Rabu, 16 September 2009

Nassury Ibrahim Antara Masalah dan Penyelesaian

oleh Noraini Hasan
Nassury Ibrahim salah seorang penulis generasi baru yang berpotensi menjadi penulis terkenal. Kesungguhan dan sikapnya dalam berpuisi menunjukkan tanggungjawabnya sebagai penulis. Sikap dan kesungguhannya berpuisi dapat diperhatikan dalam kumpulan puisi Menimba Laut (1996) yang menunjukkan peningkatan kemantangannya berpuisi.

Nassury menulis tentang apa sahaja seperti rentetan peristiwa harian, sesuai dengan sikapnya menjadikan puisi sebagai catatan diari peribadi. Salah satu sikap menarik Nassury dalam Menimba Laut ialah pandangannya mengenai masalah. Masalah bukan sesuatu abstrak walaupun sebenarnya abstrak.

Masalah bukan hak individu, tetapi hak milik semua individu. Ringkasnya, masalah bersifat global dan dialami oleh semua makhluk, manusia dan bukan peristiwa. Kamus Dewan melihat masalah sebagai keadaan yang menimbulkan kesukaran dan perlu diselesaikan. Masalah tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana boleh menyulitkan lagi keadaan.

Masalah datang daripada manusia hidup dan ingin hidup. Masalah membuktikan bahawa manusia hidup dan waras kerana manusia mati dan gila sahaja yang tidak mempunyai masalah. Melalui puisi 'Masalahnya' Nassury menjelaskan punca bertapaknya fenomena itu.

Masalah kau ragu
menyatakan masalahmu
kerana katamu tidak mungkin
dapat diselesaikan

Sesuatu masalah akan menjadi rumit apabila individu tiada yakin menyelesaikannya. Keraguan adalah penghalang utama kepada usaha menyelesaikan masalah kerana tidak dapat dicari punca masalah. Tegas Nassury;

sedang keraguan itulah
sebenarnya masalahnya
kerana ia menutup
jalan penyelesaian

Kegawatan ekonomi adalah masalah kepada rakyat dan negara, tetapi dapat diambil langkah-langkah mengatasinya kerana diketahui punca timbulnya kegawatan. Demikian masalah air dan sebagainya.

Adakah masalah boleh diselesaikan dengan mudah setelah diketahui puncanya? Dalam puisinya, 'Bagaimana,' Nassury menegaskan bahawa masalah dapat diselesaikan melalui persefahaman antara dua pihak terlibat. Namun sekiranya satu pihak tidak memberi kerjasama, ia akan menjadi bertambah rumit.

Siang yang terang
makin kelam
kelam yang remang
makin hitamBlockquote
Apakah masih ada penyelesaian pada 'siang' yang menjadi 'semakin hitam?' Nassury melontarkan pertanyaan apabila melihat masalah menjadi semakin rumit dengan berkata, 'bagaimanakah harus kutamatkan sengketa ini?'

Lazimnya kita memandang remeh kepada masalah semasa pada peringkat awal. Misalnya, kemasukan pendatang tanpa izin tanpa pada awal 1990-an tidak dianggap sebagai masalah. Kini pendatang tanpa izin dianggap sebagai masalah terhadap budaya, keselamatan dan ekonomi negara.

Apabila bangunan runtuh kita pun menubuhkan pasukan penyelamat. Apabila kehabisan air kita pun menubuhkan Majlis Air Negara dan sebagainya. Melalui puisi 'Setelah Semua Berlalu (1)' Nassury menyindir sikap kita daqlam menangani masalah.

Sayangnya mereka sedar
setelah semua berlalu
dan penyelesaian jadi kusut

Nassury kesal dengan sikap tidak prihatin rakyat Malaysia dan mahu sesuatu masalah diselesaikan pada peringkat awal lagi. Sikapnya kepada masalah tidak seperti melontarkan batu sembunyi tangan. Nassury tidak memperkatakan masalah begitu sahaja, sebaliknya Nassury memberi cara penyelesaiannya.

Melalui puisi 'Menghadapi Gunung Masalah' Nassury menyatakan masalah yang dihadapi itu dikenal pasti puncanya dan dibuat pengelasan. Nassury menganalogikan masalah sebagai sebuah gunung. Gunung itu perlu dipecah-pecahkan menjadi bukit, pusu, batu, dan akhirnya pasir untuk diselesaikan satu demi satu secara berperingkat-peringkat. Apabila masalah menjadi kecil, maka senanglah kita menyelesaikannya. Kata Nassury;

dan pasir itu
jentiklah
satu persatu

Demikian masalah dan cara menyelesaikannya menurut Nassury, lewat puisi-puisi dalam Menimba Laut. Nassury nampaknya intim dengan masyarakat dan menjadi sebahagian pemikir masalah masyarakat dengan berpegang kepada konsep 'Seni untuk Masyarakat.'


Siaran: Utusan Malaysia, 18 April 1998

Tiada ulasan: