Khamis, 12 Ogos 2010

Pemikiran Kemala dalam Kumpulan 'Ayn: Satu Pembicaraan Menjadi Penyair Bertakmilah

Pengenalan
Tulisan ini dimulai dengan petikan sajak Awang Abdullah berjudul “Sebatang Mancis.”
Setiap hari
beribu orang menulis sajak
tapi tanyalah
berapa orang yang memahami sajak
atau lebih baik
membuat kesimpulan sendiri
bahawa sajak
hanya batang-batang mancis
yang patah
dan penyair
hanya punting-punting rokok
di kaki lima
Sajak ini mendedahkan pemikiran Awang Abdullah. Memang ramai yang ingin menjadi penyair. Malangnya, tidak ramai yang berjaya menjadi penyair. Dalam sedikit itu, tidak ramai pula menepati ciri-ciri penyair bertakmilah (sempurna). Tidak bernilai di sisi masyarakat dan tidak bernilai di sisi agama. Penyair demikian umpama punting-punting rokok di kaki lima.

Menyedari hal tersebut, tulisan ini berusaha meneroka pemikiran takmilah (pengindahan dan penyempurnaan insan) dalam sajak. Untuk itu, sajak-sajak Kemala dalam kumpulan ‘Ayn telah dijadikan bahan kajian. Pemilihannya berasaskan pengiktirafan umum terhadap Kemala sebagai penyair Islam dan ‘Ayn sebagai kummpulan sajak berunsurkan Islam

Konsep Pemikiran
Pemikiran dari kata dasar fikir, menurut Kamus Dewan (1994) bermaksud ingatan, angan-angan, renung, akal, anggapan, pendapat, sangka atau kira. Pemikiran pula merujuk kepada perihal berfikir. Kamus Besar Bahasa Melayu (1995) menjelaskan pemikiran sebagai akal, peringatan, isi perut, kesatuan, pendirian, caruman atau pendapat. Berasaskan dua sumber itu dapat dirumuskan bahawa pemikiran merupakan keseluruhan pandangan / fikiran seseorang individu yang merangkumi segala aspek pengetahuan, pemerhatian atau pendirian yang menjadi dasar keilmuan atau pegangan. Penyair dianggap pemikir masyarakatnya. Dan, pemikiran penyair terpancar dalam karya-karya yang dihasilkannya.

Latar Belakang Pengarang
Kemala atau nama sebenarnya Ahmad Kamal bin Abdullah lahir pada 30 Jun 1941 di Gombak. Pendidikan awal beliau di sekitar Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini universiti), Tanjong Malim dari 1958 hingga 1962 dan berkhidmat sebagai guru sehingga tahun 1968. Kemudian, Kemala bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan memegang pelbagai jawatan, khususnya berkenaan penerbitan majalah dan kesusasteraan, sehingga tahun 1997. Pada tahun 1975 – 1980, Kemala mengikuti program pengajian luar kampus Universiti Sains Malaysia hingga mencapai Ijazah Sarjana Muda (kepujian) dan kemudian Ijazah Sarjana Sastera. Ijazah Ph.D diperoleh dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kemala mendapat pendidikan agama Islam daripada ayahnya, Abdullah bin Daud. Ayahnya menjadi guru al-Quran dan mengajar agama Islam di kampungnya. Pendedahan awal tentang kesusasteraan diperoleh daripada ibunya yang suka bercerita, bersyair dan berdongeng. Bibit awal ini menanam minat dan pencukilan bakat kesusasteraan dalam diri Kemala, sebagaimana diakuinya sendiri ketika diwawancarai oleh Syed Jaafar Husin.

Ibu saya seorang yang pandai bercerita. Beliau meminati syair-syair dan sering menceritakan syair seperti Syair Siti Zubaidah, Selendang Delima, Dandan Setia dan lain-lain. Oleh itu bakat ini memang sudah terbentuk. Sejak kecil ia berkembang di sekolah rendah.
                                                    (Kemala dan Ahmad Razali, Jambak 3, 1995: 179)

Kemala menulis dalam pelbagai genre kesusasteraan seperti sajak, cerpen, drama, esei dan kritikan. Namun, penglibatannya lebih terserlah dalam genre puisi dan esei kritikan. Pada peringkat awal sajak-sajak Kemala banyak mengungkapkan persoalan sekitar petani, nelayan dan buruh. Hal ini jelas dalam sajak-sajak kumpulan Laungan (antologi bersama), Suara Tujuh (antologi bersama), Timbang Terima dan Era. Selanjutnya, sajak-sajak Kemala mula berubah dari segi bentuk, tema dan teknik pengarapan. Titik awal perubahan itu terlihat dalam kumpulan Kaktus-Kaktus. Dalam Meditasi dan Mim, Kemala memasuki dunia mistik yang bersifat kerohanian. Panel Hadiah Karya Sastera 1972 menganggap Meditasi sebagai puisi terindah, kuat dan berat. Kumpulan sajaknya yang lain ialah ‘Ayn, Pelabuhan Putih, dan Titir Zikir.

