik Pakatan Pemimpin, Pakatan Rakyat, Pakatan Penderhaka, mahupun Pakatan Media, agar rakyat terus memberi kesetiaan dan sistem beraja terus kekal di Malaysia. Jika tuanku berpihak kepada mana-mana kumpulan, atau bertindak tidak adil, adalah tidak mustahil rakyat akan bangkit meruntuhkan sistem beraja sebagaimana dialami oleh sistem beraja di negara Nepal.

1 ulasan:

NASSURY IBRAHIM berkata...

Aku terbaca dalam SK, Prof Aziz Bari mengatakan dia sendiri tidak tahu adanya wasiat ini. Tuanku, mengapakah dirahsiakan?