Sabtu, 7 Ogos 2010

HADIAH SASTERA MALAYSIA (1971 - 1989)


Pengenalan
Penubuhan Hadiah Karya Sastera (kemudiannya dikenali sebagai  Hadiah Sastera Malaysia (HSM). Selepas ini ditulis HSM sahaja ) dalam dekad 1970-an telah merancakkan lagi perkembangan kesusasteraan Melayu moden, di samping peranan yang dimainkan oleh akhbar dan majalah. Para penulis menganggap HSM sebagai hadiah kesusasteraan paling berprestij dalam dekad 1970-an. Mereka juga menganggap HSM sebagai pengiktirafan paling bermakna daripada kerajaan Malaysia. Walaupun HSM dalam dekad 1980-an  menduduki tempat kedua selepas Anugerah Sastera Negara, namun HSM masih menjadi kebanggaan. Di kalangan penulis, mereka menganggap HSM sebagai tiket pengesahan dan pengiktirafan kepada penglibatan mereka sebagai pengarang  kesusasteraan.


            Dalam bab ini, tumpuan pembicaraan HSM 1971 –1989 ialah terhadap dua perkara. Pertama, mengenai sejarah dan perkembangan HSM; dan kedua, mengenai masalah dan cabaran HSM. Setakat ini  tidak ada pengkajian seriuss mengenai kedua-dua perkara tersebut, kecuali sedikit maklumat daripada Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Maka,  maklumat kajian ini banyak berdasarkan kepada laporan akhbar dan majalah.

Sejarah dan Perkembangan
Bibit-bibit awal ke arah pembentukan HSM dapat dikesan pada awal penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti dalam ucapan Tun Abdul Razak.

Kita mesti mempunyai satu bahasa dan sastera yang mencerminkan bahawa kita satu bangsa yang bertemadun dan berkebudayaan.

                                                                       (Keris Mas, 1976: 2)

Kemudiannya, pada tahun 1966, Tun Abdul Razak secara langsung bercakap tentang kesusasteraan kepada penulis-penulis di Pulau Pinang. Ekoran daripada minat Tun Abdul Razak itu, ramai tokoh-tokoh birokrat turut berminat kepada kesusasteraan Melayu. Mereka terdiri daripada menteri hingga kepada Penolong Pegawai Daerah (Dinsman dan Sutung Umar Rs,1983: 225). Timbulnya minat di kalangan mereka itu atas usaha Tun Abdul Razak sendiri yang menyedari betapa pentingnya mereka mengetahui kesusasteraan bangsanya.


Pada malam ini, saya telah juga menjemput orang-orang dari golongan bukan penulis dengan maksud hendak menarik perhatian mereka itu, terutama para pegawai dan cerdik pandai, supaya memberi perhatian kepada kesusasteraan kita …. Bagi para pegawai dan cerdik pandai khasnya, saya rasa hal ini sangat penting kerana merekalah yang langsung berhadapan dengan tugas-tugas membangun bangsa.

                              (Tun Abdul Razak, Dewan Sastera, Mei 1972:9)

            Pada tahun 1970, Jemaah Hakim Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka melaporkan bahawa karya-karya yang diterima kelihatan lemah dalam  mengolah cerita berdasarkan tema-tema yang diberikan. Berasaskan kepada laporan jemaah hakim berkenaan, Persatuan Penulis Nasional (PENA) mengesyorkan pemberian hadiah kepada karya-karya yang tidak terikat  dengan batas waktu,  tema atau apa-apa syarat yang menyekat kreativiti seseorang penulis (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1995: 829).

            Usul PENA itu mendapat perhatian Tun Abdul Razak dan menjemput beberapa orang sasterawan, cerdik pandai dan ahli-ahli politik ke kediamannya di Sri Taman. Menurut Keris Mas (salah seorang yang hadir pada malam pertemuan itu), Tun Abdul Razak menegaskan;


Kepada yang hadir Allahyarham (Tun Abdul Razak) menyatakan bahawa sastera tidak dapat dinafikan kepentingannya dalam masyarakat dan beliau ingin melihat satu masa nanti sastera nasional mencerminkan fikiran dan kedudukan orang Melayu negara ini.


