Dua minggu lepas, pejabat aku mengadakan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Seperti biasa memang timbul rasa tidak puas hati terhadap penerima. Apapun, pada padangan aku, kalau berlaku kesilapan, ia bukan salah penerima. Sebaliknya, penilailah (pihak pentadbir) yang silap kerana tidak perihatin sehingga orang yang sama menerima dalam masa terdekat. Atau, orang yang tidak layak menerimanya.
Aku tidak pernah menerima APC, cuma hampir menerima sahaja. Aku ada cerita yang boleh dikongsi akan kebejatan pemberi APC.
- Semasa Sistem Saraan Baru (SSB) berjalan, aku berkhidmat di SMK Taman Yarl, Kuala Lumpur, yang mula dibuka pada tahun 1993. Pengetua pertama bernama Encik Tan Sun Seng. Aku dan pengetua datang dari SMK Taman Maluri. Apabila beliau dilantik sebagai pengetua (asalnya, Penolong Kanan), beliau telah membawa aku bersama-sama ke sekolah baharu. Ada enam orang guru semuanya. Oleh sebab sekolah baharu, banyak kerja yang terpaksa dan memaksa aku selesaikan. Setiap dinding aku lukis mural (sehingga kini masih ada). Mewujudkan Bilik Pendidikan Seni Lukis, Pengerusi Kelab Guru, Ketua Panitia Pendidikan Seni, Ketua Penasihat Rumah Sukan, dan banyak lagi. Memang aku layak menerima APC. Namun, pengetua tidak mahu memberinya disebabkan (1) aku merupakan rakan lama dari sekolah lama. Beliau bimbang akan dianggap rasuah atau kroni jika aku menerima APC, dan (2) ada guru lama yang akan bersara pada tahun berikutnya. Justeru, beliau bercadang akan memberi APC kepada guru berkenaan sebagai tanda menghargai khidmatnya, dan (3) guru baharu masih mempunyai masa untuk menerima APC. Malangnya, awal tahun 1995, Encik Tan Sun Seng berpindah ke SMK Concrene, Taman Maluri. Bulan Julai tahun 1995, aku melanjutkan pelajaran di IBMM dan seteruinya UM. Pengetua baharu guna pakai kaedah lain memberi APC menyebabkan aku terlepas peluang.
- Semasa Sistem Saraan Malaysia (SSM), aku berkhidmat di IPG Kampus Tuanku Bainun. Pada tahun 2007 aku bakal menerima APC. Ketua Jabatan dan Penolong Ketua Jabatan memang mencadangkan nama aku sebagai penerima. Malah, Penolong Ketua Jabatan sendiri membubuh markah melebihi 90 dan meminta aku mengisinya yang lain-lain. Memang aku banyak menganjurkan aktiviti semasa di sini, termasuk sumbangan kepakaran kepada masyarakat luar sehingga ke luar negara. Dalam mesyuarat penentuan didapati nama aku tercicir dan berganti nama pensyarah yang baharu dua tahun berkhidmat. Perkara ini ditanyai oleh Penolong Ketua Jabatan (akan pengguguran nama aku), namun tidak dapat dijawab oleh Timbalan Pengarah, Encik Daud Mat Saman. Kebetulan, pada tahun 2008, IPG - KTB ditadbir oleh pengarah baharu. Pengarah bertanya kepada timbalan akan sebab pengguguran nama aku itu, namun tidak juga dijawab. Aku mengesyaki pengguguran nama aku sebagai penerima APC 2007 kerana aku pernah menolak permintaannya dalam mesyuarat akademik. Penolakan itu disebabkan amanah jabatan agar mengembalikan pengajaran Kertas Pengurusan Gerko kepada jabatan asal disebabkan kertas pembelajaran yang ditawarkan oleh Jabatan Pengajian Melayu kian bertambah dan membebankan. Justeru, Kertas Pengurusan Gerko dikembalikan kepada jabatan PJK. Encik Daud Mat Saman mempunyai hubungan rapat dengan jabatan PJK.
Kakitangan awam tidak berpuas hati terhadap SSB bukan kerana sistemnya, tetapi kerana sikap diskriminasi pengetua dalam membuat penilaian. Setelah digantikan dengan SSM, sikap diskriminasi itu tetap ada. Malah, digunakan sewenang-wenangnya oleh pentadbir. Pernah terjadi penyarah yang diberikan markah rendah oleh ketua jabatannya telah menerima APC atas kuasa veto pengarah, Ismail Din. Sebenarnya, pensyarah ini tidak pernah mengajar dan selalu keluar. Namun, beliau pernah menyediakan satu rombongan pemain kompang ke rumah pengarah untuk majlis perkahwinan anaknya. Tahun berikut, pensyarah ini dapat APC.
APC ialah Aku Punya Cara. Lain ketua lain caranya dan lain kehendaknya. Justeru, usah peduli APC. Kalau memang anda layak, anda akan menerima di akhirat kelak. Namun, pada masa itu saya tidak mahu menerimanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan