Sabtu, 22 Ogos 2009

Bebalisme @ Babasisme Sarjana Pendidikan

Kata SM Zakir dalam smzakirsayapmatahari.blogspot.com, "Pembentang-pembantang dari AS dan UK sama saja standardnya dari segi isi dan kapasiti intelektual mereka dengan sarjana-sarjana kita di Malaysia. Bezanya mereka membentang dalam bahasa Inggeris dan datang dari universiti di Amerika Syarikat dan Eropah."
Beliau berkata demikian sebagai merujuk seminar LTTC International Conference yang dihadirinya. Itu pandangan dari generasi baharu. Padangan ini berbeza dengan generasi lama. Para generasi lama dan separuh lama, terutama yang duduk menjawat jawatan di Kementerian Pendidikan, pada saya, mereka adalah daripada zuriat benih penjajah.
Mengapa saya kata demikian? Sebabnya, pemikiran yang ditanam dalam sistem pendidikan kita dan disebar kepada generasi baharu ialah pemikiran penjajah. Sistem pendidikan kita pula dibentuk oleh penjajah, generasi lama dan separuh lama, yang mana otaknya ditumbuhi 'virus Influaza A H1N1'. Mereka inilah yang menjadi penguasa dalam sistem pendidikan. Sebahagian daripada mereka pula adalah sekerat DG dan sekerat poliTIKUS. Mereka sangat bangga dan berasa terhina jika tidak merujuk pemikiran penjajah apabila merangka dan menyebarkan strategi pendidikan. Mereka inilah penganut aliran bebalisme di negara berdaulat ini.
Segala yang datang dari Barat akan dianggap moden dan lambang keterkinian dan ketercerdikan. Apa sahaja yang mereka jumpa akan dibawa masuk dan terus diperkenalkan, tanpa merujuk agama dan adat budaya bangsa. Mereka akan rasa sangat bangga apabila idea culikan itu diterima para bebalisme yang lain. Maka jadilah mereka dan mereka-mereka (tidak salah eja) sebagai pendokong babasisme.
Kalau anda berpeluang mengikuti seminar pendidikan, anjuran mana-mana bahagian dari Kementerian Pendidikan, perhatikanlah nilai pemikiran yang disebarkan. Mereka mengambil dan mencanang nilai dan pemikiran penjajah untuk ditanam dalam sistem pendidikan kita. Antara usaha bebalisme yang diperjuangkan kini ialah pendidikan seks di sekolah.
Anda tentu pernah mendengar sistem pendidikan yang kita amal sejak sebelum merdeka, iaitu sistem tidak naik kelas. Seseorang murid tidak akan dibenarkan melangkah kelas pada tahun berikutnya disebabkan tidak lulus peperiksaan dalam kelas semasa. Akibatnya, ramai murid tahun 2 sudah bermisai lebat dan murid tahun 3 sudah berkahwin. Sistem ini telah dibuang pada sekitar tahun 1960-an. Sistem ini dianggap lapuk, tidak dinamik dan tidak moden.
Namun, apakah yang terjadi?
Pada pertengahan tahun 1990-an, sistem yang dibuang ini diambil dan diamalkan semula oleh bebalisme pendidikan. Ia diimport dari Barat setelah sarjana Barat memberi jenama baharu, seperti Bloom B.S, Anderson L.W, Block J.H, Guskey T.R, Dunkin M.J. dan lain-lain. Mereka menamakannya sebagai Pembelajaran Masteri (Mastery Learning). Malangnya, datuk-nenek kita tidak menamakan apa-apa.
Oleh sebab ia dicanang oleh orang Barat, maka kita terlupa bahawa konsep itu pernah kita amal dalam sistem pendidikan lampau. Tanpa berfikir, pihak berkuasa pendidikan dari menara maha bebal tidak segan-segan mengambil dan menyebarkannya kembali kepada generasi baharu, atas nama hak cipta sarjana Barat. Maka jadilah mereka sebagai 'penjilat kehak merah' yang pernah dibuang suatu ketika dahulu.
Dalam Pembelajaran Masteri, murid tidak lulus latihan 1 tidak boleh beralih ke kelatihan 2, dan seterusnya. Tidakkah konsep ini sama dengan sistem tidak naik kelas yang datuk-nenek kita amal dahulu? Bezanya, datuk-nenek kita tidak merakam konsep pembelajarannya. Malah, tidak menamakan sistem pembelajarannya itu. Konsep itu telah dirakam oleh sarjana Barat dan diberi jenama baharu, lantas mengaku hak ciptanya.
Apakah maksud Pembelajaran Masteri? Dalam buku Pembelajaran Masteri yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (2001: 2), dirumuskan maksud Pembelajaran Masteri yang diambil daripada pendapat Bloom B.S, Anderson L.W dan Block J.H sebagai, "Suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam satu unit pembelajaran sebelum berpindah ke unit pembelajaran seterusnya."
Kalau mereka tidak bebal, mereka boleh membuat kajian atau meminta IPT membuat kajian tentang sistem pendidikan tidak naik kelas itu dan kemudian mengubahsuaikannya dengan keperluan semasa.
Berbalik kepada kata-kata SM Zakir di atas, tidakkah terbukti bahawa bangsa kita lebih bijak daripada bangsa Barat yang merangka sistem tidak naik kelas. Isi dan kapasiti intelektual kita sebenarnya lebih baik daripada mereka. Namun, disebabkan sistem pendidikan kita dikuasai oleh benih Barat yang berbebalisme, maka kita tidak pernah berasa tuan kepada diri dan bangsa kita. Maka, jadilah kita sebagai peti ais dan televisyen penjajah menyebarkan pemikiran dan budaya mereka.
Generasi baharu perlu berjuang membuang bebalisme dan babasisme di menara maha tinggi Kementerian Pendidikan. Berkenaan hal ini telah lama aku tulis dalam sajak memberitahu kepandirisme sarjana pendidikan negara kita. Aku perturunkan sajak itu sepenuhnya di bawah.
Dongeng Kemerdekaan, (ii)

Pendidik dan sarjana pendidikan di negaraku,
kata bapak, bak peti ais

di dalam peti ais itu tersimpan, kata bapak,
tersimpan rasa dan minda arya

setiap pagi, kata bapak, setiap hari mereka
menghidangkan arya kepada anak-anak kita

dari pagi ke tengah hari, kata bapak,
dari petang ke tengah malam

maka arya anak-anak kita, kata bapak,
arya mata, suara, tangan dan kaki

pendidik dan sarjana pendidikan di negaraku,
kata bapak, musuh negara kita

mereka bak peti ais, kata bapak,
menyuntik arya pada anak-anak kita

hingga anak-anak yang kita lahir, kata bapak,
tak kenal ibu tak kenal ayah!

14 Februari 2004

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Patut le bebudak jadi samseng. Dasar tak sesuai le ni