                                                             (Amir Hamzah Shamsuddin,
                                                           Berita Minggu: 12 Mac 1978)

            Hasil pertemuan itu, dua buah badan dengan tugas-tugas khas ditubuhkan pada 24 Julai 1971. Badan tersebut ialah Panel Hadiah Sastera, dan Panel Penasihat Sastera yang masing-masing bertanggungjawab secara langsung kepada Tun Abdul Razak. Panel Hadiah Sastera dipengerusikan oleh  Tan Sri Ghazali Shafie dan memulakan tanggungjawabnya mulai September 1971. Panel Penasihat Sastera pula dipengerusikan oleh Encik Hussein Onn (Tun), Menteri Pelajaran ketika itu. Tan Sri Ghazali Shafie menegaskan bahawa penubuhan Panel Hadiah Sastera dalam tahun 1971  adalah, “sebagai satu cara memberi penghormatan dan penghargaan kepada sumbangan yang diberikan terhadap pembangunan dan perkembangan masyarakat negara ini oleh sasterawan melalui karya-karyanya,” ( Ghazali Shafie, Dewan Sastera, Mac 1977: 4).

            Penubuhan HSM sebenarnya atas daya inisiatif Tun Abdul Razak sendiri sebagai menunjukkan bahawa kerajaan kepimpinannya mengiktiraf dan menghargai wujudnya kesusasteraan. Tun Abdul Razak sendiri menyedari bahawa sebarang bentuk pemberian hadiah sepatutnya oleh kalangan sasterawan sendiri atau pihak swasta. Penubuhan HSM dengan harapan dapat menyemarak galakan menulis di kalangan sasterawan. Sebenarnya, tiada peruntukan khas disediakan oleh kerajaan kerana pembentukan HSM itu sendiri tidak dibincangkan dalam kabinet. Dengan itu, segala sumber kewangan pentadbiran  HSM 1971-1976 diambil daripada Jabatan Perdana Menteri sendiri dan  DBP dilantik sebagai sekretariat.

            HSM ditubuhkan dengan tujuan, (1) memperkembang bahasa dan kebudayaan Melayu; (2) menggalakkan lahirnya cipta sastera yang bernilai; (3) menggiatkan penerbitan dan pembacaan; dan (4) memberi galakan dan penghargaan kepada penulis-penulis tempatan (Yatiman Yusuf, Berita Minggu: 30 Disember 1979). Asas kepada pemilihan dan penilaian oleh panel hakim bergantung kepada tiga perkara, iaitu (1) karya itu haruslah tinggi nilai estetika; (2) karya itu haruslah sedapat mungkin menepati penerapan teori-teori pengolahan karya sastera; dan (3) isi karya itu tidak bertentangan dengan kepentingan nasional, moral dan susila masyarakat, agama dan undang-undang negara (Ghazali Shafie, Dewan Sastera, Mac 1977 : 5).

            Berdasarkan tiga perkara asas pemilihan karya  di atas dan bertunjangkan kepada nilai-nilai masyarakat Malaysia, panel menetapkan penilaian sajak kepada beberapa aspek  khusus (Laporan Panel HSM 1971, Dewan Sastera,  Mei 1972:10).

                1).   Pengemukaan fikiran atau idea yang sihat dan mendalam,
                2).   Pemaparan dan pencurahan rasa yang menggetarkan hati dan    
                       meninggalkan kesan seni,
                3).   Pengutaraan kebenaran atau satu-satu peristiwa biasa secara yang 
             baharu dengan segar atau    secara yang memberi nafas serta 
                       pengertian hidup aspek kehidupan manusia sejagat, dan
               4).   Pengemukaan suatu masalah manusia, bangsa dan negara dalam
                       konteks membangunan masyarakat  ini secara yang menggerakkan 
                       rasa dan perasaan

             Sepanjang tempoh HSM, panel telah menyemak dan meneliti karya dalam pelbagai genre sama ada bercetak atau stensilan. Pada peringkat awal genre yang terlibat ialah novel, cerpen, sajak, drama, dan esei dan kritikan. Genre-genre karya penilaian itu berubah dan diperluaskan  dari setahun ke setahun. Misalnya, esei dan kritikan mula diperkenalkan pada tahun 1973. Pada peringkat awal HSM berlangsung selama enam tahun bermula 1971 hingga 1976 dan disambung semula mulai tahun 1982/1983. Karya-karya  yang dinilai secara terperinci dapat dilihat pada jadual di bawah.

Tahun
Sajak
Cerpen
Novel
Drama
Esei/Kritikan
1971
1,322
294
7
4
-
1972
1,728
471
12
4
-
1973
2,235
636
17
15
415
1974
1,630
572
8
9
671
1975
1,730
519
8
11
633
1976
2,023
614
27
18
1,168
1982/1983
6,245
2,160
29
21
1,568
1984/1985
3,115
1,122
26
33
?
1986/1987
3,208
1,227
55
32
?
1988/1989
3,829
1,450
108
17
1,60

        ( Sumber: Berdasarkan laporan Panel HSM dalam tahun-tahun berkenaan)

