Ahad, 23 Mei 2010

Judi Bola Sepak

Menurut Dr. Mahathir Mohamed, Malaysia merupakan negara Islam. Alasan beliau ialah kerana pemimpin Malaysia diterajui oleh orang-orang Islam. Sebahagian besar daripada undang-undang negara juga sepadan dengan tuntutan syariah Islam. Atas alasan itu, maka sah Malaysia negara Islam.

Barangkali, teruja Malaysia sebagai negara Islam, maka Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi perdana menteri selepas Dr. Mahathir, menjenamakan semula Islam sebagai Islam Hadhari. Malangnya, penjenamaan ini telah mengelirukan masyarakat Islam yang sedia Islam itu. Tergambar bahawa seolah-olah Islam Hadhari itu satu agama baharu dan Abdullah Ahmad Badawi sebagai nabi baharu. Setelah ada kritikan sebegini, baharulah dijelaskan bahawa Islam Hadhari itu merupakan pendekatan untuk menguatkan keimanan orang Islam terhadap agamanya. Yang silapnya, pendekatan itu seolah-olah satu jenama baharu.

Walaupun Malaysia diisytiharkan sebagai negara Islam, kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan agama Islam masih berleluasa. Kegiatan penzinaan dan pelacvuran berleluasa sehingga wanita-wanita dari China, Thailand, Indonesia, dan sebagainya dibawa khas untuk berlacur di Malaysia. Mereka anggap negara Islam Malaysia sebagai tempat terbaik menjalankan perniagaan pelacuran. 

Oleh sebab itu, di negara Islam Malaysia wujud pusat-pusat pelacuran. Bagi menghalalkan pusat pelacuran itu, maka kerajaan Islam Malaysia mengeluarkan lesan khusus untuk berlacur. Peniaga yang mempunyai lesen pelacuran akan selamat daripada tindakan undang-undang. Manakala peniaga yang menjalankan kegiatan pelacuran secara haram (tanpa lesen) akan diserbu dan dianggap salah di sisi undang-undang. Hukum, rukun dan larangan Islam akan terbatal dan 'terhalal' jika premis itu mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh kerajaan Islam Malaysia. 

Malaysia memang mempunyai keinginan untuk menjadi negara Islam dan dianggap negara Islam. Walau bagaimanapun, dari segi pelaksanaan dan amalan, pemimpin negara Islam Malaysia tidak bersedia mentaati ajaran Islam sepenuhnya. Maka, sebab itulah wujud pelanggaran terhadap larangan agama Islam oleh pemimpin Islam yang memerintah negara Islam Malaysia.

Selain aspek pelacuran, pelanggaran terbaharu pemimpin Islam di negara Islam Malaysia ialah menghalalkan aktiviti judi bola sepak piala dunia, sebagaimana diumumkan oleh Timbalan Menterinya, Dr. Awang Adek Hussin. Alasan yang diberikan ialah jika tidak diberikan lesen akan tetap terjadi aktiviti judi bola sepak secara haram. . Untuk menghalalkannya, agar tidak salah, maka kerajaan negara Islam Malaysia mengeluarkan lesen. Justeru, sesiapa sahaja yang ingin berjudi tidak perlu lagi berasa takut untuk berjudi kerana judi bolak sepak di Malaysia kini sudah halal. Pemimpin Islam dan pemimpin negara Islam Malaysia bersedia menanggung dosa dan kemurkaan Allah yang dilakukan oleh rakyatnya yang ingin berjudi bolak sepak. 

Ini samalah anggapan bahawa Jesus menanggung dosa-dosa umatnya. Maka umatnya bebas melakukan dosa kerana dosa itu akan pergi kepada Jesus.

Alangkah menariknya alasan pemimpin Islam dan pemimpin negara Islam Malaysia untuk menghalalkan judi bola sepak: Jika tidak diberikan lesen, mereka tetap berjudi. Alasan ini bagi menghalalkan segala kejahatan.

Barangkali, suatu masa nanti, segala kejahatan seperti mencuri, meragut, rompak, pelacuran, penzinaan, pukul orang, bunuh orang, dan segala macam kejahatan yang diharamkan, akan dihalalkan dan diberikan lesen untuk mereka halal beroperasi di negara Islam Malaysia.

Ini adalah peluang terbaik bagi pengedar dadah. Mungkinkah mereka akan memohon lesen mengedar dadah, atas alasan pemimpin Islam kerajaan negara Islam Malaysia berpendapat, jika tidak diberikan lesen, kegiatan larangan akan tetap berlaku dan berlaku secara haram. Daripada berlaku secara haram adalah lebih baik dihalalkan dengan cara memberikan lesen, maka dapat kerajaan negara Islam Malaysia mengutip cukai.

Oh, malangnya pemikiran begini dan lebih malang lagi jika pemikiran begitu datang daripada tokoh penting tanah air yang dianggap model dan lebih-lebih lagi berpendidikan tinggi. Adakah demikian juga pemikiran kerajaan Buddha negara Thailand bagi menghalalkan kegiatan pelacuran di negara mereka?

Soalnya, sanggupkah pemimpin Islam di negara Islam Malaysia menanggung dosa dan azad Allah yang dilakukan oleh penjudi bola sepak kerana menghalalkan kegiatan berjudi bola sepak dalam undang-undang Malaysia.

3 ulasan:

abuyon berkata...

salam cikgu,

Sebab diorang sangguplah, diaorang menghalalkan apa yang diharamkan Allah.

Cuba letak jari pada api lilin. Kalau tahan, silalah buat apa saja

ke guane cikgu :)

NASSURY IBRAHIM berkata...

Kata mereka, judi itu untuk bukan Islam. Nanti lesen curi, rogol, dll pun untuk bukan Islam juga. Senangnya berfikir.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Mahathir dan SASSA sokong atas nilai ekonomi. moral dan agamana macam mana?