Sabtu, 24 Julai 2010

Bantu Melayu atau Bantai Melayu?

Orang sering bercakap mahu membantu Melayu, memartabatkan orang Melayu. Namun, hakikat yang terjadi ialah orang Melayu semakin terpinggir, dinafikan hak, semakin hilang ketuanan, identiti dan sebagainya. Oleh angkara siapakah semua itu? Tentulah oleh pemimpin Melayu dan dibantu oleh pemimpin bukan Melayu. Saya tertarik dengan berita  siaran Sinar Harian 24 Julai 2010 di bawah. Saya kemukakan di sini untuk renungan dan penilaian kita, kalau benar kita jujur untuk bantu Melayu.

 
Bantu Melayu Kelantan dulu

KOTA BHARU- Kerajaan Pusat yang dipimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) sepatutnya terlebih dahulu membantu orang Melayu di Kelantan sebelum menyatakan komitmen untuk mewujudkan perpaduan Melayu, Pas-UMNO.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Nassuruddin Daud berkata, tindakan kerajaan UMNO yang berterusan menafikan hak rakyat Kelantan seperti tidak memberi royalti minyak menggambarkan keikhlasan sebenar UMNO dalam membantu masyarakat Melayu.

“Semua orang tahu penduduk Kelantan didominasi oleh orang Melayu. Adakah selama ini UMNO sudah cukup membantu orang Melayu di Kelantan sebagaimana yang ingin diperjuangkan melalui perpaduan Pas-UMNO?

“Contohnya soal royalti minyak, jika mereka ikhlas menawan hati Melayu, berikan hak itu sewajarnya, lepas itu baru nak fikir perpaduan Pas-UMNO, ”katanya ketika mengadakan kuliah Jumaat di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu Perpaduan Pas-UMNO yang menjadi polemik perbincangan ahli politik negara kebelakangan ini.

Merujuk kepada kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mahu menjadi perantara perpaduan Pas-UMNO, Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan (DUN) Meranti berkata, mufti yang bertanggungjawab harus meneguri sikap yang dilakukan oleh kerajaan yang melakukan kesilapan.

“Dalam soal kelulusan judi, apa yang mufti bagi tahu kepada kerajaan? Kalau haram kata haram, jangan pula senyap. Dalam isu royalti minyak yang jelas menjadi hak Kelantan apa nasihatkan mufti kepada Kerajaan Pusat? Itu beza mufti dan orang biasa.

“Dan apakah kejujuran sebenar UMNO untuk bersatu dengan Pas sedangkan apa yang berlaku kini, wang ehsan pun rakyat tidak mendapat seadilnya, apa lagi untuk melakukan perkara-perkara yang lain,” katanya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Syabas, satu blog yg perlu di datangi dan difikirkan.

Silalah jengok kami di www.rajamenangis.blogspot.com - blog no.1 dunia Melayu sejagat.

Kumpulan Rajamenangis.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Terima kasih RM