                          Jadual 1.1: Bilangan Karya Berdasarkan Genre dan Tahun


            Mulai tahun  1982/83  dua lagi genre yang dinilai, iaitu terjemahan dan buku kajian. Walau bagaimanapun, kedua-dua genre itu tidak dapat dikesan jumlah karya  dinilai, kecuali pada tahun 1982/83, terdapat 41 buah terjemahan dan 20 buah buku kajian. Mulai tahun  1984/85 terdapat 29 buah kumpulan sajak  dan 43 buah kumpulan cerpen  dinilai. Tahun 1986/87 terdapat 54 buah kumpulan sajak dan 26 buah kumpulan cerpen, manakala dalam tahun 1988/89 terdapat 43 buah kumpulan sajak, 51 buah kumpulan cerpen  dan dua buah kumpulan esei dan kritikan telah dinilai.  Dalam genre sajak,  bilangan karya dan penulis yang memenangi hadiah, sebagaimana dalam jadual di bawah.

Tahun
Bil. Sajak
Menang
Bil. Penulis
Bil. Sajak Menang
Bil. Penulis Menang
1971
1,322
400
42
30
1972
1,728
562
13
9
1973
2,235
684
10
6
1974
1,630
?
10
6
1975
1,730
505
16
13
1976
2,023
628
13
21
192/1983
6,245
?
22
?
198/1985
3,115
?
18
?
1986/1987
3,208
?
18
?
1988/1989
3,829
?
18
?

             (Sumber: Berdasarkan laporan Panel HSM dalam tahun-tahun berkenaan)

                    Jadual 1.2: Bilangan Sajak dan Penulis Yang Memenangi Hadiah

            Sebelum ini bagi merealisasikan HSM 1971 – 1976, kerajaan menggunakan sejumlah wang daripada Jabatan Perdana Menteri dan sedikit wang peruntukan kerajaan kepada DBP. Setiap pemenang memperolehi hadiah berbentuk wang tunai. Dalam tahun 1971 nilai hadiahnya RM300.00 sebuah sajak, RM700.00 sebuah cerpen dan RM2,000.00 untuk sebuah novel. Nilai hadiah tidak tetap dan berubah dalam tahun-tahun berikutnya. Misalnya, dalam tahun 1976 nilai hadiah HSM seperti di bawah.

 
                         . Hadiah perseorangan RM7,500.00
                         . Hadiah sebuah cerpen RM750.00
                         . Hadiah antologi cerpen RM3,000.00
                         . Hadiah drama panjang RM3,000.00
                         . Hadiah drama pendek RM1,500.00
                         . Hadiah esei RM750.00
                         . Hadiah buku esei sastera RM2,000.00
                         . Hadiah kritikan RM750.00
                         . Hadiah buku kritikan sastera RM2,000.00
                         . Hadiah novel RM3,000.00
                         . Hadiah sebuah puisi RM500.00
                         . Hadiah antologi puisi RM3,000.00
                         . Hadiah tesis sastera (buku) RM2,000.00
 
                        (Sumber: Laporan Panel Hadiah Karya Sastera 1976, 1978: V)

 Jadual 1. 3: Nilai hadiah HSM 1976 mengikut Genre
  
             Pada 11 November 1977, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Hussein Onn (Tun) dalam ucapannya pada majlis penyampaian hadiah sastera 1976 di Rumah Malaysia mengumumkan tamatnya pengelolaan HSM oleh pihak kerajaan. Penamatan HSM itu dengan harapan diambil-alih pengelolaannya oleh penerbit swasta. Malangnya, selama lima tahun (1977 – 1981) tidak ada pihak swasta yang sanggup memikul tanggungjawab tersebut. Atas saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam, selaku Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara 1982, DBP bertindak menghidupkan kembali hadiah tersebut dan dikenali dengan nama Hadiah Sastera Malaysia. Antara tujuannya ialah  (a) menggalakkan penulis berkarya, dan (b) mengangkat mutu penulisan yang baik dan menggalakkan pihak penerbit menerbit dan menyiarkan karya sastera. Timbulnya kesedaran menghidupkan kembali HSM sebagai merangsang penulis berkarya, di samping menghargai para sasterawan atas sumbangannya kepada pembangunan negara (Isnin Tawaf, Mingguan Wanita: 7 Januari 1983). Kali ini format penilaian HSM telah berubah daripada setahun sekali kepada dua tahun sekali,  bermula tahun 1982/1983. Perubahan format penilaian turut mengubah nilai hadiah yang ditawarkan. Nilai hadiah sebuah cerpen ialah RM1,000.00, sajak (RM600.00), drama pendek (2,000.00), drama panjang (RM4,000.00), novel (RM5,000.00), esei/kritikan (RM1,000.00), kajian sastera baru (RM4,000.00) dan kajian sastera lama (RM4,000.00). Dalam genre terjemahan diperuntukkan nilai hadiah bagi novel RM3,000.00, cerpen (RM500.00), sajak (RM400), drama pendek (RM1,000.00) dan drama panjang (RM2,000.00).