Kemala dapat dianggap penyair yang mempopularkan sajak Melayu moden beunsur Islam. Sajak-sajaknya mendapat perhatian pengkaji di dalam mahupun di luar negara. Kegemarannya mencantumkan dua perkataan hingga membentuk kata tunggal dan gaya kata ganda separa sering menjadi ikutan ramai penulis sehingga kini.

Sajak-sajak Kemala pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia, diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa asing dan diterbitkan dalam penerbitan antarabangsa seperti Horison, Hemisphere, Asiaweek dan Journal Pacific. Kemala juga sering diundang ke festival puisi antarabangsa seperti di Indonesia, Republik Korea dan Yugoslavia. Disebabkan sumbangan berharga kepada kesusasteraan Malaysia, Kemala telah dianugerahi pingat Ahli Mangku Negara dari Yang Di-Pertuan Agong dan terbaru gelaran Datuk. Pada 1986 Kemala menerima S.E.A Write Award daripada Kerajaan Thailand. Selain itu, Kemala juga pernah dilantik sebagai panel hakim Hadiah Sasatera Malaysia dan panel hakim Hadiah Sastera Sabah. Kini Kemala merupakan Ahli Jawatankuasa Masjid di Seri Petaling, Jalan Puchong, di samping menyampaikan ceramah agama di masjid berkenaan.

Ciri-Ciri Penyair Bertakmilah
Secara mudah, penyair ialah orang yang menulis Syi’ir. Sya’ir pula merujuk kepada penyair (Nurazmi Kuntum, 1991: 26). Dalam masyarakat Melayu moden, penyair ialah orang yang menulis puisi atau sajak, bukannya syair semata-mata. Perkataan puisi berasal daripada perkataan ‘poesie’ (Bahasa Belanda). Perkataan itu berubah menjadi ‘poetry’ (bahasa Inggeris). Sutan Takdir Alisjahbana (1966: 5) berpendapat puisi menjadi pancaran (cermin) masyarakat pada zamannya. Hal ini berkait rapat dengan tujuan penyair mencipta puisi. Menurut Sahlan Mohd Saman,

Seseorang penulis mencipta kerana sesuatu sebab. Mungkin kerana gagasan yang mahu diketengahkannya, dan mungkin ideanya yang begitu tinggi untuk dinikmati bersama pembaca, atau mungkin kerana rangsangan semula jadinya yang gemar menghasilkan kreativiti seni.
                                                                                              (Sahlan Mohd Saman, 1986: 52)

Pendapat Sahlan Mohd Saman itu bersifat umum, menggambarkan tujuan penciptaan karya, hak mutlak penulis dan bersifat dualisme. Hal ini berbeza dengan ajaran agama Islam. Karya mesti mempunyai kepentingan sejagat, bersifat ‘amar makruf’ dan ‘nahi mungkar.’ Kata-kata tidak boleh diucapkan sewenang-wenang. Allah berfirman yang bermaksud,

Dan di antara manusia (ada) orang yang memperggunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.
Walau sebaik manapun mutu sesebuah syair, sekiranya mesej tidak bermanfaat dan kata-katanya tidak diredhai Allah, maka syair itu dianggap sampah. Hal ini kerana syair boleh menyesatkan manusia daripada jalan kebenaran. Misalnya, syair atau sajak-sajak lucah. Menurut Shahnon Ahmad (‘Ayn, 1989: vii) Rasulullah menganggap sajak-sajak lucah sebagai karya syaitan dan perlu dijauhi. Unsur-unsur atau kata-kata lucah dianggap sangat menghinakan. Apalagi perlakuan. Orang yang berpelakuan lucah dipandang rendah moralnya. Justeru, penyair sebagai jurubicara masyarakat harus seorang yang tinggi akhlaknya. Jiwanya tebal kemanusiaan dan kaya nilai-nilai murni. Kata-kata dan perlakuannya berlandaskan hukum agama dan adat budaya. Karyanya menyeru kebaikan bak kata perpatah, “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.” Adakah berkarya berlandaskan hukum agama dan adat budaya menyekat kebebasan pengarang? Jawapannya tidak. Aturan norma sedemikian membuka ruang kepada pengarang memperkayakan kreativiti. Dalam Teaori Takmilah, Shafie Abu Bakar menegaskan,

Dari segi teknik juga, apabila menggambarkan sesuatu peristiwa atau adengan atau sesuatu watak, jika menceritakan yang buruk termasuklah pemaparan tentang nafsu, para sasterawan tidak harus mengeksploit dan memperincikan unsur-unsur keburukan itu sehingga mengakibatkan kesan negatif kepada pembaca.
Penyair bermoral sedar akan kesan karyanya kepada pembaca dan masyarakat, dan tahu bahawa, “mata pena lebih tajam daripada mata pedang.” Tidak hairan Islam mengambil berat sumbangan penyair, sebagaimana firman Allah yang bermaksud,

Dan para penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah kau melihat mereka (para penyair) berkeliaran di setiap lembah. Dan mereka (para penyair) mengatakan apa yang mereka tidak lakukan.

Tiadalah Kami mengajar syair kepadanya (Muhammad) dan tiadalah pantas syair itu baginya.
                                                                                

Timbul persoalan: Adakah Islam melarang umat-Nya bersyair atau bersajak, sedangkan puisi merupakan pengungkapan bahasa indah dan Tuhan suka kepada keindahan? Sebenarnya, Islam tidak melarang umat-Nya bersyair atau bersajak. Sahabat Rasulullah sendiri ramai menulis syi’ir. Misalnya, Ali ibn Abi Talib atau Hasan Ibn Thabit. Oleh yang demikian, sajak atau syaitr yang bagaimanakah yang dikehendaki oleh Islam?

Menurut riwayat Bukhari dari Ubay bin Ka’ab, Nabi Muhammad pernah bersabda yang bermaksud,

Sebahagian syair ada mengandungi hikmat kebijaksanaan.
Hadis di atas jelas menunjukkan jenis syi’ir (syair) yang dituntut oleh Islam. Syair itu mesti mempunyai hikmat yang menghikmahkan, iaitu syair bersifat ‘amar makruf’ dan ‘nahi mungkar.’ Islam menolak syair lucah kerana karya sedemikian tidak mempunyai hikmat kebijaksaan. Ia dianggap menyesatkan manusia daripada jalan kebenaran. Karya lucah tidak membina ketamadunan umat. Sebaliknya merosakan manusia. Syair atau penyair yang dituntut juga turut dijelaskan dalam al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud,

Kecuali orang-orang (pensyair-pensyair) yang beriman dan beramal saleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.
Berdasarkan hadis dan firman Allah itu didapati beberapa perkara yang ditekankan oleh Islam, iaitu hikmat kebijaksanaan (karya), beriman dan beramal soleh (penyair), banyak menyebut Allah (karya dan penyair) dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman (karya dan penyair). Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa ciri-ciri syi’ir / syair (sajak) dan penyair Islam itu ialah;

• karya mengandungi hikmat kebijaksanaan. Karya itu bermanfaat kepada manusia dalam hubungannya dengan makhluk dan dengan Pencipta.

• karya itu dihasilkan oleh orang beriman dan beramal soleh. Orang beriman dan beramal soleh tidak akan menyalahgunakan kata-kata dan ilmunya.

• karya itu mendorong manusia mempertingkatkan Tauhid kepada Allah.

• karya itu benar dan diredhai.

• karya itu disampaikan dengan cara yang benar dan diredhai.
Islam telah terbukti berjaya mengubah corak kesusasteraan, baik di tanah Arab mahupun di Tanah Melayu. Menurut Najib Muhammad al-Bahiti, sekurang-kurangnya tujuh perubahan kesan daripada pengaruh Islam dalam kesusasteraan Arab (Nurazmi Kuntum, 1991: 5), iaitu

• sastera lebih menekankan cabaran dan pemikiran serta pembicaraan dengan perasaan dan hati.

• lahirnya hubungan yang erat antara kebenaran dan imaginasi.

• mementingkan norma sosial dan kemasyarakatan tetapi menentang perkauman.

• mempunyai perseimbangan dalam penggunaan bahasa bagi menghasilkan penyataan yang berkesan.

• ia disampaikan secara berkias dan tidak dalam bantuk yang keras atau kasar.

• karya yang dihasilkan adalah pendek supaya mengesankan, tetapi Islam tidak menyekat sekiranya mampu menulis lebih panjang dan lebih baik.

• nilai karya dapat dipertahankan ke akhir zaman.


Dalam Teori Takmilah, Shafie Abu Bakar cuba merealitikan kesusasteraan Islam sebagaimana dituntut dalam al-Quran. Takmilah menekan aspek kesempurnaan dan keindahan melalui pengarang dan karya kepada pembaca, berdasarkan sifat ketuhanan yang Uluhiyyah dan Rububiyyah, sebagaimana penjelasan di bawah.

Kamal (sempurna) terlihat pada segala ciptaan Allah; sempurna yang mencerminkan Allah, manakala Jamal (indah) adalah melihat segala ciptaan Allah; indah yang mencerminkan keindahan Allah yang juga sempurna … Takmilah adalah dari pecahan kata Kamal yang melihat seni termasuk sastera yang berpaut pada aspek indah (Jamal), tidak lain daripada manifestasi sempurna (Kamal).
Sifat Kamal dan Jamal dalam karya dipercayai dapat meningkatkan kesempurnaan khalayak sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Oleh yang demikian, Teori Takmilah menekan segala kejadian (adegan) secara berhikmah. Pengarang perlu menerapkan hikmat pada segala kejadian dan khalayak pula dikehendaki mencari dan mengambil hikmah dari segala kejadian itu sebagai pedoman hidup bagi mempertingkatkan keTauhidan diri, sebagaimana ditegaskan oleh Shafie Abu Bakar di bawah ini.

Takmilah dalam karya melihat kejadian dan peristiwa-peristiwa di bumi Allah ini sebagai sesuatu “hikmah”. Manusia mengalami pergulatan hidup daripada peristiwa suka, duka, teladan, sempadan, menyerah dan berjuang, kecewa dan menang. Mainan hidup ini pada hakikatnya mempunyai “hikmah” yang indah dan seharusnya mengajar manusia secara halus meneladani hidup dengan pilihan-pilihan terbaik bagi mentakmilahkan hidupnya dengan jalan yang terbaik dan terindah.

Ketakmilahan karya meliputi aspek maknawi dan lahiri yang membentuk kesatuan karya.

Pemikiran Takmilah dalam Sajak-Sajak ‘Ayn
Nurazmi Kuntum (1991: 78) menganggap sajak-sajak dalam ‘Ayn mempunyai 11 tema, iaitu tema ketuhanan, kenabian, dakwah, sembahyang, moral masyarakat, kehidupan alam, nikmat, kematian, keinsafan, Islam atau al-Quran dan ketakwaan atau keyakinan. Intipati sajak-sajak kumpulan ‘Ayn berkenaan kerinduan dan kehausan (Shahnon Ahmad: xix) dan cinta kasih manusia terhadap Tuhannya. Dari rasa cinta itu terpancar ekspresi pemikiran Kemala akan arah yang sepatutnya bagi mentakmilahkan dirinya. Manusia perlu mengambil hikmah daripada segala kejadian agar hidupnya diberkati Tuhan. Hal ini boleh dilakukan dengan cara renungan atau membaca al-Quran. Namun, apakah dengan membaca al-Quran itu sudah memadai? Dalam sajak “Di Hadapan Al-Quran,” Kemala bertanya, “Berapa kali air matamu menitik sewaktu membaca ayat suci?” Jawapan kepada pertanyaan itu terdapat pada baris berikut yang berbunyi,

Di hadapan al-Quran
waktu meminta kita
mengunyah butir-butir hikmah
Berdasarkan tiga baris di atas, air mata sebenarnya tidak penting. Yang penting ialah kesedaran jiwa. Dalam sajak berkenaan disimboliskan pada ungkapan “titisan air mata.” Manusia berkesedaran jiwa akan mencari hikmah untuk mensejahterakan dirinya. Mencari hikmah merupakan saranan Teori Takmilah. Manusia diajak memikirkan hikmah di sebalik sesuatu kejadian. Kemala menggunakan diksi “mengunyah” sebagai padanan terhadap diksi “hikmah.” Sedangkan, Kemala boleh menggunakan diksi lain, umpamanya “memetik,” “mengutip” atau “mencari.” Apakah relevan di sebalik diksi “mengunyah” itu? Mengunyah ialah perlakuan menghancurkan sesuatu. Dalam konteks sajak “Di Hadapan Al-Quran,” diksi “mengunyah” adalah bertujuan menghancurkan butir-butir hikmah. Justeru, hal ini dapat difahami bahawa Kemala tidak sekadar menyarankan kepada pembaca agar mencari atau mengutip hikmah, sebaliknya menguasai hikmah tersebut. Rahsia di sebalik saranan “mengunyah butir-butir hikmah” itu terdapat pada rangkap akhir sajak berkenaan. Katanya,

