Ahad, 16 Ogos 2009

Mati Bahasa

Adakah bahasa boleh mati? Kalau boleh, apakah sebab bahasa mati? Dan, bagaimanakah cara bahasa hidup? Jawapannya, memang bahasa boleh mati dan bahasa boleh hidup.
Apabila saya bercakap bahawa bahasa (bahasa Melayu khususnya) boleh mati, ramai tidak percaya dan hairan. Bahasa bukan benda bernyawa. Justeru, bagaimana boleh mati?
Hidup dan mati bahasa tidak sama dengan hidup dan mati manusia. Pun tidak sama dengan cara hidup dan cara mati pokok misalnya. Manausia hidup kerana ada makanan. Tumbuhan hidup juga kerana ada makanan. Sebaliknya, bagi bahasa. Bahasa hidup bukan kerana ada atau tiada makanan.
Bahasa tidak hidup atas nama pembangunan. Setinggi manapun bangunan kita bina tidak menjamin bahasa hidup. Juga bahasa tidak hidup dalam kemajuan negara. Sehbat, secanggih dan sepenting manapun kemajuan negara, ia tetap tidak menjamin bahasa terus hidup. Bahasa juga tidak hidup dalam perasaan cinta manusia. Sebesar manapun rasa cinta manusia terhadap bahasa, tetap tidak menjamin bahasa itu terus hidup. Malah, bahasa juga tidak hidup pada bilangan bangsanya. Seramai manapun bangsa kepada bahasa berkenaan, bahasa tetap tidak terjamin akan kekal hidup.
Justeru, bahasa hidup di mana?
Ada dua tempat bahasa hidup. Pertama, bahasa hidup di bibir manusia. Kedua, bahasa hidup dijari manusia. Inilah sahaja tempat bahasa hidup dan bahasa berkembang. Selagi ada manusia menuturkannya, sama ada penutur jati mahupun penutur bahasa kedua, selagi itu bahasa boleh hidup. Selagi ada manusia menggunakan bibir dan peti suaranya untuk menuturkan bahasa Melayu, maka selagi itulah bahasa Melayu akan hidup dan berkembang.
Pun demikian. Selagi ada jari manusia menulis menggunakan bahasa itu, maka selagi itulah juga bahasa itu akan hidup dan berkembang. Bahasa Melayu tidak semestinya hidup dengan adanya bangsa Melayu, kalau bangsa Melayu merderhaka pada bahasanya. Projek PPSMI merupakan contoh terkini bahasa Melayu menuju kepupusan dan contoh terkini bagaimana bangsa Melayu membunuh bahasanya sendiri. Maka usaha GMP menentang PPSMI itu merupakan satu usaha mulia untuk menghidup dan memartabatkan bahasanya. Semoga usaha GMP itu dirahmati Allah dan mereka yang menentang dilaknati-Nya.
Telah tercatat dalam sejarah bahawa bahasa Sanskrit merupakan bahasa lingua-franca dan besar pada suatu masa dahulu. Disebabkan tiada penutur, maka bahasa itu sudah pupus dan tidak dapat dikesan lagi. Kitapun tidak tahu bagaimanakah bunyi bahasa Sanskrit. Bagaimanakah bentuk tulisan Sanskrit. Siapakah bangsanya pun kita tidak tahu lagi. Sebab, bahasa Sanskrit sudah mati. Apakah kita mahu bahasa Melayu menyusur nasib bahasa Sanskrit?
Hal demikian juga akan terjadi jika tiada jari manusia menggunakan bahasa tersebut. Kita tidak kenal bagaimanakah bentuk tulis Sanskrit, sebab tiada orang yang pandai menggunakannya. Perhatilah tulis Jawi sekarang. Suatu masa dahulu, tulisan Jawi sangat meluas digunakan oleh orang Melayu dan bukan Melayu. Orang Melayu, orang Inggeris, orang Portugis menggunakan tulisan Jawi dalam segala urusan mereka. Mesej dan hasrat mereka sampai dan difahami. Raja Ternate misalnya menulis surat / warkah kepada Raja Portugis menggunakan tulisan Jawi. Raja portugis dapat memahami isi kandungan itu itu dan dapat membalasnya.
Namun, apakah yang terjadi kini. Tulisan Jawi sedang nazak. Sedang menggelepar dalam bilik ICU. Sedang nyawa-nyawa ikan. Sedang hidup segan mati tidak mahu. Apakah sebab terjadi hal yang sedemikian itu? Sebabnya ialah kerana tiada penutur dan penulisnya. Amat kecil orang Melayu yang boleh membaca dan menulis dalam tulisan Jawi. Yang pandai membaca dan menulis itupun sedang menunggu 'hari-hari terakhir sebagai manusia.' Hidupnya kini bergantung harap pada suntikan oleh badan-badan korporat. Berapa lamakah badan-badan korporat mampu menyuntiknya? Tentulah tidak selamanya. Apabila saki-baki pengamal tulisan Jawi ini tiada, maka pupuslah tulisan Jawi.
Demikianlah bahasa boleh hidup dan bahasa boleh mati. Siapakah penghidup dan pembunuhnya? Tentulah bangsa kepada bahasa itu sendiri. Sehebat manapun bahasa Inggeris, dan sedalam manapun cinta kita terhadap bahasa Inggeris, ia tetap bahasa orang lain, walaupun kulit, rambut, mata dan jiwa kita jadi putih seperti orang Inggeris. Britain tidak akan memberi anugerah kepada kita, walaupun kita menjadi pengamal bahasa Inggeris terhebat di dunia. Sebaliknya, anda akan tetap dianggap sebagai penderhaka dan pengkhianat kalau kerana tindakan anda menyebabkan bahasa Melayu pupus.
Lemah dan kecil bahasa Melayu adalah menjadi tanggungjawab kita berusaha menjadikan bahasa Melayu kuat dan besar. Tidak ada pihak yang akan turun dari langit semata-mata mahu memperkuat dan memperbesarkan bahasa Melayu, melainkan kita sendiri yang berusaha memperkuat dan memperbesarkannya. Bukan alasan atas sifat kekerdilan bahasa Melayu untuk kita menolaknya, kerana selagi kita tidak berusaha memperkuat dan menyebarluaskannya, maka selagi itu bahasa Melayu menjadi kecil dan kerdil.
Justeru, apabila malam menjelma dan sebelum melelapkan mata, elok kita merenungi diri kita sendiri: "Adakah aku ini penjuang bangsa atau pengkhianat bangsa? Tepuk dada muhasabah diri.

Adik Bercakap Tentang Bahasa
Adik bercakap tentang bahasa Melayu yang layu di rumah
sendiri, kata adik, kakak dan abang membencinya
Adik bercakap tentang bahasa Melayu yang layu di rumah
sendiri, kata adik, kakak dan abang membencinya demikian
ayah dan ibu sesekali tatkala bersama si tukang kebun, kata
adik lagi
Adik bercakap tentang bahasa Melayu yang layu di rumah
sendiri, kata adik, kakak dan abang membencinya demikian
ayah dan ibu sesekali tatkala bersama si tukang kebun, kata
adik lagi, dan katanya:
“Adapun layu bahasa Melayu di rumahku ini,
kata adik, ayah dan ibulah yang melayukannya!”
26 September 1999
Siaran: Majalah Akar, Mei – Ogos 2000

1 ulasan:

ZULKIFLI BIN MOHAMED berkata...

Salam saudara Nassury,

"kunjungan pertama".