             Sepanjang tempoh HSM (1971 hingga 1988/1989) terdapat 44 orang dilantik sebagai urusetia panel hakim. Mereka terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang ilmu dan genre kesusasteraan Melayu. Pengerusi tetap panel hakim disandang oleh  Tan Sri Ghazali Shafie (1971 – 1976), Datuk Hassan Ahmad (1982/1983 – Ogos 1988), Tuan Haji Jumaat Datuk Haji Mohd Noor (mulai Ogos 1988) dan kini Tuan Haji Abdul Aziz Deraman. Mereka yang  terlibat sebagai urusetia panel hakim terdiri daripada  Tan Sri Ghazali Shafie (pengerusi), Datuk Abdullah Ahmad (timbalan pengerusi), Prof. Mohd Taib Osman, Tan Sri A. Samad Ismail, Prof. A. Bakar Hamid, Datuk Omar Mohd Hashim, Prof. L. Fernando, Prof Dr Khoo Kay Kim, Encik Mohd Nor A. Ghani, Prof. Madya Siti Hawa Salleh, SN Usman Awang, SN Kamaluddin Muhammad, Datuk Baharudin Zainal, Prof. Madya  Krishen Jit, SN Prof. Datuk Shahnon Ahmad, SN Datuk Abdullah Hussein, Prof. S. Singravelu, Prof. Madya Dr Ali Ahmad, Prof. Madya Goh Then Chye, Prof. Dr Hashim Awang, Prof. Madya Dr Wong Seng Tong, Prof. Dr Rahmah Bujang, Datuk Ahmad Sebi, Encik Osman Abadi, Pn. Fadilah Amin, Prof. Madya Dr Ramli Isin, Encik Rustam A. Sani, Encik Ayob Yamin (setiausaha), Encik Fadzil Agussalim (penolong setiausaha), SN Prof. Datuk Dr Muhammad Haji Salleh, Prof. Madya Muhammad Yusuf Hassan, Prof. Madya Kamaruzaman A. Kadir, Encik Ahmad Kamal Abdullah, Prof. Madya Dr Othman Puteh, Prof. Madya Dr Sahlan Mohd Saman, Prof. Madya Dr Solehah Ishak, Datuk Johan Jaafar, Prof. Madya Dr Shafie A. Bakar, Encik Hamzah Hamdani, Prof. Madya Dr Harun Mat Piah, Prof. Madya Dr Wong Soak Koon, Prof. Madya Dr Salleh Yaapar, dan Encik Mohd Thani Ahmad.

            HSM memberi senario baru kepada perkembangan kesusasteraan Melayu moden. Karya-karya kesusasteraan moden mulai meresap ke dalam masyarakat dan bukan lagi hak milik segelintir individu yang berminat. Dengan ini HSM telah memperlihatkan kesan yang menggalakkan kepada pertumbuhan dan perkembangan kesusasteraan Melayu moden. Pertama,  bertambahnya bilangan penulis dan karya setiap tahun khususnya dalam genre sajak dan cerpen; kedua, bertambahnya penerbitan karya-karya kasusasteraan di media massa dan penerbitan karya dalam   bentuk buku sama ada bercetak atau stensilan; ketiga,   timbulnya rasa kesedaran di kalangan penulis menghasilkan karya-karya bermutu; keempat, wujudnya kerjasama secara kolektif sama ada di kalangan sasterawan, bukan sasterawan dan pemerintah dalam usaha mempertingkatkan mutu karya kesusasteraan; dan kelima, memperlihatkan kesungguhan pemerintah memberi insentif dan daya galakan untuk penulis mencipta karya-karya bermutu ke arah mempertinggi dan memperkaya khazanah kesusasteraan negara.

Masalah dan Cabaran
            Sejak pertama kali pemenang diumumkan, HSM sering menerima kritikan dan kecaman. Sebilangan karya yang menang dipertikaikan mutunya. Perbezaan pandangan terhadap mutu karya timbul kerana pengukuran mutu karya adalah bersifat subjektif. Ini dapat difahami seperti pendapat Masuri S.N.


Keputusan para juri mengenai karya sastera yang diadili itu muktamad, tetapi tidak mutlak.


