Jumaat, 16 Julai 2010

Sukarnya Melarang

Susah melarang penjual agar tidak menjual di sesuatu kawasan tertentu. Sama susahnya dengan melarang askar menembak atau polis menyaman kerana itu adalah kerja mereka dan keinginan mereka. Tetapi, kita akan berjaya jika melarang guru agar tidak mengajar!

Sewaktu kecil dulu, saya bercita-cita menjadi askar atau polis, bukan kerana ingin berkhidmat kepada negara, tetapi kerana ingin menembak. Hanya askar dan polis yang dibenarkan menembak. Maka jalan pilihan saya ialah dengan bercita-cita menjadi askar atau polis. Cita-cita ingin menjadi polis hampir berjaya kerana sewaktu menerima surat tawaran ke maktab, saya juga menerima surat tawaran jawatan inspektor polis. Setelah memikirkan baik dan buruknya menyaman orang dan menembak orang, akhirnya saya memilih menjadi guru. 


Sukarnya saya membuat pilihan. Sukarnya samalah seperti  susahnya melarang  kerajaan daripada tidak menaikkan harga barangan, atau menyuruh politikus agar bersikap jujur, telus dan adil.  

Suatu ketika, politikus Yousef pernah 'menghentam' kastam kerana gemar merampas barangan milik sebuah syarikat. Kemarahan itu bertali-tali sehingga memaksa pihak kastam mendedahkan urusniaga haram syarikat berkenaan. Akibat pendedahan itu, akhirnya terbongkar, rupa-rupanya syarikat berurusniaga haram itu hak milik politikus Yousef. 

Setelah 30 tahun memerangi penyalahgunaan dadah, kita masih belum bebas daripada ancaman dadah. Telah berpuluh (mungkin beratus-ratus) orang kita hukum gantung sampai mati, dan setelah beribu-ribu orang kita dakwa atas kesalahan bersabitan dadah, negara masih belum bebas daripada ancaman dadah. Kita melarang orang daripada menjual dan mengedar dadah, namun mereka tetap menjual dan mengedar dadah. Siapakah mereka? Lebih tepat lagi, siapakah ketua mereka? 
 
Dan, setelah kempen demi kempen berlangsung, dan pelbagai cara penerapan kesedaran agar menjaga kebersihan alam, gejala kekotoran tetap mewarnai alam sekeliling manusia. Di mana sahaja kita membuang sampah: Dari tingkat rumah flat, dari tingkat kereta, selepas menjaja atau sambil berjalan. Tempat buangannya, sama ada di sekeliling rumah, di atas jalan, ke dalam longkang, sungai mahupun di kawasan rumah ibadat. Semuanya sedar akan peripenting kebersihan, namun semuanya menyumbang ke arah perikotor kawasan. Betapa sukarnya mendidik, termasuk kepada penganut yang mengakui agamanya mencintai kebersihan.

Sukarnya seperti melarang sesetengah lelaki daripada menjual 'ubat kuat' yang menjadi penyumbang kepada masalah moral dan sosial negara. Dia sanggup menjual di mana-mana sahaja (secara sembunyi) termasuk dari jarak 100 meter daripada Tuan Guru menyampaikan ceramah agama.

Sekarang, marilah sama-sama kita fikirkan, bagaimana melarang orang daripada melakukan pekerjaan yang dilarangkan. 

4 ulasan:

abuyon berkata...

salam cikgu,

Ada dalam kaedah pendidikan orang
Melayu kita,

Dilarang panjat pokok tetapi
bunyinya, Ha panjat lagi!
panjat lagi!

NASSURY IBRAHIM berkata...

Itu kebijaksanaan orang Melayu dulu. Mereka faham bahawa suruhan itu sebenarnya larangan

Hasmora berkata...

orang kita ni baik suruh daripada larang, ko guano cikgu kato :)

NASSURY IBRAHIM berkata...

Dalam budaya Melayu, antara jenis larangan ialah menyuruh.