Selasa, 1 September 2009

DAUN NAN SEHELAI: Menjadi Orang Bijaksana

Dalam buku ‘Citra Takmilah: Analisis Terhadap Kumpulan Puisi Islam’ (Karisma, 2005) saya mencatatkan bahawa penyair berkarya berdasarkan peristiwa. Daripada peristiwa itu penyair merakam kebesaran Tuhan dan teladan yang dapat dimanfaatkan oleh pembaca.
Hal ini demikian juga pada sajak-sajak Mazli Husma, dalam kumpulan Daun Nan Sehelai (DNS), yang bertolak daripada renungan diri dan peristiwa sekitar untuk mencari hikmah. Sebagai manusia hidup dan berfikir, hal ini wajar dan disarankan oleh Islam, kerana daripada dua sumber itu akan mendekatkan diri kita kepada Tuhan, sebagaimana saranan Teori Takmilah. Perhatikan, misalnya, dalam petikan sajak ‘Rahsia’ (hlm. 192) di bawah.
Tsunami
tidak akan terurai rahsianya
tanpa iman dan takwa
Ada perbezaan tanggapan manusia terhadap peristiwa tsunami. Di Malaysia, kita melihat tsunami terjadi kesan gerakan bumi di dasar laut, menyebabkan kita mudah lupa akan peristiwa itu, lebih-lebih lagi pada individu yang tidak mengalaminya. Sehingga kini sebilangan kecil sahaja buku yang merakam kejadian tsunami di Malaysia.
Lain pula terjadi dalam masyarakat Acheh. Kunjungan saya ke Acheh bersama rombongan Gapena (25 – 30 November 2005), mendapati begitu banyak buku tentang tsunami diterbitkan. Baik buku kreatif mahupun nonkreatif. Buku-buku prosa yang diterbitkan rata-rata melihat peristiwa tsunami dari sudut agama.
Pada satu pihak tsunami dianggap bala dan pada pihak lain dianggap sebagai tanda kekuasaan Allah. Ia memberikan iktibar bagi insan bertakwa. Sebagaimana kata Mazli Husma, mata iman akan dapat merungkai rahsia tsunami. Maka, mereka merakamnya untuk diteladani. Bagi mata duniawi, tsunami dilihat sebagai peristiwa pahit semata-mata, dan menakutkan. Dan, kata Mazli Husma lagi;
Musibah
tidak akan terhitung hikmahnya
tanpa ilmu dan amalan
Secara halus penyair menegaskan bahawa orang yang matang dan bijaksana ialah orang yang berilmu, dan orang yang berilmu mencari hikmah di sebalik sesuatu musibah. Hanya orang berilmu dapat mencari hikmah di sebalik sesuatu musibah. Hikmah yang diperoleh itu akan dapat mempertingkat ketakwaan diri. Tentulah kita tidak mahu dianggap sebagai orang tidak matang, tidak berilmu dan gagal mencari hikmah di sebalik peristiwa tsunami itu. Justeru, kesedaran itu membuktikan bahawa idealisme sajak ini mampu membina peribadi muslim yang bijak, yang berilmu dan bertakwa.
Dalam sajak ‘Hijab’ (hlm. 157) Mazli Husma merakamkan perihal orang tersasar, tengadah, tersasul dan tertusuk jiwa, dan kemudian menyeru mereka agar merenung sebab-musabab tersasar, tengadah, tersasul, dan tertusuk jiwanya itu. Katanya;
Singkaplah dengan jiwa hening-bening
telus menerus tanpa sesiapa selain DIA
Hanya orang berilmu dan bertakwa mempunyai kesedaran untuk bermuhasabah diri. Melalui muhasabah diri kita dapat mencari hikmah. Hikmah-Nya itu dapat kita teladani bagi membina hidup yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Dan, muhasabah diri itu hendaklah bebas daripada segala kepentingan dunia, sebagaimana disarankan oleh Mazli Husma di atas, barulah kita dapat menjadi orang yang bijaksana.
Sifat pendidik tidak terlepas dari jiwa Mazli Husma. Dalam sajak, ‘Musim Balik Kampung’ (hlm. 176) misalnya, Mazli Husma menasihatkan pengguna jalan raya. Katanya, ‘Musim raya / musim perlu berwaspada / dalam riangria menjamu selera / jangan pula ada yang menangis / di hujung keranda.’
Demikian, sekilas tanggapan saya terhadap kumpulan sajak ketiga bekas pendidik yang kini berkhidmat sebagai Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan, Mazli Husma. Beberapa buah sajak beliau yang diteliti ini mampu mengajak kita menjadi orang bijaksana. Dan, semoga kumpulan sajak ini, serta kumpulan sajaknya terdahulu, Puisi Diri (2001) dan Setelah Kau Pergi (2003), terus dinikmati dan diteladani hikmahnya. Sekian.

2 ulasan:

saleeh rahamad berkata...

mari buat seminar pendek memperkatakan sajak amzli husma. saya dah ada kertas kerja sajak dia yang tak jadi bentang dulu. buatlah kerjasama dengan dbp timur.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Dalam perhatian. Saya bercadang nak buat seminar kecil khusus untuk satu-satu orang sasterawan.