Di hadapan al Quran
umur, syurga kasih
indah abadi dan hayatmu
diberkati Tuhan
Dalam petikan di atas terdapat ungkapn diberkati Tuhan. Hikmah yang hendak dicari ialah hidup diberkati Tuhan. Dengan adanya keberkatan bererti Tuhan reda segala usaha kita. Keredaan itu merupakan nilai takmilah yang paling tinggi kepada umat manusia. Dengan adanya keberkatan hidup dipercayai umur akan panjang, rezeki akan murah dan hidup akan menjadi lebih senang.

Bagaimanakah caranya manusia dapat mengambil hikmah daripada segala kejadian? Dalam sajak Yusuf Kemala menegaskan bahawa hikmah dapat dicari daripada setiap peristiwa yang kita alami. Nabi Yusuf sendiri menganggap penjara lebih selamat kepada dirinya. Ini kerana baginda tahu terdapat banyak hikmah di sebalik tindakan raja memenjarakan dirinya. Manakala, dalam sajak Melayuku Kemala menyarankan kepada orang Melayu agar berusaha mengenali diri. Dengan mengenali diri akan dapat mengenali Pencipta. Untuk mengenali Pencipta, manusia perlu mendekati agamanya.

Justeru, Kemala menganggap usaha mengenali diri merupakan satu jihad. Ini bererti jihad bagi Kemala tidak semestinya pergi berperang. Menentang kejahilan diri juga merupakan satu jihad. Kenal diri yang dimaksudkan ialah sedar akan tanggungjawab diri sebagai khalifah Allah. Manusia diamanahkan untuk memakmurkan bumi. Ini bererti Kemala menyeru manusia agar tidak bersifat menderhaka kepada Allah. Kata-kata dan perlakuan dirinya mempunyai hikmah kebijaksanaan yang dapat diteladani oleh orang lain atau setidak-tidaknya kepada anak cucunya. Manusia yang kenal diri benci kepada pepecahan. Jauh sekali mebabur fitnah. Untuk itu, Kemala menyarankan;

Cucur, cucuri
airmurni Islami
di gurun-gurun
hati
cium, ciumi
iktibar zaman
bertasbih kasih
Manusia yang bersikap demikian akan dapat kenal asal usul diri, arah dan tujuan hidup, kefanaan dunia, keabadian Tuhan dan alam akhirat. Apabila sudah mengenali diri dan Tuhan, maka menjadi tanggungjawab manusia memilih dan melaksanakan hidup yang diredai (bertakmilah) di dunia dan di akhirat. Iblis dan syaitan bukan lagi halangan. Malah, masalah menjadi fenomena yang sangat indah kerana kejayaan menentang masalah akan menambahkan ketakwaan.

Pemikiran Kemala berkenaan masalah ialah manusia perlu menguasai masalah, bukannya masalah menguasai manusia. Masalah ada di mana-mana. Manusia tidak dapat melarikan diri daripada masalah. Sebaliknya, manusia perlu mencari hikmah dan kebijaksanaan di sebalik masalah yang dihadapi. Dalam sajak ”Matlamat” Kemala dengan yakin berkata, kumasuki lubuk masalah. Kenapakah Kemala berbuat demikian? Sebenarnya, Kemala mengajak manusia mendekati masalah. Manusia perlu memasuki ke dalam masalah yang dihadapi. Dengan berbuat demikian, manusia dapat memahaimi sebab musabab masalah berkenaan dan dapat mengambil hikmah daripada masalah tersebut.

Sikap Kemala mengenai masalah dapat juga diperhatikan dalam sajak ”Sampai.” Walau apapun masalah, manusia perlu teguh hati dan iman terhadap roh yang satu, sebagaimana kenyataan di bawah.

Sampai cair pembendaharaan
sampai cair masalah
sampai lumat perbendeharaan
sampai lumat godaan
lalu terhampar masalah kalau sampai ia
tanyakan: bebaskah musuh
diperangkap subuh?
datang dan pulang
bukan tanda sampai. Dakap wajahmu
ke pintu kalbu. Dakap jiwamu
ke roh satu.
Dalam sajak ”Melbourne”, Kemala menegaskan;
Alangkah bebasnya jiwa yang tak terbelenggu
dan alangkah indah kemanusiaan yang unggu

Pada petikan di atas terserlah pemikiran Kemala tentang masalah. Penggunaan diksi dan ungkapan seperti ”cair”, ”lumat”, ” dakap wajahmu ke pintu kalbu”, ”dakap jiwamu ke roh satu”, ”aku tak akan berikan nestapaku”, ”kebulatan diri” dan ”bersatu” jelas menggambarkan pendirian dan pemikiran Kemala bahawa manusia perlu menguasai masalah. Ketakmilahan hasil daripada pendirian dan pemikiran sedemikian diungkap dengan diksi ”alangkah bebasnya”, ”tak terbelenggu” dan ”alangkah indahnya” sebagaimana tergambar pada rangkap akhir sajak ”Di Canberra: Selepas menuntut An Ideal Husband Oscar Wilde.”

Satu ciri penting kumpulan sajak ‘Ayn ialah ketebalan imej rindu. Ada pelbagai jenis rindu. Namun, dalam ‘Ayn, rindu terutama kepada Tuhan. Kemala memerasai segala kejadian, pengalaman dan rasa hati di mana sahaja dia berada dan dalam keadaan apa jua. Segala kejadian, pengalaman dan rasa hati itu dihubungkan dengan kebesaran Tuhan. Menurut Shahnon Ahmad,

Kemala menyalurkan kerinduan dan kehausan ini penuh syahdu melalui detik-detik yang halus lagi kudus, malah banyak yang tersirat dalam babak-babak sejarah yang banyak diukirkannya
                                                                                                            (Kemala, 1989: xii)

Dalam sajak ”R Itu Rindu” Kemala menggambarkan betapa tebal dan kental rasa rindunya melalui ungkapan ”tak terdunga hadirnya”, ”tak terselam maknanya”, tak terhambat tibanya”, ”tak terbebat lukanya, ”tak terhempang arusnya”, ”tak terhalang datangnya”, ”tak tertepis gerimisnya”, dan ”tak tertampan manisnya.” Rasa rindu itu lahir terutama ketika Kemala dalam kesunyian dan kesepian, dan tanpa mengira jarak jasmani. Rindu yang sesungguhnya bukan rindu antara makhluk tetapi rindu makhluk kepada Tuhan. Bertapa teguh rindu itu dinyatakan oleh Kemala, umpamanya dalam ungkapan di bawah;

a. cikcok dan ratrace ini takkan mungkin menggandaikan harga dirimu (sajak “Melbourne”)

b. cinta yang kubawa dari jauh kini menetas di haribaan-Mu (sajak “Subuh di Masjid Sa’adah, Jakarta”)

c. akulah menjelang-Mu membisikkan Rindu (sajak ”Umar”)

d. sungai iman tak henti-henti mengalir haridepan di sebalik gambarlahir (sajak ”Surat Akhir Tahun 1977”)

e. Tuhan, sudah kupenuhi undangan-Mu (sajak ”Di Kuala Pilah”)

f. Diam asyik renung kudandani rasa wujud Abadi memeluk dada kekasih (sajak ”H.B. Jassin dan al-Quran”)

g. Jalan-jalan kecil, melereng, melilit, melayah, menemui-Mu untuk tidak berpisah (sajak ”Bukit Bukau dan Hutan-Hutan Muda Inas”)

h. Jauh, jauh kucumbu-Mu (sajak ”Di Sarawak”), dan lain-lain.
Berdasarkan contoh-contoh petikan di atas jelas bahawa rindu yang sesungguhnya pada Kemala ialah rindu kerpada Tuhan. Demi rindu itu Kemala (manusia) harus berusaha mendekati dengan menjadi kekasih Allah atau syuhada yang berjuang demi mentakmilahkan diri kepada Allah. Kemuncak rasa rindu terlihat pada sajak ”Pesan.”

Telah sampai pesan Syuhada
di baris depan
hidupku demi Tuhan
matiku demi Tuhan
hidupmatiku demi-Mu. Tuhan!
Satu lagi pemikiran Kemala yang menarik ditijau ialah pandangannya tentantg hayat kehidupan. Dalam sajak ”Hayat” Kemala berpesan;

Hayat
bukan hanya pasir peristiwa
hayat
bukan hanya pertemuan badani
hayat
bukan hanya pandangan hampa tak tertempa
hayat
bukan hanya pejamcelik pandangan mata
hayati hayatmu kasih
Berdasarkan petikan, Kemala menjelaskan bahawa hayat itu ”bukan pasir peristiwa”, ”pertemuan badani”,” pandangan hampa” dan ”pejam celik mata.” Hayat mempunyai imej yang jauh lebih bermakna daripada semua itu. Maka, Kemala berpesan, ”hayatilah hayatmu kekasih.” Timbul pula persoalan: Mengapakah Kemala memandang serius hayat? Apakah relevannya hayat kepada kehidupan manusia?

Dalam sajak ”Pohon”, Kemala menjelaskan bahawa tegaknya pohon di padang walaupun dilanda ribut dan banjir hingga menjadi tem[pat burung, kelelawar unggas dan manusia menikmati buah atau sebagai tempat beristirahat adalah kerana keteguhan siratan akar yang cukup dengan bekalan air dan baja. Hal ini bermakna Kemala menyampaikan mesej bahawa keteguhan pohon adalah kerana keteguhan akar pohon. Keteguhan akar pohon adalah kerana mendapat bekalan air dan baja yang cukup. Demikian juga pada manusia. Manusia yang teguh adalah kerana jiwa / imannya yang teguh. Jiwa / iman yang teguh ialah jiwa / iman yang mendapat cukup pendidikan. Allah menegaskan bahawa dalam tubuh manusia ada seketul daging. Jika mulia daging itu maka baiklah hati perilaku manusia berkenaan. Oleh yang demikian, kata Kemala, jika dahan pohon serkah, patah cabangnya, busuk hancur buahnya, terbongkar akarnya adalah kerana asas tempat pohon itu tumbuh tidak kukuh. Maka, Kemala menyarankan;

Kembali lagi kepada asas Hayatnya
anasir kecil dan fana
Yang Abadi
hanya Kau!
Pohon hayat yang teguh ialah pohon hayat yang disuburkan dengan makanan halal. Dalam konteks tubuh manusia, bukan sahaja setakat halal dan haram makanan, malah ke arah mana keistimewaan tubuh badan manusia itu dimanfaatkan juga akan diadili. Adakah tubuh yang sihat itu dimanfaatkan ke arah amar makruf dan nahi mungkar? Adakah tubuh yang sihat itu hasil daripada zat makanan halal? Soalan-soalan seumpama itu akan ditanyai pada hari pengadilan nanti. Hal ini telah dinyatakan sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud;

Barang siapa melakukan kebaikan walaupun seberat zarrah (atom) nescaya ia akan melihatnya (mendapatkan ganjarannya). Dan barang siapa melakukan kejahatan seberat zarrah (atom) nescaya ia akan melihatnya (merasakan siksaannya).
Menyedari adanya hari pengadilan telah menyebabkan Rabi’atuladawiyah berasa insaf akan nasib pohon hayatnya. Dalam sajak ”Rabi’atuladawiyah” Kemala mencatatkan rasa insaf Rabi’atuladawiyah itu.


Rabi’ah menangisi hayatnya
dengan luka-luka dosa yang dalam
ia ingin kembali menyapa wajah Tuhan

Cungkillah daku
dari sumber berlumpur
bersihkan tubuhku yang lemah ini
berikan daku ampunan-Mu
jadikan daku
Rabi’atuladawiyah yang salih
Doa Rabi’atuladawiyah untuk membersihkan pohon hayatnya adalah sepatutnya doa semua manusia. Sekuat manapun tubuh manusia, manusia tetap lemah di sisi Allah. Semulia manapun tubuh manusia, ketakwaan juga yang menjadi kriteria utama pengadilan oleh Allah. Dan, seteguh manapun hayat manusia, manusia tetap akan mati. Oleh itu, Kemala menyeru agar manusia menjaga pohon hayat dan menjauhi daripada segala mungkar. Dalam sajak ”Gerak” Kemala merakamkan rasa insaf pengembaraan akan pengisian hayatnya.

Pengembara menatap lagi erti Hayat
satu tasbihnya
satu
ke Tuhan Esa!
Ini bererti hayat pada pemikiran Kemala adalah perlu dijagai. Keseburan hayat bergantung pada makanan. Umum mengakui bahawa diri kita ialah apa yang kita makan. Makanan membina pertumbuhan hayat bukan sahaja dari segi zahir, malahan dari segi batin. Pohon hayat yang sihat membolehkan kita berdiri teguh walaupun dibadai angin atau air banjir (cabaran dan masalah). Dan, pohon hayat yang teguh itu hendaklah dimanfaatkan untuk kebaikan semua makhluk, baik manusia, haiwan mahupun segala makhluk yang mengisi alam semesta ini. Kemuncak pada pemikiran Kemala itu dapat diperhatikan pada sajak ”Pengembara.” Berkata si ayah;

Cahaya mataku telah dewasa kau kuasuh
ibumu berkorban setiap detik
telah kudidik dengan ilmu dunia dan akhirat
dan kini telah kau bersuami, teman hidupmu
taatilah suami, bermuafakatlah
kau umpama perahu, dan ia dayungnya
dari laut duniawi
berkayuhlah menuju Pulau Akhirat
Demikian ketakmilahan pemikiran Kemala berkenaan hayat. Hayat mesti dijaga dan diisi dengan kebaikan kerana hidup di dunia ini merupakan bekalan kepada hidup di akhirat. Kita sebagai manausia jangan sampai rugi di dunia dan rugi juga di akhirat.

Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas didapati bahawa sajak-sajak kumpulan ‘Ayn kaya dengan nilai pemikiran. Sebahagian pemikiran itu ialah sebagaimana telah dibicarakan. Kumpulan sajak ‘Ayn merupakan wadah kecintaan dan pemikiran Kemala terhadap pelbagai fenomena kehidupan makhluk Tuhan. Kemala melontarkan pemikirannya dan kemudian mengaitkannya dengan keTuhanan. Kemala tidak melontarkan pemikiran sebegitu sahaja dan tidak memisahkan pemikirannya dengan kuasa Pencipta. Dengan cara ini, Kemala berjaya menarik perhatian pembaca untuk mengingati Allah dan seterusnya menTauhidkan diri kepada Allah. Hal ini bertepatan dengan Teori Takmilah yang mana pengarang, karya dan pembaca pada akhirnya menjurus pada ketakwaan. Kemala dalam kumpulan sajak ‘Ayn ini bukan sahaja menghasilkan sajak-sajak bertemakan keIslaman, malahan bahasa dan gaya pengarapannya juga selaras dengan nilai keIslaman. Dengan itu, ketakmilahan sajak-sajak kumpulan ‘Ayn bukan sahaja pada isi, bahkan ketakmilahannya meliputi teknik pengarapan yang melihat sesuatu permasalahan dan mengiatkannya dengan kebesaran Pencipta.

Rujukan

Kamaruzzaman Abdul Kadir 1975. Dunia Kemala dalam Timbang Terima dan Meditasi.  Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya: Kuala Lumpur.

Kamus Dewan 1995. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kemala 1987. ‘Ayn. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kemala dan Ahmad Razali 1995. Jambak 3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nurazmi Kuntum 1991. Teori dan Pemikiran Sastera Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sahlan Mohd Saman 1986. Sastera Bandingan: Konsep, Teori dan Amalan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Shafie Abu Bakar 1995a. “Takmilah: Teori Sastera Islam.” Dlm. S. Jaafar Husin

(penyelenggara) Nadwah Ketakwaan melalui Kreativiti. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Shafie Abu Bakar 1995b. “Kau dan Aku: Analisis Takmilah.” Dlm. Dewan Sastera. Bil. 1 Januari 1995.

Sutan Takdir Alisjahbana 1966. Puisi Baru. Petaling Jaya: Zaman Baru Limited.

Yahaya bin Hj. Ali 1996/1997. Tiga Penyair dalam Perbandingan (Kemala, Amir Hamzah dan Rabindranath Tagore). Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya: Kuala Lumpur.

Zainal Abidin Safarwan 1995. Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributiors Sdn. Bhd.

 
Dan kemudian Rabi’atuladawiyah berdoa untuk membersihkan dirinya.
                                                                                             (Surah Az-Azalzalah: 7 – 8)
 
                                                                              (S. Jaafar Husin, 1995: 56 – 57)
                                                                                   (Shafie Abu Bakar, 1995: 37)
                                                                                             (Surah Asy-Syu’ara: 227)
(Surah Yassin: 69)
                                                                                    (Surah Asy-Syu’ara: 224 – 226)
                                                                                   (S. Jaafar Husin, 1995: 64 – 65)
                                                                                                        (Surah Lukman: 6)

2 ulasan:

NASSURY IBRAHIM berkata...

Maaf, Abuyon,
entri awal saya padam sebab ada dua tajuk, dan tak boleh nak padam tajuknya. Saya masuk semula.

Tanpa Nama berkata...

Amiable dispatch and this post helped me alot in my college assignement. Thanks you for your information.