Isnin, 16 Ogos 2010

Sebuah Muzium Melayu

Rumah ini dirakam di Penanti,
lambang kemiskinan di P. Pinang
Kini sudah sampai masanya kerajaan membina sebuah muzium khas untuk orang-orang Melayu. Dalam muzium itu boleh diisi dengan segala macam, fizikal dan mental, tentang orang Melayu. Hal ini kerana, kian hari, orang Melayu kian pupus dan terpinggir di Tanah Melayunya sendiri. Tempat yang paling sesuai ditempatkan muzium itu ialah di Pulau Pinang. Saya namakan 'Muzium Melayu.'

Pulau Pinang dipilih kerana sesuai dengan nasib yang dialami oleh orang Melayu, khususnya orang Melayu di Pulau Pinang. Mereka kian terpinggir dan terhesot ke dalam laut. Sejak tahun 1970-an sudah ada perbincangan nasional tentang keterpinggiran orang Melayu di Pulau Pinang. Keterpinggiran itu terus berlaku dan kian membesar, sama ada di bawah kuasa Barisan Nasional mahupun Barisan Pakatan Rakyat.



Pada zaman penjajahan, antara sebab British mahu membina sekolah di Pulau Pinang ialah kerana tidak mahu anak-anak tempatan (Melayu) ditipu dan ditindas oleh pendatang, khususnya para pedagang. Sebelum itu, Francis Light telah menipu Sutan Muahammad Jiwa (Sultan Kedah) agar Pulau Pinang diserahkan kepadanya dan sebagai balasan Francis Light akan membantu sultan menghadapi serangan Siam. Apabila Siam (Ligor) tahu Sultan Muhammad Jiwa menyerah Pulau Pinang kepada Francis Light (Inggeris), baginda sangat marah lantas menyerang Kedah. Pada masa ini, Sultan Muhammad Jiwa tuntut janji Francis Light. Malangnya, persetujuan dulu tidak dipatuhi oleh Francis Light. Hal ini menyebabkan Sultan Muhammad Jiwa murka kepada Francis Light, lantas bersiap menyerang Pulau Pinang.  Mereka berkubu di Seberang Prai. Belum pun sempat menyerang, Francis Light telah menyerang Seberang Prai menyebabkan Sultan Muhammad Jiwa terpaksa menyerah Pulau Pinang dan Seberang Prai kepada Francis Light. Anehnya, serahan itu kekal selagi ada bulan dan matahari.

Hal ini bererti orang Melayu Pulau Pinang sudah lama mengalami krisis ketuanan. Mereka ditindas oleh penjajah, pedagang, pendatang yang dibawa oleh penjajah dan bangsanya sendiri. Saya berpendapat, ada harapan, orang Melayu Pulau Pinang turut akan 'ditindas' oleh India Muslimun (Mamanda).

Zaman sebelum merdeka masih terdapat majoriti orang-orang Melayu mendiami kawasan di Goerge Town. Kawasan orang tua P. Ramlee masih kaya dengan orang-orang Melayu. Kesannya, masih wujud sehingga kini. Namun, selepas merdeka dan sehingga kini, orang-orang Melayu yang mendiami Goerge Town menjadi golongan minoriti yang sangat minoriti. Baki yang ada menunggu masa dan generasi warisan dihimpit dengan pelbagai terjahan kemajuan, termasuk terjahan etnik pendatang. 

Kini mereka yang mendiami George Town (depan pulau) telah berhijrah ke belakang pulau di Balik Pulau. Sebagaimana di depan pulau, nasib orang Melayu yang mendiami di Balik Pulau juga sedang menerima nasib yang sama sejak di bawah pemerintahan UMNO hingga DAP. Pelbagai helah dan cara hak ketuanan Melayu dirampas, lazimnya atas nama pembangunan. Jika tanah bersebelahan milik bukan Melayu, tanah itu akan dijadikan tempat menternak babi menyebabkan orang Melayu tidak selesa dan berhijrah. Atau dengan cara membina taman perumahan beratus ribu harganya. Disebabkan harganya mahal dan tidak mampu dimiliki, maka rumah itu terlepas ke tangan bangsa lain. Lihatlah perumahan berhampiran kedai mee udang tersohor di Sungai Dua. Tapak perumahan bersebelahan sungai itu adalah tanah sawah hak milik orang Melayu. Sekarang tanah itu telah dibina taman perumahan yang beratus ribu. Orang Melayu tidak mampu memilikinya menyebabkan banyak rumah kuata bumiputera tergadai.

Kini, hambatan dan kesengsaraan Melayu di kawasan pulau sedang menerjah ke Seberang Prai, termasuk di kawasan Permatang Pauh. Banyak tanah telah terlepas hak milik. Malah, Bukit Mertajam yang membekalkan nama kawasan juga telah ditakluki oleh bukan Melayu dengan membina pagoda di atasnya. Kawasan-kawasan bukit rendah di sekitar Seberang Prai telah ditakhluki tanah perkuburan, yang antaranya berjarak kurang lima kilometer.

Di Pulau Pinang, satu-satunya negeri yang mempunyai persatuan orang Melayu yang bernama Penyayang, namun Penyayang juga tidak dapat berbuat apa-apa yang dapat membela orang Melayu. Mengenangkan nasib yang menimpa diri, orang Melayu Pulau Pinang telah mencipta pantun yang menggambarkan kekesalan dan rintihan mereka.

Pulau Pinang bandar baharu,
      Kapten Light menjadi raja;
Apabila terkenang zaman dahulu,
      Pipi berlinang air mata.

Pantun ini jelas menggambarkan bahawa penindasan terhadap orang Melayu bermula pada zaman Francis Light dan berlarutan sehingga kini.

Sebagai membalasnya, saya mencipta sajak di bawah.

MELAYU MUTIARA
Dulu tinggal di depan pulau
sekarang tinggal di balik pulau
esok tinggal di bawah pulau
lusa tinggal kenangan pulau

14 Februari 2009

Memang terdapat pelbagai usaha mengatasi masalah Melayu Pulau Pinang.  Sentiasa ada seminar dan forum membincangkan masalah mereka. Namun, sehingga kini masalah semakin memberat dan tidak ada tanda-tanda menggembirakan. Oleh sebab itu, saya berpendapat orang-orang Melayu UMNO, terutama mereka yang lantang bercakap kini sebenarnya tidak layak bercakap tentang nasib orang Melayu Pulau Pinang.

Sama ada istilah 'peminggiran' atau 'penindasan' yang dilakukan oleh DAP sekarang, pada saya, merupakan sambungan penindasan yang dilakukan oleh Gerakan dan diiktiraf oleh UMNO Pulau Pinang. Saya pernah berbual-bual dengan pekerja bawahan di Pulau Pinang semasa operasi membersih kawasan yang dilanda tsunami pada tahun 2004. Apabila mereka bertanya asal saya, saya menegaskan bahawa saya datang dari negeri miskin, Kelantan. Saya mengatakan bahawa orang Melayu di Pulau Pinang bernasib baik kerana dapat hidup selesa dan kaya. Mereka menjuih dan membalas bahawa masyarakat Melayu Pulau Pinang lebih miskin daripada Melayu Kelantan. Yang kaya dan selesa ialah Melayu UMNO. Dan, tegas mereka JKKK UMNOlah yang menindas bangsanya hingga ramai yang miskin, kedana dan berhijrah ke tempat lain. Mereka mengatakan pemimpin UMNO bersekongkol dengan bukan Melayu menindas dan merampas hak orang Melayu. Saya tidak pasti maklumat itu betul atau tidak, tetapi itulah tuduhan mereka. Ditinjau dari segi binaan rumah memang banyak terdapat rumah-rumah kayu buruk di sekitar seberang Prai (misalnya Penanti, Mengkuang) yang didiami oleh orang Melayu.

Pada zaman Gerakan berkuasa di Pulau Pinang tidak kedengaran nama-nama seperti Datuk Hilmi, Datuk Rashid, Datuk Ahmad, Datuk Musa, Datuk Kadir yang membela orang Melayu Pulau Pinang. Tidak kedengaran tuntutan atau pembongkaran usaha menindas yang dilakukan oleh Gerakan. Sebaik Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang, maka ada suara para pemimpin yang menuduh orang Melayu Pulau Pinang kini telah menjadi miskin dan tertindas.  Telah ada suara-suara dari pemimpin UMNO negeri yang memperjuangkan hak ketuanan orang Melayu. Perjuangan mereka itu bagus, tetapi sudah terlewat setelah ketuanan Melayu Pulau Pinang menjadi bubur. Anehnya, mereka yang dahulunya diam, kini bangun bersuara untuk menjadi juara rakyat sedangkan diri sendiri bergelumang dengan tahi penindasan.

