Isnin, 9 Ogos 2010

TEKS UCAPAN SEMPENA KONVOKESYEN IPG – KKB KE - 47


Teks di bawah merupakan teks ucapan yang aku karang untuk orang berkenaan baca dalam ucapan perasmiannya.


1. Pertamanya marilah kita mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul di Dewan Wawasan pada hari yang sangat berbahagia ini untuk meraikan kejayaan para graduan. Sudah pasti para graduan berasa amat gembira kerana di majlis ini saudara-saudari akan dinobatkan sebagai guru permulaan yang bertauliah. Sebenarnya, kejayaan para graduan itu adalah juga kejayaan kita sebagai ibu bapa, pensyarah, kakitangan IPG dan keluarga IPG  Kampus Kota Bharu, serta sanak-saudara yang sama-sama hadir di dewan yang indah ini.  Saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua graduan yang bakal menerima diploma dan sijil masing-masing sebentar nanti.


2.              Sesungguhnya, konvokesyen pada kali ini adalah sangat bermakna kepada IPG. Hal ini kerana dengan terlaksananya konvokensyen ini membuktikan bahawa IPG dan Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa mengorak langkah untuk memajukan bidang perguruan, sistem pendidikan dan seterusnya sentiasa menjana modal insan yang bertaraf dunia. Memang menjadi hasrat kerajaan dan IPG untuk melonjakkan sistem pendidikan kita ke arah pendidikan bertaraf dunia, sebagaimana visi dan misi yang dinobatkan dalam piagam pelanggan IPG. Modal insan bertaraf dunia, dalam konteks IPG, ialah mereka yang bukan sahaja petah bersilat dalam ilmu pedagogi, malahan sentiasa cakna dengan perkembangan ilmu semasa, sentiasa pula menyerap pelbagai ilmu untuk kegemilangan diri, dan bersungguh-sungguh  memberi sentuhan terbaik kepada para pelanggan mereka.  Dalam bidang perguruan, kita berharap sentuhan para guru akan terus menghasilkan pelajar cemerlang, sebagaimana yang telah dibuktikan selama ini.

Para hadirin yang dihormati sekalian.

3.                 Sebagaimana tuan-tuan ketahui, bidang perguruan kian mendapat perhatian masyarakat, khususnya para generasi muda. Bidang ini diburu bukan sahaja oleh graduan yang baharu tamat belajar, malahan  bidang ini juga turut diburu oleh mereka yang sudahpun bekerja. Saya juga dimaklumkan pelajar KPLI yang mengikuti kursus di IPG ada yang telah bekerja sebagai peguam, jurutera, pegawai eksekutif, pensyarah dan sebagainya dengan gaji yang jauh lebih lumayan daripada bidang perguruan; sanggup meletakkan jawatan tersebut semata-mata mahu menceburi bidang perguruan. Perkara ini dapat dibuktikan melalui permohonan program KPLI di mana pihak kementerian telah menerima 40,000 permohonan Keadaan ini merupakan satu perkembangan yang sangat menakjubkan.  Mereka yang sudah bekerjaya sanggup meletakkan jawatan asal untuk menceburi bidang perguruan. Saya percaya, ada di antara mereka yang terlibat berada dalam majlis yang sangat bermakna ini. Tahniah dan syabas atas minat dan komitmen yang tuan-tuan tunjukkan selama mengikuti latihan dan teruskan kecemerlangan ini semasa menjalankan tugas seharian di sekolah.  

4.                 Kecemerlangan dan kualiti guru permulaan merupakan tanggungjawab individu itu sendiri. Sebagai orang baru di sekolah, saudara saudari perlu menunjukkan keupayaan membantu sekolah. Jangan bersikap negatif dan menganggap tugas mengajar itu sebagai satu proses kerja. Saudara-saudari perlu menjiwai peranan sebagai pendidik dan melaksanakan tugas dengan penuh keseronokan. Terimalah murid-murid yang dating dari pelbagai latar belakang dengan tangan dan hati yang terbuka. Besar kemungkinan teori yang dipelajari semasa latihan tidak dapat diaplikasi; jadi mintalah bantuan daripada guru-guru yang telah lama menceburkan diri dalam profesion yang mulia ini. Sebagai orang yang baru menceburkan diri dalam profesion ini, janganlah malu untuk bertanya kerana pengetahuan dan pengalaman saudara-saudari semasa mengikuti latihan di IPG hanyalah ibarat setitik air di lautan. Beri sikongan kepada rakan-rankan sejawat di sekolah dan berhubunglah dengan ibu bapa untuk melengkapkan diri dengan kemahiran untuk membolehkan saudara-saudari melaksanakan tugas dengan penuh kecemerlangan. Ingatlah bahawa bukan kementerian yang menentukan ketetapan kecemerlangan dan kualiti seorang guru; tetapi guru itu sendiri yang perlu mempamerkan kualiti dan kecemerlangan diri.

5.                 Dalam konvokesyen pada pagi ini, saya difahamkan terdapat tiga kumpulan graduan yang bakal menerima diploma dan sijil masing-masing. Mereka terdiri daripada  graduan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Ambilan Januari 2009, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah GSTT (SKM) Ambilan November 2007 dan Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) Ambilan Januari 2009.  Mereka akan ditempatkan di sekolah seluruh Malaysia, sama ada di sekolah menengah mahupun sekolah rendah. Saya percaya, di manapun mereka bertugas, sama ada di sekolah menengah atau sekolah rendah, sama ada di bandar mahupun di luar bandar, komitmen dan iltizam mereka tetap tinggi, sebagaimana yang diharapkan oleh kementerian dan IPG.

Para graduan yang dikasihi.

6.                 Sebagaimana harapan dan janji saudara-saudari semasa sesi temu duga dahulu untuk berkhidmat dalam bidang perguruan, demikianlah juga harapan kami setelah saudara-saudari tamat pengajian dan ditempatkan di sekolah masing-masing. Kami berharap saudara-saudari dapat memberi sumbangan terbaik mendidik anak bangsa kerana kejayaan mereka berada di tangansaudara-saudari. Kementerian Pelajaran menerusi IPG sekadar mampu melatih saudara-saudari dengan memberikan teori dan amalan ilmu pedagogi sebagai pedoman di sekolah.   Seterusnya,  apabila telah tamat pengajian di sini, hanya kesucian hati dan keikhlasan jiwa sahaja yang dapat mencorakkan sistem pendidikan negara. Sekarang masa depan anak-anak murid  berada di tangansaudara-saudari. Mereka sangat dahagakan ilmu dan kepada saudara-saudarilah mereka berharap. Secara luhurnya mereka ibarat sehelai kain putih.  Saudara-saudari sebagai guru adalah bertanggungjawab mencorak kain-kain putih itu. Apa jua yang saudara-saudari corakkan, itulah hasilnya.  Kalau corak itu menarik dan cantik akan menarik dan cantiklah sistem pendidikan kita. Kalau saudara-saudari mencoraknya dengan corak yang tidak menarik, maka akan lahirlah  generasi yang tidak menarik pada masa akan datang. Apabila rosak generasi yang saudara-saudari didik, maka akan rosaklah negara. Kalau hal sedemikian itu berlaku, bererti saudara-saudarilah sebagai pendidik yang bertanggungjawab.

7.                 Oleh yang demikian, saya berharap saudara-saudari akan berkhidmat dengan sesungguh hati dan anggaplah kerja saudara-saudari itu sebagai satu ibadat sebagaimana dituntut  oleh agama. Laksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sepenuh hati kerana tigas mendidik bukan sekadar mengajar apa yang tersurat di dalam kurikulum, tetapi juga elemen yang tersirat dalam usaha menjadikan generasi muda sebagai warga Malaysia yang memahami, mengahayati dan menjujung aspirasi negara. Sebagai pendidik, saudara-saudari perlu mengikuti perkembangan semasa negara agar tidak ketinggalan dengan agenda Perdana Negara.

8.                 Dengan pesanan itu, saya dengan lafaz mulia BISMILLAHIR RAHMANI RAHIM merasmikan konvokesyen IPG Kampus Kota Bharu kali ke- 47 .

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahma

3 ulasan:

Sham al-Johori berkata...

kawe doakan moga demo cepat jadi pengarah IPG kampus Kota Bharu. Amin

NASSURY IBRAHIM berkata...

Tuan Sudin,
Demo pernah dengar burung tiong. Orang besar-besar tak ubah macam burung tiong. Demo jangan jadi gitu.

Nizam Dungun bekas junior kat IPSI berkata...

Tahniah! Memang layak jadi pengarah IPG (kat mane-mane pong boleh). Tak nak balik "Teranung" ke?