Khamis, 27 Mei 2010

Melawat Pos Lebir

Jam 8.30 pagi pada 24 Mei 2010, aku bersama-sama Encik Ibrahim Idris dan Encik Aziz Mahmod bertolak dari IPG ke Pos Lebir, Gua Musang. 

Disebabkan ekonomi IPG tenat, maka kami berkongsi kereta. Rakan-rakan memutuskan menaiki kereta Proton Saga model sulung keluaran 1987 kepunyaan aku. Aku sendiri memandunya.

Separuh perjalanan kami singgah di pekan Guchil, menikmati roti canai.

Jarak perjalanan sejauh 160 KM dari Kota Bharu ke persimpangan di Kampung Sungai Sam. 

Di sini, persimpangan ke kiri menghala ke bukit-bukau, manakala  persimpangan ke kanan menghala ke ladang sawit dan Dabong.

Aku terpaksa parkir kereta di persimpangan Kampung Sungai Sam, bersebelahan kedai makan. 
Selepas sejam menunggu, kami menaiki Hilux menuju  ke Pos Lebir. Jaraknya sejauh 10KM. 

Walaupun dekat, permukaan jalan menguji pemanduan. Jalannya  berlubang, berlopak air, berlurah laluan air dan bercerung.

Hampir satu jam perjalanan, barulah kami sampai ke Pos Lebir. 

Di sini terdapat sebuah kampung bernama Kampung Pasir Linggi. Penduduknya terdiri daripada orang asli suku kaum Bateq. Terdapat sekitar 60 buah rumah. Ada tiga jenis rumah mereka, iaitu rumah batu konkrit, rumah papan dan rumah hayak.

Purata mereka beragama Islam.

Di penghujung Kampung Linggi terdapat Kampung Susu Dara. Penghuninya terdiri daripada orang-orang Melayu.

Masyarakat Kampung Pasir Linggi membina petempatan di sepanjang Sungai Linggi. Pekerjaan asas mereka ialah mencari hasil hutan seperti rotan, kayu gaharu, buah-buahan dan memburu.

Bersebelahan Pos Lebir di bina sekolah yang dinamakan Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi (Sekepal). Sekolah ini khusus untuk anak-anak orang asli di kawasan ini. Tidak pula aku tahu anak-anak orang Melayu di Kamupung Susu Dara bersekolah.

Di sekolah inilah aku datang dan bermalam sepanjang 24 - 26 Mei 2010. Tujuannya ialah membawa sekumpulan pelajar bakal guru bagi memberi pendedahan tentang hal ehwal kehidupan dan masyarakat di sini.

Termasuk kali ini, sudah dua kali aku melawat dan bermalam di Kampung Pasir Linggi. Hal ini kerana IPG menjalankan projek bagi membantu guru-guru dan murid di sini. Di siekolah ini, kami membina sebuah bilik yang dinamakan Bilik Sumber Pedagogi Peribumi, yang dinaiktarafkan daripada Bilik Kurikulum Asli Penan (KAP) yang kami bina sebelum ini.

Aku sebenarnya sudah beberapa kali menziarahi perkampungan orang asli, khususnya perkampungan di sepanjang Simpang Pulai (Ipoh) hingga ke Pos Brooke. Aku telah melawat SK Pos Raya, SK Pos Brooke, beberapa perkampungan sekitar Lojing dan berhampiran Cameron Highland.

Menurut catatan sejarah, sekolah di Pos Lebir ini mula dibuka sekitar tahun 1970 di bawah pentadbiran Jabatan Orang Asli (kini Jabatan Hal Ehwal Orang Asli). Gurunya terdiri daripada kakitangan Jabatan Orang Asli sendiri. Murid awalnya seramai 70 orang.  Guru Besar pertama bernama Tuan Haji Ab. Ghani bin Che Omar.

Kini, sekolah-sekolah di perkampungan orang asli di seluruh negara telah ditadbir oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Guru-guru terlatih dihantar dari semasa ke semasa dan diberikan elaun kesusahan.

Bangunan sekolah juga sudah jauh berubah, daripada bangunan papan hingga ke bangunan batu konkrit. 

Pelbagai kemudahan disediakan seperti rumah guru, kantin dan asrama  dengan penyediaan makanan percuma. Peralatan elektrik, mesin fotokopi, makmal komputer, air tangki, surau, bilik sumber juga turut disediakan.

Pada pemerhatian aku, masalah di sekolah-sekolah orang asli ialah kekangan daripada murid. Kesedaran mereka terhadap kepentingan akademik masih ketinggalan. 

Di samping itu, terdapat juga kekangan daripada pihak guru. Ramai guru yang berasa kecewa ditempatkan di sekolah pedalaman, khususnya di perkampungan orang asli.
Sesetengahnya menganggap mereka menjadi 'mangsa' ketidakadilan JPN, perbezaan ideologi politik dan karenah birokrasi. 

Khabarnya, ada guru yang diarahkan ke sekolah pedalaman dapat membatalkan arahan tersebut melalui campur tangan politik. Justeru, mereka datang berkhidmat sebagai transit untuk kembali ke kawasan pilihan / asal.

Memang perit hidup di kawasan pedalaman. Ada kalanya, bekalan elektrik dan air terputus.  Tidak ada aktiviti sosial selain bermain bola.

Walau bagaimanapun, kehidupan di Kampung Pasir Linggi tidak seteruk tempat-tempat lain. Kereta jenis pancuan empat roda masih boleh menjejak tayar hingga ke depan rumah.

Demikian juga dengan kemudahan hiburan. Ramai penduduk Kampung Pasir Linggi mempunyai kemudahan Astro.


5 ulasan:

benuasuluk berkata...

Satu catatan pengalaman yang menarik. Saya tak pernah ada pengalaman masuk kawasan orang asli atas tugas rasmi lagi. Kalu boleh nak tera juga.

Tanpa Nama berkata...

mungkin saudara tertinggal sesuatu dalam lawatan saudara tu. kegigihan gbnya yang merupakan satu2nya gb perempuan.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Kepada Benuasuluk
Boleh datang buat projek. Kaji Sewang dan nanti bersewang di Aswara.

Kepada Tanpa Nama
Betul, saya akui. Mungkin lain kali boleh menulis tentangnya.

Hasmora berkata...

Salam tuan,

di Sabah ni walaupun dlm kawasan pekan tapi mentaliti majoriti pelajar dan ibubapa tak ubah macam di pedalaman Kelantan juga.. buat guru yg kena di kawasan tuan sebut ini.. sekurang2nya tidaklah jauh dari sanak saudara.. berbanding dgn guru2 di Sabah yg kena di pulau, pedalaman.. elaun tidak memadai dgn pengorbanan.. tapi itulah pengorbanan sbg seorang guru.. hanya guru sejati yg berjiwa guru.. yg lain2 hanyalah menjadi guru kerana inilah pilihan terakhir.. baik ada keje dari nganggur bagi mereka.. cuti pun banyak.. ape dahh

NASSURY IBRAHIM berkata...

Hasmora, selamat bertugas di kws pedalaman. Tentu ada sesuatu yg menarik, boleh jadi catatan kenangan