Oleh sebab itu, pada saya, pemimpin UMNO Pulau Pinang, termasuk Pak Lah dan Datuk Anwar Ibrahim tidak layak bercakap membela orang Melayu Pulau Pinang. Melayu Pulau Pinang terpinggir dan kian musnah pada zaman mereka berkuasa. Pak Lah sendiri tidak mahu tampuk kekuasaan Pulau Pinang diserahkan kepada UMNO sebagaimana dicadangkan oleh pemuda mereka. Maknanya, pemimpin UMNO sendiri tidak mahu Pulau Pinang diterajui (ketua menteri) oleh orang Melayu. Justeru, sebarang bunyi-bunyian oleh orang Melayu UMNO Pulau Pinang yang kononnya mahu membela orang Melayu Pulau Pinang adalah bunyi senggauan tidak bermakna. Bunyi itu adalah bunyi tipu daya terhadap orang Melayu untuk memulihkan kuasa mereka yang kalah dalam pilihan raya. Saya yakin, apabila kuasa mereka pulih, mereka akan kembali melupakan rakyat bawahan sebagaimana pernah dilakukan suatu masa dahulu.

Adalah lebih baik orang Melayu Pulau Pinang cuba bangun sendiri tanpa bergantung kepada satu-satu parti politik. Mereka perlu bersikap kepentingan bersama atas nama Melayu, bukannya atas nama parti. Kinilah masanya untuk mereka bergerak dan berubah. Kalau tidak, bersiaplah mencari tapak untuk membina sebuah Muzium Melayu di Pulau Pinang.

8 ulasan:

MARSLI N.O berkata...

Sdr Nassury: Aku suka entri kau yang ini.

MARSLI N.O

NASSURY IBRAHIM berkata...

Terima kasih Marsli

abuyon berkata...

salam cikgu,

Umar bin Khattab RA berkata:

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِاْلإِسْلاَمِ ، وَمَتىَ ابْتَغَيْنَا اْلعِزَّ بِغَيْرِ دِيْنِ اللهِ أَذَلَّنَا اللهُ

“Kita adalah kaum yang telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam, barangsiapa yang mencari kemuliaan selain daripada Deen Allah, maka Allah akan menghina kita.”

NASSURY IBRAHIM berkata...

Sekarang ini mata kita hanya satu - politik, dalam serba serbi.

edolah berkata...

..sebab politik tanpa landas agama adalah kuasa..kuasa pula jalan dekat menuju kaya..kan ini matlamat mereka?

NASSURY IBRAHIM berkata...

Utusan Malaysia, 19 Ogos 2010 halaman 12 menyiarkan berita bertajuk, "Kg. Melayu patut jadi zon kampung tradisi." Cadangan itu dikemukakan oleh Syed Amerruddin Syed Ahmad, bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Pulau Pinang yang menang PRU-11. Beliau berkata demikian untuk menyelamatkan nasib beberapa kampung Melayu di Pulau Pinang yang hampir 'tergadai' akibat pembangunan. Soalnya, mengapa beliau tidak bertindak semasa menjadi Exco dulu. Setelah tiada kuasa barulah nak buat itu ini dan minta orang lain buat. Bukankah ini bukti bahawa pemimpin Melayu Umno Pulau Pinang tidak pendulikan nasib orang Melayu sewaktu mereka berkuasa dahulu?

Nizam Dungun bekas junior kat IPSI berkata...

Lazimnya, soal kemunduran, kemiskinan, kepapaan, "kekedanaan", penindasan Melayu timbul apabila kuasa UMNO sudah tidak berkuasa di tanah jajahan tersebut. Berbondong-bondong turus keprihatinan Melayu menonjolkan kecaknaan akan hal ini. Untuk apa? Porahhhh....! "Kuasa Didahulukan, RM Diutamakan" yang terbaharu "Menjana Materialistik"

NASSURY IBRAHIM berkata...

Sdr Nizam,
itulah yang rasa meloyakan mendengarnya. Lazimnya, kebencian datang dari puji-pujian atau tuduh-tuduhan yang dibohongi.