                         (Yatiman Yusuf, Berita Minggu: 30 Disember 1979)

            Kritik mengkritik dalam kesusasteraan tidak dapat dielakkan. Bahkan, kritikan menjadi sebahagian genre kesusasteraan. Yahaya Ismail menjelaskan apabila ada yang mengkritik HSM bukan bermakna pengkritiknya benci kepada HSM dan cuba menolaknya. Perkara yang dikritik bukan HSM tetapi cara penghakiman karya-karya HSM (Amir Hamzah Shamsuddin, Berita Minggu: 12 Mac 1978). Keris Mas menegaskan sepanjang HSM 1971 – 1976, anggota panel hakim yang paling menderita. Panel ditomah dengan pelbagai tuduhan yang berat. Panel dituduh menjadi perkakas pemerintah, propagandis pembangunan, pilih kasih dan tidak layak menjadi panel hakim HSM. Bahkan, panel hakim dituduh bahawa mereka dipengaruhi oleh anasir subversif komunis.

            Dalam tahun 1976, negara menghadapi perang saraf daripada anasir komunis. Seorang panelnya, A. Samad Ismail, dianggap terlibat dan dituduh sebagai beraliran komunisme. Sebelum itu,  Abdullah Majid, seorang anggota panel sastera telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Pada 7hb, Februari 1977,  Abdullah Majid menerusi satu wawancara khas dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah mendedahkan kegiatan subversif A. Samad Ismail dan menyatakan,


Saya tahu Samad Ismail telah cuba mempergunakan kedudukan dan pengaruhnya ke atas keputusan panel terhadap hadiah-hadiah tersebut untuk menggalakkan dan mengembangkan karya sastera yang pro komunis, saya sedar Samad Ismail cuba menggunakan pengaruhnya ke arah Panel Hadiah Sastera dengan tujuan supaya mengiktiraf karya sastera yang berunsur ke arah perjuangan komunis.

                               (Ghazali Shafie, Dewan Sastera, Mac 1977: 4 )

            Kesan daripada dakwaan  Abdullah Majid, A. Samad Ismail  telah disiasat oleh polis dan seterusnya ditangkap di bawah ISA pada 22hb, Jun 1976. Dakwaan  Abdullah Majid, penyiasatan polis dan penangkapan A. Samad Ismail  telah menimbulkan kekeruhan kepada HSM. Para pemerhati, sasterawan, dan politikus melahirkan rasa bimbang dan ragu terhadap karya-karya yang memenangi HSM. Keadaan ini memaksa  Ghazali Shafie mengeluarkan kenyataan khas pada 26hb, Februari 1977 menafikan peresapan pengaruh komunis dan menjernihkan kekeruhan pandangan ramai terhadap karya-karya HSM. Menurut Ghazali Shafie, penilaian karya tidak dilakukan secara berasingan, sebaliknya setiap panel berbincang memberi pandangan, menyatakan pendirian dan mengkritik karya-karya yang dicalonkan untuk memenangi hadiah HSM.


Masing-masing anggota panel itu menerima karya-karya yang sama dan masing-masing membaca, menilai dan memilih mana yang mereka dapati tinggi mutunya. Pilihan masing-masing anggota  itu kemudiannya dibawa ke perbincangan bersama di mana pilihan dari tiap-tiap anggota dibahagikan kepada tiga kumpulan A, B dan C mengikut pangkat pilihan yang dibuat oleh masing-masing anggota. Di sini akan kedapatan bahawa pilihan pangkat A oleh anggota X terhadap satu-satu karya mungkin pilihan pangkat B oleh anggota Y, pilihan pangkat C oleh anggota Z dan seterusnya dan sebaliknya. Kedapatan juga majoriti A atau majoriti B atau majoriti C dan sebaliknya majoriti A atau B atau C dan juga kedapatan yang sebulat suara A atau  C. Dalam pengalaman selama lima tahun yang dicatatkan di Sekretariat menunjukkan ada banyak pula berlaku perbezaan pangkat pilihannya. Jika didapati, misalnya, karya yang dikumpulkan itu 100 buah maka rata-rata anggota panel ada memilih karya yang 100 buah itu, cuma pangkat yang mereka beri ada yang berbeza dan ada yang sama. Perbahasan yang hebat berlaku bila seorang anggota mengemukakan A sedang yang lain kebanyakannya C atau ada yang tidak memilihnya sama sekali. Anggota yang mengemukakan A itu terpaksa memberikan alasan yang sudah tentu mendapat tentangan yang hebat dari anggota yang lain. Demikian juga jika seorang anggota lain memilihnya dengan pangkat A atau B maka ia akan terpaksa memberikan alasan yang kuat mengapa ia tidak memilih karya itu.

         Termasuk dalam sistem penilaian juga ialah pengelompokan anggota-anggota panel kepada beberapa kelompok. Ada kelompok sajak, ada kelompok cerpen, ada kelompok drama, ada kelompok esei & kritik dan ada kelompok novel. Bagaimanapun pada peringkat terakhir segala kelompok kembali menjadi satu untuk membuat pilihan terakhir bagi tiap-tiap jenis karya.


                                      (Ghazali Shafie, Dewan Sastera, Mac 1977: 4)
 
            Pertama kali pemenang diumumkan, HSM menghadapi kritikan hebat daripada penulis dan sarjana sastera khususnya dalam genre sajak. Kemenangan 42 buah sajak pada tahun 1971 menimbulkan keraguan di kalangan sasterawan terhadap kewibawaan panel hakim. Seorang penulis yang menggelarkan dirinya, Sasterawan, menulis dalam Mingguan Malaysia 23hb April 1972 mendedahkan,


Ada penulis yang tidak mahu mengambil hadiahnya kerana tidak mengiktiraf sebahagian daripada pengadilnya … ada pula penyair yang tidak mahu mengambil hadiahnya kerana kemenangan atas sajaknya tidak dianggap bernilai

                                         (Dinsman dan Sutung Umar Rs, 1983: 226)

            Penolakan hadiah dibuat secara sedar sebagai tanda protes kerana mengharapkan karya yang menang mempunyai nilai sastera yang tinggi. Muhammad Haji Salleh, misalnya, tidak mengizinkan sajaknya yang memenangi HSM 1972, 1974 dibuku dan diterbitkan secara bersama. Usman Awang turut menolak beberapa buah sajak seperti Utusan intelek, Tiga Pesan Pembangunan, Aku dan Antara Dua Jurang sebagai layak menerima hadiah. Menurut Usman Awang, sajak Utusan Intelek merupakan karya prosa bukannya puisi; sajak Tiga Pesan Pembangunan pula berupa solgan yang dibuat-buat dan lebih rendah nilai sasteranya berbanding sajak Patricia Takemoto oleh penulis yang sama dan tersiar pada tahun berkenaan; sajak Aku pula daif dan tidak layak dianggap sajak, manakala sajak Antara Dua Jurang kabur pemikirannya dan dangkal pemahaman bahasa. Bahkan, Usman Awang menganggap empat sajak berkenaan lebih bermutu berbanding berbelas-belas sajak lain yang memenangi HSM 1971, sebagaimana petikan di bawah.
 

Bagi saya berbelas-belas buah sajak yang dapat hadiah sastera 1971 ini lebih rendah mutunya daripada sajak-sajak yang tidak bermutu yang saya kemukakan sebagai contoh tadi.

                                       (Dinsman dan Sutung Umar Rs, 1983: 230)

            Dalam tahun-tahun berikutnya, keghairahan bersajak semakin meningkat. Malangnya, peningkatan jumlah sajak dan jumlah penulis tidak seimbang dengan peningkatan mutu sajak. Para penulis seolah-olah mengalami fobia, bersajak semata-mata untuk memenangi hadiah. Kebanyakan sajak-sajak HSM 1971 bertemakan pembangunan, dan tema ini menjadi begitu popular dalam tahun 1972 dan bersifat propagandis. Di kalangan penulis-penulis baru mereka meniru gaya dan gaya bahasa persajakan penulis yang sudah mantap seperti Kemala, A. Ghafar Ibrahim, atau A. Latiff Mohidin. Kata ganda separa yang dipopularkan oleh Kemala, dan kependekan kata-kata begitu berleluasa sehinggakan nama orang, Aminuddin Baki, turut dipendekkan menjadi Nordin Baki. Mengulas gejala tersebut, Usman Awang menjelaskan,


“bahayanya apabila terlalu banyak penulis menulis terlalu banyak kata-kata “lelangit,” “pepura,” “lelalang ,” dan terlalu banyak pula yang memendekkan menjadi “nyimpan,” “tika,” “udah,” dan lain-lain, maka bahasa dalam puisi kita mengarah menuju kepada bahasa orang gagap dan bahasa Pak Pandir.”

                                       (Dinsman dan Sutung Umar Rs, 1983: 236)

Hal ini terjadi pada penulis yang tidak ada identiti, jati diri, dan tidak bersungguh-sungguh mematangkan sajaknya sebagaimana diakui oleh Panel Hadiah Sastera 1972.


Banyak juga terdapat sajak-sajak yang cukup baik pada bait-bait permulaan, tetapi di pertengahan jalan ia semakin pudar dan lemah menjalin puisinya sehingga akhirnya ia kehilangan arah …. Hal ini disebabkan antara lain, penyair tidak cukup mendalami persoalan yang hendak ditulisnya, kurang kuat daya bayangnya dan kurang persungguhan.

                                                           (Suara Semusim, 1974: 4)

Keghairahan yang berlebihan dikatakan lahir kerana penulis ingin mengejar nilai hadiah dan status HSM. Usman Awang menegaskan,


Hadiah Sastera sekarang ini sudah jadi rebutan macam suatu pertandingan sukan, masing-masing mahu merebut kejohanan dan piala …. (sebabnya) Karya-karya yang menang hadiah itu menjadi model bagi penulis-penulis, terutama penulis muda dan penulis yang belum menulis. Model ini pula sampai ke mana-mana, keluar negeri.

                                       (Dinsman dan Sutung Umar Rs, 1983: 231)

            Usman Awang berpendapat ada dua faktor yang mendorong keghairahan bersajak, dan sekali gus menjadi sebab kemerosotan mutu sajak  HSM 1971 – 1976. Pertama, keghairahan penulis-penulis baru yang meluap-luap. Mereka menulis sajak yang diertikan sebagai sajak dengan baris dan bentuk meniru baris dan bentuk sajak, tetapi sebenarnya bukan sajak. Kedua, peranan editor ruangan sastera di akhbar dan majalah yang bersikap asal ada dan tangkap muat. Lebih malang lagi ada editor yang tidak menilai sama ada karya yang ingin disiarkan itu bermutu atau tidak. Keghairahan yang tidak terkawal menyebabkan mutu sajak/karya kesusasteraan semakin hari semakin merosot. (Dinsman dan Sutung Umar Rs, 1983: 234).  Manakala, A. samad Ismail  pula mendedahkan bahawa ada penulis yang menganggap karya-karya HSM lebih rendah mutunya daripada karya-karya yang tidak memenangi HSM (Shariff Putera, Berita Harian: 24 April 1975).

            Cabaran demi cabaran, masalah demi masalah yang dihadapi oleh penganjur, panel, dan HSM itu sendiri. Akhirnya bertempat di Rumah Malaysia pada 11hb, November 1977, Hussein Onn,  Perdana Menteri Malaysia ketika itu mengumumkan penamatan HSM. Shahnon Ahmad (Berita Harian, 9 Mac 1978) menjelaskan ada enam sebab HSM 1971 – 1976 yang bertujuan menolong sasterawan telah timbul keraguan dan diberhentikan. Pertama, bisa atau nilai atau apa yang dikatakan spirit and merit of the award setiap tahun menjadi tawar sehingga pada tahun 1976 hadiah itu menjadi klise yang memualkan kerana karya-karya yang menang cenderung menjadi sastera popular dan pop; Kedua, sepanjang enam tahun HSM boleh berbangga dari aspek dokumentasi tetapi karya-karya HSM itu sendiri tidak layak didokumentasikan kerana bersifat karut dan instant; Ketiga, karya-karya HSM diboloti oleh orang yang sama, mengambarkan bidang kesusasteraan bukan untuk semua rakyat Malaysia menjadi pengarang; Keempat, reaksi daripada masyarakat dan sasterawan yang bersifat marah-marah tanpa sebab dan mencemoh panel. Akibatnya,  ahli-ahli panel berasa tawar hati dan tidak mahu lagi bertugas sebagai penyelenggara (Azimah Hasan, Berita Harian, 23 disember 1982) kerana jasa mereka tidak dihargai; Kelima, ada sasterawan yang serius berkarya tidak mahu lagi menyiarkan karya mereka dalam akhbar dan majalah kerana bimbang karya mereka akan memenangi HSM sedang karya-karya HSM dipandang rendah mutunya; Keenam, kebimbangan pada prestij dan nilai HSM akan terus jatuh, dipandang rendah berbanding karya-karya di luar HSM. 

            Selain itu, berdasarkan kritikan dan perbincangan di atas dapat dikesan tiga sebab lain HSM diberhentikan. Pertama, sikap sasterawan sendiri yang hilang pertimbangan akal dan masing-masing melihat keberhakkan diri memenangi HSM, bukannya bergantung kepada mutu karya yang dihasilkan; Kedua, HSM sendiri sebenarnya cetusan idea Allahyarham Tun Abdul Razak sendiri dan tidak pernah dibincangkan dalam kabinet. Oleh itu, minat yang ditunjukkan oleh menteri dan pegawai kerajaan adalah bukan minat sebenar melainkan minat yang sengaja dibuat-buat demi untuk memperolehi atau menjaga kepentingan diri. Ketiga, sepanjang pelaksanaan HSM tidak ada peruntukan khusus yang diluluskan oleh karbinet kecuali atas budi bicara Allahyarham Tun Abdul Razak sendiri. Maka, kematian Allahyarham Tun Abdul Razak turut mematikan HSM 1971 – 1976.

            Dalam dekad 1980-an HSM tidak menghadapi banyak masalah sebagaimana HSM dalam dekad 1970-an. Masih terdapat penolakan hadiah dan tidak mengizinkan karya yang dimenangi dibuku dan diterbitkan. Terdapat kritikan di kalangan sasterawan yang menganggap panel bersikap double standard terhadap media yang menyiar karya, khususnya genre sajak. Panel dituduh menilai atau mengkreditkan sajak-sajak yang tersiar dalam majalah terbitan DBP, seperti majalah Dewan Sastera, Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya.

            Sepanjang dekad 1980-an terdapat 76 buah sajak memenangi HSM. Daripada sebanyak itu, 49 buah dalam majalah terbitan DBP, 13 buah tersiar di pelbagai media (akhbar dan majalah) lain, dan 14 buah lagi sajak yang diterbitkan dalam bentuk antologi bersama atau kumpulan sajak. Ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan editor akhbar dan majalah bukan terbitan DBP.  Misalnya, sajak Lim Swee Tin berjudul Sewaktu Melintasi Kundasang pernah tersiar dalam majalah Dewan Masyarakat dan Berita Minggu bulan Disember 1989, tetapi media yang dikreditkan hanya majalah Dewan Masyarakat sahaja.

            Selain aspek teknikal, terdapat sedikit kritikan dari segi isi sajak. Sahlan Mohd Saman (1985) mempertikai sajak Satu Cerita Cinta, Puisi Cinta Yang Lain, dan Satu Percakapan Singkat Dengan Teman Penyair karya Zurinah Hassan sebagai wajar memenangi HSM 1982/1983. Sahlan Mohd Saman menganggap kemenangan tiga sajak itu bertentangan dengan landasan panel yang mementingkan, “kebenaran, dan puisi bukan sekadar curahan perasaan yang  melimpah ruah tanpa kawalan akal.” Malangnya, ketiga-tiga sajak tersebut bersifat curahan perasaan,  dan temanya klise. Demikian sajak Anis Sabirin berjudul, Tak Dapat Kulupakan.  Ilias Haji Zaidi (1985) menganggap sajak tersebut sebagai puisi yang mengajak kita kembali kepada sajak-sajak peringkat awal yang lumrah dengan nada melankolik dan tidak ada apa-apa mesej yang menarik.

Kesimpulan
Penubuhan HSM oleh Allahyarham Tun Abdul Razak membuktikan keperihatinan dan rasa cinta seorang pemimpin tertinggi negara terhadap kesusasteraan  bangsanya sebagaimana yang ditegaskan dalam ucapan Majlis Penyampaian Hadiah Karya Sastera tahun 1971 di Dewan Tuanku Abdul Rahman pada 15 April 1972, jam 6.30 petang.


Sudah sewajarnya tiap-tiap golongan manapun dalam masyarakat ini mengikuti perkembangan serta memberi penghargaan kepada kesusasteraan kita. Betapa tinggi sekalipun nilai kesusasteraan asing namun ia tidak mencerminkan kehidupan, cara berfikir, harapan dan hasrat cita-cita bangsa kita sendiri. Melalui kesusasteraan nasional kita dapat melihat dan merasa apa yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat yang dialami dan dicita-citakan oleh bangsa kita.

                               (Tun Abdul Razak, Dewan Sastera, Mei 1972: 9)

             Walau bagaimanapun, impian dan harapan  Allahyarham Tun Abdul Razak itu kurang dihayati oleh pemimpin dan sasterawan sendiri. Mereka menghasil dan menyiarkan karya tanpa mementingkan mutu sajak yang dihasil atau yang disiarkan itu. Mereka sepatutnya bertanggungjawab sebagai pemikir masyarakat dan mencontohi peranan yang dimainkan oleh sasterawan sebelum mereka. Ini kerana peranan sasterawan tidak pernah berubah, sebagaimana ditegaskan oleh Hussein Onn;


Tugas seorang seniman,pada hemat saya, tidak pernah berubah, walaupun zaman dan keadaan berubah. Yang berubah ialah bentuknya, stailnya, gayanya dan bahasanya. Tetapi isi tetap itu juga, kebenaran tetap kebenaran yang itu juga, perjuangannya tetap perjuangan yang itu juga, iaitu perjuangan menyatakan yang baik dan yang tidak baik, menyatakan yang mulia dan tidak mulia, menegakkan moral dan kemanusiaan, menentang kejahatan dan keburukan.

                                (Hussein Onn, Dewan Sastera, Disember 1977)

            Masalah dan cabaran ini perlu ditangani  secara berterusan, walaupun HSM sekali lagi bertukar nama (dan format penilaian) kepada Hadiah Sastera Perdana  mulai tahun penilaian tahun 1996/1997. 

Untuk bacaan lanjut, sila rujuk buku KONTEKS SASTERA DAN BUDAYA tulisan Maniyamin bin Haji Ibrahim terbitan Karisma

Tiada ulasan: