Rabu, 11 Ogos 2010

Empat Penyair Gema


Pengenalan
Saya tidak pasti bilakah Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (Gema) ditubuhkan. Seingat saya, sewaktu saya mengikuti aktiviti kesusasteraan di Kelantan pada pertengahan dekad 1980-an, Gema telah ada. Seingat saya juga, pada masa itu, Gema dipimpin oleh Zainal Abidin Muhamad. Dan, saya sendiri sempat  mengikuti beberapa aktiviti Gema, di samping aktiviti dianjurkan oleh Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Persatuan Penulis Tumpat (Pesisir), Persatuan Penulis dan Seniman Kelantan (Puspa), Rumpun Seni Melayu Kelantan (RSMK). Setelah dua puluh tahun meninggalkan Kelantan, dan setelah kembali ke Kelantan (tahun 2008), saya dapati Gema masih dipimpin oleh Zainal Abidin Muhamad. Justeru, saya menganggap Zainal Abidin Muhamad merupakan antara segelintir aktivis yang lama memimpin persatuan penulis. Kelamaan ini tentulah dipertahankan oleh bakat kepimpinan dan keupayaan Zainal Abidin Muhamad menggerakkan aktiviti persatuan sehingga Gema menjadi persatuan penulis yang beridentiti. Ini bererti, Zainal Abidin Muhamad adalah Gema dan Gema adalah Zainal Abidin Muhamad.


Sepanjang berada di luar Kelantan, saya jarang mengikuti aktiviti Gema (dan persatuan penulis Kelantan yang lain) walaupun tahu bahawa Gema merupakan penganjur tetap Apresiasi Puisi Ramadhan, di samping pernah menerbitkan kumpulan sajak Rahimidin Zahari berjudul Matahari Berdoa. Hanya baharu setahun dua ini saya mendapat tahu bahawa Gema juga menerbitkan kumpulan karya perseorangan ahlinya, seperti karya-karya Azmi Taib dan Ezani Hj. Daud. Gema juga menerbitkan buletin sendiri yang dinamakan Gemadotcom. Usaha ini amat dialu-alukan.

Dalam catatan ringkas ini, saya akan menyorot secara ringkas empat orang penyair Gema yang bergabung karya dalam antologi  Antara Desir.


Penerbitan Kumpulan Sajak
Setelah sekian lama saya berkecimpung dalam dunia sajak, saya dapati setiap penyair berkeinginan memiliki hasil kumpulan sajak sendiri. Penerbit yang menjadi buruan ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana DBP merupakan satu-satunya penerbit yang aktif menerbitkan antologi / kumpulan sajak.  Penerbit lain kurang berminat kerana menerbitkan antologi / kumpulan sajak akan terdedah pada kerugian. Hal ini menjadikan keinginan memiliki kumpulan sajak sendiri sukar dicapai oleh penyair. Usaha Gema menerbitkan kumpulan karya ahlinya adalah wajar. Lebih wajar lagi jika usaha sebegini mendapat sokongan daripada organisasi korporatisme.

Setelah saya menceburi genre kritikan sastera, saya amat merasai bahawa setiap penyair dan setiap cerpenis wajar dan patut memiliki kumpulan karya sendiri. Kumpulan karya itu pula hendaklah disebarkan, dan didokumentasikan di organisasi warisan seperti di Pusat Dokumentasi DBP, Perpustakaan dan Perpustakaan Negara, malah di Arkib Negara juga. Ada dua sebab saya berkata begini. Pertama, supaya para penulis itu dapat dikenal pasti sumbangan bermaknanya dalam dunia sastera, sumbangannya dikenang walaupun dia telah meninggalkan dunia sastera dan alam maya ini. Kedua, agar karyanya mendapat perhatian pengkritik. Salah satu kekangan yang dihadapi oleh pengkritik ialah mencari kumpulan karya seseorang penulis. Karya-karya yang bertaburan di pelbagai media menjadi hambatan kepada pengkritik membicarakannya. Justeru, tindakan terbaik pengkritik ialah tidak membicarakan karya penulis berkenaan. Hal ini amat merugikan dunia sastera itu sendiri, lebih-lebih lagi jika penulis berkenaan merupakan penulis penting tanah air dalam dekad berkenaan. Di samping itu, generasi juga tidak kenal sejarah perkembangan sastera negara dan tokoh-tokohnya. Bagaimanakah generasi mahu mencintai, menyayangi dan menyanjung sastera budaya bangsanya, jika mereka tidak tahu tentangnya?  Ketiga, agar kumpulan karyanya menjadi rujukan dan kajian massa untuk kenal pasti kehebatan lampau dan seterusnya mencipta kehebatan pada masa akan datang. Justeru, saya menyokong usaha Gema memperkenal dan menyebar karya ahlinya dalam antologi ini.

Empat Penyair Gema dalam Antara Desir
Tidak dapat dipastikan, sudah berapa ramaikah penulis yang dilahirkan sejak penubuhan Gema. Dalam buku cenderamata Bengkel Penulisan Hujung Minggu 2008, terdapat 17 nama penulis Gema dibariskan. Ada antaranya sudah lama berkarya dan ada yang masih calon penulis. Saya percaya, bilangan penulis yang berjaya dilahirkan sudah melebihi angka 17 tersebut. Dalam antologi sajak Antara Desir ini, Gema merakamkan dua orang penyair lama (Ezani Haji Daud dan Azmi Taib), dan dua orang penyair baharu  (Mohd Zizee Setapa dan Laili Binti Mohd. Nor) yang masih aktif dalam Gema.

Perihal Kemasyarakatan dalam Sajak Ezani Haji Daud
Ada kalanya Ezani Haji Daud berkarya menggunakan nama pena, Wirasukma. Mula bergiat aktif dalam penulisan kreatif sejak tahun 1978. genre penulisannya ialah sajak, cerpen, berita, rencana, skrip drama radio dan skrip drama pentas. Karyanya terbit dalam pelbagai media massa, di samping memenangi beberapa hadiah kesusasteraan. Ezani Haji Daud bergiat aktif dalam aktiviti sastera budaya khususnya di Kelantan.  Karya perseorangan beliau yang diterbitkan ialah kumpulan cerpen berjudul Antara Kelopak yang Gugur.

Ezani Haji Daud merupakan penyair veteran dalam Gema. Berdasarkan sajak-sajak dalam Antara Desir (AD) ini, Ezani Haji Daud merupakan pemerhati masyarakat yang peka. Sajak-sajaknya berkenaan perihal kemasyarakatan adalah mengatasi  sajak-sajaknya yang berkenaan cinta, alam, intropeksi diri, perjuangan, keagamaan dan bahasa.  Melalui sajak-sajak kemasyarakatannya terlihat kecintaan Ezani Haji Daud terhadap makhluk, alam, manusia dan negara. Beliau bukan sahaja berbicara tentang manusia dan kemanusiaannya, malahan pembicaraannya meliputi perihal makhluk Allah yang lain, yang sebahagiannya dikaitkan dengan kehidupan manusia. Sajak “Ciak” misalnya, memaparkan kemanusiaan Ezani Haji Daud terhadap makhluk kecil. Siapapun makhluk dan sekecil manapun makhluk itu, Ezani Haji Daud tetap melihat hubungannya dengan tingkah-laku manusia. 

 Ciak yang membina sarang
di ujung atap rumahku
tak pernah menyoal
tentang manusia-manusia
di sekelilingnya
apakah mereka juga membina mahligai
lalu hiduplah mereka di dalamnya
mengembangkan zuriatnya
dan lemas dengan kemewahan
dilambung ombak kealpaan

(Sajak ‘Ciak’)

Memang hubungan Ciak dengan manusia agak kontras. Ciak tetap menjalani hidup pada garis hukum azalinya. Sebagaimana Ciak pada zaman Firaun, begitulah Ciak pada zaman 1 Malaysia – tidak sedikitpun berubah pada hukum Pencipta.  Hal ini tidak pada manusia.  Ezani  Haji Daud menyindir manusia melalui imajan burung Ciak.  Setelah hidup mewah, manusia cenderung ‘lemas’ dilambung ombak kealpaan di laut kemewahan dirinya.

Gambaran kealpaan manusia dalam sajak “Ciak” tidak sengeri gambaran kealpaan manusia dalam sajak “Jika Sejarah Bukan Lagi Sejarah.”  Mereka bukan sahaja ‘lemas’ dalam dirinya sendiri, malahan sikap mereka akan menyebabkan agama, bangsa dan negara turut ‘lemas’ dalam ‘lautan globalisasi.’ Manusianya tidak kenal asal-usul, jati diri, kehormatan, identiti menyebabkan mereka tidak tahu arah tuju hidupnya sendiri. Ketidaktahuan itu menjurus mereka menjadi bahan catatan sejarah dan lagenda dunia.  Permasalahan ini sedang melanda Malaysia dan Melayu Malaysia. Saya perturunkan sajak itu sepenuhnya untuk renungan kita.

Seandainya catatan sejarah hari ini bukan lagi sejarah suatu masa lalu
yang menjadi pengukur dan rujukan para pengkaji hari ini
siapakah yang perlu dipersalahkan
bila mana anak-anak zaman ini tidak kenal lagi siapa itu
bapa kemerdekaan.

Seandainya catatan sejarah hari ini bukan lagi kemegahan masa lalu
yang menjadi peradaban dan kebanggaan para nasionalis hari ini
siapakah yang perlu dipersalahkan
bila mana tiada siapa tahu wira-wira
seperti Hang Tuah, Datok Bahaman,
Tok Janggut, dan para pejuang lain
yang begitu perit sekali mempertahankan tanah air
hingga ke titisan darah yang terakhir.

Jika sejarah sudah lenyap dan tiada lagi di bumi ini
segalanya menjadi terlalu asing dan bebal
menafsir hidup tanpa noktah
menyusur sungai pertanyaan yang berliku
dengan menuju ke muaranya yang entah di mana.

(Sajak “Jika Sejarah Bukan Lagi Sejarah”)

Selain bersajak perihal pembinaan bangsa dan negara, Ezani Haji Daud juga bersajak tentang masyarakat bawahan.  Imej masyarakat bawahan yang dipaparkan adalah berkenaan kesusahan hidup, daya usaha dan penindasan golongan berkuasa terhadap mereka. Hal ini jelas tergambar dalam sajak “Penjaja Di Sebuah Lorong,” “Ruang,” “Sewaktu Aku Lewat Di Sini,” dan sebagainya.

Satu hal yang jelas, selain tema dan persoalan yang diperkatakan, Ezani Haji Daud bersajak menggunakan kata-kata yang mudah difahami. Jarang ditemui gaya bahasa yang mempersulitkan pembaca memahami mesej sajaknya.

Intropeksi Diri dalam Sajak Azmi Taib
Sewaktu saya masih ahli Gabungan Penyair Remaja Intan (Gapri) dan baharu belajar berkarya (tahun 1980-an), nama Azmi Taib merupakan antara sebilangan nama yang diperkenalkan oleh penyair Awang Abdullah. Azmi Taib sendiri sering menghadiri aktiviti Gapri. Sajak-sajaknya turut termuat dalam antologi terbitan Gapri. Sejak pekenalan itu, saya dapati  Azmi Taib tidak berhenti berkarya. Sehingga kini, karya-karya Azmi Taib meliputi genre puisi, cerpen, berita, rencana, skrip drama radio, skrip drama televisyen dan pentas. Selain berkarya, Azmi Taib juga turut menjadi pengarah dan pelakon drama pentas. Antara drama yang mendapat sentuhan kreativitinya ialah “Jebat,” “Tok Fakir,” dan “Sangkar Madu.”

Beliau kini menjawab jawatan Ketua 2 Gabungan Penulis Muda Kelantan (Gema) telah berjaya menerbitkan kumpulan cerpen perseorangannya yang pertama berjudul Penghujung Waktu. Manakala sajak-sajaknya turut termuat dalam pelbagai antologi dan media.

Antologi Antara Desir ini memuatkan sekitar 26 buah sajak Azmi Taib. Dalam kalangan 26 buah sajak itu didapati taburan permasalahan yang diperkatakan oleh Azmi Taib adalah seimbang, iaitu berkenaan perihal kemasyarakatan, alam, intropeksi diri, keagamaan dan cinta. Dalam catatan ringkas ini akan saya sentuh tentang sajak-sajak Azmi Taib berkenaan intropeksi diri.

Sebagaimana saya nyatakan bahawa Azmi Taib yang saya kenal pada tahun 1980-an masih terus berkarya hingga tahun 2000-an. Terlihat kecekalan, kegigihan, kesungguhan, kecintaan dan fasisme Azmi Taib pada kesusasteraan kerana bidang kesusasteraan itu sudah menjadi minatnya. Sikap semacam ini terlihat juga dalam sebilangan sajak tentang intropeksi diri  yang dibaluti kenangan dan harapan. Dalam sajak “Muharam” atau “Perjalanan 1”  terlihat harapan dan kecekalan Azmi Taib mengisi hidup dirinya.


Sejarah mula seorang ayah
membisik sepotong harap
pada anak jalan yang diredha

(Sajak “Muharam”)


 Akan kuhela diri ini
di sini masih ada sinar mentari
menyambutku untuk terus berdiri
biar perjalanan berlalu pergi

(sajak “Perjalanan 1”)

Sebagai manusia yang telah melewati sekian masa hidup, Azmi Taib juga tidak dapat melepaskan diri daripada kenangan dirinya ‘tenggelam’ dalam air masalah. Berbeza dengan sajaknya yang menggambarkan harapan, sajak-sajak Azmi Taib tentang kenangan didapati agak pesimis. Beliau tidak bangkit ‘melawan’ kenangan, sebaliknya sekadar berserah sahaja. Hal ini dapat diperhatikan, misalnya dalam petikan di bawah.

Dalam desir angin dan deru ombak
bersama kelesuan camar-camar pulang
kita masih dibelai
bawah bayang-bayang pohon kelapa


(Sajak “Pertemuan 1”)


 Dalam arusmu yang tenang
dan semakin luas
tiba-tiba tenggelam aku ke dasar
bersama sisa ke muara

(Sajak “Riak”)

Demikian dua citra intropeksi diri dalam sajak-sajak Azmi Taib. Pada satu sisi terlihat sajak-sajak Azmi Taib yang aktif dan pada sisi lain terlihat sajak-sajak Azmi Taib yang fasis. Ini merupakan perjalanan hidup benar dan normal manusia yang digarapkan oleh Azmi Taib pada hidupnya. Sikap ini berkohensi dengan diri Azmi Taib. Tidak seperti sajak-sajak Baha Zain yang kontras antara sikap pemikiran dengan sikap kelakuan, sajak-sajak Azmi Taib didapati sebagaimana lembutnya binaan kata-kata (sikap pemikiran) berkohensi dengan lemah lembutnya fizik diri Azmi taib dalam berbicara dan bertindak.

Persoalan Cinta dalam Sajak Mohd Zizee Setapa
Mohd Zizee Setapa merupakan penulis muda produktif.  Mula berkarya ketika belajar di IPG Kampus Bahasa Melayu. Karyanya meliputi genre puisi, rencana dan kajian sastera. Namun, genre sajak paling banyak dihasilkan. Sajak-Sajak Mohd Zizee Setapa tersiar dalam pelbagai media nasional dan antologi. Kini, Mohd Zizee Setapa bergiat aktif sebagai  Ahli Jawatankuasa Gema.

Sajak-sajak Mohd Zizee Setapa dalam Antara Desir ini meliputi pelbagai persoalan tentang intropeksi diri, perihal kemasyarakatan, cinta, perjuangan, agama, dan alam. Persoalan itu dibungkus dalam kertas kata-kata yang pelbagai corak dan diikat kemas. Olahan bahasa sajak-sajaknya sedang membawa Mohd Zizee Setapa melangkah keluar dari alam muda penulisannya. 

Ada dua persoalan cinta dalam sajak-sajak Mohd Zizee Setapa. Pertama, persoalan cinta akan tanah air. Kedua, persoalan cinta manusia.  Dalam persoalan cinta akan tanah air terlihat kecintaan Mohd Zizee akan generasi dan warisannya. Beliau mengemukakan kebimbangan dengan gejala yang sedang melanda generasi. 

Benih-benih muda hilang arah cahayanya
...
ada harapan-harapan muda yang digantung
pada para-para kehidupan yang jalang

(Sajak “Angin Ogos Ini”)

Jalangnya generasi bukan kerana generasi itu jalang, tetapi kerana pembina generasi itulah yang jalang. Mereka dikelirukan oleh nafsu pembina atau penguasa.

Biarpun masih ada yang merendahkan bahasa sendiri

(Sajak “Bahasa Adalah Budaya Bangsa”)

Dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu moden, terdapat anasir-anasir yang menjadi perosak bahasa. Lazimnya, mereka terdiri daripada pemimpin dan politikus serta pendokong Sains Barat. Fasa kedua penjajahan British di Tanah Melayu yang berusaha mengikis rasa kecintaan orang  Melayu terhadap bahasa Melayu. Tunku Abdul Rahman dan kabinet serta Parti Perikatan pernah berusaha mengenepikan kedaulatan dan peranan bahasa Melayu di Malaysia. kemudian, diikuti pula oleh Dr. Mahathir dan kabinet serta Parti Barisan Nasional melalui program PPSMI. Kesannya, kalangan pemimpin organisasi dan masyarakat umum sekarang tidak lagi jelas terpancar kedaulatan bahasa Melayu di mulut mereka. Tiada lagi nilai-nilai kemuliaan dan peranan bahasa Melayu kian terhakis.


Dengan bahasa kita kenal budaya bangsa
maruah kita pagari dengan berkat bahasa ibunda
 ...
dengan bahasa kita kenal budaya bangsa
matang kita diajar oleh bahasa nenek-moyang
cerdik kita dengan ilmu bahasa guru dan cendikiawan
...
dengan bahasa kita kenal budaya bangsa
mercu kita bina dengan semangat yang berumbi

(Sajak “Bahasa Adalah Budaya Bangsa”)

Dalam persoalan cinta manusia, antara aspek yang dipersajakkan ialah berkenaan dengan rindu, kasih-sayang, harapan, kenangan, sebagaimana tergambar, misalnya dalam sajak “Bicara Ketika-Ketika,”  “Di Dasar Sedar,” “Ketika kukunjungi Pantai Sabak Ada Rindu Menjerut Hiba,” “Kunjungan 2,” “Pelamin Suri” dan sebagainya. Rasa cinta itu bukan sahaja antara lelaki dengan wanita, malahan meliputi rasa cinta dalam rumah tangga, seni budaya, anak-anak dan sebagainya.

Ketika-ketika kita disogok dengan cerita
anak membunuh bapa, adik membunuh abang
dan kekasih dibunuh dengan kejam
ke mana kasih-sayang serta belas kasihan

(Sjak “Bicara Ketika-Ketika”)


 Kupacakkan
rasa, cinta dan kasih
di sumur hati nan putih

(Sajak “Di Dasar Sedar”)


 Silauannya pantulan rindu
kukutip pada lewat kemesraan kita
tidak ingin kulihat, Suri
matamu luka meski dalam terang
senyummu hilang meski dalam gelap

(Sajak “Pelaimn  Pelamin Suri”)
Selain itu, satu hal yang ketara dalam sajak-sajak Mohd Zizee Setapa ialah diksi. Sajak-sajaknya kaya dengan dialek Kelantan yang bakal mengidentitikan kepengarangannya sehingga kita mudah kenal  bahawa beliau lahir dan berpengalaman luas di Kelantan. Antara dialek yang digunakan ialah kelih, pongah, pias, gaduh, caing, bari, Mek, dan sebagainya.

Perihal Persahabatan dalam Sajak-Sajak Laili Mohd Nor
Nama Laili Mohd Nor merupakan penulis baharu dari Kelantan yang kini sedang berkhidmat di Sarawak. Kepenyairannya belum teruji dan belum dapat dijangka usia pengkaryaannya. Apalagi apabila dinyatakan beliau mula berkarya semasa belajar di universiti. Ramai penulis yang lahir semasa dalam pengajian di universiti dan kegiatan berkaryanya tamat setelah mereka tamat belajar. Namun, Laili Mohd Nor telah melewati masa pengajiannya. Tinggal lagi pelamin yang bakal menentukan jangka hayat kegiatan berkaryanya.

Sebagaimana kebanyakan penulis wanita yang lain saya dapati sajak-sajak Laili Mohd Nor dalam Antara Desir ini menunjukkan bakatnya yang cemerlang. Dan sebagaimana kaum sejenisnya, imej kewanitaan dan persahabatan begitu terserlah. Hal ini dapat dikesan melalui persoalan, imej yang digunakan, nada, objek penghantar mesej dan sebagainya. Sajak “Air Mata” misalnya membentangkan persoalan wanita dan kewanitaan secara langsung. Malah frasa ‘air mata’ itu sendiri membawa imej wanita. Lelaki tidak akan menggunakan ‘air mata’ sebagai objek menghantar mesej. Laili Mohd Nor sendiri mengakui, dalam sajak berkenaan, bahawa, ‘air mata / begitu dekat // dengan wanita//.’

Dalam sajak-sajak Laili Mohd Nor yang lain kelihatan imej persahabatan dan kasih sayang. Beliau sering kali merevensi nilai persahabatan dan kasih sayangnya. Beliau cuba sedaya-upaya menjadi sahabat sejati, mengurangkan permasalahan yang memalapetakakan persahabatan, sebagaimana dapat dikesan dalam petikan di bawah.


 Biar nanti antara kita
tiada nista dan dusta
yang bisa memakan diri

(Sajak “Bermula Di Sini’’)


Sahabat
percayalah
bukan aku sengaja mengundang silap
atau niat mengguris perasaanmu

(Sajak “Dari Jauh, Kupohon Kemaafan”)


Aku sebetulnya tiada niat berbohong
atas apa yang berlaku
ia hanya satu kebetulan

(Sajak “Masihkah”)


Nilai persahabatan, bagi Laili Mohd Nor, lebih tinggi daripada emas dan permata.

Sahabat
harga persahabatan ini
bukan nilainya
oleh emas dan permata

(Sajak  “Harga Sebuah Persahabatan”)

 Dalam persahabatan akan ada riang dan dukanya, restu dan halangan, yang menentukan nilai dan usia persahabatan. Dalam hal ini, Laili Mohd Nor berpesan agar kita kembali kepada ajaran agama.

Ukhwah yang dibina
bagaikan seutas tasbih
ada mulanya
tapi tiada penghujungnya

peganglah tali silaturahim
erat-erat
jangan terlepas.

(Sajak “Teman”)

Berdasarkan lingkaran idealisme persahabatan unjuran Laili Mohd Nor itu dapat kita katakan bahawa sajak-sajak Laili Mohd Nor bersifat dedaktik, sesuai dengan dirinya sebagai wanita dan guru.

Penutup
Demikianlah sekilas catatan aspek persajakan oleh empat penyair Gema di atas. Taburan persoalan yang dipersajakan oleh mereka adalah sekata: intropeksi diri, kemiskinan, kemasyarakatan, cinta, perjuangan, agama, dan adat budaya. Hanya Laili Mohd Nor yang banyak menyentuh nilai persahabatan, kekeluargaan dan kasih-sayng.

Setelah menghayati kesemua sajak-sajak empat penyair Gema ini, secara peribadi, saya berpendapat mereka mempunyai kesungguhan untuk bergelar sebagai penyair. Namun begitu, status mereka dalam peta persajakan Malaysia masih berada dalam tahap awal sebagai penulis.  Mereka masih belum memperlihatkan identiti persajakan yang jelas sebagai mewakili zaman atau generasi.  Selain itu, apabila dianalisis terdapat sajak-sajak yang menggambarkan kecelaruan idea, bombastik dan tidak berwacana hingga menutup penonjolan karya.

Ada beberapa cara untuk menonjolkan kepenyairan diri. Antaranya, pertama, mencipta kelainan bentuk dalam zaman sebagaimana sajak-sajak Usman Awang, Latif Mohidin, A. Ghafar Ibrahim, atau Moechtar Awang. Kedua, mencipta kelainan dalam gaya pengolahan seperti sajak-sajak Suhaimi Haji Muhammad, Muhammad Haji Salleh, atau  Zaen Kasturi. Ketiga, mendomninasikan persoalan seperti sajak-sajak Dinsman, Zurinah Hassan, J.M. Aziz, dan sebagainya. Bibit-bibit mencipta identiti memang ada dalam sajak-sajak empat penyair Gema di atas, namun kita belum pasti ketekalannya. Barangkali, pandangan ini boleh menjadi tapak kepada mereka melangkah ke fasa pertengahan dan kemuncak.

Nassury  Ibrahim
Pengkalan Chepa, Kelantan

Tiada ulasan: