Rabu, 29 Julai 2009

Seminar Kekuasaan Raja

Ada dua pekerjaan luar (bersambungan) yang harus patik laksanakan pada minggu ini. Pertama menghadiri Seminar Kebangsaan Kekuasaan dalam Sastera Melayu Nusantara (SKKdSMN). Kedua, menghadiri Kursus Kemahiran Penyuntingan Bahan Ilmiah (KKPBI).

Seminar (SKKdSMN) diadakan pada 25 – 26 Julai 2009 di USM, membincangkan tentang kuasa dan kekuasaan, tuan dan ketuanan, dan daulat dan kledaulatan raja Melayu. Kandungannya amat penting untuk difahami dan dihayati oleh generasi tua dan generasi muda, dan lebih-lebih lagi para politikus serta bukan Melayu. Oleh sebab itu saya berpendapat, seminar ini patut dilanjutkan bergilir negeri melibatkan pemimpin partai dan pentadbir istana.

Memang agak aneh seminar tentang raja dan kerajaan ini diadakan di negeri tidak beraja. Barangkali ia adalah petanda bahawa kita tak perlu raja dan kerajaan lagi, atau fungsi raja dan kerajaan telah mandur.

Seminar yang mendedahkan peranan raja dan kedaulatannya, bukan sahaja raja sebagai pemerintah, malahan membongkar peranan raja saebagai penyatu kepelbagaian manusia dan penegak ketamadunan Melayu. Hal ini amat miskin diketahui rakyat, apalagi sistem pendidikan kita tidak mesra bangsa dan kebangsaan buminya.

Kita dapati bahawa 90% manuskrip Melayu menyimpan konsep pembinaan negara dan kenegaraannya yang amat baik diketahui dan diteladani. Saya percaya, jika maklumat dalam manuskrip itu diperhalusi dan disebarkan kepada generasi, ia dapat mempercepatkan tumbuhnya rasa kecintaan terhadap bangsa dan negara serta penghayatan terhadap konsep 1 Malaysia.

Malangnya, seminar yang penting dan boleh dijadikan propaganda kerajaan Melayu moden, hanya dihadiri oleh pelajar kesusasteraan, peminat kesusasteraan, sarjana kesusasteraan dan sarjana sejarah sahaja sebagai peserta dan pemakalah.

Tidak ada langsung kelibat golongan politikus, pemimpin kerajaan awam dan kerajaan pembangkang, golongan istana, walaupun mereka sebelum ini mereka berteriak menunjukkan kecintaan pada raja dan institusi kerajaan. Malahan juga, kelibat para pembuat laporan polis terhadap Karpal Sing dan Ir. Mohd Nizar dan menuduh mereka menghina institusi raja, juga jauh panggang daripada api.

Barangkali mereka hanya 'anjing pemburuan' atau 'tiung di gelanggang aji' yang pandai bercakap berteriak, tetapi tidak tahu perkara yang dipercakapkan mahupun diteriakkan. Juga mereka yang mencabut, mencium dan menyarung keris kontotnya, langsung tidak 'membawa' semangat keris sebagai petanda sokongan dan kecintaan terhadap institusi raja dan keRAJAan.

Apakah ketiadaan golongan 'pencinta' istana dan keistanaannya itu menandakan perihal raja dan keRAJAan tidak penting didalami, dihayati, difahami dan disebarkan kepada generasi sebagai benteng mempertahankannya pada masa akan datang? Atau, cukup sekadar berteriak di jalanan dan membuat laporan polis dan kemudian bergambar untuk disiarkan dalam akhbar.

Iktibar daripada ketiadaan para politikus, golongan istana dan 'pencinta' institusi istana itu, pada pandangan saya, menghantar isyarat bahawa institusi raja dan keRAJAan penting dari segi sejarah lampau, tetapi tidak untuk sejarah moden? Atau, penting ditunjukkan melalui teriakan jalanan dan laporan polis sahaja.

Kalau benar sangkaan ini, biarkan mitos dan lagenda yang ada itu berlalu tanpa mencipta mitos dan lagenda baharu.

Memang rakyat tidak tahu tentang kisah raja dan institusi raja moden, melainkan hanya kisah-kisah sejarah lama yang belum tentu benarnya. Demikianlah pandangan patik yang tidak pasti ini, melainkan pihak istana menunjukkan kecintaan mereka terhadap institusi mereka. Berdasarkan laporan akhbar sekitar tahun 2009, melalui krisis politik Perak, patik berpandangan zaman raja bersemayam dan rakyat menjulangnya sudah berlalu. Raja melalui institusi rajanya perlu 'mendedahkan' sejarah keluarga dan kekeluargaan, istana dan keistanaannya untuk dihayati oleh rakyat.

Apabila Sultan Selangor, Sultan Perak, dan Sultan Perlis menyeru agar rakyat menghormati raja dan institusi keRAJAannya, dan dilaporkan oleh akhbar bahawa seruan itu lebih dituju kepada politikus pembangkang sahaja, maka patih menjadi ragu sebab pemerintah persekutuan memperlakukan institusi raja dan keRAJAannya lebih dasyat daripada yang 'diperlakukan' oleh pembangkang. Umpamanya, menarik imuniti atau 'mengizinkan' orang asing dan rakyat menyaman sultan. Atau, melepaskan pihak yang mencaci sultan, sebagaimana sebilangan politikus Terengganu yang memanggil Sultan Terengganu sebagai 'nantang' (binatang).

Yang pasti, patik ingin cepat pulang ke hotel kerana mahu berkemas bagi menunaikan tanggungjawab kedua, menghadiri kursus penyuntingan. Tentunya, semasa berkemas itu, barang-barang yang ada tersimpan dalam bilik hotel (mahupun bilik hidup / minda), tetapi tiada kegunaannya, akan patik sunting dan buang. Barang yang ada dan tidak berguna akan menyemak mata, bag dan tentu sekali akan menyemak dan 'memberatkan' hidup dan kehidupan kita.

2 ulasan:

Sham al-Johori berkata...

Tuan Nassury,
Sang politikus adalajh kuasawan yang sedang lena berlantaikan duit. Mereka sdg diulit kuasa kebendaan bukan ilmu.

NASSURY IBRAHIM berkata...

PRK Permatang Pasir. Mari kita lihat siapa yang kena. Sebagai rakyat marhen, aku suka lihat pilihan raya 2 tahun sekali