Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) menganjurkan majlis di atas sangat dialu-alukan dan semoga terus berpanjangan. Dua wilayah terlibat ialah Wilayah Timur dan Wilayah Utara.
Majlis yang berlangsung pada 2 Mei 2010 bertempat di DBPWT membariskan empat orang ahli panel yang membicarakan empat buah karya oleh empat orang penulis dari kedua-dua wilayah.
Puzi Hadi (Kedah) membicarakan sajak Hilmi Rindu dengan judul "Bagai Ada Sesuatu Daripada Hilmi Rindu;" Wan A. Rafar (Kelantan) "Jamaludin D Menukang Puisi, Menjahit Baju Peribadi Sebuah Pembicaraan 'Selaut Belantara'"; Norhisham Mustaffa (Kelantan) "Dengan Lesen Puitika di Tangan Penyair" membicarakan sajak Rejab F.I; dan, Hasan Baseri Budiman (Kedah) "Melihat Suara-Suara Protes dalam Kumpulan Cerpen 'Apabila Alam Berbicara' Karya Rozais Al-Anamy."
Selain itu, dua kertas kerja iringan disampaikan oleh Osman Ayob berjudul "Asasi - Sorotan Peranan Ketua Satu dan Persoalan Memantapkan Hala Tuju;" dan Abdul Hadi Yusoff ("Persatuan Penulis Kelantan (PPK)).
Saya tertarik dengan hujah dan kritikan panel yang kritis dan kritik. Walaupun pedas kepada penulis, kritikan itu sangat berguna bukan sahaja kepada para penulis, malahan juga khalayak, khususnya calon penulis khasnya dan penulis lain umumnya.
Banyak ilmu dapat ditimba, khususnya bagi memantapkan karya. Panel mendedahkan kelemahan karya untuk diperbaiki dan diambil iktibar. Bukan sebarangan panel berani berkata benar dan berterus-terang, apalagi terhadap karya penulis veteran. Namun, empat orang panel itu membuktikan kejujuran dan kepakaran mereka. Tahniah.
3 ulasan:
Saya bersetuju dengan apa yang saudara perkatakan. Panel tidak perlu berselindung dari kebenaran jika mahu penulis kita menghasilkan karya yang berkualiti dan diiktiraf.
salam.
pertama kali masuk ke dalam blog ini. membaca isinya sunggoh bermakna sekali.
Penulis tidak perlu berkecil hati kalau karyanya dikatakan tidak bermutu, sebab (a) kritikan itu benar menurut teori digunakan, (b) cita rasa pembaca berbeza, (c) sistem nilai berbeza, (d) pengalaman dan kematangan berbeza. Karya sama yang baik bagi penulis A belum tentu baik bagi penulis B, dan sebaliknya.
Catat Ulasan